Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian, SPR bincang guna sekolah menengah sebagai pusat undi

KLUANG, 22 FEB: Keputusan rasmi mengenai penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan akan dibuat selepas pertemuan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alimin berkata pertemuan antara menteri pendidikan dan pihak SPR itu dibuat di Putrajaya.

Beliau berkata sekiranya keputusan yang dibuat SPR untuk menggunakan premis berkenaan tetap dilakukan, pihak KPM akur kerana ia termaktub dalam tuntutan Akta Pilihan Raya 1958.

“Kita memahami ketika PRN Johor nanti ada sebahagian bangunan sekolah termasuk bilik darjah akan digunakan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun kita akan pastikan keadaan selamat.

“Kita di KPM juga akan meminta semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya berkenaan termasuk SPR untuk membantu memastikan tiada sebarang risiko terutama kepada calon SPM,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja beliau ke daerah ini hari ini.

Mohamad berkata KPM juga meminta pihak terlibat dalam proses pengundian semasa PRN Johor untuk membantu memastikan kelancaran peperiksaan SPM yang akan bermula dari 2 hingga 29 Mac depan.

“Kita di KPM juga berharap agar tatacara operasi piawai (SOP) dipertingkat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan calon SPM,” katanya.

KPM sebelum ini memohon kerjasama SPR agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan yang telah disusun atur terganggu.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian enggan kompromi guna sekolah menengah sebagai pusat undi

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah disusun atur, ‘diganggu gugat’.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini kerana pelajar yang menduduki peperiksaan itu adalah kohort SPM yang paling terkesan akibat Covid-19.

Selain itu, katanya ia juga mengambil kira setiap meja dalam bilik peperiksaan telah disediakan dengan kod bar dan disusun mengikut indeks lengkap dan teratur, oleh itu, sebarang perubahan mengenainya akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan.

“Secara keseluruhan hampir semua bilik di sekolah digunakan untuk tujuan peperiksaan SPM dan pada hari Khamis sebelum hari pengundian nanti, ada peperiksaan Matematik dan ini akan melibatkan semua calon SPM di seluruh negara termasuk di Johor.

“Ini adalah satu peperiksaan yang besar dan pada hari Isnin akan ada peperiksaan Sains yang turut melibatkan ramai calon maka kita tidak mahu susunan ini diganggu, dipindahkan dan diasingkan untuk tujuan pilihan raya kerana nanti proses atau tatacara yang kita gunakan dalam penyusunan ini, kita perlu teliti satu persatu kembali,” katanya.

Radzi berkata demikian dalam video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, bagi menjelaskan mengenai mengapa sekolah menengah di Johor tidak sesuai digunakan sebagai tempat pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata pendirian itu juga diambil bagi memudahkan pihaknya menetapkan tempoh baharu peperiksaan kepada pelajar yang tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin.

“Untuk SPM kali ini seperti mana SPM tahun lepas, sekiranya pelajar tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin, mereka akan mendudukinya dalam tempoh ditetapkan kemudian. Sebab itu, penyusunan dalam bilik peperiksaan penuh teliti dan kita tidak mahu susunan ini diganggu gugat bagi memastikan kelancaran SPM,” katanya.

Bagaimanapun, Radzi berkata pihaknya tiada masalah jika sekolah rendah digunakan bagi tujuan pilihan raya berkenaan.

Semalam, Radzi memaklumkan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi dalam PRN Johor bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan itu yang bermula dari 2 hingga 29 Mac ini.

-BERNAMA