Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda berkenan jadi juri program usahawan belia `SAY ASPIRE’

SUBANG JAYA, 27 JAN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mencemar duli menghadiri program pembangunan usahawan untuk belia `SAY ASPIRE’ di Sunway Resort Hotel & Spa hari ini.

Tengku Amir Shah turut berkenan menjadi salah seorang panel dalam ‘SAY ASPIRE- Pitching Session’ melibatkan 10 syarikat diterajui belia  serta beroperasi di negeri ini.

Titah Tengku Amir Shah dalam penutupan program, semua syarikat terlibat dalam sesi pembentangan kali ini berpotensi untuk maju dalam bidang perniagaan.

“Beta ucapkan tahniah dan mendoakan semua maju jaya pada masa hadapan,”titah baginda.

SAY ASPIRE merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.

Program tersebut merupakan kali ketiga sejak dianjurkan pada 2018 menerusi agensi Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Raja Muda Selangor.

Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda kurnia ijazah kepada 945 graduan UPM

SERDANG, 13 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan ijazah kepada 945 graduan di dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-44

Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu melabuhkan tirainya dengan penuh teratur serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Naib Canselor UPM Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata 5,695 graduan telah selamat menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Beliau berkata 398 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana (1,093 graduan), Sarjana Muda (3,544 graduan) serta Diploma (660 graduan).

Tambahnya, pada sesi ini UPM berjaya melahirkan 11 graduan sulung bagi program Sarjana Keusahawan.

“Saya percaya, kejayaan pada hari ini boleh menjadi pemangkin kepada para graduan untuk memberikan sumbangan yang signifikan kepada keluarga, masyarakat dan negara, dalam apa-apa juga bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu beliau berkata UPM sentiasa cakna dalam melestarikan program kesukarelawan terutama dalam membantu warganya khususnya pekerja dan pelajar yang terlibat dalam bencana menerusi insiatif ‘Putra Cakna’ di bawah panji Putra Bakti.

“Sebanyak 60 misi bantuan banjir telah digerakkan oleh Pusat Tanggungjawab UPM yang melibatkan hampir 2,000 sukarelawan dari kalangan pelajar dan staf,” katanya.

Mohd Roslan merakamkam ucapan penghargaan kepada seluruh warga UPM yang bersama memakmurkan masyarakat yang terkesan akibat banjir khususnya di kawasan Selangor.

“Seiring dengan moto UPM ‘Berilmu,Berbakti’ inilah nilai empati dan semangat kebersamaan dan kekitaan yang ingin kita suburkan dan lestarikan dalam kalangan pelajar dan warga universiti ini secara amnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Raja Muda cemar duli ceriakan anak-anak yatim kaum India

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 25 OKT: DYMM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli meraikan 30 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandiam Setia Alam di Sunway Lagoon, semalam.

Keprihatinan Tengku Amir dizahirkan sebagai inisiatif memberikan keceriaan kepada anak-anak kurang bernasib baik itu untuk menjalani kehidupan lebih baik.

“Beta mengambil maklum tentang keperluan dan nasib anak-anak ini yang memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat untuk menjalani kehidupan lebih positif.

“Atas sebab itu mendorong Beta dan Selangor Youth Community untuk turun padang bukan hanya dengan niat untuk menggembirakan kanak-kanak ini sahaja.

“Tetapi kami sejak dari awal lagi turut membantu pusat penjagaan ini membuat kerja penambahbaikan dan menceriakan kawasan kediaman kanak-kanak ini,” titah Raja Muda.

raja-mudaTengku Amir Shah bertitah demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di Restoran Lighthouse, selepas beriadah bersama kanak-kanak ini di ‘Wildlife Park’ dan ‘Amusement Park’ Sunway Lagoon.

Projek komuniti dengan kerjasama SAY Community dan Sunway Group (Sunway) dibuat sebagai inisiatif memastikan kanak-kanak ini meraikan sambutan Deepavali lebih bermakna.

Dalam perkembangan itu, Sunway selaku penaja utama program ini turut menaja pembinaan foyer bagi tujuan riadah kanak-kanak di pusat jagaan mereka.

Antara sumbangan lain turut dibekalkan termasuklah alatan kelengkapan serta kemudahan fasiliti seperti rak buku, kipas dan lampu untuk digunakan kanak-kanak ini.

Dalam pada itu, Raja Muda yang juga penaung kepada Selangor Youth bertitah, pihaknya komited menjalankan program sedemikian melibatkan beberapa pusat jagaan lain di seluruh negeri.

“Tumpuannya bukan sekadar untuk pusat jagaan tertentu sahaja kerana selepas ini ada perancangan lain untuk beta dan Selangor Youth meneruskan program sosial ini.

“Mungkin selepas ini kita lanjutkan di pusat komuniti atau penjagaan kanak-kanak berbangsa Melayu, Cina dan lain-lain-lagi.

“Fokusnya prinsip kesamarataan dan tiada sebarang perbezaan kaum atau jantina kerana apa yang lebih utama adalah keceriaan dan kebajikan kanak-kanak ini,” titah baginda Raja Muda.

Sementara itu, Pengarah Selangor Youth, Dr Johan Kamal Hamidon berkata komuniti itu terbuka untuk menarik lebih ramai sukarelawan muda terdiri daripada anak Selangor terlibat secara langsung dalam kegiatan khidmat sosial mereka.

“Kami membuka peluang kepada golongan muda untuk terlibat dengan aktiviti kami dengan membuat pendaftaran di www.selangoryouth.com dan pihak kami akan menghubungi anda untuk program seterusnya,” katanya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

SUKMA 2016: Raja Muda Selangor tiup semangat atlet renang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 27 JULAI: Atlet renang Selangor terus membuktikan kejaguhan dengan menggondol tiga emas di Pusat Akuatik Sarawak, di sini, hari ini, pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Ketiga-tiga emas itu diperoleh daripada Wong Tzi Rok menerusi acara 100m kuak lentang lelaki, Caroline Chan Zi Xin (100m kuak lentang wanita) dan Kok Cher Ling Maryann (50m gaya bebas wanita).

Tzi Rok mengalahkan pencabar dari Johor, Tern Jian Han (perak) dan Wilayah Persekutuan, Brandy Chew (gangsa).

IMG_20160727_174554Zi Xin pula mengatasi cabaran Tan Rou Ying (Wilayah Persekutuan) juga peserta Sabah, Chris Tan Ling yang mendapat perak dan gangsa.

Manakala, Ling Maryann meninggalkan Ong Ming Fen (Wilayah Persekutuan) dan Elynn Tan (Pulau Pinang) dalam acaranya untuk merangkul emas.

Kontinjen renang negeri itu turut mendapat suntikan semangat daripada Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli ke pusat akuatik berkenaan.

Kehadiran baginda dengan memakai jersi The Red Giants menaikkan semangat atlet khususnya dari kem Selangor.

Mengiringi baginda, Exco Selangor, Elizabeth Wong; ADUN Demak Laut, Hazland Hipni dan kenamaan lain.

Tengku Amir Shah turut berdiri bersama penonton bagi menyatakan sokongan kepada atlet bertanding.

Pasukan Selangor terbabit dalam beberapa acara akhir selepas ini dan dijangka meneruskan penguasaan dalam renang dan terjun.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Serap elemen ketenteraan, fokus khidmat bakti – Raja Muda

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI UDANG, 18 JULAI : Elemen ketenteraan terus dipraktikkan dalam kehidupan seharian Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sharafuddin Idris Shah bagi menjadikan lebih positif meneruskan khidmat bakti kepada nusa dan bangsa.

Baginda menyatakan komitmen untuk terus menjadi pegawai tentera dengan semangat dan iltizam tinggi seiring tanggungjawab dan amanah diberikan.

“Latihan ketenteraan mengajar diri untuk lebih positif dan berdisplin sebagai asas dan panduan bagi menjadi pegawai berkeyakinan tinggi.

Raja Muda Selangor“Pastinya dengan cabaran dan latihan diberikan sebelum ini akan terus digunakan dalam kehidupan seharian beta untuk berbakti kepada rakyat,” titah Baginda kepada SelangorKini.

Raja Muda sebelum ini menyertai beberapa siri latihan ketenteraan di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst, United Kingdom 3 Mei lalu.

Selain itu, Raja Muda mendapat pendedahan awal berkaitan kursus asas ketenteraan di Kolej Tentera Darat (KTD), Port Dickson selama sebulan dan Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).

Berkongsi pengalaman baginda menyertai latihan kententeraan di Malaysia, Raja Muda mengakui faktor cuaca dan persekitaran latihan di negara ini lebih mencabar.

“Selepas menyertai beberapa siri latihan kententeraan sebelum ini, latihan di PULADA memberikan cabaran yang tinggi dengan mengambil kira faktor ketahahanan fizikal dan mental.

“Namun ia bukanlah penghalang atau alasan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pegawai tentera yang baik,” titah Raja Muda.

Tengku Amir kini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Kor Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Terendak Melaka.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hujan bukan penghalang Raja Muda fokus latihan pertauliahan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI UDANG, 18 JULAI : Hujan tidak menghalang Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah meneruskan sesi latihan penyampaian watikah lantikan Pegawai Muda Tentera Darat Tauliah Luar Negara.

Berbekalkan semangat dan iltizam tinggi, Raja Muda meneruskan latihan istiadat bersama empat lagi Leftenan Muda RAMD di Kem Terendak, Melaka di sini.

Raja Muda SelangorKomitmen yang ditunjukkan Baginda jelas membuktikan kesungguhan Raja Muda untuk terus berbakti kepada nusa dan bangsa.

Sementara itu, sesi latihan penuh bagi slot kedua latihan penuh istiadat diteruskan jam 2.30 petang ini selepas sesi latihan pertama tamat pada jam 11.00 pagi tadi.

Atas faktor cuaca, sesi latihan kedua dijangka diteruskan Wisma Perwira Batalion ke 8 Regimen Renjer DiRaja (PARA).

Baginda Raja Muda dijangka menerima watikah pelantikan pada esok, 19 Julai jam 8.45 pagi.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dijangka bakal mencemar duli menghadiri istiadat watikah pelantikan.

EZY

Categories
SELANGOR

Raja Muda pandu kereta, serah sumbangan Ramadan

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 21 JUN : Seramai 102 golongan memerlukan terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan asnaf menerima sumbangan daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti makanan, wang tunai dan hamper disampaikan kepada penerima terpilih dari sekitar Kampung Perepat dan Kampung Jalan Nenas.

Raja Muda Selangor Tengku Amir serah sumbangan di Kapar (ASRI) (2)Pada masjlis itu, Baginda Raja Muda berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari rumah ke rumah sejauh lebih 10KM menyampaikan sumbangan kepada empat penerima di rumah mereka.

Ketika sesi penyerahan sumbangan dibuat, Baginda turut menzahirkan rasa keprihatinanya terhadap musibah dan kesusahan dialami penerima sumbangan.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima terpilih di Surau Al-Muhajirin dan Masjid Kampung Perepat.

Kesemua penerima sumbangan disenarai pendek AJK Surau dan Masjid melalui senarai dikeluarkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membabitkan golongan memerlukan di kedua-dua kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Program, Zaiferez Hadzere, berkata program tersebut diperluaskan ke seluruh negeri bagi memastikan golongan sewajarnya mendapat perhatian.

“Baginda Raja Muda berkenan melibatkan diri dalam program ini untuk membantu rakyat Selangor memerlukan. Namun untuk tahun ini, kita sasarkan di sekitar Klang.

“Gerak kerja ini merupakan permulaan bagi kita dan diperluaskan lagi kerana Raja Muda sendiri mahu program berbentuk sukarela daripada belia digerakkan ke seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata, program tajaan Selangor Youth Community dengan kerjasama Saito Borneo dan Segi Fresh itu merupakan inisiatif daripada Baginda Raja Muda untuk memastikan golongan memerlukan tidak dipinggirkan.

EZY