Categories
AGENDA NASIONAL

Juliana Evans lancar rantai leher, perkenal Selangor di mata dunia

PETALING JAYA, 4 DIS: Pelakon Che Puan Juliana Evans hari ini melancarkan rantai leher berbentuk peta Selangor sebagai usaha membantu mempromosikan sektor pelancongan negeri ini.

Duta pelancongan negeri itu berkata ide menghasilkan rantai yang mempunyai pilihan emas 24 karat dan perak itu tercetus daripada minatnya dalam pelancongan dan mahu memperkenal lagi nama Selangor di peta dunia.

“Ketika melawat California di Amerika Syarikat, saya ternampak rantai dalam bentuk daerah itu, cantik…tetapi saya fikir lebih baik ada produk sama mengingatkan orang ramai kepada Selangor dan mendorongnya melancong ke sini.

“Sebagai anak jati, saya mendapat inspirasi menghasilkan rantai leher dengan peta negeri ini,” katanya ditemui pada program pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu yang disempurnakan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian di sini hari ini.

Rantai jenama JEVANS Jewelry itu boleh dibeli pada harga RM159 secara dalam talian menerusi jevans.my dan aplikasi membeli belah Shopee.

Juliana diperkenal sebagai duta pelancongan negeri pada Disember tahun lalu.

Beliau kerap mempromosikan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ menerusi platform media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ajak orang ramai tebus 10,000 baucar pelancongan negeri

SHAH ALAM, 23 OKT: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menebus Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 menerusi aplikasi beli-belah Shopee sehingga 31 Disember depan.

Dalam hantaran di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menawarkan 10,000 baucar sempena kempen Pusing Selangor Dulu yang sah digunakan sehingga 30 Jun tahun depan.

Baucar yang boleh ditebus mulai semalam boleh digunakan untuk membeli lebih 170 pakej pelancongan menarik yang ditawar 35 agensi pelancongan negeri.

Tourism Selangor menjelaskan baucar itu terhad kepada satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Baucar tersebut yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dilancar EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Dengan peruntukan RM2.55 juta, fasa pertama program berlangsung mulai Januari yang menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Maklumat lanjut, layari pautan selangor.travel.

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kempen Pusing Selangor Dulu, destinasi pelancongan kelas dunia

SHAH ALAM, 29 SEPT : Tourism Selangor dan Tourism Malaysia Bahagian Domestik bekerjasama secara dalam talian bagi mempromosi produk pelancongan kepada penggiat industri setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamed berkata promosi menerusi siri webinar “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” itu bermula sejak Jun lalu sehingga semalam.

Menurutnya inisiatif antara usaha mempromosi pelancongan domestik Selangor seiring dengan budaya norma baharu iaitu menjelajah secara maya ke Malaysia Timur dalam masa terdekat.

“Sesi webinar hari ini bertepatan dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 yang mana kita turut melancarkan kempen menerusi media sosial rasmi bertujuan menampilkan Selangor sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia.

“Penting untuk mengekalkan hubungan baik antara Tourism Selangor dan Tourism Malaysia Domestik bagi membangunkan semula industri yang sangat terkesan dengan pandemik global yang semakin hampir ke fasa endemik ini,” katanya menerusi kenyataan.

Azrul Shah berkata sesi webinar itu sedang giat dijalankan di semua landasan digital Tourism Selangor iaitu laman sesawang www.selangor.travel, Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan TikTok.

Pada masa sama, beliau menggalakkan orang awam berkongsi pengalaman menarik masing-masing dalam menerokai tempat pelancongan Selangor dengan memuat turun gambar dan video di media sosial beserta tanda pagar #PusingSelangorDulu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ekspo pelancongan promosi Pusing Selangor Dulu, tingkat jumlah pelancong

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kempen pelancongan domestik “Pusing Selangor Dulu” akan dipromosikan dalam Ekspo Pelancongan Maya (VTE) 2021 yang berlangsung mulai esok sehingga Ahad ini.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata ia bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong apabila pergerakan domestik dibenarkan melalui pembudayaan norma baharu.

“Usaha ini mampu membantu operator pelancongan negeri menjana pendapatan menerusi penjualan pakej pelancongan domestik ditawarkan VTE2021 sekali gus memberi sinar kepada industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Penyertaan ini memberi peluang kepada penggemar aktiviti pelancongan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan produk sedia ada di Selangor termasuk yang terbaharu,” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Beliau menambah pembabitan Tourism Selangor dalam ekspo anjuran Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) mampu memberikan pendedahan dan pembelajaran bagi pelaksanaan program pendigitalan pelancongan pasca pandemik.

“Pusing Selangor Dulu” dilancarkan 17 Disember tahun lalu sebagai pendekatan menggalakkan rakyat tempatan melancong ke negeri ini.

Aktres popular Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai duta pelancongan Selangor bagi mempromosikan kempen terbabit.

Penggemar aktiviti pelancongan boleh menyertai VTE2021 di pautan https://vte2021.malaysiaexpo.net/.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MB, keluarga pilih Kuala Selangor sebagai destinasi bercuti

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar menyahut seruan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! apabila memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian bersama keluarga.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata pemimpin nombor satu negeri itu berkesempatan meneroka lokasi paling popular di daerah berkenaan iaitu Sky Mirror.

Selain itu, turut dilawati ialah Bukit Malawati, Makam Diraja, Santuari Kelip-kelip, memandu go kart di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor serta memancing udang galah di Kampung Kuantan.

“Selain dari mengunjungi kawasan tarikan pelancongan, Dato’ Seri Amirudin Shari sekeluarga juga tidak melepaskan peluang menikmati keunikan makanan tempatan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama keluarga ketika memancing udang galah di Kampung Kuantan. Foto Facebook MDKS

“Ia termasuk Cendol Borhan, ketupat Permatang, nasi ambeng di Warung Ibu serta masakan hasil laut di Pasir Penambang dan Jeram,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

MDKS turut berbangga dan gembira apabila Dato’ Menteri Besar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari, Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anak kerana memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian sekeluarga,” katanya.

MDKS turut berbangga dan gembira apabila Dato’ Menteri Besar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan. Foto: Facebook MDKS
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 baucar pelancongan boleh ditebus bermula 8 Januari

SHAH ALAM, 18 DIS: Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu bermula 8 hingga 31 Januari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 7,000 baucar boleh ditebus untuk hotel, inap desa berlesen serta taman tema di negeri ini menerusi platform e-dompet Touch n Go dan Lazada.

“Untuk e-dompet, baucar ini boleh ditebus menerusi pakej pelancongan yang disenaraikan dalam platform tersebut.

“Manakala untuk platform Lazada, orang ramai boleh tebus baucar menerusi pautan ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ dan tempoh sah baucar sehingga 31 Jun 2021,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada sidang media Majlis Pelancaran Promosi Pelancongan Domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam.

Beliau berkata sebanyak 43 penggiat sektor pelancongan terdiri pengusaha hotel, taman tema dan inap desa menyertai program baucar subsidi tersebut.

“Kita tidak boleh mengalah dan kehidupan perlu diteruskan. Kerajaan Negeri terus berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kita semua dapat bangkit kembali,” katanya.

Pada 13 Julai, Amirudin mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta.

Selain itu seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor turut menerima bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tourism Selangor lancar kempen Pusing Selangor Dulu

SHAH ALAM, 17 DIS: Tourism Selangor melancarkan kempen pelancongan domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ untuk menggalak rakyat melancong ke negeri ini.

Kempen yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar turut memperkenalkan aktres Che Puan Juliana Evans sebagai duta pelancongan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya memfokuskan usaha menarik pengunjung domestik menerusi pelancongan eko, agro, sukan, taman tema dan beli-belah.

“Melalui keunikan jaringan sembilan daerah di Selangor, pelbagai pengalaman unik tersedia untuk pelancong,” katanya.

Beliau turut berkongsi enam segmen yang menarik di negeri ini iaitu:

  • Alam semulajadi – Sky Mirror Kuala Selangor, Institut Kajian Hutan Malaysia (FRIM), Taman Alam Kuala Selangor, Taman Eko Rimba Kanching dan Bukit Broga.
  • Sukan ekstrem – Rakit redah jeram dan luncur udara di Kuala Kubu Bharu dan Gua Damai Ektreme Park
  • Inap desa dan agro – Sungai Haji Dorani Homestay, Sungai Sireh Homestay, Selangor Fruit Valley dan Banghuris Homestay.
  • Warisan dan budaya – Program Royal Klang Town Heritage Walk dan Istana Bandar, Bukit Malawati dan Jugra.
  • Taman tema – Sunway Lagoon, Kidzania, Bangi Wonderland, Jumpstreet Asia, i-City dan District 21.
  • Membeli-belah – Mitsui Outlet Park, Sunway Piramid, GM Klang, One Utama, The Curve dan SACC Mall.
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

‘Pusing Selangor Dulu’ dapat sambutan, yakin capai sasaran pelancong

SHAH ALAM, 20 JULAI: Tourism Selangor yakin sasaran enam juta pengunjung tahun ini tercapai melalui kempen Pusing Selangor Dulu yang menyasar pelancong domestik.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata inisiatif yang dilancar Jun lalu mendapat sambutan baik selaras visi penetapan semula industri pelancongan (reset tourism).

“Tourism Selangor menetapkan sasaran baharu pelancong pada 2020 dan dijangka dapat direalisasi dengan sebahagian besarnya disumbang pelancong domestik.

“Pelbagai inisiatif juga dibuat antaranya penggunaan landasan digital dan media sosial untuk promosi, kerjasama dengan media tempatan dan antarabangsa melalui Media Fam Trip, pemberian diskaun serta pakej pelancongan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Selangor menyasar lapan juta pelancong dengan pendapatan RM15 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia, namun terpaksa dibatalkan susulan penularan Covid-19.

Pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga yang diumum pada 13 Julai lalu memperuntuk insentif RM1,000 sekali bayar kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumum subsidi baucar bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen sebanyak RM2 juta.