Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Rakyat Malaysia terjejas banjir di Queensland dipindahkan

Categories
AGENDA NASIONAL

Ukraine: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia dijadual pulang esok

PUTRAJAYA, 27 FEB: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang berjaya keluar dari Ukraine dijadualkan berlepas pulang ke tanah air dari Warsaw, Poland esok (Isnin) melalui penerbangan komersil.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan hari ini selepas misi pemindahan melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warga Malaysia itu berjaya dilaksanakan Kedutaan Malaysia di Kyiv yang turut membantu seorang warga Singapura.

Kumpulan berkenaan, diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud yang dibantu oleh Setiausaha Kedua Aminuddin Osman, bergerak dari Kyiv melalui jalan darat sejak petang Jumaat dan tiba di Poland pada 5.45 pagi Ahad (10.45 malam Sabtu waktu tempatan).

Menjawab tuduhan sesetengah pihak berhubung pelaksanaan misi itu, Wisma Putra menjelaskan, maklumat sensitif seperti pelan pemindahan tidak didedahkan kepada umum sebelum ini demi menjaga keselamatan semua pihak terlibat.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya seperti kedutaan-kedutaan Malaysia yang lain, kedutaan di Kyiv, mempunyai pelan pemindahan yang sedia diaktifkan sekiranya perlu dan sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa, termasuk opsyen terbaik bagi pelaksanaannya.

“Keputusan pelaksanaan misi pemindahan dibuat berdasarkan laporan mutakhir daripada kedutaan Malaysia yang berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kementerian sentiasa memantau perkembangan di Ukraine dan berhubung rapat dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv sehingga ke peringkat komunikasi terus oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan kuasa usaha sementara kedutaan itu.

“Perkembangan-perkembangan penting turut diangkat untuk makluman dan perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu, Wisma Putra berkata kerajaan juga membincangkan pelan pemindahan dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Feb lepas.

“Menteri Luar telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara itu,” katanya.

Mengambil kira keadaan yang meruncing di lapangan dan bagi menjamin keselamatan serta kebajikan warga Malaysia, Perdana Menteri membuat keputusan pada 24 Feb supaya pelan pemindahan berkenaan diaktifkan serta-merta.

Wisma Putra menegaskan dakwaan-dakwaan seperti pegawai kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) pemindahan dan sebagainya seperti yang dilaporkan sesetengah pihak media dan media sosial adalah tidak berasas sama sekali.

Mengenai penggunaan empat buah kereta dalam misi berkenaan, termasuk dua kenderaan kedutaan, katanya keputusan itu mengambil kira bilangan individu yang terlibat dan bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

Menurutnya kerajaan sebelum ini telah melaksanakan pelbagai misi pemindahan dari negara asing, sama ada yang berdepan konflik atau bencana alam, antaranya repatriasi rakyat Malaysia dari 99 buah negara semasa pandemik COVID-19.

“Misi-misi seumpama ini dilaksanakan oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia dengan penyelarasan dan kerjasama Kementerian Luar serta kementerian/agensi berkaitan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata operasi Kedutaan Malaysia di Kyiv terpaksa digantung sementara ekoran dua pegawai kedutaan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan misi pemindahan itu.

Katanya setakat ini, hanya beberapa kedutaan asing sahaja yang menggantung operasi di Kyiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine.

Wisma Putra turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi pemindahan itu, terutamanya kepada Fadhilah dan Aminuddin serta pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Warsaw.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Ukraine turut mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana ‘berisiko tinggi’ kepada penerbangan awam.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia antara 25 kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 24 MEI: Seorang lelaki Malaysia berusia 46 tahun penghuni asrama di Harvest @ Woodlands antara 25 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) republik itu.

Dirujuk sebagai Kes 63622, pekerja pembinaan di H&W Communications Pte Ltd berkenaan tidak menunjukkan gejala.

“Beliau menjalani saringan Rostered Routine Testing (RRT) pada 22 Mei dan disahkan positif pada hari yang sama dan segera diasingkan,” kata kementerian malam tadi.

Kes terakhir dilaporkan di asrama itu ialah pada 1 Mei.

Tiga lagi kes baharu yang dilaporkan pada Ahad juga melibatkan warga Malaysia. Satu kes import dan dua lagi dikaitkan dengan dua kluster terbuka iaitu JEM/Westgate dan penghantar makanan McDonald.

Warga Malaysia yang dikaitkan dengan kluster JEM/Westgate didapati positif varian B.1.617 menerusi saringan awal dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya.

Dirujuk sebagai Kes 63597, wanita berusia 39 tahun itu bekerja sebagai tukang cuci di Eng Leng Contractors Pte Ltd di pusat beli-belah Westgate, menurut kementerian.

Setakat Ahad, republik ini mencatatkan 61,824 kes Covid-19 dengan 2,743 penularan tempatan, 4,562 kes import, dan 54,519 babitkan penghuni asrama.

Singapura mempunyai 32 kluster terbuka setakat ini dengan yang terbesar melibatkan kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 108 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Rakyat Malaysia antara empat kes dalam komuniti di Singapura

SINGAPURA, 22 JAN: Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 46 tahun merupakan antara empat kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Menurut data penuh yang dikeluarkan Kementerian itu lewat malam tadi, wanita itu yang dilabel sebagai Kes 59513, merupakan seorang pemegang pas kerja yang bekerja sebagai jurujual di Toppan Merrill PTe Ltd di Church Street, tetapi tidak bertemu secara langsung dengan pelanggan.

Kementerian itu menyatakan, wanita itu merupakan kontak rapat kepada Kes 59474, seorang wanita warganegara Malaysia berusia 28 tahun yang bekerja sebagai kakitangan bahagian kewangan di BD Industrial & Industrial Supply Pte Ltd, yang telah disahkan dijangkiti Covid-19 pada 20 Januari.

“Beliau alami hidung tersumbat pada 19 Januari dan berada di rumah hampir keseluruhan hari tersebut. Disebabkan beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 59474, beliau telah dihubungi MOH pada 20 Januari dan diletakkan dalam kuarantin,” menurut MOH.

MOH menyatakan yang wanita itu telah memberitahu mengenai simtomnya dan kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Sengkang di mana beliau menjalani ujian saringan Covid-19.

“Hasil ujian pada hari yang sama mendapati beliau positif. Ujian serologinya didapati negatif, menunjukkan yang merupakan jangkitan semasa,” menurut kementerian itu.

Beliau kini sebahagian daripada kluster Kes 59429 yang kini mempunyai tujuh kes disahkan termasuk tiga lagi rakyat Malaysia.

Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan sejumlah 38 kes baharu, di mana 34 merupakan kes import dan empat kes jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,235.

Pada masa ini terdapat sejumlah enam kluster di republik tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Warga Malaysia di Singapura antara terima suntikan vaksin Covid-19

SINGAPURA, 17 JAN: Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menjadi antara penerima suntikan vaksin Pfizer BioN Tech di negara tersebut.

Mereka yang menerima suntikan vaksin tersebut, kebanyakkan bekerja dalam sektor yang diberikan keutamaan untuk menerima vaksin, di republik itu.

Sebahagian daripada mereka telahpun berkongsikan pengalaman mereka menerima suntikan di laman Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Imra Astata Ibrahim yang bekerja dalam sektor marin berkata, beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama pada 13 Januari dan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

Ketika dihubungi Bernama, Imra Astata, 40, yang menyewa di Jurong West di sini berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menerima suntikan vaksin tersebut bersama 10 lagi rakan dari Malaysia.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu berpandangan yang dengan mengambil suntikan tersebut, keadaan akan menjadi lebih mudah untuknya berulang-alik ke Johor seperti sebelum ini.

“Siapa tahu, mungkin akan ada satu persefahaman antara kedua negara, bagi memudahkan pergerakan untuk pekerja yang telah menerima vaksin ini,” katanya.

Imra Astata kembali ke republik itu untuk bekerja pada 24 September 2020, selepas langkah-langkah memperketatkan pergerakan antara kedua-dua sempadan negara itu diperkenalkan pada Mac tahun lepas, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketika ditanya jika terdapat sebarang kesan sampingan selepas penerimaan vaksin tersebut, Imra Astata berkata, sebelum menerima suntikan itu, beliau dan rakan-rakannya dimaklumkan mengenai kemungkinan adanya kesan sampingan.

“Setakat ini, saya dan rakan-rakan masih sihat selepas mengambil suntikan. Hanya pada hari menerima suntikan, saya rasa sedikit kebas dan sakit di tempat suntikan,” kata Astata yang berasal dari Johor.

Kerajaan Singapura memperuntukkan semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara itu, untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021, jika tiada gangguan yang tidak terjangka dalam penghantaran vaksin tersebut.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 21 Disember tahun lepas.

Bagi memastikan ketersediaan vaksin dan membolehkan Singapura mencapai kadar yang lebih tinggi pemberian vaksin kepada penduduk republik itu, vaksin tersebut akan diberikan secara percuma.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura sehingga 12 Januari 2021, lebih daripada 6,200 individu menerima dos pertama vaksin mereka di negara itu.

Menurut MOH, jumlah itu dijangka meningkat dengan banyak dalam minggu yang akan datang, apabila mereka mempertingkatkan lagi operasi pemberian vaksin mereka.

Sejajar dengan saranan daripada Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan yang paling berisiko, Singapura memulakan aktiviti vaksinasi kepada petugas bidang kesihatan secara progresif bermula 30 Disember 2020.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Seorang rakyat Malaysia antara 33 kes import baru Singapura

SINGAPURA, 3 JAN: Seorang warga Malaysia berusia 31 tahun merupakan salah seorang daripada 33 kes import Covid-19 di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

MOH dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu, melabelkan kes pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia itu, sebagai kes 58,880.

Kementerian itu menyatakan lelaki itu bersama 30 lagi mereka yang tidak bergejala, dikesan menerusi penyaringan dan pemantuan aktif pihaknya, manakala dua lagi merupakan mereka yang bergejala.

“Mereka telahpun diletakkan di bawah Notis Tinggal Di Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura dan telah diuji ketika menjalani SHN atau pengasingan,” menurut kementerian itu.

Sehingga tengah hari Sabtu, republik itu melaporkan 33 kes baru dengan tiada kes melibatkan komuniti mahupun mereka yang tinggal di asrama pekerja, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu kini 58,662.

Sepanjang minggu lepas, tiga lagi rakyat Malaysia merupakan antara kes import Covid-19 yang dilaporkan di negara itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

19 rakyat Malaysia jadi warganegara India dalam empat tahun

NEW DELHI, 22 SEPT: India menawarkan kewarganegaraan kepada 19 rakyat Malaysia dalam tempoh empat tahun lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri India.

Mereka adalah antara 2,729 orang daripada 44 negara yang diberi kewarganegaraan India dari 2017 hingga September tahun ini, kata Menteri Muda Dalam Negeri Nityanand Rai dalam sidang parlimen, lapor agensi berita PTI pada Isnin.

Pemohon termasuk 2,120 warga Pakistan, 188 dari Afghanistan, 99 rakyat Bangladesh, 60 warganegara Amerika Syarikat dan 13 dari Singapura.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 26,000 rakyat terkandas di luar negara dibawa pulang

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Luar memudah cara seramai 26,572 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara untuk kembali ke tanah air, susulan penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaafar berkata, kesemua mereka dibawa pulang ke Malaysia melalui 528 penerbangan dari 94 negara.

“Jumlah ini termasuk 20 anggota jemaah tabligh Malaysia yang ditahan dan dibawa ke mahkamah di India, yang berjaya dibawa pulang tiga hari lepas.

“Sekarang hanya tinggal 56 orang dilaporkan masih terkandas di luar negara, sementara menunggu lapangan terbang dibuka semula dan penerbangan komersial beroperasi seperti biasa,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alan Ling Sie Kiong, yang ingin tahu usaha dilakukan kementerian bagi memastikan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, berada dalam keadaan selamat dalam tempoh penularan Covid-19.

Selain itu Kamarudin berkata, kementerian menganggarkan seramai 457,000 rakyat Malaysia berada di luar negara setakat ini, bagaimanapun jumlah sebenar masih tidak dapat dimuktamadkan, kerana tidak semua daripada mereka berdaftar dengan perwakilan Malaysia.

Dalam hal ini, beliau menasihati semua rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara, untuk berdaftar dengan perwakilan Malaysia terdekat dan mengambil visa yang betul, bagi memudahkan sebarang bantuan dihulurkan.

Jelasnya, perwakilan Malaysia kini bertindak sebagai petugas barisan hadapan, bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19 diberi bantuan sewajarnya termasuk rawatan perubatan dan memudah cara perjalanan pulang ke tanah air.

“Perwakilan kita juga berhubung rapat dengan komuniti yang menetap di luar negara untuk menyampaikan sebarang maklumat terkini berkenaan Malaysia. Kita juga berterima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan, kerana membantu kementerian dalam hal ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Singapura tolak rayuan gantung hukuman mati dua rakyat Malaysia

SINGAPURA, 14 OGOS: Dua rakyat Malaysia gagal dalam rayuan untuk menggantung hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan terdapat penggunaan ‘kaedah ganas dan menyalahi undang-undang’ dalam pelaksanaan proses kehakiman di Singapura.

“Kami tolak rayuan ini,” demikian putus Hakim Mahkamah Agung Singapura iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Woo Bih Li dalam penghakiman bertulis mereka yang disiarkan dalam laman sesawang mahkamah itu.

Kedua-dua rakyat Malaysia iaitu A Gobi dan K Datchinamurthy disabitkan bagi kesalahan berkaitan dadah dan dijatuhkan hukuman mati.

Mereka mengemukakan permohonan itu pada 28 Jan namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Feb.

Afidavit mereka bagi menyokong permohonan itu, antara lain, menyebut kenyataan media Lawyers for Liberty (LFL) bertarikh 16 Jan yang mendakwa ia mempunyai bukti kaedah ganas dan menyalahi undang-undang digunakan dalam pelaksanaan proses kehakiman telah dikemukakan sebagai eksibit.

Kedua-duanya, yang diwakili peguam M Ravi daripada Carson Law Chambers, kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Agung, ketika memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, antara lain berkata kenyataan media LFL tidak mempunyai asas yang mencukupi bagi membolehkan kebenaran diberikan kepada mereka untuk memulakan semakan kehakiman.

“Kenyataan media itu sendiri bukanlah satu bukti yang boleh dipercayai dan kenyataan media LFL, secara khusus tidak menamakan sumber maklumat atau kaitannya dengan kaedah pelaksanaan proses kehakiman pada masa ini,” menurut penghakiman itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

131 rakyat Malaysia terkandas di Yaman tiba di tanah air

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Kumpulan pertama rakyat Malaysia seramai 131 orang yang dilaporkan terkandas di Yaman sejak Mac lepas susulan pandemik Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat sewaan khas Egypt Air pada 8.34 pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata kumpulan kedua seramai 17 orang pula dijadual tiba esok (3 Ogos) dengan penerbangan komersial Emirates pada jam 12.55 pagi.

Beliau berkata perjalanan kesemua 148 rakyat Malaysia tersebut bermula semalam (1 Ogos) dengan penerbangan dari Seiyoun, Yaman ke Kaherah, Mesir sebelum meneruskan perjalanan dengan dua penerbangan berasingan ke Malaysia.

“Rakyat Malaysia dari Yaman ini terdiri daripada pelajar persendirian yang telah menyatakan hasrat untuk pulang ekoran penularan pandemik Covid-19, serta pelajar yang telah tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata sebelum ini beberapa rancangan repatriasi oleh kerajaan Malaysia untuk membawa pulang kumpulan pelajar tersebut terpaksa ditunda atas sebab isu-isu logistik yang tidak dapat dielakkan.

“Namun demikian, pembukaan semula lapangan terbang dan penyambungan operasi penerbangan komersial oleh kerajaan Yaman membolehkan penerbangan sewaan khas repatriasi ini dilaksanakan. Kos repatriasi ini dibiayai secara bersama antara kerajaan Malaysia dengan penumpang yang rata-rata pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata kesemua rakyat Malaysia yang tiba akan menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di KLIA dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pemantauan lanjut.

Ia adalah susulan lanjutan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Julai lepas mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, katanya.

Kamarudin berkata Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada kerajaan Yaman dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia itu ke tanah air serta kerajaan Mesir di atas kerjasama diberikan dalam menjayakan usaha repatriasi rakyat Malaysia tersebut.

Beliau menegaskan Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia dari Rusia syukur tiba di tanah air

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Hanya rasa syukur dan lega terlintas di hati rakyat Malaysia yang tiba di tanah air dari Rusia hari ini selepas terkandas di negara itu susulan sekatan perjalanan akibat wabak Covid-19.

Hermy Dillmona Abdillah, 44, berkata dia berada di negara itu sejak tiga bulan lepas sebelum dapat kembali ke tanah air menerusi bantuan Kedutaan Malaysia di Rusia.

“Gembira dapat pulang meskipun terpaksa dikuarantin 14 hari dan tidak boleh bertemu keluarga lagi, saya bersyukur sebab sudah dapat pulang ke Malaysia. Terima kasih kepada kedutaan kita di sana yang sangat mengambil berat situasi kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hermy Dillmona merupakan antara 238 rakyat Malaysia yang tiba di tanah air pada 4.40 petang tadi menerusi pesawat Aeroflot SU6697.

Mengenai situasi terkini di Rusia, katanya keadaan adalah terkawal namun jumlah kes baharu agak membimbangkan menyebabkan dia dan rakan, Shahren Junaidi, 45, yang bekerja di Yamal LNG mengambil keputusan untuk pulang.

“Kami bekerja di daerah Sabetta, Wilayah Yamalo-Nenets di utara garisan Artik. Meskipun kawasan tersebut terpencil, kes Covid-19 tetap hadir … sekiranya tidak pulang dalam waktu terdekat kemungkinan kami akan terkandas lebih lama di sana,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Perasaan sama dikongsi penuntut perubatan I.M Sechenov First Moscow State Medical University Noor Adelynna Shaqeeraz Azhar, 24, dan adiknya Noor Afdzal Shaqeel, 21, pelajar jurusan kejuruteraan penerbangan di Moscow Aviation Institute, sejurus tiba di tanah air selepas mengharungi penerbangan hampir 10 jam.

Menurut Noor Adelynna Shaqeeraz, keputusan untuk kembali ke Malaysia dibuat selepas berbincang dengan anggota keluarga susulan situasi pandemik di negara itu yang semakin meruncing.

“Kami dapat tahu berkenaan penerbangan diaturkan untuk balik ke Malaysia pada Jumaat lepas daripada pihak kedutaan, rasa lega sangat lepas terima maklumat tersebut,” katanya.

Tambah anak kedua daripada tiga beradik itu, meskipun keletihan, dia amat berpuas hati dengan prosedur perjalanan pulang yang diatur oleh kerajaan.

Pada Mac lepas, kerajaan Rusia menutup semua sempadan negara itu dan menggantung operasi penerbangan komersil. Terkini, pegawai kesihatan negara itu melaporkan sebanyak 3,249 kematian dan 326,448 kes, iaitu jumlah jangkitan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia terkandas selamat pulang dari Timur Tengah

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Lebih 400 orang rakyat Malaysia hari ini selamat tiba ke tanah air melalui proses repatriasi yang dikendalikan Kementerian Luar, selepas terkandas di beberapa buah negara di Timur Tengah, disebabkan ketiadaan penerbangan pada masa ini akibat penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi, Algeria, Tunisia, dan Maghribi, telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi.

“Seramai 91 daripada mereka yang terkandas di Arab Saudi, selamat tiba di KLIA kira-kira jam 1.05 tengah hari dengan menaiki pesawat Malindo Air. Mereka sebelum itu telah menaiki pesawat bantuan kemanusiaan Saudia Airlines yang dihantar oleh Kerajaan Singapura, bagi membawa pulang warganya dari Arab Saudi.

“Manakala seramai 312 warga Malaysia yang terkandas di Algeria, Tunisia dan Maghribi tiba di sini kira-kira jam 1.40 tengah hari menaiki pesawat sewaan khas Air Asia X. Penumpang dari Maghribi yang mengikuti penerbangan pulang ini telah diterbangkan khas dari Maghribi ke Algeria, untuk turut serta dalam misi repatriasi tersebut”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, 17 warganegara Indonesia, Singapura (6), Jepun (9) dan Korea (2) turut dibenarkan menaiki pesawat berkenaan, sebagai mengambil kira semangat ‘ASEAN solidarity’ dan kesemua mereka dijadual akan mengambil penerbangan seterusnya untuk pulang ke negara masing-masing.

“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua negara yang menghulurkan bantuan, dalam memastikan misi ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut mengambil maklum ketibaan 371 lagi rakyat Malaysia dari Mesir, yang telah tiba pada hari ini jam 5.25 pagi tadi, di mana mereka telah pulang atas pembiayaan sendiri dengan menaiki pesawat kelolaan Zara Zakiah Sdn Bhd.

– BERNAMA