Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Wanita digalak belajar pelbagai kemahiran, jana pendapatan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Wanita digalak melengkapkan diri dengan menceburi pelbagai bidang kemahiran, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang.

Rozana Zainal Abidin berkata dengan kebolehan dimiliki akan dapat membantu mereka menambah pendapatan hanya daripada rumah.

“Saya menggalak wanita untuk sentiasa mengambil peluang lengkapkan diri dengan apa juga bentuk ilmu dan kemahiran.

“Sebagai contoh bengkel asas pembuatan sabun cuci pakaian ini adalah salah satu bidang yang dapat membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah di samping menjana pendapatan,” katanya menerusi Facebook.

Ahad lalu, Rozana merasmikan bengkel tersebut anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) di Blok C Sawah Sempadan.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan berhubung Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) bertujuan membuka peluang kepada rakyat yang terkesan ketika pandemik Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

PWB sedia latihan untuk wanita maju, tingkat ekonomi

SHAH ALAM, 11 FEB: Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor menyediakan pelbagai latihan dan kursus kepada wanita bagi mendepani era pendigitalan yang dibawa pembangunan negeri.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata program lebih menekankan aspek pemasaran perniagaan di media sosial sebagai usaha membantu ekonomi golongan itu.

“Sekarang program ini banyak dilakukan secara dalam talian memandangkan pandemik Covid-19 dan sesuai untuk semua wanita, tidak terhad ibu tunggal sahaja.

“Mana-mana persatuan yang mahu ahlinya turut serta boleh hubungi PWB berhampiran untuk kita rancang bersama,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam rancangan ‘Wanita Di Dalam Sains dan Teknologi + Covid-19 = Apakah Formula Terbaik? dianjurkan Institut Wanita Berdaya secara dalam talian.

Beliau berkata Kerajaan Selangor turut menyediakan peluang untuk rakyat berkecimpung serta mengembangkan perniagaan mereka menerusi kerjasama Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec).

Menerusi Belanjawan Selangor 2021 pada Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan RM369 juta bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi Selangor.

Usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Categories
EXCO SELANGOR

Mangsa terkesan Covid-19 terima bantuan susu, lampin bayi lebih RM300,000

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) memperuntukkan sejumlah RM336,000 dalam bentuk bantuan susu dan lampin bayi kepada mangsa terkesan Covid-19.

EXCO Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata sehingga kini seramai 5,829 individu dari semua Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima manfaat tersebut.

“Kita memutuskan untuk batal dan tangguh beberapa program PWB yang bersifat tidak kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Susulan itu, kita melaksanakan program kilat iaitu pemberian susu dan lampin bayi kepada mereka yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berkata PWB giat menganjurkan aktiviti yang memfokuskan kepada modul perusahaan makanan, minuman serta kraftangan dalam tempoh PKP Pemulihan.

Menurutnya, 80 program dilaksanakan dalam tempoh itu merangkumi bengkel membuat kek, pembuatan ikan sardin, masakan aneka sambal dan gubahan bunga yang boleh menjana pendapatan wanita di rumah.

“Saya yakin program PWB dinanti-nantikan wanita di negeri ini selepas hampir empat bulan ditangguhkan susulan PKP,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

30 wanita DUN Permatang sertai bengkel buat kek

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI: Seramai 30 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyertai Bengkel Belajar Buat Kek anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN itu, di Balairaya MPKK Kampung Permatang, di sini hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, program itu terbuka kepada suri rumah di kawasan Permatang untuk mengisi masa terluang dengan menceburkan diri dalam pembuatan kek.

“Program ini amat bersesuaian bagi memenuhi masa terluang suri rumah terutama pada Ramadan untuk menambah pengetahuan berkaitan pembuatan kek.

“Selain itu, wanita atau suri rumah ini boleh menjana pendapatan dengan mengambil tempahan bersempena Aidilfitri yang bakal menjelma,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rozana berkata, beliau menyokong program sebegini dilaksanakan kerana ia mampu menjadikan suri rumah lebih yakin melangkah ke hadapan.

Beliau turut komited menerapkan elemen “Gift To Empowerment” kepada wanita di DUN Permatang, selain memberi keyakinan ia juga mampu menjadikan mereka lebih berdikari.

Dalam program itu, suri rumah terbabit diajar membuat tiga jenis kek iaitu kek lobak, kek coklat moist dan kek koko.

 

Categories
SELANGOR

Bengkel sabun peluang jana pendapatan wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Lebih 50 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyertai program Jom Sihat dan bengkel membuat sabun dari madu kelulut, baru-baru ini.

Penyelia Pusat Wanita Berdaya DUN terbabit, Siti Anum Tawil berkata, program itu memberi peluang kepada wanita berkemahiran untuk menjadikan bidang berkenaan sebagai perniagaan.

Katanya, ia sekali gus dapat menambahkan pendapatan keluarga dan menjadikan wanita lebih berdaya dari sudut ekonomi serta jati diri.

“Pada sebelah paginya, kita adakan program zumba melalui ‘Jom Sihat’ dan selepas itu kita anjurkan pula bengkel membuat sabun dari madu kelulut ini.

“Di Sungai Kandis, kita melaksanakan dua modul antaranya program berkemahiran dan berkapasiti antaranya program memasak, kraftangan, landskap dan penyelenggaraan kenderaan,” katanya kepada SelangorKini.

Siti Anum berkata, PWB Sungai Kandis kini turut mencari produk yang diusahakan wanita kawasan berkenaan untuk diketengahkan dan dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, ia bertepatan dengan saranan Kerajaan Negeri yang mahukan wanita negeri di Selangor lebih berdaya dan berdikari.

“Wanita ini turut diberi peluang menyertai program kursus, seminar yang menguji minda peserta selain program kepimpinan, kesihatan, perundangan wanita, kesaksamaan gender dan urus tadbir yang baik.

“Kita sasarkan setiap pelusuk wanita di DUN ini akan menyertai program yang dianjurkan, pada tahun ini,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

PWB buka ruang wanita ceburi politik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Pusat Wanita Berdaya (PWB) kini menawarkan kefahaman, latihan, ilmu kepimpinan dan undang-undang dalam bidang politik bagi mereka yang berminat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebelum ini pusat itu hanya menawarkan kemahiran antaranya menjahit, memasak dan pastri.

“Kemahiran seperti itu masih ada cuma kita hanya meletakkannya pada kadar 50 peratus, manakala selebihnya kita akan berdayakan dengan ilmu, kepimpinan dan undang-undang bagi mereka yang berminat dalam bidang politik.

“Siapa yang suka kemahiran memasak dan lain-lain boleh teruskan seperti biasa. Tujuannya bagi menyediakan wanita berkualiti dalam bidang politik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, wanita yang layak akan disaring terlebih dahulu menerusi jawatankuasa Wanita Berdaya Selangor dan seterusnya akan menyertai kursus daripada Institut Wanita Berdaya (IWB).

“Wanita di negeri ini, kini aktif sebagai Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung, justeru, kita mahu lebih ramai wanita aktif dalam pembuat keputusan atau dasar serta melahirkan pelapis yang berkualiti,” katanya.

PWB adalah pusat pengerak wanita yang diwujudkan di 56 DUN, di bawah Kerajaan Negeri.

Tujuan utama penubuhannya adalah untuk menyantuni masyarakat khasnya wanita dan remaja perempuan dengan pelbagai pendekatan, termasuk memberi latihan kemahiran berskala kecil serta sederhana juga memberi kesedaran melalui kursus yang dijalankan.

Categories
SELANGOR

40 wanita sertai Bengkel Olahan Coklat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 22 OKT: Seramai 40 peserta wanita daripada pelbagai peringkat umur menyertai Bengkel Olahan Coklat anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dun Dusun Tua, di Balai Raya Batu 18, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, siri pertama dianjurkan itu adalah kesinambungan daripada bengkel pembuatan roti yang dilaksanakan, pada 20 Oktober lalu.

Katanya, ia bertujuan membantu penduduk, khususnya wanita untuk menambahkan ilmu kemahiran dan menjana pendapatan tambahan.

“Pada masa sama, program ini memberi pendedahan kepada mereka untuk belajar mengasah bakat membuat roti dan mengolah coklat sendiri.

“Sambutan program juga amat menggalakkan kerana kita mendapat penyertaan baik dalam kalangan komunit setempat,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Katanya, program terbabit juga mampu mewujudkan insan yang lebih berinovatif melalui penciptaan olahan serta cara baharu.

“Sudah tentu setiap kemahiran baru yang diperolehi akan dapat meningkatkan keberdayaan wanita selain membangunkan ekonomi keluarga dan kawasan.

“Kemajuan boleh terhasil melalui fasa inisiatif, kreatif dan inovatif,” katanya.

 

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN YB ACTIVITIES

100 peserta PWB Batu Tiga sertai Program Air Tangan YB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kira-Kira 100 peserta dari Pusat Wanita Berdaya Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai Program Air Tangan YB.

Program selama tiga jam itu dikendalikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Chef terkemuka negara, Mohd Anuar Draman.

Rodziah berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada golongan suri rumah atau wanita bekerja yang berminat menjadikan masakan sebagai sumber pendapatan.

“Program ini memberi pendedahan kepada mereka belajar kulinari lebih lagi pembuatan kek dan pastri.

“Terdapat lima resepi disamping tips dan teknik yang diajar oleh Chef Anuar.

“Saya berharap dengan pengetahuan yang diberikan, golongan ini mendapat sesuatu untuk dibawa pulang sekali gus, dipraktikkan,” katanya.

Dalam program itu, Chef Anuar berkongsi resepi dan demo masakan antaranya, Tart Labu, Kek Coklat Kukus, Royal Filling, Sugar Dough dan Steam Fish Teow Chew Style.

Chef Anuar merupakan seorang pakar masakan dalam bidang kek dan pastri. Beliau memiliki pengalaman lebih 25 tahun di beberapa buah hotel dan syarikat penerbangan antarabangsa.

Lebih 50,000 peserta kursus sudah mendapat ilmu masakannya dalam penyediaan kek, pastri, roti dan sebagainya.

 

Categories
SELANGOR

Bengkel OKU Bisnes Online PWB DUN Bangi tingkat kemahiran IT

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 1 FEB: Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Bangi telah menganjurkan Bengkel OKU Bisnes Online bagi membantu golongan kelainan upaya (OKU) menjana pendapatan dari rumah dengan kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Pusat Khidmat ADUN Bangi dan Masjid Hasanah.

Pengerusi Persatuan OKU, Syed Mohamed Abdullah berkata, objektif utama bengkel itu diadakan untuk meningkatkan kemahiran OKU dalam bidang IT.

“Bengkel ini membimbing peserta memulakan perniagaan atas talian secara kreatif dan memberi motivasi agar peserta ingin menceburi bidang perniagaan.

“Mereka diajar cara pemasaran produk menggunakan Facebook dan Instagram supaya mereka dapat menjana pendapatan dan berdikari dalam menggunakan media massa,” katanya.

Syed berkata, program itu memberi kesan positif dan semangat kepada mereka hadir untuk yakin bahawa walaupun mereka kekurangan dari segi fizikal tetapi mereka juga mampu menjana pendapatan dari rumah.

Tambahnya lagi, melihat sambutan yang menggalakkan kebanyakan peserta mencadangkan agar siri ke-2 bengkel dapat dianjurkan pada masa akan datang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

56 penyelia PWB jayakan jamuan Aidilfitri

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seramai 56 penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh DUN menjayakan Jamuan Silaturahim Aidilfitri bersama Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi di sini, semalam.

Menariknya, semua penyelia terbabit membawa 56 jenis juadah hasil air tangan masing-masing untuk meraikan Syawal yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Semangat dan kerjasama ditunjukkan berjaya merapatkan jurang perbezaan agama dan kaum antara penyelia bersama masyarakat di negeri ini untuk meraikan Aidilfitri,” kata Dr Daroyah kepada SelangorKini.

Antara hidangan juadah yang disajikan adalah rendang, ketupat, nasi himpit, lemang, sate dan kuih-muih selain penyerahan duit raya kepada kanak-kanak.

Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminudin.

Categories
SELANGOR

Penyelia PWB komited jayakan program bantu wanita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OKT: Tanggungjawab menggalas jawatan Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi tempoh dua tahun bukan sesuatu yang harus dipandang enteng.

Bagi Surinah Parman, beliau perlu bijak menggunakan peruntukan RM30,000 dan memastikan setiap program memberi manfaat kepada wanita di kawasannya.

“Kita bukan terima elaun bulat-bulat tetapi perlu memastikan apa yang kita laksanakan mencapai objektif digariskan PWB.

“Bagi saya, kepuasan hanya tercapai apabila program dijalankan dapat membantu wanita menambah pendapatan keluarga,” kata Penyelia PWB Sementa itu kepada SelangorKini.

Beliau adalah salah seorang daripada 56 penerima Watikah Penyelia PWB bagi sesi 2016-2018, semalam.

Berkongsi pandangan sama, A. Vijayaramy berkata, program PWB kian mendapat tempat dalam kalangan wanita tempatan.

img_5262“Ada masanya kita menerima penyertaan hampir 100 peserta dalam satu-satu program, menunjukkan PWB menerima sambutan.

“Namun, saya yakin pendedahan berterusan perlu dilaksanakan untuk memantapkan lagi jenama PWB di Selangor,” katanya yang menyelia kawasan Sungai Pelek.

Sementara itu, Priscilla Hen berharap peruntukan PWB dapat ditambah selaras dengan kos yang semakin meningkat.

“Harga barangan kini naik ditambah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kita juga perlu menampung kos tenaga pengajar bagi setiap program dijalankan,” kata Penyelia PWB Seri Kembangan itu.

-AA-

Categories
SELANGOR

Program pembangunan wanita peringkat PWB tiada had

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri tidak mengehadkan sebarang bentuk program pembangunan wanita yang dilaksanakan di setiap DUN menerusi gerak kerja Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata penyelia PWB diberi tanggungjawab untuk menguruskan perbelanjaan program PWB di setiap DUN.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30,000 kepada 56 Dun di Selangor dengan peruntukan keseluruhan RM1.6 juta kepada PWB untuk program pembangunan wanita.

CP2A9164-800x533“Namun, kita tidak mengehadkan kepada penyelia PWB di setiap DUN untuk laksanakan program pembedayaan yang memberi tumpuan kepada golongan ini.

“Bagaimanapun, kita mengehadkan penggunaan maksima RM2500 untuk program PWB di setiap DUN kerana ia berskala kecil,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali membabitkan perbelanjaan sepanjang tahun yang digunakan PWB untuk menggerakkan program pembangunan wanita di seluruh DUN Selangor.

Daroyah berkata, PWB memberi tumpuan kepada model pembangunan wanita seluruh DUN sebagai inisiatif Kerajaan Negeri memastikan golongan wanita terus berdaya saing.

“Program ini tertumpu kepada sekitar 30 hingga 50 wanita supaya kita boleh fokus kepada usaha untuk merancakkan program wanita di peringkat DUN,” katanya.

PWB adalah landasan atau penganjuran aktiviti berkaitan pendidikan sosial kepada golongan wanita untuk meningkatkan kemahiran dan jati diri golongan itu.

Sebelum ini, salah satu komponen terpenting gagasan Smart Selangor yang diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali antaranya untuk terus merancakkan lagi inisiatif pembangunan wanita di seluruh negeri.

-NFN-