Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tragedi kebakaran tahfiz: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 individu

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian.

“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, ” kata Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih di bawah umur semasa kejadian, beliau telah mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Jan 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja bunuh penghuni tahfiz Datuk Keramat diarah bela diri

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap remaja itu.

Sementara itu, Hakim Azman melepas dan membebaskan rakan remaja itu yang juga berumur 19 tahun atas pertuduhan sama tanpa memanggilnya membela diri.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Mereka yang kini berumur 19 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dakwa bunuh penghuni tahfiz, dua remaja didakwa

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Dua daripada tujuh suspek kes membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh 23 pelajar dan guru pusat tahfiz berkenaan, lapor BHOnline.

Dua pesalah berusia 16 tahun itu hanya mengangguk sambil menjawab “Saya faham” sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi dilakukan secara tertutup kerana kedua tertuduh adalah remaja bawah umur.

Categories
NASIONAL

Pusat Tahfiz DQI cari lokasi sementara

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), di Jalan Keramat Ujung, di sini masih mencari lokasi sesuai bagi meneruskan sesi pembelajaran yang perlu dimulakan, pada awal November ini.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, bangunan baru yang sepatutnya dijadual beroperasi, pada Oktober ini ditangguhkan dan hanya akan digunakan, pada awal 2018.

“Ada beberapa tempat ditawarkan untuk kami beroperasi buat sementara waktu, namun kami perlu mencari institusi yang mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta tidak terletak terlalu jauh,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, pusat tahfiz sementara perlu beroperasi di premis berstatus institusi dan bukan di lot kediaman kerana tidak bersesuaian.

Katanya, insiden yang mengorbankan nyawa pelajar juga tenaga pengajar di pusat tahfiz terbabit membuka mata banyak pihak, sekali gus menambah baik pendidikan pusat tahfiz di seluruh negara.

“Inilah hikmahnya. Pemergian mereka membuatkan kebajikan semua pusat tahfiz dipandang serius dengan pelbagai peruntukan diumumkan.

“Selepas kejadian ini, banyak inisiatif diterima seperti pendawaian secara percuma kepada institusi pendidikan tahfiz di seluruh negara khususnya daripada kerajaan yang prihatin,” katanya.

Pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar, pada jam 5.15 pagi.

Categories
NASIONAL

Premis baru Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beroperasi awal 2018

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Premis baru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung akan memulakan operasi, pada awal 2018.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, penangguhan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan yang perlu mematuhi beberapa ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Ketika bomba melakukan pemeriksaan, mereka menyuruh kami membuat beberapa ubah suai dan penambahbaikan antaranya memasang penyedut asap dan loceng kecemasan,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, proses berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan, sebelum semua pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran di bangunan baru.

Beliau berkata, pihaknya akan mencari tempat baru di lokasi berhampiran pusat tahfiz terbakar sebagai pusat pengajian sementara supaya pelajar yang bercuti dapat meneruskan pembelajaran secepat mungkin.

Dalam pada itu, Mohd Zahid berkata, pihaknya akan berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Kami akan bersemuka dengan mereka (ibu bapa) kerana tidak mahu ada pihak ketiga yang mengeruhkan keadaan.

“Sumbangan yang kami peroleh akan dipulangkan kepada keluarga mangsa dan hanya sebilangan kecil sahaja akan digunakan untuk membaiki kerosakan pusat tahfiz yang terbakar ini,” katanya.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar, pada 14 September lalu.

Categories
NASIONAL

Reman remaja bakar pusat tahfiz dilanjut

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Tempoh reman tujuh remaja disyaki terbabit dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, disambung tujuh hari lagi bermula esok sehingga 29 September ini.

Tempoh reman suspek berkenaan yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api, berakhir hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Md Isa ketika dihubungi berkata: “Kami dapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membantu siasatan yang dijalankan.”

Sebanyak 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu maut apabila asrama yang terletak di tingkat tiga bangunan pusat tahfiz itu terbakar pada kira-kira 5.15 pagi pada 14 Sept lepas.

Susulan kejadian tragik itu, polis menahan tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan kes kebakaran pusat tahfiz itu dan kesemua mereka direman tujuh hari bermula 16 September lalu.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong cemar duli lawat pusat tahfiz terbakar

SHAH ALAM, 15 SEPT: Hujan renyai-renyai tidak membataskan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mencemar duli melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang terbakar dalam satu kejadian semalam.

Baginda yang berpakaian kemeja T hitam dan berseluar putih selamat tiba sebentar tadi.

Perkarangan pusat tahfiz itu juga turut dibanjiri orang ramai.

Memetik MalaysiaKini, lawatan selama setengah jam itu baginda turut diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wira Wan Mohd Noor Ibrahim serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun.

Baginda berangkat pulang sebaik sahaja menerima penerangan berhubung insiden tersebut.

Semalam, negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 21 pelajar dan dua guru yang juga bertindak sebagai warden pusat tahfiz itu.

Ia merupakan tragedi kedua terburuk, selepas kebakaran di sarama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah, pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.

Categories
SELANGOR

Pelajar pusat tahfiz, Muhammad Aiman selamat dikebumi

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 15 SEPT: Jenazah pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Aiman Ramzanudin, 12, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Medan, di sini, hari ini.

Majlis pengkebumian itu dijalankan selepas solat Maghrib sebaik jenazahnya tiba dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

IMG_1004Bacaan talkin diketuai Pegawai Masjid Nurul Ehsan Taman Medan, Marizarit Rahmat.

Muhammad Aiman adalah anak kepada Ramzanudin Mohit, 42 dan Farawahida Wahid, 34, seorang Orang Kurang Upaya.

Beliau adalah salah seorang daripada 21 pelajar terkorban dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, semalam.

Turut meninggal dunia ialah dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan.

IMG_0618Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir di tanah perkuburan dan sempat bertemu dengan ahli keluarga Muhammad Aiman, sebelum jenazah tiba.

Beliau yang menunggu ketibaan jenazah pada awalnya bagaimanapun terpaksa meninggalkan tapak perkuburan kerana perlu menghadiri program rasmi Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha; Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Timbalannya, Johary Anuar serta hadirin lain.IMG_0786 IMG_0895 IMG_1037 IMG_1062

Categories
NASIONAL

Identiti 23 mangsa sudah dikenalpasti

SHAH ALAM, 15 SEPT: Identiti kesemua 23 mangsa tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semalam dikenal pasti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata proses pengecaman mangsa juga selesai dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kataya, pihaknya akan mengatur pertemuan dan menghubungi ibu bapa dan waris mangsa untuk memaklumkan perkembangan itu secepat mungkin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jabatan IPFN, Dr Mohd Shah Mahmud dan pasukannya kerana membantu mempercepatkan proses pengurusan tragedi nasional ini.

“Kami berharap dan berdoa tragedi ini adalah terakhir seperti ini dan tindakan pencegahan perlu dilaksanakan dan dipatuhi semua pihak nanti,”katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.

Ujian DNA semua mayat mangsa dapat diselesaikan lebih awal berbanding jangkaan kerana mendapat bantuan doktor dan petugas daripada Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Dalam kebakaran 5.10 pagi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertindak sebagai warden maut dalam kebakaran di dalam banglo tiga tingkat di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat di sini, manakala enam lagi cedera.

Jenazah mangsa korban kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mula dibawa keluar satu persatu dari IPFN, pada 4 petang tadi.

Sementara itu, dua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terlibat dalam kebakaran semalam masih dalam keadaan kritikal dan masih belum sedarkan diri. – Bernama

Categories
NASIONAL

Analisis DNA mangsa kebakaran tahfiz berjalan lancar

SHAH ALAM, 15 SEPT: Proses analisis sampel DNA mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berjalan lancar dan dijangka selesai menjelang tengah hari ini.

Proses analisis dijalankan Seksyen DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengeluarkan laporan DNA mangsa tragedi berkenaan.

Memetik BHOnline, kakitangan Seksyen DNA Forensik bertungkus lumus dari jam 6 petang, semalam selepas sampel mangsa dan keluarga tiba di makmal Kimia Malaysia, di sini.

“Setakat jam 8.30 pagi, proses sudah 95 peratus siap dan dijangka selesai tengah hari ini untuk pengesahan identiti dengan membandingkan DNA mangsa bersama ahli keluarga.

“Sampel berupa serpihan tulang milik mangsa dipadankan dengan sampel darah diberi keluarga,” katanya.

Sejumlah 86 sampel terbabit dalam keseluruhan proses analisis berkenaan dan laporan DNA akan diberikan kepada polis sebaik proses selesai.

Categories
SELANGOR

MAPIM gesa siasatan segera kes pusat tahfiz terbakar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, semalam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu mendapat perhatian umum dan hasil siasatan dapat membantu sebagai rumusan bagi menghindari kejadian sama berulang.

MAPIM - AZMI HAMID“Walaupun ini adalah tragedi luar jangkaan, namun peraturan keselamatan bangunan terutama bagi institusi pendidikan yang menempatkan ramai pelajar hendaklah memenuhi syarat serta sering dipantau.

“Semua pihak harus mengambil daya usaha yang serius bagi memastikan keselamatan bangunan sentiasa dijamin,” katanya.

MAPIM merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga serta pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, di atas tragedi kebakaran itu.

Dalam kejadian semalam, seramai 23 mangsa iaitu dua tenaga pengajar dan 21 pelajar terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Polis dalam kenyataan menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan semua pihak diminta bekerjasama dalam perkara itu.

Categories
NASIONAL

Polis syak litar pintas punca kebakaran pusat tahfiz

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis mengesyaki litar pintas menjadi punca kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, di sini, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun berkata, pasukan forensik akan terus menyiasat dalam setiap aspek bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Pada masa ini, kecurigaan pertama kami ialah litar pintas tetapi pasukan forensik akan melihat setiap aspek,” katanya dalam sidang akhbar, lapor The Star.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, terdapat 36 pelajar dan enam guru yang tinggal di pusat tahfiz terbabit.

Sekurang-kurangnya 22 pelajar dan dua tenaga pengajar terkorban dalam kejadian kebakaran, pada jam 5 pagi tadi di tingkat atas bangunan tahfiz berkenaan.