Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS lancar projek rumah dua tingkat Rafflesia 2 di Bernam Jaya

SHAH ALAM, 10 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan 87 unit rumah teres dua tingkat, Rafflesia 2 yang akan dijual pada harga bermula RM457,000 seunit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata kediaman seluas 1,615 kaki persegi terletak di Bernam Jaya, Hulu Selangor sesuai buat mereka yang berkeluarga mahupun individu bekerjaya.

Menurutnya, beliau yakin projek itu mendapat sambutan menggalakkan kerana berada di lokasi strategik iaitu dihubungkan melalui dua jalan utama, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh dan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

“Bakal pembeli projek ini akan menikmati yuran guaman dan duti setem MOT secara percuma selain diskaun 10 peratus untuk pembelian projek PKNS pertama dan tambahan dua peratus lagi kepada pembeli sedia ada.

“Saya yakin Rafflesia 2 berupaya menonjolkan kemampuan PKNS dalam memberikan peluang kepada pembeli rumah pertama untuk memiliki kediaman menarik dan kualiti binaan yang baik,” katanya menerusi kenyataan.

Mahmud Abbas berkata sempena pelancaran Rafflesia 2, PKNS turut mengadakan cabutan bertuah bagi 24 pemenang dengan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM80,000 termasuk hadiah utama berupa wang tunai RM20,000.

“Selain itu, kita turut menawarkan Program Rujukan kepada 10 pembeli pertama iaitu mereka akan menerima insentif RM1,000 bagi setiap pelanggan yang dibawa mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Rafflesia 2 turut diapit dengan pembangunan projek PKNS iaitu Dillenia dan Kamelia Residensi serta sesuai bagi mereka yang mengimpikan kawasan perumahan tenang dikelilingi pemandangan alam hijau.

Untuk maklumat lanjut hubungi talian PKNS X Line 03-5022 0188 atau layari http://www.pkns-property.com dan Facebook PKNS Property.