Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Wakaf Selangor terima kutipan RM350 juta sejak 2011

SHAH ALAM, 21 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menerima kutipan wakaf berjumlah RM350 juta dari 2011 hingga 2019.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kutipan itu diterima menerusi wakaf am, tunai dan khas yang diagihkan kepada beberapa kategori penerima.

“Sehingga 2018, RM142 juta disalurkan bagi pembinaan dan pembaikan masjid-masjid dan surau-surau, pembangunan sektor pendidikan serta projek-projek am, khas dan manfaat,” kata Dato’ Mohammad Yaacob kepada Selangorkini.

Beliau berkata PWS turut menyalurkan agihan fisabilillah kepada 43 institusi berjumlah RM1.276 juta.

Mohammad menjelaskan sumbangan itu digunakan bagi pembangunan aset kekal seperti membina dan menaik taraf bangunan, pemasangan karpet serta sistem siar raya.

“Institusi yang menerima sumbangan merangkumi masjid, surau dan sekolah sekitar Selangor,” katanya.

Tambahnya, agensi itu turut menyumbang kerusi roda kepada Hospital Sungai Buloh, pemasangan tangga bergerak di Masjid Negeri Shah Alam dan pembelian buku perpustakaan ke Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom.

Categories
AGAMA SELANGOR

RM204 juta Wakaf Selangor, salur pembangunan ekonomi Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 SEPT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjaya mungumpul dana wakaf tunai berjumlah RM204 juta sejak ia mula ditubuhkan, Januari 2011 lalu.

Pengerusinya, Dato’ Setia Ramli Mahmud berkata, perbelanjaan wakaf itu digunakan bagi tujuan pembangunan komuniti masyarakat Islam seluruh negeri.

“PWS berjaya mengumpulkan dana wakaf tunai berjumlah RM204 juta dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Badan-Badan Berkanun, Agensi Kerajaan Negeri dan Swasta.

“Sehingga kini, sebahagian dana itu disalurkan untuk pembinaan lapan masjid, 21 surau, empat institusi pembangunan pendidikan di Selangor.

Perbadanan Wakaf Selangor“Dana wakaf ini juga digunakan bagi membiayai pembelian wakaf Al-Quran serta buku-buku rujukan Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Terdahulu, PWS ditubuhkan bagi meningkatkan keperluan dalam pengurusan harta wakaf dan membudayakan amalan wakaf untuk membangunkan ekonomi ummah secara berkesan berpandukan hukum syarak.

RamliFungsinya turut memberi nasihat kepada Majlis berkenaan dengan dasar, cara, langkah yang perlu dilaksanakan dan diambil untuk menggalakkan pembangunan harta dan produk wakaf.

Ia turut melaksanakan dan memberi kesan kepada apa-apa dasar, arahan atau perintah Majlis berkenaan dengan pembangunan harta dan produk wakaf.

Selain itu, PWS turut berperanan menjalankan pengendalian serta penyelenggaraan harta wakaf termasuk kemudahan, infrastruktur, tempat dan alat di kawasan harta wakaf masyarakat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kukuh integriti, Wakaf Selangor tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 SEPT : Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) komited memperkukuh nilai integriti pentadbirannya menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan kakitangannya.

Pengerusi PWS, Dato’ Setia Ramli Mahmud berkata, komitmen itu seiring hasrat perbadanan itu untuk menjalankan tanggungjawab secara amanah tanpa berlakunya budaya rasuah dalam pentadbirannya.

“Inisiatif ini menggambarkan kesungguhan dan keazaman PWS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah ini.

IMG_20170906_120616“Kita perlu ada kesedaran dalam diri masing-masing untuk mengatakan tidak kepada perkara yang tidak betul dalam segala tindakan kita.

“Ia menjadi matlamat PWS untuk terus bergerak maju menjadi sebuah institusi pembangunan wakaf berintegriti dan amanah dalam membangunkan harta wakaf di Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Majlis lafaz dan menandatangani ikrar melibatkan Pengurusan Tertinggi PWS, warga kerja serta anak syarikat perbadanan itu, Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Dato’ Mohamad Yacob.

Lafaz ikrar turut disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah melibatkan lebih 100 warga kerja perbadanan itu.

SPRMPada majlis sama, Jabatan Audit Negara (JAN) cawangan Selangor turut menganugerahkan Sijil Audit Bersih kepada Penyata Kewangan PWS yang disampaikan Timbalan Pengarah Audit Selangor, Rokiah Sahat.

Terdahulu, IBR mula dilaksanakan sebagai inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM untuk memastikan individu yang menandatangani ikrar itu lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas secara telus.

Sebanyak 90 pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan dan institut pendidikan tinggi di Selangor sudah menandatangani lafaz ikrar IBR sejak diperkenalkan awal tahun lalu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

GLC perlu bantu PWS bangun tanah wakaf terbiar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) diminta untuk membantu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dalam membangunkan tanah wakaf yang terbiar di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Rodziah Ismail berkata, hal itu kerana PWS tidak mempunyai dana yang cukup untuk membangunkan tanah wakaf secara bersendirian.

Katanya, masyarakat Islam akan mendapat manfaat dan faedah yang besar terutama bagi golongan kurang berkemampuan menerusi pembangunan itu.

Perbadanan Wakaf Selangor“Saya mencadangkan GLC mengambil usaha ini sebagai tanggungjawab membangunkan tanah wakaf. Mereka boleh bekerjasama dengan PWS untuk mengenal pasti tanah terbiar.

“Kita boleh mengenal pasti tanah wakaf yang tidak diguna dan tidak ada perancangan sama ada berstatus pertanian atau pembangunan untuk memaksimumkan kegunaan tanah itu,” katanya ketika taklimat PAC berkenaan PWS, di Bangunan Annexe, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, satu kajian terperinci antara organisasi itu perlu dijalankan bagi mengenal pasti cara efektif bagi membangun dan menguruskan tanah wakaf terbabit.

“Jika tanah wakaf dan baitulmal ini dapat dibangunkan, ia akan memberi banyak manfaat dan dapat meningkatkan sosioekonomi umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang memaklumkan kepada PAC akan kekurangan dana untuk PWS membangunkan tanah terbiar.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PWS bangun projek hartanah RM300 juta

SHAH ALAM 26 JULAI : Projek hartanah kediaman dan komersil dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM300 juta dibangunkan Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd (UME), anak syarikat Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Azli Md Yusof, berkata projek itu dibangunkan dalam tempoh lima hingga enam tahun melalui tiga fasa.

Katanya fasa pertama membabitkan tanah wakaf di sekitar Klang, fasa kedua untuk pembangunan rumah kediaman di Hulu Langat dan fasa ketiga bagi pembinaan hartanah komersial serta stesen minyak.

urusmaju.transformed“Jumlah tanah wakaf di Selangor kira-kira 480 hektar dengan 70 peratus daripadanya adalah tanah wakaf khas. Kami menumpukan pembangunan membabitkan tanah wakaf am terbiar.

“Tanah wakaf dibangunkan membabitkan keluasan kira-kira 12 hingga 16 hektar bagi setiap fasa,” katanya dipetik BH Online

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai perjanjian pembiayaan pembangunan tanah wakaf berjumlah RM15.5 juta dengan Bank Islam di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd, Datuk Seri Zukri Samat dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin.

Mohd Azli berkata, pembiayaan berkenaan merangkumi dua projek pembangunan tanah wakaf di sekitar Klang, Selangor seluas 2.4 hektar.

Katanya, projek pertama merangkumi pembinaan 164 unit pangsapuri serta 12 unit lot kedai di Jalan Kebun, Mukim Kapar, Daerah Klang, Selangor.

Beliau berkata, projek kedua membabitkan pembangunan 13 unit kedai pejabat dan 34 unit bazar di Jalan Teratai, Mukim Kapar, Daerah Klang.

“Kerja pembangunan projek ini dijangka dimulakan tahun ini. Kami sudah mendapat kelulusan pihak berkaitan dari segi perancangan projek ini,” jelasnya.

Sementara itu, Zukri berkata, menerusi perjanjian pembiayaan berjumlah RM15.5 juta itu, Bank Islam menyediakan pembiayaan projek serta pembiayaan akhir untuk pembelian unit pangsapuri, rumah kedai dan kedai pejabat melalui produk Al-Waqf Home Financing-i.

Beliau berkata, pembiayaan berkenaan juga adalah antara inisiatif bank itu bagi menyumbang kepada perkembangan industri wakaf di Malaysia selain meningkatkan pegangan aset umat Islam di negara ini.

“Sebagai peneraju perkhidmatan perbankan Islam di negara ini, Bank Islam berpengalaman dalam menguruskan projek imarah wakaf yang lain sejak 2009.

“Antaranya ialah projek Menara Bank Islam yang kini adalah ibu pejabat korporat kami,” katanya.

INFO

* Kos pembangunan kasar kedua-dua projek – RM50 juta.
* Ia terletak di atas tanah wakaf am.
* Wakaf am – pewakaf berniat mewakafkan harta tanpa pengkhususan, namun hasil pembangunannya disalurkan untuk manfaat umat Islam.
* Setakat 2014, jumlah tanah wakaf am dan khas di Malaysia seluas 11,091.82 hektar.

EZY

Categories
SELANGOR

PWS lancar ‘Wakaf Ibu Syurgaku’

OLEH : NORHAYATI UMOR

SUBANG, 4 JUN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan program ‘Wakaf Ibu Syurgaku’ bagi mendidik masyarakat Islam untuk berwakaf atas nama ibu.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yong, berkata hasrat PWS dengan menzahirkan program yang unik itu untuk mendidik masyarakat Islam khasnya supaya belajar memberikan hadiah berkekalan selamanya kepada ibu.

“Program ini merupakan satu inisiatif menggalakan wakaf tunai sebagaimana ditekankan dalam ajaran agama Islam,” katanya di majlis Pelancaran Program di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini.

Perbadanan Wakaf SelangorProgram terbabit dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

Abu Bakar berkata program terbabit merupakan program pertama di Malaysia adalah inisiatif untuk meraikan ibu dan kaum wanita yang merupakan penyumbang terbesar kepada dana wakaf tunai PWS.

Pada masa sama, beliau berkata sejak 2011 hingga 2015, jumlah kutipan tunai dari wakaf am dan khas diterima adalah berjumlah lebih RM125 juta.

“Kelazimannya, wakaf diterima dalam bentuk tanah, rumah dan sesuatu yang kekal. Namun, di zaman komedenan dan kegawatan ekonomi tidak semua berkemampuan.

“Oleh itu, saham wakaf tunai diwujudkan dan dibolehkan dalam fatwa kebangsaan dan negeri Selangor bahawa setiap satu nilaian RM10 itu mesti ditukarkan dalam bentuk aset,” katanya.

Beliau berkata pelbagai cara dilakukan PWS untuk memberi kemudahan orang ramai berwakaf iaitu melalui skim infaq potongan gaji dan auto debit serta sistem perbankan online.

“Kita berharap program ini terus mendapat sambutan bukan sahaja daripada individu tetapi juga daripada pihak korporat,” katanya.

Sementara itu, Shamshida menyifatkan program itu sebagai satu inovasi wakaf dalam misi membangunkan ummah.

“Program ini bukan sahaja menarik orang untuk menjalankan program ibadah wakaf tetapi paling penting sekali mengingatkan kita membalas jasa orang paling penting dalam kehidupan kita,” katanya.

Majlis terbabit turut dimeriahkan dengan kehadiran Duta Wakaf Selangor, Ustaz Don Daniyal yang mengendalikan slot sembang Santai Ustaz Don yang merungkaikan tentang kepentingan dan kebaikan wakaf kepada penyumbang serta pembangunan ummah.

EZY