Categories
PBT SELANGOR

Had maksimum parkir dua jam mudahkan urusan

PETALING JAYA, 19 FEB: Sistem parkir maksimum dua jam wajar dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Jalan Seksyen 52/2 New Town bagi memudahkan orang ramai berurusan di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata pelaksanaan sistem itu perlu kerana kawasan parkir terhad disebabkan dipenuhi kenderaan dari pagi sehingga petang dan menyukarkan orang lain yang mahu berurusan di bangunan berhampiran.

“Pada Disember lalu saya mengadakan sidang media meminta maklum balas orang awam dan penduduk sekitar berhubung hal ini dan masing-masing menyokong sistem letak kenderaan dua jam.

“Malah, tidak kurang juga ada yang menghantar e-mel berharap sistem itu dilaksanakan segera supaya mereka turut dapat meletak kenderaan jika mempunyai urusan di kawasan itu,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing.

Katanya mekanisme pembayaran bergantung kepada MBPJ sama ada tetap mengenakan bayaran RM0.60 atau tindakan saman dikenakan jika meletak kenderaan lebih dua jam.

“Diharap sistem ini dilaksanakan segera supaya lebih ramai penduduk berpeluang meletak kenderaan di situ,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengundi Bukit Gasing tidak terjejas, kekal pilih PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 22 APR: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing memahami perubahan senario politik terkini di Selangor, kata Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Rajiv Risyakaran.

Katanya, pengundi Bukit Gasing bijak menilai gerak kerja pentadbiran Kerajaan Negeri sepanjang dua penggal mengurus negeri berkebajikan itu.

Beliau bercaya, sebarang adu-domba dan permainan politik kotor pihak tertentu tidak akan mempengaruhi sokongan besar pengundi di kawasan majoriti masyarakat Cina itu terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Sudah dua penggal dan rakyat Bukit Gasing boleh menilai sendiri tahap kemajuan ekonomi warga Selangor.

“Penilaian dan kejayaan inilah yang menjadi kayu pengukur bahawa kita mampu mengekalkan pentadbiran harmoni ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas ramalan sentimen pengundian pengundi di kawasan itu menjelang Pilihan Raya Umum 14, 9 Mei ini.

Sementara itu, sepanjang tempoh penggal wakil rakyat Rajiv di kawasan DUN Bukit Gasing, pelbagai masalah masyarakat di kawasan berkenaan mampu diselesaikan.

Antaranya, isu gantian paip lama, masalah kesesakan trafik pada waktu puncak, isu kesedaran denggi dan masalah kejiranan warga Petaling Jaya.

Selain komitmen turun padang wakil rakyat PAKATAN itu, Rajiv turut dikenali sebagai ‘abang kawasan’ oleh warga Bukit Gasing kerana keprihatinan beliau terhadap permasalahan setempat di DUN itu.

“Saya tidak perlukan retorik atau propaganda politik. Komitmen saya adalah turun padang mendekati masyarakat dan komited berbahas di Dewan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu-isu setempat di kawasan ini,” kata Rajiv.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kompaun, saman pemaju sambil lewa jaga kebersihan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 21 APR: Syarikat pemaju diarah supaya tidak bertindak sambil lewa terhadap aspek kebersihan di kawasan tapak pembinaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Bukit Gasing Rajiv Risyakaran menegaskan, tindakan saman akan dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekiranya pemaju berkenaan gagal mematuhi prosedur pembinaan ditetapkan.

Beliau berkata, ia susulan laporan berlakunya tiga kes denggi membabitkan peniaga di kawasan berdekatan tapak pembinaan.

“Hasil tinjauan kami mendapati, memang ada longgokan sampah yang tidak teratur yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes sebelum ini.

“Perkara ini amat membimbangkan dan memerlukan pemantauan menyeluruh daripada pemaju dan pihak berkenaan agar jaminan keselamatan dan kesihatan warga Petaling Jaya terjamin.

“Sekiranya gagal, kompaun dan saman boleh dikenakan sebagai peringatan keras pihak majlis terhadap pemaju dan kontraktor terlibat,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, pemaju berkenaan membangunkan projek perumahan kondominium tidak jauh daripada premis perniagaan di Jalan 17/29 Seksyen 17, sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun kata Rajiv, tiga kes denggi membabitkan peniaga di kawasan itu pertama kali dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Namun saya percaya, berlaku kes denggi membabitkan pekerja-pekerja pembinaan yang tidak dilaporkan pihak pemaju dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan media di lokasi pembinaan mendapati kerja-kerja pembinaan diteruskan, dengan beberapa longgokan sampah mula dibersihkan selepas mendapat teguran wakil rakyat, Ahli Majlis dan MBPJ.

Categories
SELANGOR

ADN Bukit Gasing edar limau sempena Tahun Baharu Cina

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 9 FEB: Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing mengedar lebih 40 kotak buah limau mandarin kepada penduduk sekitar Seksyen 14 sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi, di sini, hari ini.

ADN Bukit Gasing, R Rajiv berkata, budaya mengedar buah limau ini sudah menjadi tradisi setiap tahun bagi memeriahkan lagi perayaan itu.

“Pengagihan buah limau hari ini dilakukan di sekitar medan selera, kedai berhampiran dan pasar kawasan sini.

“Ia juga sebahagian usaha untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk dan wakil rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas program mengedar buah limau mandarin di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian.

Rajiv berkata, walaupun ia adalah perayaan kaum Cina, namun tidak salah untuk beliau turut serta mengedarkan buah limau berkenaan bagi merapatkan jurang antara kaum.

“Acara seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya,” katanya.

Sementara itu, Rajiv sempat mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada mereka yang menyambut perayaan itu, pada 16 Februari ini.

Categories
SELANGOR

Dekati rakyat bukan waktu PRU sahaja- Rajiv

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 12 FEB: Usaha membantu keperluan kebajikan rakyat tidak dijalankan menjelang waktu kempen pilihan raya sahaja, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Sebaliknya beliau menegaskan, gerak kerja tersebut giat dilaksanakan bersama pejabat pusat khidmat Bukit Gasing selepas mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya lalu.

“Program di peringkat DUN saya sudah dimulakan sejak empat tahun lepas dan akan diteruskan ke peringkat akar umbi untuk bantu rakyat memerlukan.
“Keutamaan bagi DUN Bukit Gasing untuk terus memahami keperluan rakyat dan saya sebagai wakil rakyat akan membawa suara mereka demi kesejahteraan hidup yang lebih baik,” katanya kepada pemberita.

RajivBeliau berkata, sepanjang tempoh menjalankan amanah, beliau optimis pembangunan Bukit Gasing dan Petaling Jaya semakin bertambah baik.

Ini termasuklah pelaksanaan pembangunan semula kawasan industri kepada pembangunan komersial di Seksyen 13 Petaling Jaya serta rancangan pembangunan kawasan cerun di Seksyen 5.

Malah tidak dilupakan kejayaan terbesanya menyelesaikan masalah lalu lintas membabitkan jalan utama di Bukit Gasing dan keprihatinannya berhubung isu aduan penduduk setempat membabitkan pembinaan kondominium Petalz Resident.

“Demi kebajikan rakyat, saya akan terus ‘agresif’ untuk turun padang dan membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Rajiv mula memegang kerusi DUN Bukit Gasing atas tiket DAP selepas menewaskan tiga calon lain dengan majoriti, 15,842 undi.

Sebelum menjadi ADUN, Rajiv pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada tahun 2008 hingga 2013.

Terdahulu, Rajiv ditemui media pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen dan Dun Petaling Jaya, di sini, semalam.

Dalam perkembangan itu, kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing sasar kutip 100 tan sampah kebun dan perabot

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 22 JAN: Kempen ‘Spring Cleaning’ yang dianjurkan Pejabat DUN Bukit Gasing menyasarkan kutipan 100 tan sampah kebun dan perabot, sehingga 24 Januari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata, pihaknya menyediakan lori tiga tan bagi mengutip sampah penduduk sekitar Bukit Gasing.

Katanya, inisiatif itu bagi membantu memudahkan penduduk membersihkan kawasan menjelang Tahun Baru Cina.

Rajiv“Kita mendapat respon positif pada hari pertama kempen ini. Kempen ini dilakukan meluas menggunakan medium laman sosial dan whatsapp sebagai pemberitahuan kepada penduduk,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Rajiv mengalukan penduduk supaya mengambil peluang itu dengan meletakkan sampah di luar rumah, sebelum jam 9 pagi.

Katanya, kempen itu menerima sampah seperti perabot, peralatan elektrik dan barangan rumah sahaja serta sampah kebun.

Beliau turut merancang untuk menjalankan kempen terbabit menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Tahun lalu, kita laksanakan kempen ini membabitkan dua kawasan sahaja, namun permintaan dan respon positif kita laksanakan di semua kawasan DUN,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Surau Othmaniah kini lebih selesa

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 26 OGOS: Jemaah Surau Othmaniah, di sini, boleh menjalankan ibadah dengan lebih selesa apabila surau itu dilengkapi lebih kemudahan alat penghawa dingin dan kipas.

Jawatankuasa surau terbabit menjalankan pemasangan kelengkapan tambahan itu selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv.

“Bantuan diberi melalui peruntukan Kerajaan Negeri kepada ADN dalam membantu rumah ibadah di kawasan ini.

DSC_9359 kecil“Sedikit sumbangan ini adalah usaha bagi menyediakan keselesaan kepada jemaah surau,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Rajiv mengadakan lawatan ke Surau Othmaniah bagi meninjau kerja pendawaian dan pemasangan alat penghawa dingin juga kipas dilakukan di situ.

Beliau berkata, terdapat tiga surau di DUN Bukit Gasing dan surau terbabit antara rumah ibadah yang sering dilawatinya termasuk berbuka puasa bersama jemaah dalam Ramadan.

Difahamkan, Surau Othmaniah dapat menyediakan kemudahan tambahan itu apabila menerima sumbangan hampir RM10,000 daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

Mewakili jawatankuasa surau, salah seorang ahlinya, Karim Ghazali merakamkan penghargaan kepada Rajiv atas sumbangan diberikan itu.

“Hubungan baik terjalin bersama beliau memudahkan kita berkongsi pandangan dalam usaha menambahbaik surau ini. Dengan sumbangan diterima, kita dapat melakukannya dengan lebih baik,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tumpu aspek keselamatan, elak kemalangan pembinaan berulang

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 11 APR : Syarikat pemaju disaran mengambil perhatian terhadap aspek keselamatan pembinaan pusat komersial dan unit kondominium mewah Seksyen 7 dekat jalan Jalan 17/29, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, berkata isu penyelenggaraan dan keselamatan perlu diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan orang awam di kawasan pembinaan terjamin.

IMG_20160411_104419Ia susulan kemalangan berulang berlaku di kawasan pembinaan tersebut sebelum ini, sekaligus mencetuskan kebimbangan masyarakat awam terhadap projek pembangunan itu.

“Kawasan pembinaan ini berdekatan dengan 128 gerai di pasar pagi dan 26 gerai malam. Walaupun kita tidak menolak projek pembangunan sekitar Petaling Jaya, tetapi aspek keselamatan juga perlu diberi keutamaan.

“Bagaimana aspek kesalamatan boleh dipandang remeh? Keadaan ini sekaligus mengudang rasa kurang selamat masyarakat awam di kawasan ini.

“Kita tidak mahu kemalangan berlaku dan pihak pemaju perlu memandang serius perkara ini dengan mengutamakan aspek keselamatan itu,” katanya pada sidang media di Kedai Kopi Wah Cheon di sini, pagi ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Pagi Seksyen 7 Petaling Jaya, Jeff Low.

Kejadian pertama melibatkan kemalangan kren tumbang pada 23 Februari tahun lalu dan mencetuskan situasi panik masyarakat setempat.

Terbaru, salah satu struktur penghadang pada binaan bangunan terbabit runtuh Sabtu lalu. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Bercakap lanjut, Rajiv selaku wakil rakyat kawasan itu konsisten membawa perkara tersebut kepada pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Susulan daripada itu, pegawai MBPJ dihantar bagi melakukan pemantauan dan siasatan terhadap sebarang keperluan aduan penduduk setempat.

EZY

Categories
SELANGOR

DBKL digesa prihatin aduan bunyi bising pembinaan kondo

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 23 FEB : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil perhatian terhadap rungutan penduduk Gasing Indah berhubung masalah bunyi bising membabitkan projek pembinaan kondominium Petalz Resident di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran, berkata DBKL didakwa gagal mengambil sebarang tindakan walaupun aduan mengenainya dibuat sebanyak dua kali.

“Kita tidak mahu masalah ini terus berlanjutan dan menganggu lebih 600 kediaman penduduk di sekitar kawasan ini.

Rajiv“Atas tanggugjawab itu, DBKL perlu memastikan ada wakil atau pegawai mereka memantau projek ini supaya syarikat kontraktor tidak semudahnya melanggar beberapa prosedur sepatutnya.

“Paling tidak pun, kita harap ada pegawai yang boleh turun padang pada setiap hujung minggu untuk memantau projek ini,” katanya ketika mengadakan sidang media di Restoran Yasin Curry House, di sini, hari ini.

Projek diseliakan DBKL melalui sebuah syarikat pembinaan dijalankan bersebelahan Jalan Klang Lama membabitkan kawasan sekitar Petaling Jaya dan Lembah Pantai.

Projek tersebut mula beroperasi pertengahan tahun lalu dan aduan mengenainya dibuat sejak Disember tahun lalu.

Ia menimbulkan rasa kurang senang bagi penduduk setempat apabila syarikat kontraktor itu menjalankan operasi pada hujung minggu dan lewat malam.

Tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, Pengerusi Penduduk Gasing Indah, Lfred Chua menuntut syarikat kontraktor menjalankan operasi mengikut ketetapan waktu yang sewajarnya.

“Kita tidak menolak pembangunan, tapi sepatutnya mereka ikut masa dan waktu sesuai dan tidak ganggu penduduk.

“Tapi malangnya kerja pembinaan tetap diteruskan hingga jam 11 malam dan waktu cuti umum dan ini yang menjadi rungutan bagi kami,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

MBPJ diseru wujud peluang sama rata peniaga kecil

OLEH : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 21 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dicadangkan untuk mewujudkan perbezaan penjaja mengikut kategori miskin dan kaya supaya semua pihak mendapatkan peluang berniaga secara saksama.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv, berkata hal itu kerana sesetengah penjaja besar yang menggunakan lori makanan mengambil kesempatan untuk berniaga di kawasan peniaga kecil.

Rajiv“Kita mahu golongan peniaga kecil diberi peluang menjana pendapatan kerana mereka ini terpaksa berniaga kerana tidak mempunyai pilihan lain contohnya diberhentikan kerja atau ibu tunggal.

“Kita mahu juga golongan kecil ini tidak menerima peraturan yang sama contohnya mendapatkan lesen, tapak niaga atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita.

Rajiv berkata pihaknya melakukan tinjauan ke tempat komersial sehingga peniaga terlalu ramai seterusnya menganggu laluan penjalan kaki dan tempat letak kenderaan.

Dalam pada itu, Rajiv memaklumkan tahun ini, MBPJ bersedia untuk membincangkan isu penjaja yang gagal mendapatkan lesen.

“Pengarah Pelesenan bersetuju untuk menjadikan agenda pemutihan bagi memudahkan peniaga mendapatkan lesen dan melihat beberapa kawasan yang sesuai untuk dijadikan kawasan perniagaan mereka sebagai perkara utama tahun ini,” katanya.

Rajiv juga mahu Kerajaan Negeri memandang serius statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, iaitu seramai 1.3 juta tergolong dalam Sektor Informal.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 200,000 orang merupakan warga Selangor.

“Kerajaan Negeri perlu menyelesaikan masalah ini. Kita tidak mahu mereka terbeban untuk meneruskan kehidupan sekurang-kurangnya kita boleh membantu memudakan urusan mereka berniaga melalui penyediaan lesen,” katanya.

Sebelum ini, sembilan penjaja di kawasan Seksyen 1 disita kenderaan antaranya lori dan motorsikal roda tiga tanpa mengeluarkan notis amaran.

Peniaga, Hasnah Othman, 4, berkata sejak tujuh tahun lalu, beliau beberapa kali memohon lesen penjaja namun tidak diluluskan.

“Saya terpaksa juga berniaga untuk teruskan hidup. Namun, baru-baru ini motorsikal saya disita dan untuk mendapatkan semula saya terpaksa membayar RM400. Jumlah itu agak membebankan saya,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Empat kali diarah henti kerja, kontraktor ‘cincai’ turap jalan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 22 DIS: Permit kerja dikeluarkan kepada kontraktor kerja menaik taraf sistem pembentungan di Petaling Jaya boleh ditamatkan sekiranya kontraktor terlibat masih gagal menurap semula jalan dikorek dengan sempurna.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata, ini berikutan kontraktor kepada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) itu sudah empat kali dikenakan notis arahan berhenti kerja bagi memastikan kontraktor terlibat mematuhi piawaian kerja menurap jalan.

Rajiv“Sudah empat kali Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beri arahan berhenti kerja kepada kontraktor terbabit dan selepas mereka turap semula jalan dengan sempurna baru mereka dibenarkan sambung kerja menaik taraf sistem pembentungan.

“Malangnya kontraktor ini nampaknya berdegil kerana apabila mereka sambung kerja, masalah sama berlaku lagi. Jalan diturap semula selepas selesai kerja pembentungan tidak sempurna, tidak rata seperti sediakala dan malangnya JPP sebagai pembayar dan Indah Water Konsortium (IWK) tidak memantau dengan baik.

“MBPJ berkuasa jika mahu mengeluarkan arahan pemberhentian kerja menaiktaraf tetapi kita sedar kita memerlukan sistem pembentungan yang lebih baik,” kata Rajiv pada sidang medianya di Jalan 17/21 dan Jalan 17/1A di sini hari ini.

Jelas Rajiv, isu ini perlu ditangani segera kerana kerja menaiktaraf pembentungan ini melibatkan seluruh kawasan di Petaling Jaya sekaligus membabitkan semua jalan utama seperti Jalan Templer, Jalan Universiti, Jalan Gasing dan lain-lain.

“Kerja menaiktaraf ini memakan masa selama empat tahun dengan kerja berperingkat. Ini bermakna jika isu ini tidak diselesaikan, semua jalan terlibat akan rosak kerana tidak ditampal dengan betul,” kata Rajiv lagi.

Katanya, beliau juga menyeru supaya JPP menggantung bayaran kepada kontraktor terlibat sehingga kerja menurap semula jalan dibuat dengan sempurna.

“Kerja ini dibuat secara berperingkat, maka bayarannya juga berperingkat. Kalau JPP menahan bayaran, boleh jadi pengajaran kepada kontraktor,” kata Rajiv lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

Guna insinerator perlu kajian & pertimbangan, elak beban rakyat

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 30 SEP: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan cadangan pelaksanaan sistem insinerator atau ‘waste to energy’ sebelum dimuktamadkan dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv, berkata pelaksanaannya dilihat kurang wajar pada masa kini kerana membabitkan kos tinggi yang mendatangkan beban kepada Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Diharap Kerajaan Negeri menangguhkan cadangan ini dalam pelan hala tuju Selangor sehingga ia dikaji apa faktor kebaikannya terhadap ‘cost-benefit analysis’.

yb rajiv 3“Ini kerana penggunaan insinerator di negara jiran membabitkan kos sangat mahal yang mana PBT tidak mampu menyalurkan sampah atau sisa pepejal ke kawasan insinerator,” katanya dalam sidang media di lobi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga tidak perlu tergesa-gesa ekoran tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar luas dan mampu bertahan hingga 50 ke 100 tahun akan datang.

Apa yang penting, katanya, pelaksanaan kaedah itu perlukan kajian mendalam berhubung cara mengurus serta lokasi strategik untuk pembinaan selain impaknya kepada pencemaran alam sekitar.

“Sebagai alternatif, kita perlu memperbanyakkan Kemudahan Pengasingan Material (MRF) yang mana ia bertindak seperti kilang memproses sampah dan bahan buangan.

“Ia menarik keluar semua bahan yang boleh dikitar semula dengan mengasingkan bahan dari dalam semua sampah di tapak pelupusan.

“Kosnya lebih rendah dan sekiranya pengurusan dibuat secara baik maka kita tidak perlu membayar apa-apa,” katanya.

Begitupun Rajiv yang hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pendengaran RSN 2035 di sini, memuji langkah Kerajaan Negeri yang menggariskan deraf pembangunan negeri dalam tempoh 20 tahun itu.

“Tahniah kerana ia langkah yang wajar dibuat untuk negeri kerana kita mempunyai pelan pembangunan baik.

“Ia merangkumim tiga teras utama iaitu wilayah bandar berkembang maju, wilayah bandar mampan dan wilayah bandar makmur,” katanya.

EZY