Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda sertai misi bantuan pascabah di Sungai Lui

SHAH ALAM, 20 JAN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menyertai misi bantuan banjir bersama beberapa agensi di Sungai Lui, Hulu Langat semalam.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook memaklumkan Tengku Amir Shah turut berkenan melihat sendiri kesan kemusnahan pascabanjir di kawasan terbabit.

“Baginda melihat sendiri kesan kemusnahan pascabanjir serta menyantuni mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan dan menyerahkan sumbangan,” kata kenyataan itu.

Program serahan bantuan dianjurkan Toyota Malaysia bersama Yayasan Raja Muda Selangor, Selangor Youth Community, Persatuan Bola Sepak Selangor dan Selangor FC.

Pada 19 Disember 2021, Tengku Amir Shah berkenan melawat mangsa banjir sekitar Selangor dan menyerahkan bantuan kepada mereka yang terkesan.

Baginda juga membeli sendiri barang keperluan di Pasaraya Checkers, Shah Alam untuk diedarkan kepada penduduk sekitar Seksyen 16 dan Taman Meru Jaya, Klang.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan) berkenan menyantuni penduduk ketika menyertai misi bantuan pascabanjir di Sungai Lui, Hulu Langat pada 19 Januari 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office
Categories
AGENDA SUKANKINI

Tengku Amir Shah kekal presiden FAS

KLANG, 15 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu bagi sesi 2022-2026 hari ini.

Pengumuman keputusan pemilihan yang dilaksanakan dalam Kongres Tahunan FAS ke-69 dan ke-70 menyaksikan Tengku Amir Shah sekali lagi dipilih memimpin persatuan itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Jawatan Timbalan Presiden FAS pula disandang oleh Datuk Seri Shahril Mokhtar manakala Naib Presiden dimenangi oleh Datuk Abdul Rauf Ahmad, Datuk P. Sugumaran, Mohd Yunus @ Iskandar Md Noor dan R. Sekar Chandaran.

Wakil badan berkecuali Majlis Pemilihan FAS Anas Shafiee memaklumkan persatuan telah menerima sebanyak 47 borang pencalonan dengan satu daripadanya ditolak susulan lewat diserahkan.

“Setelah meneliti borang pencalonan, dengan ini saya mengumumkan jumlah calon yang telah dicalonkan untuk jawatan tersebut… kesemua calon telah menang tanpa bertanding,” katanya.

Tengku Amir Shah pula bertitah FAS akan memberi penekanan kepada beberapa aspek utama antaranya menaik taraf liga-liga Selangor dari aspek pembangunan dan komersial, pembangunan pemain muda dan junior serta pembangunan jurulatih serta pengadil dan kelab.

“Beta harap kita akan terus berkembang bersama. Perubahan ini tidak boleh dibuat seorang diri. Teruskan sokongan anda dan teruskan memberi teguran serta peringatan kepada kami (FAS),” titah baginda pada penutup pembubaran kongres itu.

— BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Raja Muda berkenan terima sumbangan RM200,000 bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada Yayasan Lau Gek Poh (LGPF) bagi membantu mangsa banjir, semalam.

Menurut Selangor Royal Office, LGPF akan bekerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) yang dinaungi Tengku Amir Shah untuk membeli barangan keperluan harian, makanan dan peralatan bagi tujuan pembersihan.

Sejak banjir melanda, Raja Muda terlibat secara aktif membantu mangsa antaranya pada Sabtu lalu Baginda berkenan melawat mangsa banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dan menyampaikan bantuan keperluan asas.

Baginda juga membeli sendiri barang keperluan di pasar raya di sini untuk diedar kepada mangsa banjir di Seksyen 16 di sini dan di Taman Meru Jaya, Klang.

Selain itu Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli menyertai misi bantuan menyelamatkan mangsa banjir di kawasan Kampung Baru Hicom serta menghantar bantuan kepada mangsa di Padang Jawa dan Teluk Panglima Garang, Kuala Langat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda Selangor lawat mangsa banjir di Masjid Negeri

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan melawat mangsa banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Twitter Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menyerahkan bantuan asas.

Masjid tersebut antara yang menyediakan tempat berteduh dan pemindahan sementara untuk mereka yang terkandas susulan banjir di beberapa kawasan sejak semalam.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan kejadian banjir terburuk yang melanda sebahagian besar daerah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga bimbang atas kesukaran yang dihadapi rakyat selepas menyaksikan sendiri gambar dan video kawasan terjejas susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap selamat Ulang Tahun Keputeraan Raja Muda, doakan dilanjut usia

SHAH ALAM, 12 DIS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah dan selamat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor.

“Merafak sembah tahniah dan ucap selamat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-31 DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Semoga DYTM Tuanku dilanjutkan usia dan dilimpahi rahmat serta maghfirah Allah SWT. Daulat Tuanku,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Tengku Amir Shah menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-31 hari ini.

Terdahulu, Selangor Royal Office menerusi kenyataan di Facebook mendoakan semoga Allah melanjutkan usia baginda.

“Semoga Allah lanjutkan usia Tuanku dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah serta hidup dengan penuh kebahagiaan. Dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, di dunia dan akhirat,” ucapnya.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Raja Muda pergiat program asuh bakat bola sepak

SHAH ALAM, 11 DIS: Usaha Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah membangunkan sukan bola sepak negeri meliputi segenap kelompok. Dari kanak-kanak, wanita mahupun lelaki, semuanya ada dalam rencana Baginda.

Pelbagai program rancak berlangsung demi mengembalikan kegemilangan negeri agar gah di kejohanan tempatan, seterusnya mengorak langkah ke peringkat Asia.

Bukan sahaja melahirkan pemain berwibawa, Baginda sejak menerajui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tiga tahun lalu berazam melahirkan jurulatih dan pengadil berkualiti. Justeru, beberapa inisiatif dirancang bagi mewujudkan ekosistem berdaya maju.

Pengenalan Liga Super Wanita yang dirasmikan sendiri Baginda pada 20 November antara usaha tersebut. Liga itu sekali gus menjadi kejohanan bola sepak wanita pertama di negara ini.

Disertai 10 pasukan, liga tersebut membuka tirai pada 29 November seterusnya menjadi landasan terbaik buat pemain wanita mempamer bakat dan mempertingkat prestasi.

Selain itu, Liga Futsal Wanita Selangor dan Liga Junior Perempuan FAS turut diketengah selain pembangunan kejurulatihan serta pengadilan wanita.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menandatangani bola sebagai gimik pelancaran Liga Super Wanita FAS di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November 2021. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor

Pelbagai formula dicetuskan demi melahirkan lebih ramai jaguh sukan itu. Justeru, Tengku Amir Shah turut aktif pada peringkat akar umbi, komuniti, sosial, amatur dan semi-profesional.

Menerusi kerjasama Team Selangor, Klinik Asas Bola Sepak dianjur pada 4 Disember secara percuma dengan penyertaan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dari serata daerah.

FAS juga menjalin kerjasama dengan peneraju industri animasi negara Les’ Copaque bagi mencungkil bakat baharu menerusi FAS Soccer School pada tahun lalu.

Selain mencungkil bakat peringkat kanak-kanak, Football Selangor, sebuah entiti bawah Selangor Youth Community (SAY), turut diwujudkan sebagai platform bola sepak komuniti dan belia di negeri ini.

Beberapa kategori liga juga diperkenal bagi membangunkan bakat bola sepak antaranya Liga Affiliated, Liga FAS, Liga Joma, Liga Junior dan Liga Belia.

Baginda juga mengilhamkan Liga Kejuaraan Selangor (SCL), liga yang menghimpunkan juara-juara liga amatur negeri bagi merebut gelaran pasukan amatur terbaik.

Kini, SCL menjadi liga paling berprestij di Selangor. Bukan sahaja dari segi penyertaan pasukan, bahkan taraf penganjuran sentiasa pada tahap terbaik.

Selain itu, FAS melalui episod baharu pada akhir September tahun lalu apabila ia dipisahkan daripada entiti persatuan bola sepak dan diiktiraf sebagai kelab profesional bebas.

Penswastaan itu menyaksikan perbezaan peranan antara pengurusan FAS dan syarikat Red Giants FC Sdn Bhd (Red Giants FC) sebagai pengendali Selangor FC.

FAS menumpukan pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu pengadil selain membangunkan liga serta kejohanan peringkat negeri.

Red Giants FC pula mengendalikan skuad utama Selangor FC, Selangor FC II, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan wanita negeri.

Pun begitu, Tengku Amir Shah masih menjadi pemilik bersama Selangor FC selaku pemegang saham utama dan mengikuti rapat perkembangan pemain skuad kendalian Red Giants FC.

Saingan Piala Malaysia sejak 26 September menyaksikan skuad bimbingan Karsten Neitzel menempah slot ke suku akhir di sebalik ketiadaan beberapa tonggak.

Sekalipun gagal menjulang piala, skuad yang bakal diuruskan Michael Feichtenbeiner pada musim depan mempamer persembahan memberangsangkan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencuba Zip Line Shah Alam atau ‘Flying Fox’ ketika berangkat tiba ke Majlis Perasmian Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Musical Fountain di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam pada 28 Mac 2021. Foto BERNAMA

Selain bola sepak, Tengku Amir turut memajukan sukan rekreasi antaranya luncur keluang menerusi Projek Zip Line Shah Alam sepanjang 240 meter pada ketinggian 18 meter merintangi Taman Tasik Shah Alam.

Baginda juga menganjurkan program ‘Selangor Youth Get Active’ secara maya bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Program melalui Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan SAY sempena Hari Sukan Negara menumpukan acara berbasikal yang menjadi kegemaran baginda selain berjalan, joging, berlari, mendaki, yoga dan berenang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Raja Muda zahir takziah pemergian Ken Worden

SHAH ALAM, 23 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jurulatih Selangor Ken Worden yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Amir Shah sedih serta simpati menerima khabar pemergian mendiang Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden pada usia 78 tahun.

“Baginda menzahirkan rasa sedih yang amat mendalam di atas berita kematian Ken Worden. Baginda mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan meluahkan rasa simpati dalam tempoh yang sukar ini,” menurut kenyataan Selangor Royal Office menerusi Facebook hari ini.

Worden dilahirkan pada 2 Februari 1943 di Preston, England dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Townsville, Queensland, Australia.

Ketika bertindak selaku jurulatih Gergasi Merah pada 1991, beliau membantu Selangor menjulang kejuaraan Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Mendiang kemudiannya dilantik sebagai jurulatih kebangsaan selama dua tahun bermula Januari 1992 dan Malaysia menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam, Piala Jakartaraya 1992 serta Pestabola Merdeka 1993.

Worden kembali memimpin Selangor setahun kemudian dengan catatan cemerlang memenangi Piala Malaysia 1995 dan 1996.

Selepas meneruskan karier kejurulatihan bersama beberapa pasukan tempatan, beliau sekali lagi pulang ke pangkuan Gergasi Merah untuk menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada 2002.

Untuk rekod, Worden pernah dikurniakan darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) pada 1996 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bagi menghargai jasa dan baktinya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda Selangor mahu pimpinan sukan main peranan, cari bakat baharu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor menitahkan pimpinan dalam sektor sukan memainkan peranan masing-masing demi kejayaan semua jenis sukan.

Tengku Amir Shah bertitah peranan pemimpin penting untuk mencari bakat baharu yang dapat mengharumkan nama negara.

“Dalam membina kualiti dengan mencari juara, kita perlu sedar pentingnya akar umbi dan selepas itu diikuti pengasas seperti sesebuah organisasi atau syarikat tempatan,” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah menerusi sesi dialog ‘Selangor Youths Have A SAY: Visi Sukan Negara Townhall’ yang diadakan secara maya hari ini.

Selangor Youth Community (SAY) menganjurkan sesi dialog sempena jelajah maya Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Sekretariat VSN2030, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor F.C.) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor).

Tengku Amir Shah yang juga pengasas SAY bertitah pembangunan sesebuah sukan berdepan dengan tiga cabaran iaitu jurang antara fasiliti profesional dan komuniti, campur tangan politik dan program kelestarian yang efektif.

“Selain daripada kekurangan fasiliti, jurang antara profesional dan komuniti juga merupakan cabaran dalam pembangunan sukan.

“Penglibatan politik juga ditolak kerana tiada tempat untuk politik dalam sukan kerana tidak diperlukan sebaliknya perkara dititik berat ialah atlet dan pengurusan pentadbiran.

“Cabaran ketiga pula kekurangan program kelestarian yang efektif kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada agensi korporat dalam aktiviti sukan,” titah baginda.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang RM575,000 rancak aktiviti Selangor FC, SAY

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM575,000 kepada Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) dan Selangor Youth Community (SAY).

Serahan dana oleh Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini bagi menyemarakkan aktiviti belia negeri.

Haris dalam kenyataan berkata sebanyak RM500,000 diagihkan kepada Selangor FC manakala RM75,000 diserahkan untuk pembangunan organisasi SAY.

Beliau menjelaskan MBSA juga bersedia menyalurkan kepakaran dan bantuan lain meliputi aspek logistik kepada pasukan Selangor untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

“Di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor, kami berharap sumbangan ini menjadi pembakar semangat kepada pemain Red Giants untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Kami juga mahu mendekatkan lagi hubungan dengan warga Shah Alam yang rata-ratanya penyokong tegar pasukan Selangor,” kata Haris.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon menyambut baik sumbangan oleh pihak berkuasa tempatan itu untuk pembangunan akar umbi bola sepak.

“Usaha MBSA perlu diberi galakan kerana mereka ingin menghidupkan komuniti sukan. Sumbangan ini bukan hanya untuk pasukan utama tetapi pembangunan peringkat akar dan akademi bola sepak lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda Selangor sambut Ulang Tahun Keputeraan ke-30

SHAH ALAM, 12 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-30, hari ini.

Selangor Royal Office menerusi kenyataan turut mendoakan semoga Allah melanjutkan usia Tuanku.

“Semoga baginda berada dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta hidup dengan penuh kebahagiaan.

“Dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, fid-dunia wal-akhirat,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi hantaran di media sosial itu, Selangor Royal Office turut berkongsi foto Tengku Amir Shah yang mengabdikan gambar kenangan bersama ayahanda baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Gambar berkenaan dirakamkan di hadapan sebuah rumah yang dinamakan Pondok Amir iaitu terletak dalam perkarangan Istana Mestika, Shah Alam.

“Pondok Amir merupakan sebuah rumah kayu reka bentuk Terengganu yang berusia lebih 100 tahun.

“Rumah ini telah diubahsuai dan dihias semula, ia telah dibeli pada 1998 oleh Sultan Sharafuddin dan kini digunakan Tengku Amir untuk beristirehat,” kata kenyataan itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda sertai berbasikal Selangor 600, bantu petugas hadapan

KUALA LANGAT, 12 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis penutup program berbasikal Selangor 600: ‘Our Community, Our Home’ sempena sambutan Hari Malaysia 2020.

Baginda tiba sekitar jam 11 pagi di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey bersama tiga pelumba basikal iaitu Mariana Mohammad, Adila J Sam dan Agnes Lim selepas menamatkan kayuhan sejauh 80km.

Anjuran Organisasi Selangor Youth Community (SAY), kembara menggunakan format berbasikal diilhamkan Tengku Raja Muda berlangsung selama lima hari bermula 8 September lalu dan berakhir hari ini bertujuan untuk memberi bantuan kepada petugas hadapan dan golongan memerlukan di sembilan daerah di Selangor.

Sepanjang 600km berbasikal, tiga pelumba berkenaan menyelusuri kawasan Sekinchan, Bukit Fraser, Kuala Lumpur, Sepang dan berakhir di Perkampungan Budaya Mah Meri.

Selain itu, mereka turut mengenalpasti beberapa lokasi menarik untuk dipromosikan sebagai pusat pelancongan sepanjang program yang berakhir hari ini.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

RMS berkenan terima sumbangan RM1.55 juta bina Kompleks Anak Yatim Yide

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan menerima sumbangan bagi pembinaan Kompleks Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata lima syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang dengan jumlah keseluruhan RM1.55 juta.

“Yide mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat atau agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menjayakan pembinaan kompleks ini.

“Kompleks ini juga adalah usaha sama Yide dengan Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor yang sehingga kini telah mengumpul sejumlah RM6.3 juta tetapi masih perlukan RM3.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis ringkas di Istana Mestika hari ini, Raja Muda Selangor berkenan menerima sumbangan daripada Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd bernilai RM1.3 juta; Worldwide Holdings Berhad (RM45,000); Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (RM36,600); Celcom Axiata Berhad (RM50,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM41,000).

Turut hadir, Pengerusi Yide Dato’ Bakhtiar Husin dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar.

Yide menyeru orang ramai, syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang bagi pembinaan kompleks itu melalui Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz (https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/), Jom Pay (BillerCode: 81059) atau aplikasi SnapNPay.