Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas terharu terima bantuan Rakan Muda Prihatin

SUNGAI BULOH, 7 DIS: Seramai 50 keluarga sekitar Paya Jaras meluahkan kegembiraan apabila terpilih menerima bantuan menerusi program Rakan Muda Prihatin “We Care” semalam.

Siti Salamah Zakaria. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Warga emas, Siti Salamah Zakaria, 59, berkata beliau terharu dan seakan tidak percaya apabila Ahli Dewan Negeri Mohd Khairuddin Othman sendiri turun padang menghulur sumbangan.

“Hari ini kali pertama wakil rakyat dan rombongan anak muda datang ke rumah saya menghulurkan bantuan, kami rasa seperti dihargai. Terima kasih di atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan,” katanya yang menjaga suami menghidap strok sejak tiga tahun lalu.

Seorang lagi penerima, Halimah Teh, 68, berkata bantuan keperluan asas seperti telur, beras, gula dan minyak masak sangat bermakna buatnya bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan suami dua tahun lalu.

Halimah Teh. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah bantuan keperluan asas yang disumbangkan ini sedikit sebanyak melegakan golongan memerlukan seperti kami bagi menghadapi Covid-19,” katanya yang menjaga seorang cucu perempuan.

Program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor dihadiri Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan generasi muda dan sukan dan pembangunan modal insan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Penduduk Paya Jaras terkesan Covid-19 dapat keperluan asas

SUNGAI BULOH, 6 DIS: Seramai 50 keluarga sekitar Paya Jaras yang terkesan susulan pandemik Covid-19 menerima bantuan barangan keperluan asas dan pelitup muka.

EXCO pembangunan modal insan berkata sumbangan melalui program Rakan Muda Prihatin “We Care” menumpukan individu hilang pekerjaan, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan asnaf.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan program yang pertama kali diadakan mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor sempena Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2020.

“Kita mengajak belia menyantuni keluarga memerlukan dan saya puji inisiatif ini serta berharap lebih banyak badan bukan kerajaan akan turut serta,” katanya yang juga wakil rakyat kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor Hasnata Hasan menghargai sokongan Kerajaan Negeri untuk melatih belia menanam sikap prihatin dan cinta terhadap kerja sukarelawan.

“Program ini juga sedikit sebanyak melahirkan generasi belia yang lebih cintakan negara, masyarakat dan diri sendiri,” katanya.