Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja-Raja Melayu titah ‘tidak perlu darurat selepas 1 Ogos’

SHAH ALAM, 16 JUN: Raja-Raja Melayu bertitah tiada lagi keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos nanti.

Keputusan itu antara tujuh perkara yang sependapat dicapai oleh Raja-Raja Pemerintah dalam Persidangan Khas bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 16 Jun.

Kerajaan mengisytiharkan darurat sejak 11 Januari setelah kes harian meningkat pada hujung tahun. Namun Yang di-Pertuan Agong pernah menolak permohonan darurat sewaktu ia dimohon Oktober lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, enam perkara yang sependapat dipersetuju Raja-Raja Pemerintah seperti berikut:

(i) nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain,

(ii) program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin,

(iii) program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung,

(iv) kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat,

(v) suhu politik yang semakin panas wajib diredakan,

(vi) pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian senada dengan Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan Parlimen segera bersidang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah juga turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum itu, dalam kenyataan berasingan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah agar angka jangkitan wabak dilandaikan segera dengan program vaksin sebagai “satu-satunya jalan keluar” daripada Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja-Raja Melayu adakan perbincangan khas Rabu depan

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mempengerusikan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, 16 Jun ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perbincangan khas itu adalah berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 12 Jan lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.

Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu adalah pada 25 Okt tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Kerajaan harus patuh titah Agong, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan harus patuh pada titah Raja-Raja Melayu agar menjaga batas semak dan imbang dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak salah guna kuasa, kata ketua pembangkang.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah.

“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menjelaskan asas menolak cadangan mengisytiharkan darurat, perkataan “membatasi” ditanda dengan huruf merah.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” kenyataan itu dipetik.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah usul yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin “tidak perlu buat masa ini” kerana wabak Covid-19 berjaya dibendung.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pemimpin politik agar memberhentikan segera segala percakaran politik yang mengganggu kestabilan negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berunding dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan Istana Negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut,” kata Ahmad Fadil.

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan petang semalam.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ahmad Fadil menjelaskan sesi menghadap itu dimohon Muhyiddin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Menurutnya dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat cadangan yang dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

Berhubung kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing.

Baginda turut meminta rakyat berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tatacara amalan norma baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi Covid-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman, serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Malaysia mencatatkan 710 kes baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah terkumpul 24,514 kes. Terdapat 10 kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 214 kes.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Raja-Raja Melayu berkenan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam

KUALA LUMPUR 30 JUL: Raja-Raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya, berkata keputusan penubuhan jawatankuasa tertinggi itu dicapai oleh Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lalu, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249.

“Fungsi jawatankuasa itu antaranya adalah untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.

“Dalam menjalankan tugas-tugasnya, jawatankuasa tertinggi ini juga akan menerima memoranda dan berbincang dengan pihak yang berkepentingan, termasuk mereka yang sudi dengan sukarela menyampaikan pendapat masing-masing,” katanya dalam kenyataan media.

Jawatankuasa Tertinggi itu dianggotai lima ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, manakala Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai urus setianya.

Ia dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo di Oxford Centre for Islamic Studies.

Manakala keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Dalam kenyataan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, penubuhan jawatankuasa tertinggi terbabit selari dengan kedudukan Islam yang termaktub mengikut Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha ini amat wajar kerana ia kekal menghormati prinsip dan bidang kuasa Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, di mana institusi agama terus ditambah baik demi mempertahankan Islam, di samping terus menyebarluaskan nilai-nilai kesejagatan Islam di negara ini,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, hasil kajian jawatankuasa tertinggi itu kelak akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dengan cadangan penambahbaikan bagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan agar ia berada di atas landasan yang betul.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco teguh berdiri belakang MB sokong pendirian tegas Raja-Raja Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Exco Kerajaan Negeri berdiri teguh di belakang Dato’ Menteri Besar bagi mendukung pendirian tegas Raja-raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni rakyat Malaysia.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, hal ini berikutan kemajuan tidak akan dicapai sekiranya tiada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan masyarakat menganut pelbagai agama dan perlu ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain agar wujud keharmonian dalam masyarakat.

“Mereka mesti faham memahami antara satu sama lain, tidak boleh buruk sangka dan tuduh menuduh serta tidak cepat melatah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali itu sangat bertepatan dengan pendirian Kerajaan Negeri yang sentiasa mempertahankan kepentingan semua kaum dan agama di negeri Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pula berkata, beliau menyokong pendirian Kerajaan Negeri yang menentang golongan ekstremis.

“Memang tepat pada masanya Dato’ Menteri Besar menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan menyatakan tiada ruang untuk sebarang ekstremis dalam Malaysia dan Selangor khasnya.

“Saya sebagai Exco yang mewakili kaum India sangat bersetuju dan menjunjung titah Raja-Raja di mana golongan atau individu yang sewenang-wenangnya menggunakan kaum dan agama untuk memperlekehkan pihak lain harus ditolak,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan aset penting Negeri Selangor.

“Kemajmukan rakyat di Malaysia ini adalah aset penting negara dan Selangor khasnya. Inilah sebab kita menjunjung kasih sangat terhadap kenyataan ini kerana Raja-Raja Melayu memahami tentang situasi yang ada di negara kita bahawa kita ini insklusif dan sememangnya benar.

“Orang luar sendiri kagum dengan keharmonian kaum yang ada di Selangor. Penegasan daripada Raja-Raja Melayu ini menambahkan lagi kebenaran hal ini,” katanya.

Jelasnya, tindakan menggunakan isu perkauman oleh sesetengah golongan bagi meraih kedudukan dalam politik merupakan sesuatu yang tidak wajar dan perlu dijauhkan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perpaduan kaum, tiang seri Kerajaan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendukung sepenuhnya pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia seiring penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

“Pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, pendirian tegas itu menuntut prinsip toleransi, kesederahaan dan keharmonian yang akan menjadi tiang seri Kerajaan Negeri.

“Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak ‘gutter politics’, budaya samseng dan fahaman rasis.

“Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

Terdahulu, Raja-Raja Melayu menyeru imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari dengan tindakan keterlaluan serta boleh memisahkan rakyat.

Perkara itu disampaikan Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berhubung kebimbangan terhadap isu keharmonian dan perpaduan antara kaum negara kini.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Dukung pendirian Raja-Raja Melayu isu perpaduan, keharmonian kaum

OLEH: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Saya mendukung pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

Pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang mengugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat.

Justeru, dengan penuh rasa tawadhu, saya ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh Raja-Raja Melayu akan terus menjadi tiang seri Kerajaan Negeri Selangor.

Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak gutter politics, budaya samseng dan fahaman rasis.

Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat Raja-Raja ke-247

KUALA LUMPUR 11 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan Mesyuarat Raja-Raja ke-247 di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Mesyuarat hari ini dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Johor diwakili Tengku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada mesyuarat hari pertama yang bermula jam 10.30 pagi itu, Raja-Raja Melayu diiringi menteri besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Melaka diiringi oleh ketua- ketua menteri.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Raja-Raja Melayu: Pertahan Islam toleran, sederhana & inklusif

SHAH ALAM 10 OKT: Majlis Raja-Raja Melayu menggesa rakyat agar mempertahankan imej Islam yang toleran, sederhana dan inklusif daripada dicemari tindakan bersikap keterlaluan dan memisahkan rakyat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Syed Danial Syed Ahmad berkata, Raja-Raja Melayu bimbang selepas timbul tindakan individu tertentu bersifat keterlaluan dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Raja-Raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini. Rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan.

“Raja-Raja Melayu berpendirian isu keharmonian membawa implikasi lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam,” katanya dalam satu kenyataan rasmi mewakili Raja-Raja Melayu, hari ini.

Syed Danial berkata Raja-Raja Melayu turut menggesa rakyat terus mengamalkan nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip dalam Perlembagaan Negara dan semangat Rukun Negara.

“Rukun Negara diisytiharkan ideologi kebangsaan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong keempat pada 31 Ogos 1970, menggariskan lima cita-cita dan lima prinsip, harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Isu 1MDB: Akur atau derhaka raja  

SHAH ALAM, 7 OKT: Isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) dilihat sangat mendesak apabila Raja-Raja Melayu bangkit bertitah menggesa siasatan berkenaan firma itu dipercepatkan selain tindakan sewajarnya diambil.
Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin, berkata walaupun tindakan bertitah berkenaan pentadbiran negara bukan amalan Raja-Raja Melayu tetapi ia jelas memperlihatkan keprihatinan dan kebimbangan memuncak baginda sekalian.
kadir_jasin“Apabila Raja-Raja Melayu mengeluarkan titah berkenaan penyiasatan 1MDB pasti ia sangat mendesak dan diperlukan. Dalam erti kata lain, Raja-Raja Melayu berasa tidak boleh berdiam diri lagi,” katanya memetik Malaysia Kini.
Kadir juga membangkitkan persoalan sama ada kerajaan bermula dengan perdana menteri atau patuh pada titah itu.
“Kita mahu lihat sama ada kerajaan, bermula dengan perdana menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, akan mentaati perintah Raja-Raja Melayu itu atau menderhakainya,” katanya.
Kadir berkata, Najib sebagai ‘pahlawan Bugis’ pasti arif berkenaan kedaulatan raja-raja memandangkan beliau salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu juga membangkitkan sama ada agensi penguatkuasaan dan pendakwaan negara akan’taat kepada Raja-Raja Melayu atau setia dan takut kepada Najib.
Mesyuarat-Majlis-Raja-RajaSemalam, Raja-Raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.
Raja-Raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, berlarutan dan memakan masa terlalu lama, maka ia akan menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
Titah itu bagaimanapun disambut baik Kerajaan Selangor yang berharap semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat perlu mengalu-alukan serta mengambil serius pandangan yang dikemukakan baginda sekalian.
“Mewakili rakyat Selangor, kami menjunjung tinggi dan sangat menghargai pandangan serta nasihat tidak ternilai dalam kenyataan berkenaan,” kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan hari ini.
-NR-
Categories
SELANGOR

Selangor sokong penuh gesaan Raja-Raja Melayu

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 OKT: Selangor menyambut baik dan menyokong penuh gesaan Raja-Raja Melayu terhadap Kerajaan untuk menyelesaikan siasatan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat perlu mengalu-alukan dan mengambil serius pandangan yang dikemukakan dalam kenyataan itu.

azmin-pc-DNS-01Katanya, setiap butiran yang dibangkitkan juga ternyata berkait rapat dengan isu rakyat, menunjukkan betapa sekalian baginda mengambil berat hal berkenaan.

“Kami ingin tekankan peringatan diberikan untuk menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dalam mengangkat perlembagaan dan undang-undang itu bukan sahaja sesuai dengan isu semasa melanda negara.

“Malah, seharusnya menjadi panduan bagi mereka yang memegang tampuk kepimpinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Raja-raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Mesyuarat-Majlis-Raja-RajaBaginda sekalian mahu semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Raja-raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia akan menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

Sehubungan kenyataan itu, Mohamed Azmin berkata, semua pihak tidak boleh menolak kepentingan pandangan dan keprihatinan sekalian baginda.

“Mewakili rakyat Selangor, kami menjunjung tinggi dan sangat menghargai pandangan serta nasihat tidak ternilai dalam kenyataan berkenaan,” katanya.

-NR-