Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN tekad pertahan kedaulatan, perkasa perlembagaan

MUAR, 1 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tetap akan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam biarpun terdapat dakyah-dakyah yang disebarkan menerusi aplikasi Whatapps menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan pimpinan PAKATAN sentiasa mempertahankan kedaulatan dan perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Jangan dengar dakyah dan fitnah yang sentiasa disebarkan dalam ‘whatapps group’ kononnya kerajaan tidak lagi menganggap Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu sebagai asas perjuangan kita.

“Sebagai anggota jemaah menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, saya memegang taat setia kepada negara ini, dan kita perlu pertahan hatta dengan nyawa sekali pun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa anjuran AMANAH Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Batu 3, Bakri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

Salahuddin berkata, rakyat seharusnya menjadikan kekacauan yang berlaku di negara jiran baru-baru ini selepas pilihan raya umum dan pemilihan presiden sebagai iktibar untuk mengelakkan pecah belah.

“Kita perlu elakkan seperti yang berlaku di negara itu sehingga mengakibatkan korban nyawa kerana isu yang dimainkan ekstreme agama dan bangsa.

“Kita adalah negara Malaysia yang aman sejahtera, pada tahun lalu menyaksikan proses peralihan kuasa kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berlaku dengan lancar dan tanpa pertumpahan darah, yang kalah menerima hakikat dan yang menang membentuk kerajaan dan ini adalah tanggungjawab kita untuk pertahankan keharmonian negara ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Demokrasi lumpuh apabila kuasa raja dihadkan

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Demokrasi negara menjadi lumpuh apabila Perlembagaan dicabuli seperti mengehadkan peranan Raja-Raja Melayu sebagai lambang Islam sahaja serta ‘rubber stamp’ kepada undang-undang diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata puak pemerintah menganggap kuasa raja hanya saki-baki dan terbatas kepada perlantikan Perdana Menteri atau Menteri Besar.

MOHAMED AZMIN“Mantera demokrasi yang diulang sebut kononnya hanya pemimpin yang terbit daripada peti undi memiliki kuasa melakar nasib dan masa depan bangsa serta negara adalah batil.

“​Pandangan rakyat menegaskan Raja-Raja Melayu punya peranan cergas dan dinamik sebagai kubu terakhir melindungi Perlembagaan serta rakyat.

“Raja-Raja Melayu berperanan penting dalam perkara berkenaan urus tadbir negara, menimbang tara undang-undang diluluskan dan menjaga batas sempadan kuasa eksekutif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan Taat Setia sempena Hari Keputeraan ke-70 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, walaupun Raja-Raja Melayu tidak mencampuri urusan pentadbiran harian, namun apabila berlaku pencemaran Perlembagaan, maka Majlis Raja-Raja bertindak bijaksana demi kedaulatan undang-undang dan kemakmuran negara.

Penganugerahan pingat Sultan Selangor kepada Raja Nazrin (1)Katanya, pandangan bahawa raja tidak boleh berbuat apa-apa terbit daripada akal keliru yang memberi kuasa mutlak tanpa sempadan kepada rakyat.

“Kita hanya perlu belajar daripada sejarah, apabila tangan berkuasa berpindah ke tangan lain kononnya atas nama kuasa rakyat, apa yang berlaku bukan perpindahan kuasa kepada rakyat keseluruhannya tetapi pemusatan kuasa di tangan seorang manusia.

“Saksikan sejarah Timur Tengah, dalam tahun 1950-an dan 60-an lalu, sistem beraja digantikan dengan kuasa kononnya mewakili rakyat.

“Malangnya, si pengganti menjadi pemerintah kuku besi, zalim dan diktator kerana mabuk menghirup kuasa sehingga alpa bahawa kuasa hanya amanah digunakan dengan adil dan saksama untuk rakyat bukannya melampias nafsu mereka,” katanya.

-NFN-