Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Had pengunjung bazar Ramadan jika kes Covid-19 naik, galak beli dalam talian

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan menambah baik tatacara operasi piawai (SOP) bazar Ramadan tahun ini jika kes Cavid-19 terus meningkat.

Yang Dipertua Rahilah Rahmat meskipun SOP bazar Ramadan belum dimuktamadkan, namun beberapa aspek perlu diteliti bagi mengekang penularan wabak.

“Cadangan itu meliputi pembayaran secara elektronik, galak beli juadah dalam talian selain mengehadkan jumlah kemasukan pengunjung ke tapak bazar Ramadan.

“Perkara ini sedang diteliti. Peniaga dan pengunjung akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial MPKS,” katanya kepada Selangorkini.

Bagaimanapun, Rahilah mengingatkan orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memastikan kelancaran operasi bazar Ramadan sekali gus melindungi ekonomi peniaga kecil di daerah berkenaan.

Tahun ini, sebanyak 505 petak bazar Ramadan disediakan PBT terbabit di sembilan lokasi.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS lanjut permohonan baharu lesen niaga hingga 31 Januari

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melanjutkan tempoh pembaharuan lesen perniagaan 2022 sehingga 31 Januari ini.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata permohonan boleh dibuat melalui sistem perkhidmatan pembayaran pintar Kuala Selangor di pautan ip3ks.mpks.gov.my.

“Tempoh bayaran yang sepatutnya berakhir 31 Disember lalu dilanjutkan berikutan kekangan dihadapi masyarakat akibat banjir bulan lalu.

“Memahami kekangan pergerakan yang dihadapi masyarakat kesan daripada bencana banjir Disember lalu, MPKS dengan ini memaklumkan bahawa tarikh akhir pembaharuan lesen perniagaan dilanjutkan sehingga tarikh berikut,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan itu menetapkan tarikh akhir pembaharuan permit perniagaan sebelum 31 Disember 2021 bagi mengelak didenda.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan terima sumbangan korporat beli sampan

SHAH ALAM, 13 NOV: Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima sumbangan RM45,000 daripada LBS Foundation (LBSF) bagi pembelian sampan.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan sebanyak 10 sampan akan dibeli dan diserahkan kepada pendayung di santuari kendaliannya itu bagi tujuan pelancongan.

“Sumbangan ini dapat melengkapkan wajah dan imej baharu santuari tersebut yang selesai dinaiktaraf sekali gus menjadi pilihan utama kepada pelancong untuk menikmati panorama cahaya indah kelip-kelip.

“Ia dapat meringankan beban kumpulan pendayung yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Dengan pengoperasian semula bermula Oktober lalu ia menjana semula pendapatan pendayung dan ekonomi penduduk setempat,” katanya menerusi Facebook.

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Besar LBSF, Amal Abdul Aziz kepada Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat.

Katanya, sokongan dari sektor korporat seperti LBSF sebagai rakan strategik MPKS dapat membantu dalam pembangunan yang turut meliputi kebajikan, pendidikan dan kemudahan lebih baik di santuari berkenaan.

Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang ditutup sejak Julai tahun lalu beroperasi semula pada 9 Oktober.

Rahilah berkata pembukaan semula itu susulan kerja menaik taraf telah siap dilaksanakan pada 19 September lalu.

“Kita telah peruntuk RM1.75 juta untuk kerja pengubahsuaian dan diharap penambahbaikan ini akan menghadirkan ramai lagi pengunjung ke Santuasi Kampung Kelip-Kelip Kampung Kuantan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

SPRM lawat MDKS, tinjau tapak cawangan baharu

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menerima kunjungan hormat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu lalu.

Kunjungan diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi bertujuan meninjau premis sewaan cawangan suruhanjaya itu dengan diiringi Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat.

“Delegasi SPRM turut dibawa melawat ibu pejabat majlis untuk sesi perkongsian mengenai latar belakang pihak berkuasa tempatan ini.

“Warga MDKS merakamkan ucapan terima kasih kepada suruhanjaya itu kerana memilih daerah Kuala Selangor sebagai lokasi baharu pejabat untuk mencegah rasuah,” katanya menerusi Facebook semalam.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS lantik 18 ahli majlis, komited jaya program rakyat

SHAH ALAM, 9 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berharap 18 ahli majlis yang dilantik dapat menjadi penghubung dan pemudah cara antara pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan masyarakat.

Yang dipertuanya berkata pelantikan itu juga diharap dapat mengangkat martabat MDKS bertunjangkan komitmen yang berintegriti, dinamik dan prihatin.

“Untuk sesi baharu ini, kita telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua ahli majlis bagi memastikan tugas dan peranan mereka dilaksana dengan baik dan sempurna.

“Antara yang dinilai adalah kehadiran ke mesyuarat dan program jabatan, penganjuran program kemasyarakatan serta pengurusan aduan awam,” kata Rahilah Rahmat menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam, MDKS mengadakan Majlis Angkat Sumpah Menerima Jawatan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor Sesi 2021-2022 di Bilik Mesyuarat Malawati, ibu pejabatnya.

Berikut senarai Ahli Majlis MDKS 2021-2022:

Dato’ Mohamad Yaacob Dato’ Ismail
Lim Piang Nam
Anwar Karison
T Rajasegaran
V Lanuga
Zailani Kadir
Atiqah Syairah Shaharuddin
Lim Yau Mien
Yeow Yeong Feng
Hoi Yun Hong
V Alagenthran
Nagmuddin Hussai
Khider Ab Rahim
Mohd Hatta Sanuri
Mohd Aziz Mat Rashid
NV Pushpa
Nurul Azuwan Ab Malek
Raja Shahmirulzaman Raja Badakozaman

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tangkap tiga kambing, ganggu kawasan awam

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menangkap tiga ekor kambing di Bestari Jaya pada 24 September lalu selepas haiwan ternakan itu didapati berkeliaran di kawasan awam.

Yang dipertuanya berkata operasi bersepadu digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Selangor bagi tujuan itu membabitkan 30 anggota kerana didapati menganggu orang ramai.

“Tangkapan tersebut mengikut Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu – Kerbau 1971 kerana membiarkan (kambing) berkeliaran tanpa kawalan dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan.

“Selain itu, satu kompaun turut dikeluarkan serta-merta kepada pemilik ternakan di Taman Ilmu, Bestari Jaya di bawah kesalahan sama,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan mengikut Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971, MDKS berkuasa mengheret dan mendakwa mereka ke mahkamah jika masih berdegil membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di kawasan awam.

“MDKS boleh menyita lembu, kambing dan kerbau ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas atas risiko pemiliknya sehingga kos tangkapan, kurungan dan memberi makan ternakan dibayar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tutup lima premis niaga dijaga warga asing tanpa kebenaran

KUALA SELANGOR, 27 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengarahkan lima premis dikendali warga asing di sekitar Bestari Jaya ditutup serta-merta, selepas dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan.

Yang Dipertuanya berkata tindakan diambil susulan Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di sekitar kawasan itu dan Ijok melibatkan 20 premis pada 18 Ogos lalu.

“Kesemua lesen perniagaan ditarik semula Jabatan Pelesenan MDKS untuk siasatan lanjut. MDKS boleh membatalkan lesen yang diberi jika pemilik memberi dokumen atau membuat perisytiharan palsu, mengelirukan atau tidak tepat.

“Tindakan sitaan dan arahan tutup serta merta turut dikenakan kepada sebuah pusat cuci kereta di Jalan Makmur, Ijok kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan disyaki dioperasikan warga asing,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada operasi sama, seorang warga tempatan di Jalan Suria 2, Bestari Jaya ditahan bersama 74,096 rokok seludup pelbagai jenis bernilai cukai RM47,501.16.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menjadikan peti sejuk beku di ruangan stor sebagai tempat penyimpanan barangan itu. Suspek ditahan bersama barang rampasan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Peniaga patuh PKP atau premis tutup serta-merta – MDKS

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi amaran kepada pemilik pasar raya, kedai runcit dan serbaneka supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau berdepan tindakan penutupan premis serta-merta, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata kesemua premis berkenaan turut berdepan tindakan pembatalan lesen jika masih ingkar.

“Aduan diterima masih terdapat premis tidak mematuhi arahan penjarakan sosial satu meter malah ada pelanggan membawa keluarga untuk membeli barang.

“Saya menggesa supaya semua patuh dengan arahan PKP ini bagi membolehkan kita sama-sama membendung wabak Covid-19 yang melanda,” katanya menerusi kenyataan.

Rahilah berkata bagi fasa pertama PKP, hasil pemantauan secara berkala mendapati 95 peratus peniaga dan penjaja mematuhi arahan dengan premis beroperasi berada dalam keadaan terkawal.

“MDKS merakamkan terima kasih dan ingin menyarankan pemilik premis menjalankan proses nyahkuman atau nyah cemar di dalam premis sebelum memulakan operasi perniagaan,” katanya.

Semalam Rahilah turut menyampaikan makanan dan minuman kepada petugas MDKS yang menjalankan kawalan di kawasan pasar awam sebagai tanda penghargaan selaku petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab melaksanakan proses kawalan pengunjung.

Categories
BERITA UTAMA PBT PELANCONGAN SELANGOR

Sky Mirror: Pengunjung disaran semak lesen pengendali bot

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 15 APR: Orang ramai yang ingin mengunjungi Sky Mirror dinasihatkan supaya membuat rujukan terlebih dahulu dengan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan juga Tourism Selangor.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, ia berikutan timbulnya isu lambakan pengendali bot tanpa lesen ke lokasi pelancongan berkenaan.

Katanya, isu keselamatan pelancong yang dibawa ke Sky Mirror Kuala Selangor dipandang serius dan disebabkan itu beberapa tindakan sewajarnya telah diambil.

“MDKS ingin menegaskan supaya kesemua operator yang menjalankan aktiviti pelancongan agar mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Justeru MDKS mengambil tindakan keselamatan bersama jabatan dan agensi yang berkaitan bagi menangani kes ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung lokasi pelancongan Sky Mirror di Kuala Selangor tidak mempunyai aspek keselamatan seperti yang ditimbulkan Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli ketia sidang Dewan Negeri Selangor.

Dalam sidang berkenaan, beliau menyatakan kebimbangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan menerima nama buruk sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan pelancong.

Ia berikutan lokasi pelancongan itu menerima pelancong paling ramai dari Negara China.

Mengulas lanjut, Rahilah berkata, oleh sebab itu, inisiatif MDKS bersama Kerajaan Negeri, Tourism Selangor dan agensi berkaitan ialah melaksanakan mesyuarat dan bengkel sejak tahun lalu.

Katanya, ia bagi mencari penyelesaian isu jeti dan operator yang tidak berlesen membawa penumpang ke Sky Mirror.

“Hasil daripada pelaksanaan bengkel terbabit, beberapa tindakan telah dilaksanakan seperti menjalankan pemantauan dan mengeluarkan notis kepada pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat,” katanya.

Sky Mirror telahpun menjadi lokasi wajib pelancong ketika berkunjung ke Kuala Selangor sejak beberapa tahun yang lalu.

Lokasi itu turut menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia kerana seakan sama dengan Salar De Uyani di Bolivia iaitu hamparan tebing pasir pantai seakan cermin.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS serbu lokasi panas cegah denggi

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 14 FEB: Enam lokasi dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’ oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana mencatatkan kes demam denggi tertinggi.

Enam lokasi itu termasuk Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Cina Sungai Janggut di Jeram, Residensi Warnasari dan Lorong Naluri Sukma di Puncak Alam serta Kampung Tiram Setia di Tanjong Karang.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, sebanyak 697 kes demam denggi dicatatkan sepanjang tahun lalu sekali gus memperlihatkan peningkatan sebanyak 146 kes berbanding 2017 iaitu 551 kes.

“Melihat kepada situasi terbabit, MDKS akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor di premis yang menjadi penyumbang peningkatan kes denggi.

“Penduduk setempat juga dinasihatkan supaya mengambil berat tentang kebersihan di kediaman masing-masing dengan menjalankan aktiviti gotong royong setiap minggu bagi menghapuskan tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan Petaling mencatatkan kes denggi tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 3,023 kes bermula Januari lalu sehingga kini.

Ia kemudiannya diikuti Klang dengan jumlah kes sebanyak 2,644 dan Hulu Langat iaitu 1,691 kes.

Sementara itu, Sabak Bernam dan Hulu Selangor mencatatkan jumlah kes denggi terendah iaitu 26 dan 65 kes sahaja.

Categories
SELANGOR

MDKS yakin kecekapan KDEBWM urus sisa domestik

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yakin akan kecekapan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam menguruskan kutipan sisa domestik di kawasan pentadbirannya.

Yang DiPertuanya, Rahilah Rahmat berkata, pengambil alihan pengurusan itu mampu meningkatkan kualiti hidup selaras dengan visinya untuk menjadi entiti berorientasikan masyarakat dan mesra alam.

“Selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, saya harap ia mampu menyelesaikan aduan dan masalah melalui perkhidmatan lebih sistematik dan terkini.

“MDKS menerima banyak maklum balas dan cadangan sering dibangkitkan dalam mesyuarat berkaitan aduan sampah serta isu berkaitan,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Ibu Pejabat MDKS di sini, hari ini.

Rahilah berkata, MDKS menerima aduan berkaitan sampah sebanyak 229 tahun ini berbanding 148 bagi tahun lalu.

Katanya, walaupun aduan tidak tinggi berbanding PBT lain, namun akan berterusan sekiranya tidak ditangani sebaiknya.

“Statistik berkaitan aduan pengurusan sisa pepejal di negara ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun seiring dengan pembangunan pesat di kawasan tertentu.

“Pembangunan ini menjadikan kepadatan populasi kian meningkat sekali gus mendorong kepada peningkatan jumlah penjanaan sisa pepejal.

“MDKS juga tidak terlepas dari berdepan dengan pelbagai cabaran berkaitan isu ini, justeru kerjasama semua pihak diperlukan bagi membantu KDEBWM,” katanya.