Categories
AGENDA NASIONAL

Ratusan rumah rosak dibadai ribut, puting beliung di Ipoh

IPOH, 30 JAN: Ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini petang tadi.

Kejadian itu menyebabkan rata-rata penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya didiami masyarakat Cina menzahirkan rasa sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.

Menurut seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, beliau terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada kira-kira pukul 6 petang.

“Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin.

“Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi…bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga Yong Chee Fong, 35, berkata beliau bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.

“Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata dia melihat sendiri kejadian ‘puting beliung’ yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.

“Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran ketika melawat lokasi kejadian berkata semua mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses menyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.

“Kita anggarkan ratusan rumah yang terlibat di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.40 petang dan segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi terlibat.

Beliau berkata bencana itu turut menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang dan kerosakan rumah penduduk namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

20 rumah rosak akibat puting beliung

JITRA, 20 OKT: Kira-kira 20 buah rumah rosak teruk dalam kejadian puting beliung yang melanda tiga buah kampung di Mukim Jeram, Tunjang di sini, petang ini.

Kampung tersebut ialah Kampung Pida 4 Deli, Kampung Permatang Keriang dan Kampung Gurindam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten Kamalruzamal Kasa berkata  kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin dan merosakkan sebahagian struktur rumah mangsa.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota bergegas ke lokasi bagi kerja pembersihan dan membantu penduduk yang terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Nurul Fahana Shahidan, 30, berkata angin kuat menyebabkan keseluruhan bumbung rumah pusaka keluarganya  diterbangkan angin.

Ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen, manakala anaknya Muhammad Ainol Farhan Mohd Azmi berusia setahun sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu rumah.

“Angin datang dengan sekelip mata menerbangkan bumbung rumah,  mujur saya sempat lari keluar bersama anak menyelamatkan diri  walaupun kayu siling rumah jatuh hampir menimpa kami,” katanya yang bersyukur terselamat dalam kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Fatimah Salam berkata, dia yang sedang mandi, terus keluar menyelamatkan diri sejurus terdengar bunyi angin kuat tiba-tiba menerpa rumahnya.

“Saya keluar menjerit memanggil dua anak berusia 29 dan 34 tahun supaya menyelamatkan diri dan kami sempat lari keluar sebelum bumbung rumah diterbangkan sejauh 50 meter di bendang belakang rumah.

“Sebelum itu, anak sulung sempat melaungkan azan dan anak kedua sedang peluk tiang rumah jiran kerana bimbang dibawa angin,” katanya yang menganggarkan kerugian dialaminya lebih RM10,000.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah  Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bergegas meninjau lokasi bencana dan menyampaikan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Selepas ini akan ada bantuan susulan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya minta pihak terbabit datang buat bancian untuk menentukan jumlah kerosakan untuk kerja membaiki rumah,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Enam terkorban akibat puting beliung di Havana

HAVANA, 4 FEB: Angka korban akibat puting beliung dahsyat yang memusnahkan ibu kota Cuba, Havana, minggu lalu telah mencecah enam orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai kesihatan pada Ahad.

Jumlah kematian meningkat selepas dua lagi mangsa yang cedera parah dalam insiden itu meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami, kata Menteri Kesihatan Jose Angel Portal pada satu mesyuarat kabinet dipengerusikan Presiden Miguel Diaz-Canel.

Semasa mesyuarat itu, pegawai telah menyusuli usaha pemulihan yang sedang dilakukan.

Pihak berkuasa berkata, sejumlah 1,238 kediaman mengalami kerosakan termasuk 347 yang musnah sepenuhnya.

Puting beliung gred empat pada skala Fujita yang mempunyai intensiti kelajuan angin maksimum lima itu, adalah yang terburuk di Cuba dalam tempoh 80 tahun dan telah memusnahkan kediaman, memutuskan bekalan tenaga serta menterbalikkan kereta, selain mengakibatkan hampir 200 orang cedera.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siap sedia hadapi fenomena puting beliung makin kerap

SHAH ALAM 22 MAC: Malaysia yang selama ini tidak pernah mengalami fenomena puting beliung, kini bersiap sedia menghadapinya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail berkata negara mengalami lapan kejadian puting beliung tahun lalu, masing-masing empat di darat dan empat di laut yang juga dikenali sebagai ‘belalai air’.

ributBeliau berkata fenomena puting beliung, ribut petir kuat, taufan dan angin kencang merupakan kesan daripada perubahan iklim serta pemanasan global.

“Sebelum ini puting beliung amat jarang berlaku di negara kita. Tetapi tahun lalu ia berlaku.

“Kemungkinan ia akan berulang atau sebaliknya tidak boleh diramalkan kerana Malaysia masih belum mempunyai kepakaran meramalkannya,” katanya dipetik Bernama sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2015 esok.

Sehubungan itu Datuk Che Gayah berkata MetMalaysia sedang berusaha membawa pakar dari Jepun untuk melatih lebih ramai pegawai cuaca tempatan mengenai kaedah terbaik untuk membuat ramalan tentang puting beliung.

EZY

Categories
NASIONAL

Puting beliung rosakkan 71 rumah di Kota Setar

KOTA SETAR 1 NOV: Sebanyak 71 rumah dan sebuah klinik bidan rosak dalam kejadian puting beliung yang berlaku di beberapa kawasan di daerah Kota Setar petang semalam.

Sehingga kini, kawasan yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian kira-kira 5 petang itu ialah Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya.

10458357_762124077187946_7687622401190214199_nTinjauan Bernama di kawasan terlibat mendapati banyak rumah penduduk rosak teruk dengan bumbung rumah diterbangkan angin dan ada rumah yang ranap.

Sebanyak 25 rumah terlibat di Taman Mergong Jaya manakala di Kampung Sungai Baru, ia melibatkan 22 buah rumah, dengan satu daripadanya ranap, serta sebuah klinik bidan. Di Kampung Mergong Hilir, enam buah rumah terlibat manakala Kampung Batin (10 rumah) dan Taman Inang (8 rumah).

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kota Setar berkata pihaknya menerima panggilan awal daripada orang ramai yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 5.22 petang.

“Pihak kami dan beberapa agensi berkaitan sedang memberikan bantuan yang perlu kepada penduduk yang terlibat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya ketika dihubungi.

B1RSUFZCEAA0V2WKejadian yang berlaku dalam tempoh 10 minit itu juga menyebabkan beberapa pokok tumbang.

Seorang mangsa di Kampung Sungai Baru, Mohd Nizam Hamzah, 46, berkata dia melihat sendiri pusaran puting beliung kira-kira 100 meter dari rumahnya, yang kemudian menghampiri rumahnya.

Katanya tidak lama kemudian hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.

“Saya juga nampak angin kencang menerbangkan banyak zink dalam masa kira-kira 10 minit sebelum ia bergerak ke arah Mergong,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Mohd Syafik Abdul Kadir, 15, berkata dia terdengar bunyi kuat di bahagian atas rumahnya dan kemudian rumahnya bergegar.

“Papan bahagian atas rumah saya mula jatuh. Saya berlari keluar rumah dan berlindung di tempat letak kereta rumah jiran sebelah. Saya dapat lihat pokok mangga tumbang ke atas rumah saya dan meranapkannya,” katanya.

Mohd Saad Mad Isa dari Kampung Batin pula berkata ketika kejadian dia berada di dalam rumahnya apabila terdengar bunyi bising dari atas bumbung rumahnya.

“Masa itu saya dengar bunyi zink dan bila saya tengok di luar rumah, saya nampak zink bumbung rumah saya terangkat. Saya tengok rumah jiran saya pun bumbung rumahnya sudah tiada,” katanya.

Difahamkan mangsa-mangsa yang terlibat dengan kejadian itu dipindahkan ke pusat penempatan sementara dan ada juga yang berpindah ke rumah saudara mara.

– Bernama