Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga negara dikenal pasti rakan strategik lebar industri halal Selangor

SHAH ALAM, 25 JAN: Penggiat industri halal dari tiga negara dikenal pasti untuk dijadikan rakan strategik bagi melebarkan sektor berkaitan di negeri ini.

Negara berkenaan antaranya United Kingdom, Afrika Selatan dan China, menurut EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Pada 2 Februari nanti, saya bersama rombongan akan ke United Kingdom untuk bertemu pemilik restoran, hotel dan kilang yang mengeluarkan produk halal.

“Kita mahu menjalin kerjasama sekali gus menarik minat mereka untuk melabur di Selangor dan kita boleh memasarkan produk (halal) di sana,” katanya selepas program penyerahan bantuan kepada penjaja kecil di perkarangan Wisma KoHijrah, Berjaya Park di sini hari ini.

Mohd Zawawi turut memaklumkan Afrika Selatan antara negara yang mempunyai kesedaran tinggi serta permintaan menggalakkan dalam industri halal.

“Selain itu, kita juga akan meninjau pasaran di China dan berhubung dengan beberapa pemain industri untuk bekerjasama.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita sedang menunggu sempadan negara mereka dibuka,” kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis.

Pada 15 Disember tahun lalu, Mohd Zawawi memaklumkan Selangor memiliki banyak produk halal merangkumi pelbagai komponen namun memerlukan pihak yang boleh membantu mengetengahkannya ke peringkat global.