Categories
SELANGOR

267 pelajar SRAI Kampung Melayu Subang terima manfaat ulang kaji dalam talian

KOTA DAMANSARA, 12 FEB: Seramai 267 pelajar kurang berkemampuan daripada Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Kampung Melayu Subang terima manfaat penggunaan aplikasi ulang kaji Osem.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Misni Mohd Dahlan berkata beliau berharap aplikasi itu dapat membantu meningkatkan mutu pembelajaran.

“Kita hargai inisiatif Ahli Parlimen Sungai Buloh (R Sivarasa) sudi bantu memberi aplikasi secara percuma selama setahun khusus buat golongan kurang berkemampuan.

“Semoga kemudahan ini juga dapat meningkatkan lagi prestasi pelajar dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi Osem semalam.

Mengulas sama ada ketiadaan gajet menjadi halangan, Misni berkata pelajar terbabit rata-ratanya mempunyai peranti elektronik sendiri selain turut mendapat tajaan daripada wakil rakyat serta PIBG.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Aplikasi Osem, Dato’ Abdul Radzeen berkata platform yang ditubuh sejak dua tahun lalu itu telah membantu lebih 200,000 pelajar.

“Menariknya mengenai aplikasi ini adalah pelajar akan diberi ganjaran seminggu sekali jika mereka berjaya mencapai sasaran. Selain itu, kita juga sediakan sistem untuk ibu bapa memantau anak mereka,” jelasnya.

Aplikasi Osem menawarkan kira-kira 2,000 soalan setiap minggu yang disediakan oleh lebih 17,000 guru seluruh Malaysia yang boleh didapati menerusi App Store dan Google Play Store.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KEMAS disaran sentiasa tambah baik kokurikulum, pembelajaran tabika

GEORGE TOWN, 7 SEPT: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu sentiasa membuat penambahbaikan dalam aspek kokurikulum dan kaedah pembelajaran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) mengikut peredaran masa.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, penambahbaikan itu juga perlu mengikut keperluan kanak-kanak.

“Kita mahu kokurikulum yang kita ajar di Tabika Kemas ini sentiasa ditambah baik dan perlu yang terkini. Ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan perlu mengikut keperluan anak-anak.

“Cara pendidikan pada masa kini tidak sama dan ia berbeza dengan zaman 20 atau 30 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, malam tadi.

Sivarasa berkata, KEMAS kini sedang melaksanakan program perintis di beberapa tabika dengan memasukkan elemen pembelajaran tambahan seperti Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik.

Beliau berharap Tabika KEMAS dapat bersaing dan setanding dengan tabika-tabika swasta yang terdapat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata kakitangan KEMAS juga perlu melaksanakan tugas dengan profesional dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Perlu ada tahap profesionalisme dalam kalangan kakitangan KEMAS di mana saya berharap kakitangan di sini dapat membuat tugasan dan menggalas tanggungjawab secara profesional, menjadikan institusi ini satu institusi yang hebat dan tidak memihak kepada mana-mana politik,” katanya.

Hari Potensi KEMAS adalah aktiviti kokurikulum Tabika KEMAS yang dilaksanakan secara tahunan sejak 2006.

Ia membabitkan pertandingan acara bakat atau sukan yang dilaksanakan secara giliran setiap tahun bermula dari peringkat Parlimen, daerah, negeri hingga ke peringkat kebangsaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lebih ramai pelancong Timur Tengah ke Tasik Kenyir

KUALA BERANG, 27 JUL: Tasik Kenyir perlu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik kedatangan lebih ramai pelawat termasuk dari Timur Tengah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata ke arah itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) disaran merancang pelbagai inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran Tasik Kenyir dalam kalangan pelancong.

“Ketengah perlu melihat pasaran baharu terutama negara Timur Tengah dengan mengembangkan daya tarikan elemen air di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kenyir 2019 dengan mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, hari ini.

Majlis yang diadakan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad.

Sivarasa berkata, kementerian melalui Ketengah memperuntukkan RM38 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur komersial dan program ameniti sosial untuk dinikmati pengunjung Tasik Kenyir selari dengan hasrat menjadikannya destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Dalam masa terdekat juga kami akan menaik taraf jaringan jalan raya di Pengkalan Gawi ini…serta menaik taraf landskap bagi menghidupkan lagi elemen flora di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Sivarasa menasihati penduduk sekitar Tasik Kenyir mengambil peluang ekonomi dengan menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan makanan, penjualan cenderahati dan kraf, rumah bot dan bot laju.

Festival bermula Khamis lalu hingga esok itu menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan sasaran jualan dan pendapatan RM1.6 juta.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga Jun tahun ini, Tasik Kenyir menerima 257,192 pengunjung.

– BERNAMA / Foto – malaysia.travel

Categories
NASIONAL

Kebajikan pelajar MRSM daripada golongan B40 terus dipelihara

KUALA LUMPUR, 3 APR: Kebajikan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dijaga dalam usaha memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan untuk membantu golongan tersebut termasuk pengecualian bayaran yuran pengajian sekiranya tidak berkemampuan melunaskannya.

“Pembayaran yuran untuk setiap bulan adalah lebih kurang RM60. Mana-mana pelajar yang menghadapi masalah kewangan boleh memohon pengecualian dan hampir semua akan dapat pengecualian itu sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2018 (2019) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, komitmen kerajaan itu juga dibuktikan apabila kuota 65 peratus kemasukan baharu pada tahun ini telah diisi golongan pelajar B40.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan pada 13 Januari lepas telah memberi kelonggaran kepada pelajar daripada golongan B40 yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran MRSM secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.

Dalam perkembangan lain, Sivarasa berkata, RM2.057 bilion pinjaman telah diperuntukkan kepada pelajar Bumiputera menerusi Skim Pinjaman Pelajaran yang melibatkan 56,957 pelajar pada 2018.

Sementara itu, ketika penggulungan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, menterinya, Dr A Xavier Jayakumar berkata, kerajaan bersetuju meneruskan pembinaan empangan pelbagai guna ‘Cinta Mata Dam’ di Jalan Gudang Empat, Tawau.

Menteri itu berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung projek empangan air itu yang tertakluk dalam skim bekalan air Tawau Fasa Ketiga.

“Saya minta kerjasama dari Sabah (kerajaan negeri) untuk kita teruskan dan selepas perbincangan dengan kontraktor dan juga Sabah dalam masa terdekat, kita akan buat pengumuman bahawa projek ini akan diteruskan di Tawau,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan kesemua RUU yang dibahaskan hari ini dengan suara majoriti.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia boleh muflis ekoran hutang menimbun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Negara berisiko untuk muflis seperti Greece dan Argentina jika gagal membayar hutang yang semakin menimbun termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bernilai RM42 bilion.

Calon Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, hutang itu perlu dibayar generasi hari ini dan generasi akan datang bagi mengelakkan negara muflis.

“Kalau bukan kita bayar sudah tentu anak dan cucu kita perlu bayar hutang ini dan jika tak bayar, suatu hari nanti negara kita juga boleh muflis seperti Greece dan Argentina.

“1MDB syarikat yang digunakan untuk pinjam duit dan kini hutang 1MDB sahaja sudah RM42 bilion walaupun kita tak nampak satu pun hasilnya,” katanya pada Program Bicara 10 Janji 100 Hari di Taman Saujana Utama di sini, malam tadi.

Katanya, skandal 1MDB pertama kali berjaya dihidu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menduduki kerusi Ketua Pemangkang di Dewan Rakyat, pada 2009.

Katanya, negara ini hanya boleh diselamatkan jika rakyat memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Categories
SELANGOR

Lagi kubu Umno ditembusi, kali ini Sungai Pelong

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Satu lagi kawasan yang disifatkan sebagai kubu kuat Umno berikutan kemenangan besar parti teras Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu berjaya ditembusi.

Calon kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, hal ini berikutan sambutan baik diterimanya ketika menyantuni golongan ibu bapa di luar Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong, hari ini.

“Semasa saya edarkan risalah tadi, sambutan yang diberikan jauh berbeza di mana ini menunjukkan mood pengundi khususnya pengundi Melayu ketika ini yang semakin menerima kita.

“Saya yakin kali ini kita boleh menang di kawasan dikuasai Melayu seperti Sungai Pelong yang dahulunya kita kalah,” katanya selepas menghadiri program mengedar risalah kepada para ibu bapa yang mengambil anak masing-masing di Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong di sini, hari ini.

Jelasnya, pengundi Melayu menguasai kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sungai Pelong.

Katanya, pada PRU12 dan PRU13 KEADILAN tewas di kesemua saluran mengundi di Sungai Pelong dengan memperolehi antara 40 hingga 45 peratus undi di kawasan itu berbanding Barisan Nasional (BN) kira-kira 55 hingga 60 peratus undi.

“Pagi tadi juga, saya mengadakan ‘walkabout’ di Bandar Baru Sungai Buloh. Kebanyakkannya penduduk ditemui adalah Melayu di mana sambutan mereka sangat baik dan saya sempat bercakap dan bersalaman dengan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman turut diberikan sambutan hangat masyarakat Kampung Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Hulu dan Taman Saujana Utama di mana sebelum ini dikuasai Umno.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor jadi kunci tarikh bubar Parlimen

OLEH NAZLI IBRHIM

SHAH ALAM, 10 MAC: Perdana Menteri dijangka menjadikan Selangor sebagai kunci untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen sebelum membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Parlimen Subang yang juga seorang pengamal undang-undang, R Sivarasa berkata, hal itu berikutan persempadanan semula yang cuba dilaksanakan di Selangor pada masa ini tidak dapat dijalankan apabila Kerajaan Negeri mencabar persempadanan semula oleh SPR di mahkamah.

“Kita tahu persempadanan semula SPR memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) tetapi proses ini tak dapat diteruskan pada masa ini kerana Kerajaan Negeri membawa perkara itu ke mahkamah. Oleh itu, perdana menteri terpaksa menunggu perbicaraan selesai untuk memastikan BN mempunyai kelebihan dalam PRU-14 nanti.

sivarasa“Bagaimanapun, itu hanya jika keputusan mahkamah memihak kepada SPR tetapi jika SPR kalah di mahkamah, Parlimen terpaksa dibubarkan tanpa adanya persempadanan semula.

“Jika perdana menteri ingin membubarkan Parlimen lebih awal pun boleh sebenarnya tetapi menggunakan daftar pemilih sedia ada tanpa membabitkan persempadanan semula dan ini tidak memberi banyak kelebihan kepada BN. Saya berpendapat beliau akan menunggu keputusan kes ini dahulu untuk bubar Parlimen,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, kes Kerajaan Negeri mencabar syor persempadanan semula oleh SPR di mahkamah dijangka memakan masa agak panjang ekoran tidak mustahil turut membabitkan peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Turut berkongsi pendapat sama, peguam yang juga anggota Lawyers for Liberty, Farida Mohammad.

“Saya berpendapat, Kerajaan Negeri lain juga akan mengambil langkah sama jika Kerajaan Selangor menang dalam kes ini dan ia akan menyulitkan lagi BN untuk adakan persempadanan semula,” katanya.

Katanya, walaupun isu persempadanan semula turut berlaku di semua negeri tetapi Kerajaan Selangor adalah negeri paling ke hadapan membawa isu itu ke Mahkamah Tinggi.

-NFN-

81 peniaga terima pembiayaan HIJRAH,kembangkan perniagaan

81 warga Subang menerima baucer pinjaman Program HIJRAH untuk dimanfaatkan dalam mengembangkan lagi perniagaan.

Categories
NASIONAL

Tindakan Azalina halang soal isu 1MDB dipertikai

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menghalang soalan berkenaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen dipertikaikan.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, berkata arahan untuk menghalang soalan terbabit sepatutnya dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat dan bukan menteri.

sivarasa pc izzah 01“Arahan itu sepatutnya tidak datang daripada seorang menteri.

“Dia tidak mengendali Dewan Rakyat, tetapi sekarang berkelakuan seperti Speaker,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Semalam, Azalina dalam satu kenyataan memberitahu soalan berkenaan derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh lagi dibangkitkan di Parlimen.

Beliau berkata, ia ekoran perbincangan itu bersifat subjudis susulan semakan kehakiman difailkan Majlis Peguam terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

-AA-

Categories
SELANGOR

Lembaga pengarah tak tahu tol SPRINT naik

SHAH ALAM, 15 OKT : Isu kenaikan tol di Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) tidak pernah dirujuk kepada lembaga pengarah untuk dibincang, kata Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Katanya, keputusan itu bukan perbincangan bersama walaupun beliau adalah anggota lembaga pengarah SPRINT, bahkan tahu berkenaan kenaikan kadar tol berdasarkan surat daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang diterima, kira-kira seminggu lalu.

sivarasa pc izzah 01“Surat itu menyebut Kerajaan Persekutuan tidak akan membayar pampasan kepada syarikat dan SPRINT boleh menaikkan kadar tol selaras dengan kadar yang tertera dalam surat itu.

“Kenaikan tol diumumkan syarikat dan tidak dirujuk terlebih dahulu kepada lembaga pengarah melalui pekeliling atau mesyuarat. Justeru, persoalan sokongan saya sebagai ahli lembaga pengarah untuk kenaikan tol tidak timbul langsung,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Sivarasa berkata masanya tidak sesuai untuk kerajaan menambah beban rakyat di sebalik ketidakstabilan ekonomi hari ini ditambah dengan kenaikan harga barangan yang berterusan di samping pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pada 1 April lalu.

“Pendirian saya adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Selangor yang dipimpin Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

plaza tol“Justeru, saya akan menulis surat kepada Pengerusi SPRINT, Ir Yusuff Daud untuk memanggil mesyuarat khas lembaga pengarah bagi membincangkan dan mengkaji semula perkara ini.

“Saya juga sudah melaporkan perkara ini kepada Mohamed Azmin dan akan melaksanakan arahan lanjut daripada beliau,” katanya.

Lebih 10 lebuh raya sekitar Lembah Klang mula beroperasi dengan kadar tol baru yang menyaksikan kenaikan sehingga RM1.10.

Selain SPRINT, ia membabitkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART).

Selain itu, Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya SungaiBesi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA).

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

219 Penduduk Kampung Sri Indah terima geran tanah

Paya Jaras terima geran 3

SUNGAI BULOH 12 OKTOBER : Penantian 219 keluarga dari Kampung Sri Indah, Paya Jaras di sini untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir hari ini apabila kesemua mereka menerima geran hak milik masing-masing.

Seorang penerima, Goh See Hai, 52, berkata, beliau terpaksa menunggu sekian lama biarpun segala dokumen telah diserahkan sejak Kerajaan Umno-BN dahulu namun sikap yang diamalkan kerajaan pemerintah ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh bertahun-tahun.

“Saya telah menetap di kampung ini lebih 20 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran ini, biarpun kerajaan dahulu berjanji untuk menyelesaikannya, tapi akhirnya ia diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Paya Jaras terima geran 1

Bagi Yap Kwai Loon, 52, beliau merasa gembira kerana isu berkenaan dapat diselesaikan kerana terpaksa menunggu selama lebih 23 tahun.

“Dulu wakil MCA ada berjanji untuk menyelesaikannya, tapi saya sudah menunggu terlalu lama, akhirnya dapat juga geran tanah sendiri, terima kasih kepada Adun dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu,” katanya yang berwajah ceria.

Kedua-dua mereka ditemui ketika satu majlis penyerahan kelulusan geran yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di Dewan JKKK Kampung Sri Indah A, Paya Jaras, di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, sebanyak lima kampung lagi di bawah DUN Paya Jaras masih menunggu geran tanah masing-masing dan berharap isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersungguh-sungguh mempercepatkan segala urusan berkenaan hak milik tanah ini.

“Di Dun Paya Jaras ini terdapat 15 buah kampung dan sebanyak lima buah kampung masih lagi menunggu dan saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu segala urusan berkenaan supaya semuanya mendapat hak milikan sendiri,” katanya.

Kesemua penduduk berkenaan bakal menerima geran tanah selepas meyelesaikan jumlah premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Lima penerbangan sehari bawa masuk Bangla ke Malaysia sejak Mac

bangla sivarasaPETALING JAYA, 30 OGOS – Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa hari ini mendedahkan pembabitan beberapa pihak dalam membawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia sejak Mac lalu.

Beliau mendakwa, Syarikat Union Tours & Travel Limited (UTT), ejen jualan lantikan MAS beroperasi di Bangladesh disyaki bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka Bangladesh dan Jabatan Imigresen Malaysia di KLIA.

Katanya, lima penerbangan terus dari Dhaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dibuat menggunakan dua pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan masing-masing satu dari Biman Bangladesh Airlines, Regent Airways dan United Airways.

“Pesawat itu membawa hampir 1,000 penumpang menggunakan dokumen visa pelancong palsu dengan bayaran 32,000 Taka (RM1,300).

“Jika dibuat terus kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bayarannya hanya 500 Taka (RM20) dan caj perkhidmatan dibenarkan sehingga 1000 Taka (RM40).

“Bayaran secara terus ini amalan rasuah untuk melicinkan proses daftar masuk di Dhaka. Majoriti mereka boleh disahkan sama ada pelancong tulen jika dibuat pemeriksaan berkesan oleh Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu jenayah pemerdagangan itu di ibu pejabat PKR, hari ini yang turut dihadiri bekas Pegawai Kanan MAS, Mohamad Tahir Fazal Mohd.

Sivarasa mendesak tindakan tegas bagi mengekang kemasukan secara haram ribuan rakyat asing itu, malah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut dilampir ialah beberapa nama dan nombor pasport lima warganegara Bangladesh yang diberi visa pelancong melalui UTT secara haram.

– FZL