Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Johor kini 74 orang

JOHOR BAHRU, 16 JAN: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat menurun sedikit kepada 74 orang setakat 4 petang ini berbanding 77 individu, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata hanya sebuah PPS iaitu Sekolah Agama Gemereh masih beroperasi di daerah itu melibatkan penduduk terjejas dari Kampung Kebangsaan Gemereh akibat banjir termenung.

“Situasi semakin pulih dengan dua PPS iaitu Balairaya Gemereh, Batu Badak dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang yang bertindak sebagai persediaan bagi perintah pengawasan dan pemerhatian telah ditutup masing-masing pada 9 pagi dan 1 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat menggunakan bot membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir di Kampung Chodan dan kawasan sekitar Segamat, Johor selepas penduduk terputus bekalan kerana laluan ditenggelami air pada 7 Januari 2022. Foto BERNAMA

Vidyananthan turut menasihati penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Bekok, Empangan Bekok di Batu Pahat agar berjaga-jaga memandangkan sungai tersebut kekal pada tahap waspada dengan bacaan 16.41 meter.

Beliau berkata cuaca di Johor Bahru mendung ketika ini, manakala sembilan daerah yang lain dilaporkan cerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keadaan banjir di Johor, Melaka bertambah baik

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Situasi banjir di Johor dan Melaka semakin baik apabila hanya 1,059 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,044 orang setakat 4 petang berbanding 1,227 orang pada sebelah pagi dengan 23 PPS masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir dengan Muar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 526 orang diikuti Segamat (411), Batu Pahat (81) dan Tangkak (26).

“Stesen Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar menunjukkan paras bahaya namun mengalami trend penurunan manakala stesen Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat merekodkan paras amaran namun turut mengalami trend penurunan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk di daerah terjejas banjir.

Vidyananthan juga berkata Jalan Felda Bukit Aping di Kota Tinggi telah ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.

Rumah milik Sudin Omar, 66, yang terletak di Kampung Liang Batu, Muar masih digenangi air separas betis walaupun di beberapa kawasan di kampung tersebut telah surut sepenuhnya ketika tinjauan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata 15 orang daripada lima keluarga masih ditempatkan di satu PPS di Jasin setakat 4 petang tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Melaka dan Kedah berkurang, Perlis pulih

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jumlah mangsa banjir di Melaka dan Kedah menunjukkan penurunan manakala keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu ditutup.

Keadaan di Johor pula tidak berubah setakat petang ini.

Di Melaka, jumlah mangsa terjejas banjir terus menurun daripada 24 mangsa daripada sembilan keluarga kepada 14 mangsa (empat keluarga) setakat 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa adalah dari daerah Alor Gajah dan ditempatkan di PPS Sekolah Rendah (SK) Durian Tunggal.

“Dua lagi PPS di daerah itu iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal ditutup pada 2 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di Kedah, tiga PPS ditutup sekali gus menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurangan kepada 736 orang daripada 200 keluarga setakat 4 petang ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Kedah Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata tiga PPS tersebut membabitkan dua di daerah Baling dan satu di Kubang Pasu.

“Kedua-dua PPS di Baling iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Siong dan SK Tunku Putera ditutup pada pukul 2 petang tadi, manakala PPS di Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun ditutup 12 tengah hari.

“Tiga PPS tersebut sebelum ini menempatkan seramai 24 mangsa daripada 11 keluarga, bagaimana pun terdapat beberapa PPS menyaksikan sedikit pertambahan jumlah mangsa setakat 4 petang tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, secara keseluruhan seramai 736 mangsa daripada 200 keluarga di empat daerah di negeri ini berada di 10 PPS dengan Pendang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 292 mangsa daripada 75 keluarga di dua PPS.

Daerah Kota Setar pula mencatatkan seramai 275 mangsa daripada 80 keluarga di empat PPS, diikuti Kubang Pasu dengan 120 mangsa daripada 30 keluarga di dua PPS dan Pokok Sena di mana seramai 49 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Di Perlis, banjir semakin pulih dan semua PPS di Arau yang menempatkan penduduk terjejas sejak semalam, telah ditutup petang ini.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Mohammad Hazam Ismail, semua penduduk telah pulang ke rumah masing-masing susulan banjir di kediaman mereka telah surut dan PPS diisytiharkan tutup sepenuhnya pada 2.30 petang tadi.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir kilat di daerah Pontian masih kekal seramai 18 orang daripada empat keluarga setakat 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata kesemua penduduk daripada Kampung Paya Embun itu ditempatkan di PPS SK Melayu Raya sejak 9 malam tadi.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setakat ini keadaan cuaca di kawasan berkenaan mendung, bagaimanapun, paras air dilihat hampir surut sepenuhnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 798

JOHOR BAHRU, 24 JUN: Jumlah mangsa banjir di empat daerah di negeri ini meningkat kepada 798 orang daripada 206 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 687 orang di pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata kesemua mereka ditempatkan di 16 PPS di Kulai, Pontian, Batu Pahat dan Muar.

“Seramai 292 orang daripada 82 keluarga masih berada di lima PPS di Muar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, SK Parit Bulat serta SK Seri Menanti.

“Di Batu Pahat pula, 205 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Vidyananthan berkata di Pontian, 282 orang daripada 75 keluarga berada di tujuh PPS iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Kampung Melayu Raya, SK Agama Kayu Ara, SK Belokok serta SK Penerok dan SK Sanglang.

Di Kulai pula, seramai 19 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Johor: 1,210 mangsa terjejas di lima daerah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Seramai 1,210 orang daripada 288 keluarga di lima daerah di negeri ini terjejas akibat banjir setakat 8 pagi ini berikutan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata lima daerah yang terjejas adalah Muar, Batu Pahat, Tangkak, Kluang dan Pontian.

Berikutan itu kesemua mangsa telah dipindahkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menurut beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Pontian mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 349 orang daripada 85 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang, SK Parit Hj Adnan, SK Kampung Sawah dan SK Seri Bunian.

Ia diikuti Batu Pahat seramai 343 orang daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS iaitu SK Agama Air Putih, Balai Raya Kampung Peserai dan Sekolah Agama Tiga Serangkai.

“Di Muar pula, seramai 276 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, SK Parit Nawi, SK Tanjung Tohor, SK Orang Kaya Ali dan SK Batu 18,” katanya.

Beliau berkata 207 mangsa daripada 59 keluarga di Kluang pula ditempatkan di empat PPS iaitu SK Simpang, SK Sri Kencana Simpang Renggam, SMK Dato Abdul Rahman Andak dan Sekolah Agama Komplek Penghulu.

“Seramai 35 keluarga daripada empat keluarga di Tangkak pula ditempatkan di SK Parit Bunga dan SK Tanjung Gading 5,” katanya.

-BERNAMA