Categories
KENYATAAN MEDIA

Keutamaan kini jana kekuatan rakyat tuntut reformasi

OLEH : RAFIZ RAMLI

Saya meneliti kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas penggantungan beliau dengan sedikit rasa sedih.

Sesiapa pun yang telah menghabiskan masa dewasanya menyumbang kepada parti yang dianggotai tidak wajar diperlakukan begitu, apatah lagi setelah beliau cuba membetulkan sesuatu yang beliau rasa adalah salah.

Sudah tentu pihak media bertanyakan reaksi saya kepada kenyataan beliau kerana saya pantas melahirkan kebimbangan apabila Dato’ Zaid Ibrahim menyeru rakyat Malaysia bersatu menyokong Tun Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Antara perkara pertama yang terlintas di fikiran saya setelah membaca kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu adalah Anwar Ibrahim.

rafizi-TI-01Saya terfikir tindakan bagaimana agaknya Anwar Ibrahim akan ambil dalam keadaan unik sekarang yang membuka ruang besar untuk melaksanakan reformasi (tetapi ruang itu juga penuh dengan risiko dan ketidaktentuan).

Saya fikir Anwar Ibrahim akan mengambil kesempatan ini untuk membawa semua pihak di dalam satu gerakan besar menuntut perubahan dan melaksanakan idea reformasi yang beliau perjuangkan selama ini.

Sebelum ini, beliau gigih berusaha mencari titik temu di antara pihak-pihak yang berbeza pandangan dan berlainan puak agar dapat membina kekuatan bersama memperjuangkan reformasi.

Banyak perubahan dan kesedaran politik yang ada dalam masyarakat kita hari ini dimungkinkan dek kerana jiwa besar Anwar Ibrahim dan kesabaran beliau membina gerakan besar yang memberi ruang kepada semua pihak itu.

Saya percaya Anwar Ibrahim akan berjiwa besar dan mengenepikan perbezaan lampau untuk mengalu-alukan sesiapa pun menyertai gerakan besar ini sementara beliau kekal pada prinsip menuntut reformasi dan perubahan sistem secara keseluruhan.

Kita di persimpangan yang unik di dalam sejarah masyarakat kita. Buat pertama kalinya, kita berada di kedudukan kritikal yang mana sebahagian rakyat kita (tidak kiralah apa latar belakang mereka) sudah faham (dan akur) bahawa kita tidak lagi boleh menangguhkan perubahan dan reformasi dalam negara ini.

Tan Sri Muhyiddin menekankan keperluan mengembalikan kebebasan dan integriti kepada institusi utama di negara ini selari dengan tuntutan yang kita laungkan selama ini.

Beliau telah menyatakan secara terbuka bahawa kuasa membuat lantikan ketua-ketua institusi utama yang kini dipusatkan di tangan Perdana Menteri mesti dirungkai.

Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti saya atau Pakatan Harapan. Saya tidak akan cuba bercakap bagi orang lain. Saya hanya boleh bercakap sebagai seorang aktivis reformasi yang telah bersama-sama dengan arus menuntut perubahan ini sejak 1998.

Saya hulurkan persahabatan kepada sesiapa yang bersetuju dengan agenda reformasi yang kami bawa. Keutamaan sekarang ialah menjana kekuatan rakyat untuk menuntut reformasi yang menyeluruh dalam sistem sekarang yang banyak menindas.

Saya alu-alukan Tan Sri Muhyiddin bersama-sama gerakan rakyat yang mahukan perubahan itu dan saya hulurkan persahabatan supaya semua pihak (tidak kira latar belakang) dapat menyumbang ke arah sebuah Malaysia baru yang adil dan saksama, yang meletakkan keadilan undang-undang mengatasi kepentingan peribadi.

Saya berharap lebih ramai rakyat biasa (tidak kira apa latar belakang) memilih untuk berbuat sesuatu supaya kita boleh menukar Dato’ Seri Najib Tun Razak dan melantik seorang Perdana Menteri baru yang bertanggungjawab kepada rakyat di bawah satu sistem baru.

* RAFIZI RAMLI ADALAH AHLI PARLIMEN PANDAN

Categories
NASIONAL

Rafizi kekal pendirian TH bakal rugi RM1.4 bilion

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 FEB: Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli mengulangi pendiriannya bahawa Tabung Haji bakal berdepan risiko kerugian sehingga RM1.4 bilion membabitkan pelaburan syarikat bersekutunya, Tabung Haji Heavy Engineering (THHE).

Beliau berkata, surat bertarikh 8 Disember tahun lalu yang diluluskan Kementerian Kewangan membolehkan Tabung Haji membuat jaminan korporat berjumlah USD228.2 kepada THHE adalah bukti bahawa Tabung Haji kini berisiko menangung kerugian itu.

rafizi 01“Maka, risiko kewangan yang ditanggung Tabung Haji sehingga RM1.4 bilion berkenaan pelaburannya di dalam THHE seperti yang saya timbulkan sebelum ini adalah benar.

“Saya kecewa ekoran sikap pengurusan tertinggi Tabung Haji masih lagi mahu menyembunyikan perkara sebenar daripada berterus terang sedangkan banyak dokumen sudah pun bocor kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian mengulas penafian Tabung Haji berkenaan risiko kerugian terbabit dengan menegaskan kononnya THEE bergiat aktif dalam industri minyak dan gas memahami sepenuhnya pelbagai cabaran dihadapi industri itu.

Rafizi berkata, institusi itu seharusnya mematuhi Akta Tabung Haji yang tidak membenarkan mana-mana urusan jaminan korporat kepada bukan anak syarikatnya.

Namun, proses jaminan korporat itu diterukan yang mana THEE kini berdepan tindakan undang-undang daripada kontraktornya ekoran kegagalan membayar hutang.

Jumlah hutang tertunggak yang mungkin perlu dibayar THHE dianggarkan mencecah RM109.7 juta.

-AA-

Categories
NASIONAL

KEADILAN tampil bukti belanja kempen PRU13 BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 24 FEB: KEADILAN hari ini mendedahkan bukti berkenaan dakwaan RM2 juta dana awam digunakan Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, berkata bukti itu terdiri daripada empat baucar bayaran dan satu ringkasan bayaran menunjukkan perincian perbelanjaan kempen BN bagi masyarakat India.

“Ringkasan bayaran berjumlah RM954,678.10 menunjukkan segala perbelanjaan bagi kempen BN untuk masyarakat India di beberapa negeri tertentu.

rafizi-TI-01“Manakala boucar bayaran bernombor 7(14) bertarikh 4 Ogos 2014 sebanyak RM185,000 kepada Datuk K.K Eswaran sebagai bayaran balik kepada perbelanjaan kempen PRU-13 yang didahulukan beliau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini.

Rafizi berkata, dokumen ketiga adalah baucar bayaran bertarikh 8 Mei 2013 kepada Narish Enterprise sebanyak RM50,000 sebagai bayaran kepada jentera pilihan raya BN Pahang.

Katanya, ia turut ditandatangani Setiuasaha Kehormat Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk M. Davendran.

“Dokumen keempat membabitkan bayaran RM500,000 bagi menyediakan CD program Sahabat BN kepada Teraju Muda Sdn Bhd (syarikat didaftarkan di Johor Bahru) pada 3 Mei 2013.

“Selain ringkasan bayaran dan boucar, penyata bank MAICCI menunjukkan bayaran RM185,000 kepada Eswaran pada 7 Ogos 2014, manakala RM500,000 lagi dibayar kepada Impak Dermaga Sdn Bhd untuk bayaran kempen kemeja-T kempen pilihan raya BN.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dibuat MAICCI bagi perbelanjaan PRU-13 adalah RM2,109,678.10 sekali gus mengesahkan kesemua RM2 juta yang dipindahkan Kementerian Kewangan sebagai ‘geran kepada MAICCI digunakan bagi perbelanjaan diperincikan itu,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Pecat Azeez, pulihkan imej TH dari campur tangan politik – Rafizi

Oleh : Ermizi Muhamad

SHAH ALAM, 16 FEB : Kepercayaan rakyat terhadap tabung haji hanya boleh dipulihkan sekiranya badan itu menyingkirkan Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Rahim, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, badan itu perlulah bebas daripada campur tangan politik agar kerugian melibatkan pelaburannya di dalam saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) tidak berulang.

tabung-haji“Langkah awal memberi jaminan kepada rakyat Tabung Haji dibebaskan dari campur tangan politik ialah dengan menukar Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang lebih layak dan lebih ahlinya di dalam hal ehwal pelaburan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini, Tabung Haji terpaksa menanggung kerugian atas kertas sebanyak RM933 juta di dalam saham FGV yang masih mengekalkan sahamnya walaupun pendapatannya mencatatkan penurunan.

Perkara tersebut kata Rafizi, mengesahkan wujudnya campur tangan politik lebih-lebih lagi Pengerusi Tabung Haji juga seorang pemimpin politik.

“Penglibatan ahli politik yang bukan ahli di dalam kepimpinan Tabung Haji iaitu Datuk Seri Azeez Rahim yang melanggar prinsip tata kelola sewajarnya dipamerkan Tabung Haji,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu.

Bahkan, pengasas FGV, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mustahil terlibat dalam campur tangan tersebut.

Sebelum ini,Tabung Haji dilaporkan mencatatkan kedudukan negatif pada 2015 bagi tahun kedua berturut-turut.

Perkara tersebut selaras dengan peringatan Bank Negara Malaysia apabila defisit rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan tahun lalu diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.195 bilion.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

TH tanggung rugi terkumpul RM933 juta disebabkan FGV

OLEH : RAFIZI RAMLI

Saya meneliti kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di blog beliau bertarikh 12 Februari 2016 mengenai isu-isu yang dibangkitkan berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji.

Sementara saya memuji langkah beliau menjawab sendiri isu-isu yang saya timbulkan dan tidak diserahkan bulat-bulat kepada aktivis maya (“cybertroopers”) Umno di bawah seliaan Dato’ Ahmad Maslan, kenyataan Perdana Menteri itu langsung tidak menjawab perkara-perkara pokok yang diajukan.

Ada beberapa perkara pokok yang telah saya ajukan seperti berikut:

1. Kedudukan rizab Tabung Haji yang terus kekal negatif bagi tahun kewangan 2015 iaitu dua tahun berturut-turut.

2. Teguran-teguran oleh Bank Negara Malaysia dalam surat gabenornya bertarikh 23 Disember 2015 yang menjadi semakin dizahirkan apabila kedudukan rizab Tabung Haji terus menjadi negatif pada nilai yang lebih besar bagi tahun kewangan 2015.

tabung-haji3. Penglibatan ahli politik yang bukan ahli di dalam kepimpinan Tabung Haji iaitu Datuk Seri Azeez Rahim yang melanggar prinsip tata kelola yang sewajarnya dipamerkan Tabung Haji.

Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak menjawab langsung ketiga-tiga isu pokok yang saya ajukan ini.

Sebaliknya beliau merendahkan martabat diri beliau sendiri apabila mengemukakan hujah yang tidak berbeza dari hujah-hujah aktivis maya Umno; iaitu kononnya isu-isu yang ditimbulkan adalah satu serangan bermotifkan politik.

Malah, beliau cuba pula mengheret Kerajaan Arab Saudi bila mana beliau tidak mampu menyangkal unjuran-unjuran kewangan yang saya telah kemukakan kepada rakyat.

Asas kritikan-kritikan saya ialah campur tangan politik di dalam pengurusan Tabung Haji sehingga keputusan pelaburan Tabung Haji dilihat bermatlamatkan politik dan bukannya pulangan terbaik kepada pendeposit.

Contoh yang paling baik ialah penglibatan Tabung Haji sebagai pemegang saham ketiga terbesar (pegangan 7.78% setakat 31 Disember 2015) di dalam Felda Global Venture Berhad (FGV) selepas Felda dan Koperasi Permodalan Felda.

FGV adalah ilham Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri yang telah digunakan sebagai salah satu bahan kempen dalam PRU13 yang lalu untuk memenangi undi peneroka Felda, sedangkan majoriti penganalisa pasaran berpendapat tindakan menyenaraikan FGV bukanlah satu tindakan yang bijak.

Kesilapan Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menyenaraikan FGV itu kini terbukti apabila prestasi saham FGV terus merudum seperti berikut:

Oleh kerana FGV ini satu inisiatif penting pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, institusi pelaburan milik kerajaan yang dimodalkan dengan wang rakyat terpaksa turut serta.

Tabung Haji muncul sebagai pemegang saham bukan Felda yang terbesar pada pegangan 7.78%.

Saya telah menyemak setiap urusniaga jual beli saham FGV oleh Tabung Haji atau pengurus dananya Maybank Asset Management Sdn Bhd (yang memegang saham FGV bagi pihak Tabung Haji pada jumlah yang sangat kecil).

Saya juga telah mengira jumlah yang dibayar untuk membeli saham, jumlah yang diterima apabila saham dijual dan kerugian terkumpul seperti yang diperincikan di dalam lampiran.
Kesimpulan dari analisa pergerakan saham FGV dan untung/(rugi) yang dialami oleh Tabung Haji adalah seperti berikut:

1. Kerugian terkumpul yang ditanggung oleh Tabung Haji ialah RM933 juta

2. Sepanjang Tabung Haji terlibat di dalam FGV, keuntungan hasil dari penjualan saham FGV hanyalah RM7.6 juta iaitu terlalu sedikit berbanding jumlah terkumpul yang dibayar oleh Tabung Haji untuk membeli saham-saham FGV iaitu RM1.3 bilion

3. Kali terakhir Tabung Haji menjual saham FGV ialah pada 12 Julai 2012 iaitu pada awal penyenaraian sebanyak 750,000 saham.

Semua penjualan saham FGV yang direkodkan selepas itu dibuat oleh pengurus dana Tabung Haji sama ada Maybank, AmInvest atau CIMB yang melibatkan jumlah saham yang sangat kecil dan tidak menjejaskan pegangan keseluruhan Tabung Haji di dalam FGV.

Ini bermakna walaupun harga saham FGV mula menunjukkan penurunan mendadak, Tabung Haji tidak mengambil apa-apa langkah melindungi dana pendeposit sebanyak RM1.3 bilion yang telah dilaburkan di dalam FGV.

Ini berbeza dengan institusi pelaburan kerajaan yang lain seperti KWSP dan KWAP yang dilihat cuba untuk mengurangkan kerugian mereka dan mengambil langkah mengurangkan pegangan di antara 2012 hingga 2015.

Tindakan Tabung Haji yang langsung tidak mengambil apa-apa tindakan melindungi dana pendeposit dalam keadaan sudah jelas pelaburan di dalam FGV merugikan bukanlah satu sifat profesional yang biasa ditunjukkan oleh sebuah institusi pelaburan bertaraf antarabangsa seperti Tabung Haji.

Tindakan terus memegang saham FGV sehingga menyebabkan kerugian terkumpul RM933 juta sudah tentu berkait rapat dengan kedudukan FGV sebagai inisiatif utama pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak walaupun dalam keadaan biasa, sebuah institusi pelaburan tidak akan berkelakuan seperti Tabung Haji.

Sebab itu rakyat ada hak untuk mendesak supaya semua campur tangan politik di dalam Tabung Haji perlu dihentikan segera untuk mengelakkan berulangnya kerugian besar seperti pelaburan di dalam FGV yang dilihat bersifat politik.

Langkah awal untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa Tabung Haji akan dibebaskan dari campur tangan politik ialah dengan menukar Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang yang lebih layak dan lebih ahlinya di dalam hal ehwal pelaburan Islam.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan

Categories
NASIONAL

Rafizi: Keupayaan MARA biaya pinjaman pelajar dipersoal

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 FEB: Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli,hari ini meminta penjelasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berhubung kemampuan agensi itu membiayai pinjaman pelajar.

Katanya, sikap MARA yang tidak berterus terang berhubung pinjaman pelajaran menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan sebenar kesediaan dan kemampuannya membiayai pendidikan Bumiputera.

rafizi-pc-white-stripes-03“Saya sering dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar yang memohon atau ditawarkan skim pembiayaan pendidikan MARA mengenai masalah yang mereka hadapi.

“Daripada aduan-aduan ini menunjukkan MARA menghadapi masalah melaksanakan tanggungjawabnya membiayai pendidikan pelajar Bumiputera walaupun Anuar memberikan gambaran sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Annuar menyatakan peruntukan yang diberikan Putrajaya kepada MARA bagi tujuan pembiayaan pendidikan setiap tahun iaitu dari 2009 hingga 2016.

“Saya akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit MARA termasuklah isu pembiayaan ini selain maklumat lanjut skandal pembelian hartanah Mara di Australia dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya

Rafizi berkata, antara aduan tertinggi yang diterimanya ialah masalah pelajar di Universiti Kuala Lumpur yang mendakwa mereka gagal menerima pembiayaan pinjaman MARA.

mara logo“Mereka pada asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan dengan persetujuan yuran kursus dan elaun sara hidup disediakan melalui pinjaman MARA.

“Setelah mereka memulakan pengajian, mereka belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan, namun apabila menghubungi MARA, mereka dimaklumkan permohonan belum dibuka,” katanya.

Rafizi berkata, semakan di laman web MARA menunjukkan tidak ada satu skim pembiayaan pendidikan pun dibuka setakat ini dengan sistem Pinjaman Pelajaran Mara di eduloan.mara.gov.my masih ditutup.

“Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA,” katanya.

Mereka yang menghadapi masalah itu disaran mengisi maklumat di bit.ly/AduanMara.

-nR-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Buka kembali siasatan terhadap PM, kempen petisyen dilancar

OLEH : RAFIZI RAMLI

Beberapa perkembangan terkini sejak minggu lalu memberi gambaran bahawa keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali menutup siasatan kes melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan wang yang dipindahkan ke akaun beliau adalah tergopoh-gapah.

Saya merujuk kepada satu laporan di dalam New York Times semalam yang memetik Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa dana yang disebut-sebut itu bukan satu derma malah satu pelaburan oleh individu warganegara Arab Saudi.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu memberi dimensi baru kerana perkara-perkara berikut:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan. Beliau tidak mempunyai apa-apa perniagaan.

Najib 1mSeorang warganegara Arab Saudi tidak akan memberikan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada beliau untuk dilaburkan kerana pelaburan bukanlah kepakaran beliau.

Pelaburan sejumlah itu tidak mungkin diserahkan kepada seorang individu, apatah lagi yang bukan pakar pelaburan seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak.

2. Jika dana RM2.6 bilion itu adalah bagi tujuan pelaburan, ia mesti melibatkan syarikat dan aset-aset tertentu. Warganegara Arab Saudi yang memberikan dana sebesar itu bagi tujuan pelaburan sudah tentu mahukan balasan tertentu sebagai pulangan kepada pelaburannya.

Ini memungkinkan wujudnya pertelingkahan kepentingan (“conflict of interest”) memandangkan kuasa Dato’ Seri Najib Tun Razak yang besar sebagai seorang Perdana Menteri.

3. Keterlibatan seorang warga Arab Saudi di dalam pelaburan di Malaysia yang bersabit dengan Perdana Menteri membawa kembali dakwaan bahawa dana RM2.6 bilion itu ada kena mengena dengan 1MDB kerana 1MDB sendiri sebelum ini mewar-warkan bahawa pelaburannya melibatkan individu tertentu dari Arab Saudi, sementara Dato’ Seri Najib Tun Razak pula adalah Penasihat 1MDB.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu juga menyangkal kenyataan Peguam Negara kononnya dana itu adalah satu derma.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Peguam Negara membuka semula dengan serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil kira perkembangan terbaru ini.

Saya juga mengingatkan Peguam Negara supaya menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (Mutual Legal Assistance) dengan negara-negara yang sedang menyiasat 1MDB dan/atau Dato’ Seri Najib Tun Razak termasuklah Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Untuk mengembalikan momentum rakyat dalam kes ini, saya juga telah mengambil inisiatif melancarkan kempen maya untuk mengumpul sokongan rakyat mendesak supaya kertas-kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya bercadang mengumpul sejuta tandatangan rakyat melalui laman Facebook dan sejuta rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang akan diangkat kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula.

Saya menyeru supaya seberapa ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan berikut:

1. “Like” laman “1 Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak” di capaian https://www.facebook.com/1Juta-Desak-Buka-Kembali-Siasatan-Terhadap-Najib-Razak-1086535944702074/?fref=ts

2. Tandatangan petisyen maya kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula di capaian http://goo.gl/forms/pnd3XvubsQ

Setelah mendapat jumlah tandatangan yang memadai, saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan akan menulis untuk merafak sembah mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai perkara ini.

Saya yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini ditutup apabila Peguam Negara menutup kes. Dengan desakan rakyat, saya yakin Dato’ Ser Najib Tun Razak boleh dihadapkan ke mahkamah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Categories
NASIONAL

Isu TH : KEADILAN gesa Abdul Azeez beri taklimat terbuka

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: KEADILAN menggesa Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengadakan taklimat terbuka kepada pendeposit Tabung Haji jika keadaan kewangannya kukuh.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, berkata sehingga kini beliau masih menunggu jawapan daripada Azeez dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail berkenaan dakwaan rizab lembaga itu sebenarnya negatif sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

“Ini bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat jika dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen atau bonus.

rafizi-TI-01“Saya berharap kepimpinan Tabung Haji berhenti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang terma kewangan yang cuba menyembunyikan perkara sebenar,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut memberi amaran kepada Lembaga Tabung Haji (LTH) supaya tidak berselindung daripada fakta sebenar berkenaan krisis melanda mereka.

“Mengambil kira prestasi Bursa Kuala Lumpur yang tidak memberangsangkan dalam 2015, sudah tentu kedudukan rizab negatif ini adalah lebih buruk bagi 2015.

“Kenyataan saya (sebelum ini) itu tidak disanggah malah keseluruhan kepimpinan kerajaan dan Tabung Haji mengelak dari menjawabnya,” katanya.

Rafizi turut menyertakan laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset (bersendirian) adalah RM54.751 bilion, sementara aset kumpulan Tabung Haji (digabungkan dengan anak-anak syarikat) adalah RM107.038 bilion.

“Alasan inilah digunakan kononnya anak syarikat Tabung Haji mempunyai aset besar sebanyak RM52.287 bilion yang mampu menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

“80 peratus daripada aset anak syarikat yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji (iaitu RM41.683 bilion daripada RM52.287 bilion) adalah terdiri daripada ‘Securities available-for-sale’ dan ‘Financing’ iaitu 2 kategori aset terbesar Bank Islam.

“Ini bermakna 80 peratus daripada aset anak syarikat yang kukuh sebagaimana diuar-uarkan mampu membantu rizab Tabung Haji yang negatif itu datangnya daripada Bank Islam,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Rafizi desak 1MDB jelaskan penggunaan dana sukuk

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JAN: 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dicabar mendedahkan perincian perbelanjaan dana sukuk selepas syarikat itu gagal menjawab soalan utama sebelum ini.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata 1MDB gagal menjelaskan apa yang berlaku terhadap baki RM1.6 bilion daripada keseluruhan RM2.4 bilion sukuk diterbitkan menerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd pada 2014.

yb rafizi parlimen“Saya mencabar 1MDB untuk mendedahkan perincian perbelanjaan yang menggunakan dana sukuk itu terutamanya perbelanjaan terperinci 1MDB RE bagi menjelaskan ke mana keseluruhan dana sukuk dibelanjakan.

“Jika dana sukuk itu digunakan untuk membiayai pemindahan dan naik taraf pangkalan udara seperti sepatutnya, 1MDB tidak perlu membawa masuk pelabur asing dari China untuk menanggung hutang itu sehingga mendedahkan negara kepada risiko pertahanan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi berkata, 1MDB memberikan satu kenyataan umum bertujuan mengelirukan orang ramai dengan menyatakan semua dana terbitan sukuk dibelanjakan seperti ditetapkan perjanjian.

Katanya, 1MDB sepatutnya mempunyai baki RM1.48 bilion selepas mengambil kira syarat rizab simpanan minima sukuk sebanyak RM72 juta dan belanja serta yuran menerbitkan bon sebanyak RM48 juta.

“1MDB perlu menjawab bagi tujuan apakah sebanyak RM1,48 bilion digunakan anak syarikatnya, iaitu 1MDB RE, daripada dana sukuk ini sedangkan ia tidak mempunyai aktiviti perniagaan selain pemaju hartanah di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.

Rafizi“Malah, dari 2014 hingga sekarang kedua projek pembangunan hartanah ini belum bermula dan peranan 1MDB RE setakat ini seumpama broker hartanah yang menjual tanah di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi.

“Mustahil sebuah syarikat yang fungsi utamanya menjual tanah memerlukan RM1.48 bilion untuk membiayai operasinya,” katanya.

Semalam, 1MDB menafikan dakwaan Rafizi mengatakan dana itu tidak diambil kira dan bertegas sukuk RM2.4 bilion sudah digunakan mengikut perjanjian.

1MDB berkata sukuk itu digunakan sebahagiannya untuk membiayai kos pemindahan pangkalan tentera udara di Sungai Besi, pra dana yuran dan perbelanjaan program sukuk itu, mendanai syarat pembiayaan akaun rizab dan dana syarat modal bekerja 1MDB Real Estate Sdn Bhd (kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd).

-AA-

Categories
NASIONAL

Malaysia terus diancam penurunan rating, dasar ekonomi Najib sia-sia

SHAH ALAM 11 JAN : Pendekatan ekonomi konvensional Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat sia-sia apabila agensi penarafan kewangan dunia Moody’s Investors Service menurunkan prospek ekonomi negara daripada ‘positif’ kepada ‘stabil’.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata walaupun Najib tunduk kepada tekanan agensi antarabangsa untuk melaksanakan dasar ekonomi anti-rakyat seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penghapusan subsidi, namun ia gagal menghalang Moody’s dari menurunkan prospek unjuran ekonomi negara.

rafizi ekonomiKatanya, pendekatan ekonomi diambil Najib tidak berjaya dan tidak berkesan selagi ia tidak menangani barah utama ekonomi negara iaitu rasuah, tatakelola yang lemah dan tiadanya amanah.

“GST dilaksanakan selama lebih sembilan bulan dan lebih RM30 bilion dikutip dari rakyat.

“Hampir keseluruhan dari subsidi yang sebelum ini dinikmati rakyat dihapuskan semuanya termasuk subsidi petrol dan diesel,” katanya dalam kenyataan media.

“Beliau juga memotong peruntukan penting untuk pendidikan dan biasiswa di dalam belanjawan 2016 yang dibentangkan Oktober 2015 lalu.

“Malangnya, semua dasar anti rakyat ini yang menyebabkan beban sara hidup rakyat naik berganda.

“Mahasiswa terpaksa mengikat perut, rakyat melakukan lebih dari satu kerja untuk menampung kenaikan harga dan lain-lain kepayahan – tidak pun berjaya menghalang Moody’s dari menurunkan prospek ekonomi Malaysia dari positif kepada stabil,” katanya.

Moody’s hari ini mengesahkan penarafan bon tidak bercagar senior dan penerbit Kerajaan Malaysia pada A3 dan menukar prospek kepada stabil daripada positif.

Dalam satu kenyataan, Moody’s berkata ia juga mengesahkan penarafan tidak bercagar senior A3 kepada sijil amanah dolar AS yang diterbitkan oleh Malaysia Sovereign Sukuk Bhd, perantara tujuan khas ditubuhkan Kerajaan Malaysia.

Perkhidmatan Pelabur Moody hari ini menyemak semula unjuran negara Malaysia daripada ‘positif’ kepada ‘stabil’ dan mengesahkan penerbit Kerajaan Malaysia dan penarafan bon tidak bercagar kanan di A3.

Moody’s berkata sijil amanah ini dianggap obligasi langsung kerajaan Malaysia dan penarafan ini secara automatik mencerminkan perubahan kepada penarafan negara Malaysia.

Mengenai langkah penarafan, Moody’s mengesahkan penarafan instrumen bagi hutang tidak bercagar senior yang diterbitkan Khazanah Nasional Bhd pada A3.

EZY

Categories
NASIONAL

2016 membuka tirainya dengan RON95 turun 10 sen

SHAH ALAM, 31 DIS: Tahun 2016 membuka tirainya dengan penurunan harga petrol RON95 sebanyak 10 sen menjadikan harga barunya RM1.85 seliter.

Manakala RON97 pula turun 20 sen menjadi RM2.25 dan diesel pula turun 30 sen kepada RM1.60 daripada RM1.90.

Pengurangan itu berikutan harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus menjunam.

rafizi pc white stripes 01Semalam, Naib Presiden PKR (KEADILAN), Rafizi Ramli dalam kenyataan meramalkan bahawa harga petrol dan diesel dijangka jatuh sebanyak 10 hingga 15 sen seliter pada Januari 2016.

Justeru, KEADILAN mengesa Putrajaya menghentikan kenaikan tambang pengangkutan awam dan kadar elektrik ekoran penurunan harga petroleum ketika ini.

“Hentikan semua kenaikan tambang yang diumumkan setakat ini yang melibatkan pengangkutan awam untuk mengambil kira kos bahan api yang semakin murah dan mengurangkan kos operasi pengendali pengangkutan awam.

“Mengekalkan rebat elektrik pada kadar 2.25 sen/kWj dan membatalkan pengurangan rebat kepada 1.52 sen/kWj yang diumumkan baru-baru ini untuk memastikan kos elektrik ditanggung rakyat berkadar dengan kejatuhan kos bahan api,” katanya.

Gesaan Ahli Parlimen Pandan itu bersandarkan kepada laporan Institut Petroleum Australia ‘Weekly Petrol Prices Report‘ yang menyenaraikan harga RON95 seperti didagangkan di Singapura mengikut laporan Means of Platts Singapore (MOPS) bagi minggu berakhir 20 Disember 2015.

-nR-

Categories
NASIONAL

Harga petroleum turun, Putrajaya patut henti naik tambang dan elektrik

SHAH ALAM, 30 DIS : Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mengesa Putrajaya menghentikan kenaikan tambang pengangkutan awam dan kadar elektrik ekoran penurunan harga petroleum ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, berkata tiada alasan untuk kerajaan bersikap lebih prihatin terhadap rakyat kerana anggaran harga petrol RON95 dijangga berada pada RM1.80 hingga RM1,85 seliter.

rafizi pc white stripes 01“Hentikan semua kenaikan tambang yang diumumkan setakat ini yang melibatkan pengangkutan awam seperti LRT, komuter, ERL dan bas untuk mengambil kira kos bahan api yang semakin murah dan mengurangkan kos operasi pengendali pengangkutan awam.

“Mengekalkan rebat elektrik pada kadar 2.25 sen/kWj dan membatalkan pengurangan rebat kepada 1.52 sen/kWj yang diumumkan baru-baru ini untuk memastikan kos elektrik ditanggung rakyat berkadar dengan kejatuhan kos bahan api,” katanya dalam kenyataan.

Gesaan Ahli Parlimen Pandan itu bersandarkan kepada laporan Institut Petroleum Australia ‘Weekly Petrol Prices Report‘ yang menyenaraikan harga RON95 seperti didagangkan di Singapura mengikut laporan Means of Platts Singapore (MOPS) bagi minggu berakhir 20 Disember 2015.

HARGA MINYAKIa juga dianggarkan berdasarkan laporan harga minyak mentah Brent bagi Disember 2015, yang diterjemahkan secara anggaran kepada harga MOPS RON95 bagi minggu terakhir Disember 2015 menggunakan kadar tukaran matawang semasa.

Berdasarkan pemerhatian, Rafizi berkata harga petroleum ditetapkan Putrajaya juga tidak selaras dengan penurunan harga minyak pasaran dunia yang menyusut sebanyak 66 peratus sejak Julai 2014.

“Saya mencadangkan sebelum ini supaya satu kaedah penetapan harga baru diperkenalkan dengan menggunakan maklumat kos pengeluaran sebenar loji penapisan minyak di Malaysia yang dikira di dalam ringgit bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan kadar matawang ringgit kepada dollar.

“Namun, saya yakin konsep ini tidak akan difahami menteri dan tidak akan dilaksanakan selagi Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi membincangkan kenaikan kos sara hidup.

-nR-