KUALA LUMPUR, 8 MAC: Bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dan peningkatan kes individu menyamar sebagai anggota polis antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas susulan krisis Ukraine-Rusia itu akan diajukan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kepada Menteri Luar semasa Waktu Pertanyaan Menteri.
Turut tersenarai, soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai penyediaan rumah mampu milik bagi golongan muda serta sambutan kumpulan itu terhadap projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Pada sesi soal jawab pula, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung usaha kerajaan menangani peningkatan kes orang awam menyamar sebagai anggota polis bagi memastikan maruah dan imej polis terbela.
Soal perancangan KPKT untuk mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal terbuka dan meminimum impak negatif terhadap alam sekitar akan dibangkitkan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada menteri berkenaan.
Isu berkaitan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak termasuk perlindungan kesan sampingan bagi golongan itu akan diajukan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Kesihatan.
Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.
– BERNAMA