Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 16 FEB: Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Batang Kali giat menganjurkan pelbagai program bagi membantu wanita menjana pendapatan sampingan melalui bengkel kraftangan membuat bunga menggunakan sabun.
Program bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu dianjurkan bertempat di Balai Kg Genting Malik, Taman Gentering Permai Batang Kali pada 20 Februari ini.
Penyelia PWB DUN Batang Kali, Siti Nurul Asyikin Mohd Noor, berkata beliau mensasarkan lebih 40 wanita suri rumah, ibu tunggal, belia yang masih menganggur mahupun yang sudah bekerja untuk sertai.
“Bengkel itu diadakan bertujuan membantu mereka menambah pendapatan melalui hasil kraftangan dengan membuat jualan secara kecil kecilan.
“Ilmu kraftangan ini tidak memerlukan kos tinggi dan caranya juga mudah dipelajari,” katanya kepada SelangorKini.
Tambahnya lagi, PWB DUN Batang Kali juga mengadakan beberapa prgoram lain dalam waktu terdekat.
“Pada 24 Februari ini kita mengadakan program membuat Acar Buah dan Program Membuat Biskut Tart bagi membantu kaum wanita membuat jualan menjelang bulan Ramadan akan datang,” katanya.
EZY