Categories
NASIONAL SELANGOR

Yayasan Selangor Nafi Exco Paksa MB Serah Tanah Bina Pusat Kebudayaan Cina

PETALING JAYA, 31 OKT : Yayasan Selangor (YS) menafikan dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin berhubung penglibatan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong di dalam urusan tanah seluas 16 ekar bagi pembangunan Pusat Kebudayaan Cina di Klang.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, usaha Kerajaan Negeri itu bagi kemajuan adat dan budaya bangsa Cina selain ia tepat berikutan kawasan itu tidak menikmati pembangunan sepertimana dirancang kira-kira lapan tahun lalu.

Beliau berkata, tanah tersebut juga kekal sebagai hakmilik YS yang mana segala bayaran premium masih ditanggung sepenuhnya anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

“Saya rasa itu tidak benar. Itu fitnah dan tidak betul. Kebetulan saja tanah itu dia (Kerajaan Negeri) suka dan ia tidak dimajukan seperti dirancang,” katanya dalam temubual eksklusif bersama TVSelangor di Ibu Pejabat YS di sini hari ini.

Raja Petra dalam blognya minggu lalu mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa agar YS menyerahkan tanah di Klang kepada Elizabeth bagi membangunkan pusat kebudayaan Cina.

Berdasarkan surat bertarikh 21 Mac 2011 yang dimuatnaik dalam blog berkenaan, Elizabeth memohon kepada Abdul Khalid selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Selangor untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Pusat Kebudayaan Cina Selangor untuk cadangan pembangunan Pusat Kebudayaan Agama dan Kesenian.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR) merancang pembangunan pusat kebudayaan membabitkan tiga kaum utama di Selangor iaitu Melayu, Cina dan India.

Ilham berkata, tanah di tebing Sungai Klang berkenaan memang dipenuhi dengan rumah setinggan Cina dan ada di antaranya dibina rumah ibadah kaum Cina iaitu tokong.

Menurutnya, selain itu Kerajaan Negeri pengekalan tokong yang sedia ada di dalam kawasan itu kira-kira dua ekar.

Katanya, keputusan Kerajaan Negeri bagi pembangunan pusat kebudayaan ini adalah sesuatu yang adil tetapi akibat perjanjian (era Umno-BN) yang tidak elok pada 2004.

“Kerajaan Negeri ditadbir Umno-BN pada 2004(Dr Khir Toyo) mengadakan satu perjanjian dengan syarikat Persada Istimewa Sdn Bhd (Persada Istimewa) di kawasan tanah tersebut bagi tujuan pembangunan komersil dan hartanah yang bagaimanapun tidak dijalankan hingga ke hari ini,”terangnya.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri bertindak mengambilalih bagi pembangunan lain kerana mempunyai kuasa berbuat demikian.

Ilham berkata, YS pernah beberapa kali meminta Persada Istimewa untuk mengkaji semula perjanjian usahasama dibuat tetapi pihak tersebut enggan.

“Kesannya kepada YS ialah kita yang bayar cukai dan premium yang mana sepatutnya pihak yang buat usahasama dengan kita yang bayar premium. Kita sudah menghabiskan kira-kira RM4 juta untuk perkara itu.

“Kita sekarang sedang mengambil langkah untuk menamatkan perjanjian usahasama ini secara undang-undang kerana jika tidak dibatalkan ia terdapat implikasi pada masa depan. Dia (Persada Istimewa) akan tuduh kita bersekongkol dengan Kerajaan Negeri melepaskan tanah ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin Selar RPK Isu Penyebaran Rakaman Video

 

GOMBAK, 6 JUL : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyelar tindakan penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang cuba mengaitkannya dengan penyebaran video Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.

Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai palsu dan tidak bertanggungjawab, Azmin juga tidak menolak andaian bahawa ia sengaja direka untuk menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.

Beliau turut mencabar pihak berkenaan untuk tampil mengemukakan bukti dan hujah sekiranya benar seperti yang didakwa.

“Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya sejak kebelakangan ini, malah semua masalah di Malaysia dibebankan ke atas saya.

?Baiklah, kalau itu tuduhan Raja Petra Kamaruddin (RPK), saya minta dia baliklah ke sini. Jangan jadi bacul.

“Kalau benar-benar nak berjuang, pulanglah ke tanah air. Jangan menyalak di luar negara, tetapi kemukakan bukti. Mari bertarung di dalam negara,” tegas Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

RPK sebelum ini membuat spekulasi bahawa kamera tersembunyi dipasang oleh musuh Abdul Khalid untuk merakamkannya dalam keadaan yang mencurigakan di dalam pejabat.

Penulis blog itu mendakwa, pihak yang rapat dengan Azmin memiliki pelbagai rakaman video yang boleh menjatuhkan Menteri Besar Selangor itu.

Azmin turut menyelar taktik kotor Umno-BN yang seringkali menggunakan penyebaran video sebagai senjata untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Ini kerana menurutnya, Umno-BN semakin hilang kredibiliti untuk memikat hati rakyat, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Azmin dengan tegas turut memaklumkan tidak akan melayan segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya, sebaliknya akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menguatkan jentera parti dalam PRU-13 nanti.

“Saya tidak akan berdebat atau melayan tuduhan tidak berasas oleh RPK ini kerana dia bukan sesiapa.

?Inilah cara Umno-BN untuk menjatuhkan Pakatan kerana mereka sedar rakyat mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan mereka.

“Bagi saya, Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab kerana beliau memiliki pentadbiran yang paling jijik dan paling kotor,” selarnya.

Categories
NASIONAL

MB: Dakwaan RPK Akan Di Bawa Ke Sidang Dun

SHAH ALAM, 7 MAC : Isu dakwaan Pengarang portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) berhubung kerajaan PKR Selangor yang dikatakan memberi projek secara rundingan terus dan bukan tender bernilai lebih RM250 juta sejak mentadbir negeri ini akan dibentangkan dalam Sidang DUN 19 Mac depan.

Raja Petra sebelum ini juga akan menyiarkan butiran kontrak seperti nombor dan tarikh kontrak serta nama syarikat terbabit dalam blognya atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika kerajaan negeri menafikan dakwaan itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata perkara tersebut akan dibentangkan dalam DUN akan datang supaya mengikut prosedur dan Akta Rahsia Pejabat (OSA).

Katanya, beliau terpaksa mengikut undang-undang dan prosedur supaya boleh dibentangkan dihadapan exco dan didengari oleh semua rakyat.

” Saya tidak boleh membentangkannya disini kerana kita mempunyai akta OSA, Raja Petra tidak mempunyai undang-undang sebab itu juga tiada undang-undang yang boleh menangkap dia, saya pula kena mengikut undang-undang dan saya mempunyai tatacara yang betul supaya rakyat tahu apa yang kita buat dan kita bertanggungjawab atas dasar serta tatacara yang kita lakukan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mempunyai proses ketulusan dari segi pentadbiran, oleh itu
pihaknya akan mengeluarkan dokumen mengenai dakwaan tersebut dari segi kontrak-kontrak yang dilakukan secara tidak tender atau sebut harga dari tahun 2006 hingga 2010.

” Di dalam DUN itu nanti, saya akan pastikan perbincangan dapat diadakan dengan semua dan kita juga bersedia untuk memberi jawapan supaya Raja Petra boleh menyemak sama ada data dia dan saya adalah sama atau tidak dan dia boleh boleh menyimpan data saya untuk kajiannya seterusnya,” katanya.

Tambah Khalid lagi, pihaknya akan menunjukkan cara keputusan pemilihan tender dibuat daripada sebut harga sehinggalah Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dilantik dan membuat keputusan.

” Angkanya boleh jadi tidak serupa, jika kita lihat rundingan secara terus ini berlaku di kerajaan persekutuan lagi sejak 30 tahun dulu, jadi ini bukan satu perkara yang luar biasa kerana kerajaan persekutuan terlalu berminat dalam tender-tender.

” Baru kali ini saja mereka berubah bulu tetapi masa dulu banyak mereka lakukannya tetapi kerajaan negeri sekarang mengambil polisi bahawa ketulusan dan ‘value for money’ adalah asas usaha pemberian-pemberian kontrak tersebut.

” Sebelum dibentangkan di DUN, kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi dalam perkara itu kepada sesiapa pun,” katanya.