Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi: Permohonan umrah Ramadan sudah dibuka

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Arab Saudi mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan sudah dibuka mulai Ahad iaitu 6 Mac lalu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Kementerian itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter rasminya menjelaskan ini bagi memudahkan bakal jemaah umrah Ramadan menyusun perancangan mereka lebih awal.

Bagaimanapun, kementerian mengingatkan jemaah yang mahu menukar tarikh tempahan permit akan diminta membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.

“Ini bagi memberi peluang sama rata kepada jemaah lain membuat tempahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, slot tempahan umrah pada bulan Ramadan akan ditambah kepada 12 slot sehari berbanding lapan sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perlu dos penggalak untuk sertai aktiviti masjid, negeri tunggu perkenan Sultan

GOMBAK, 19 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyarankan hanya individu yang mengambil dos penggalak sahaja diberi kebenaran terlibat dalam aktiviti di surau dan masjid ketika Ramadan.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu hanya boleh dimuktamadkan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ia bukan hak saya untuk mengumumkannya tetapi saranan itu disokong Majlis Keselamatan Negeri (MKN) pengurusan pandemik Covid-19.

“Kita menunggu perkenan Tuanku untuk meluluskan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti ibadah di masjid atau surau kerana kebiasaannya menjadi tumpuan pada Ramadan,“ kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menimbang keperluan pengambilan dos penggalak sebagai salah satu faktor dalam kebenaran penglibatan program berkaitan.

Amirudin berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor: Pengurusan Pandemik kali kedua untuk 2022 pada 14 Februari lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Hijrah Selangor tawar pembiayaan sehingga RM20,000 sempena Ramadan, Syawal

SHAH ALAM, 18 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan program pembiayaan sehingga RM20,000 kepada usahawan negeri ini yang layak sempena Ramadan dan Syawal.

Pengurus Promosinya, Mohd Ridhwan Asmara berkata permohonan skim i-Bermusim dibuka mulai 25 Februari hingga 25 Mac ini bagi permohonan beroperasi di bazar Ramadan manakala bagi ekspo Aidilfitri pula tarikh tutupnya akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata, program pembiayaan ini memberi peluang kepada golongan terbabit memperoleh modal perniagaan bagi beroperasi di bazar Ramadan dan ekspo Aidilfitri.

“Pinjaman dari RM1,000 sehingga RM20,000 hanya diberi kepada peniaga yang mempunyai permit sah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain mempunyai premis perniagaan, hanya satu pembiayaan diberikan dalam perniagaan berbentuk perkongsian,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh kelulusan bagi pembiayaan bawah RM5,000 mengambil masa kurang tujuh hari manakala pinjaman melebihi jumlah tersebut sekitar dua minggu.

“Tempoh pembiayaan pula sehingga 25 minggu atau enam bulan dengan caj perkhidmatan satu peratus dikenakan setiap bulan dan bayaran balik adalah secara mingguan,” katanya.

Permohonan boleh dibuat dengan menghubungi mana-mana pegawai pembiayaan Hijrah di cawangan berhampiran.

Berikut dokumen diperlukan:

– Dua keping gambar berukuran pasport
– Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
– Salinan lesen SSM/PBT atau salinan perjanjian membabitkan aktiviti perniagaan
– Salinan penyata akaun bank atau muka depan buku akaun
– Salinan bil utliti premis dan tempat tinggal

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ikan bekok tambah selera ketika berbuka puasa, sahur

KOTA BHARU, 5 MEI: Seorang pengusaha ‘ikan bekok’ (ikan bengkak) meraih pendapatan berganda dan tidak menang tangan apabila permintaan pelanggan terhadap hidangan pembuka selera itu terus meningkat sepanjang Ramadan kali ini.

Nor Azreena Mohd Nor, 37, mengusahakan ikan bekok sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, bermula sekitar 50 kilogram (kg) sebulan, permintaan terus meningkat mencecah 150 kg pada Ramadan kali ini.

Katanya idea untuk membuat ikan bekok tersebut tercetus, setelah beliau memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Tak sangka pula mendapat sambutan berganda berbanding sebelum ini, proses hanya 50 kg ikan sahaja purata sebulan.

“Pada bulan puasa seperti sekarang, pelanggan gemar makan ikan bekok untuk berbuka, malah ia membuka selera ketika bersahur, kerana ada kecapan rasa masin, lemak ditambah pula adanya bawang dan cili goreng serta perahan asam limau,” katanya ketika ditemui di gerai Ikan Bekok Kadok di Kampung Berangan Jalan Kota Bharu-Ketereh, di sini.

Bercerita lanjut, Nor Azreena untuk menyediakan ikan bekok tersebut, beliau mempunyai dua cawangan iaitu di Kadok dan Tanah Merah, dibantu tujuh pekerja untuk menyiang ikan segar dengan membelah perut, kemudian ikan itu direndam di dalam air garam semalaman.

“Pada keesokan hari, air garam tadi dibuang dan ikan kemudian direndam ke dalam air biasa selama empat jam untuk menghilangkan rasa masin berlebihan. Selepas itu barulah dijemur selama tiga hingga lima jam, bergantung kepada tahap cuaca panas.

“Sebaik sahaja ikan ini dijemur mengikut tempohnya, kita perlu angkat dan terus dimasukkan ke dalam peti, bagi membolehkan penyimpanan lebih lama sehingga tiga minggu,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Nor Azreena berkata bekalan ikan segar diambil daripada pembekal di Tok Bali, Pasir Puteh Geting, Tumpat, Jelawat dan Bachok.

“Antara jenis ikan bekok yang dihasilkan termasuk gelama bongkok, gelama gigi, cencaru, layur, talang, selar kuning dan ‘butir nako’, manakala ikan kering seperti tambang, pari, pelata serta bulu ayam, yang dijual dari harga RM18 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada jenis ikan.

Nor Azreena berkata, ikan bekok tersebut juga mendapat permintaan untuk dipasarkan ke luar negara seperti United Kingdom dan Arab Saudi, namun beliau terpaksa menangguhkan atas beberapa kekangan seperti kos penghantaran, ketahanan ikan serta pembungkusan, bagi memastikan ia dihantar berada dalam keadaan baik.

“Walau bagaimanapun, untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan bekok di luar Kelantan, sehingga kini saya mempunyai 20 hingga 30 ejen dari seluruh negara,” kata ibu kepada tujuh anak dan mendapat sokongan suami Muhammad Ai’Amin Mohamad Kasim, 37, yang bekerja sebagai kakitangan awam.

Sementara itu seoarang pelanggan, Tuan Jusoh Tuan Dollah, 50, yang berasal dari Pasir Puteh berkata, sejak puasa beliau sudah beberapa kali membeli ikan bekok di situ, kerana gemarkan aroma dan rasanya yang boleh membuka selera.

“Ikan bekok ini adalah makanan tradisi sejak dulu, dan biasanya orang berpuasa kurang berselera terutama waktu dinihari ketika sahur, tetapi apabila ada ikan bekok yang digoreng panas-panas, ia menambah kenikmatan semasa makan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gastrik bukan alasan malas puasa, kata pakar kesihatan

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Masalah gastrik yang dialami oleh sesetengah orang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menunaikan ibadah puasa yang merupakan rukan Islam ketiga.

Pakar pemakanan dari Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata mereka yang telah lama menghidap penyakit itu sepatutnya membuat persiapan tertentu bagi membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan lancar.

“Sebelum Ramadan, biasakan diri dengan berpuasa, mungkin hari ini separuh hari, esok lusa boleh dilanjutkan lagi mengikut ketahanan perut. Secara tidak langsung, individu itu boleh menyesuaikan diri dengan keadaan enzim perut supaya perut tidak ‘terkejut’ apabila perlu berpuasa.

“Sebab itu, amalan berpuasa perlu dididik sejak kecil untuk dibiasakan dengan fisiologi tubuh dengan keadaan tiada makanan dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa yang sama, katanya, mereka juga perlu memilih makanan yang bersesuaian selain perlu makan dalam jumlah sederhana, sama ada ketika bersahur atau berbuka.

“Ketika bersahur, elakkan daripada mengambil makanan pedas, berminyak dan berempah serta minuman yang mempunyai kafein tinggi seperti teh dan kopi.

“Sewaktu berbuka pula digalakkan untuk mengambil makanan ringan terlebih dahulu sebelum menikmati hidangan berat selain perlu minum air kosong yang banyak agar tubuh tidak mengalami dehidrasi,” katanya.

Menurutnya, gastrik berlaku disebabkan jus atau enzim gaster dalam perut dirembeskan untuk mencerna makanan pada waktu tertentu dan ketika berpuasa enzim itu tetap dikeluarkan walaupun dalam kadar yang sedikit menyebabkan perut menjadi pedih.

Bagi seorang pesakit gastrik Khairul Anwar Mat Hassan,35, mengakui penyakit itu hanya dialami ketika bulan Ramadan, namun itu tidak dijadikan sebagai halangan untuk terus berpuasa.

Menurut usahawan dari Pasir Puteh, Kelantan itu, beliau mula menghidap penyakit gastrik semasa menuntut di pusat pengajian tinggi sekitar 2007 akibat tekanan belajar sehingga terlalu kerap meninggalkan waktu makan.

“Untuk memastikan terus berpuasa, doktor menasihatkan saya untuk menukar pola pemakanan dan jenis makanan yang diambi selain turut dibekalkan dengan ubat antasid yang berfungsi untuk meneutralkan asid perut yang berlebihan,” katanya.

Bagaimanapun keadaannya agak berbeza untuk Norida Mohammad Nasir, 42, yang menghidap penyakit gastrik yang serius sehingga ada masanya terpaksa meninggalkan ibadah itu kerana tidak mampu menahan kesakitan.

“Saya kena gastrik berpunca daripada ubat migrain yang menyebabkan perut saya ada ulser dan pernah menjalani pemeriksaan endoskopi. Apabila gastrik mula menyerang, saya akan mengalami rasa pedih ulu hati, perut memulas, menggigil serta loya,” katanya.

Doktor juga menyarankannya agar tidak berpuasa kerana khuatir tindakan itu menyebabkan komplikasi gastrik yang semakin teruk, namun beliau tetap mencuba untuk ibadah itu jika berkemampuan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB serah sumbangan RM100,000 kepada 20 masjid di Gombak

RAWANG, 30 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan sejumlah RM100,000 kepada 20 masjid di daerah Gombak.

Sumbangan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) diadakan di Masjid Kampung Sungai Serai, Kuang sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari kemudian menunaikan solat Jumaat serta meneruskan program jelajah ke Batang Kali.

Pada 23 April, Amirudin berkata sejumlah RM2 juta diperuntuk kepada masjid di Selangor untuk mengadakan aktiviti keagamaan.

Semua masjid menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah sejak perebakan Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor salur hampir RM2 juta untuk aktiviti Ramadan di masjid

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Hampir RM2 juta diperuntuk Kerajaan Selangor untuk diberikan kepada semua masjid sepanjang Ramadan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan sebanyak RM5,000 setiap masjid bertujuan melaksanakan aktiviti bulan puasa.

“Kita ada lebih 400 masjid di Selangor dan beberapa daerah seperti di Gombak sudah menerima peruntukan ini,” katanya pada Majlis Ihya Ramadan di Masjid Ar-Rahmani Kampung Permatang, Kuala Selangor.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM275,000 kepada 55 masjid di daerah itu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau berpuas hati dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditunjuk jemaah di masjid.

Katanya, perkara itu berdasarkan kunjungan beliau di beberapa masjid ketika jelajah sepanjang Ramadan ini.

Categories
RENCANA

Tingkat amalan baca al-Quran sepanjang Ramadan

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Setiap tahun, umat Islam menunggu ketibaan bulan Ramadan, bukan sahaja untuk menunaikan ibadah puasa namun melakukan pelbagai ibadah lain termasuk tadarus al-Quran.

Ramadan juga adalah bulan al-Quran diturunkan dan peristiwa itu disebut sebagai hari Nuzul Al-Quran yang jatuh pada tanggal 17 Ramadan. Namun umat Islam dianjurkan membaca kitab suci ini bukan sahaja sepanjang Ramadan, tetapi juga sepanjang hayat mereka.

Di samping membaca al-Quran, kini ada satu lagi pilihan untuk umat Islam beramal iaitu ‘Al-Quran Tulisanku’, seperti yang dikongsikan oleh Nurnaziera Behrin.

Usahawan muda ini adalah stokis pertama (sejak Oktober 2020) untuk ‘Al-Quran Tulisanku’ di Malaysia. Sejak kedatangan bulan Ramadan tahun ini, beliau berjaya menjual sebanyak 180 naskah, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding jualan bulanan sebelum ini, iaitu sekitar 90 naskah sahaja.

Setakat ini, beliau menjual sebanyak 1,000 naskah ‘Al-Quran Tulisanku’.

“Al-Quran Tulisanku diasaskan oleh Yayasan Fajar Shodiq berpangkalan di Kota Mojokerto, Wilayah Jawa Tmur, Indonesia. Yayasan ini menghasilkan Al-Quran Tulisanku untuk memudahkan pelajarnya memiliki naskah berkenaan untuk membantu hafazan mereka.

“Nampaknya dengan adanya ‘Al-Quran Tulisanku’, mereka dapat menghafaz dengan lebih baik,” jelas Nurnaziera, yang juga seorang guru sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan, dalam wawancara dengan Bernama menerusi telefon baru-baru ini.

Semakin mendapat sambutan

Menurut Nurnaziera, permintaan yang tinggi untuk ‘Al-Quran Tulisanku’ pada bulan Ramadan menunjukkan masyarakat orang Islam sentiasa mahu meningkatkan amalan baik sepanjang Ramadan.

Beliau menjelaskan. dengan ‘Al-Quran Tulisanku’, pemiliknya boleh menebalkan semula ayat-ayat al-Quran yang sengaja dipudarkan.

“Mereka hanya perlu mengambil pen berwarna biru atau hitam, yang sesuai dan menulisnya kembali. Hal ini secara tidak langsung akan membuatkan penulis membaca setiap huruf di dalam al-Quran.

“Satu set ‘Al-Quran Tulisanku’ ini terdiri daripada 3 naskhah yang berbeza dan dipecahkan mengikut 10 juzuk. Set 1 ialah juzuk 1 hingga 10, manakala set 2 juzuk 11 hingga 20 dan set 3 juzuk 21 hingga 30,” tambahnya.

Menurut beliau, sehingga kini, pembeli ‘Al-Quran Tulisanku’ bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dari Singapura dan Taiwan.

Untuk memperluaskan pasaran, ‘Al-Quran Tulisanku’, beliau mempunyai sekitar 32 orang dropship employees di seluruh negara.

Nurnaziera berkata, pihaknya juga menerima banyak permintaan daripada pelbagai sekolah Tahfiz di negara ini untuk menggunakan ‘Al-Quran Tulisanku’. Di samping itu, ada juga yang menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan atau cenderahati.

Banyak manfaat

Salah seorang pembeli ‘Al-Quran Tulisanku’ adalah Fatimah Fawziyah Mohd Nazir yang menyifatkan ia amat memberi manfaat kepada diri beliau.

“Bagi saya secara automatik kita akan membaca al-Quran dan pada masa yang sama, ia menjadi terapi diri terutamanya untuk meningkatkan kesabaran.

“Di samping ada ganjaran pahala membaca serta menulis ayat-ayat Al-Quran, ia boleh dilakukan dengan anggota keluarga yang lain. Selain tadarus, kita boleh melakukan aktiviti ini, tambahan dalam keadaan pandemik ini, kita tak digalakkan berkumpul beramai-ramai untuk bertadarus kerana SOP Covid-19, ” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Fatimah Fawziyah berkata, beliau membeli ‘Al-Quran Tulisanku’ untuk membantu beliau menghafaz ayat-ayat al-Quran. Setakat ini beliau sudah menghafaz tujuh juzuk al-Quran termasuk juzuk 30.

Nuzul Quran

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam, UiTM Melaka, Dr Khairul Azhar Meerangani berkongsi hikmah Nuzul Quran.

“Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibrail, kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira.

“Peristiwa itu juga disebut Malam Qadar dan sesungguhnya al-Quran itu adalah setinggi-tingginya mukjizat Nabi Muhammad SAW dan untuk menjadi pedoman umat baginda sehingga hari kiamat, ” kata beliau.

Menurut beliau, anugerah kitab suci Al-Quran kepada umat Nabi Muhamamd S.A.W. menjadi pedoman untuk kehidupan yang lebih baik di dunia membawa kepada kebahagian hidup di akhirat.

Beliau menambah, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ini, umat Islam seharusnya tidak menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk mengurangkan amal ibadat mereka.

Sebaliknya, kata Khairul Azhar, mereka boleh menggunakan kesempatan untuk meningkatkan amal ibadat dengan menggunakan semua platform yang ada, di samping bersabar dengan ujian yang menimpa.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di Malaysia menjaga adab termasuk ketika berkomunikasi dalam media sosial.

“Al-Quran menyediakan pelbagai garis panduan serta etika yang baik serta komunikasi yang luhur dalam menyemai nilai murni serta perwatakan yang mulia dalam kehidupan harian.

“Bulan Ramadan memberi kita kesempatan untuk meningkatkan nilai murni dalam diri kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Hampir 400 peserta Seldec sertai e-bazar sempena Ramadan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Hampir 400 peserta Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menyertai program e-bazar di bawah 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Ramadan ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata pendaftaran masih dibuka kepada orang ramai terutama golongan belia bagi menyertai program anjuran Kerajaan Negeri.

“Usaha ini bagi membantu penghantar makanan menjana pendapatan di samping memudahkan peniaga menjual barangan mereka agar sampai kepada pelanggan.

“Selain menawarkan perkhidmatan penghantaran bahan mentah, Seldec turut membimbing peniaga kecil khususnya ke arah pendigitalan yang mana pembelian dilakukan menerusi dalam talian,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan memperkenalkan Pengarah Eksekutif Hijrah baharu di Kelab Shah Alam di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Seldec, Mohd Fauzan Elham berkata pihaknya menawarkan insentif RM200 kepada penghantar makanan yang berkhidmat sehingga hari terakhir Ramadan.

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih ramai penghantar barangan yang menggunakan kereta serta motosikal bernaung di bawah syarikat itu.

Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi http://dapur.seldec.com.my/join/rider/.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

500 asnaf sekitar Sentosa dapat bantuan Ramadan

KLANG, 18 APRIL: Seramai 500 asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dikenal pasti untuk menerima bantuan sempena Ramadan.

Wakil rakyatnya Dr Gunarajah R George berkata pemilihan nama melalui jawatankuasa masjid dan surau meliputi sumbangan berbuka puasa dan moreh.

“Kita ada beberapa program yang sudah dirancang seperti majlis berbuka puasa, sumbangan moreh dan Kerajaan Selangor akan beri sumbangan baucar membabitkan 500 keluarga asnaf.

“Mereka yang memerlukan boleh datang mendaftar di pusat khidmat selain nama mereka yang layak akan diberikan oleh jawatankuasa masjid dan surau,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kelas percuma Sinar Ilmu Harapan Sentosa di pusat khidmatnya yang menyasar 30 murid bermasalah dalam pembelajaran.

Kelas yang berlangsung setiap Sabtu bagi memastikan murid berkenaan menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Sementara itu, Gunarajah berkata sebanyak tujuh surau dan masjid sekitar Sentosa menerima sumbangan kurma awal Ramadan lalu.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Semua cawangan Zakat Selangor dibuka setiap hari sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat harta dan fitrah.

Agensi berkata semua cawangan dibuka mulai jam 9 pagi hingga 3.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Bagi operasi di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Shah Alam bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang dan hanya ditutup pada cuti umum.

“Demi keselamatan bersama, kami menyeru agar kita dapat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan ketika berurusan di cawangan kami,” katanya di Facebook.

LZS juga memaklumkan bayaran zakat juga boleh dibuat secara dalam talian di EZakatpay: http://fpx.zakatselangor.com.my serta menerusi aplikasi e-dompet Touch n Go dan juga Jompay.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 tan makanan, plastik terbuang awal Ramadan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kira-kira 10,000 tan makanan masih elok dan plastik terbuang setiap hari sejak awal Ramadan, kata menteri alam sekitar dan air.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan penduduk dan peniaga itu mengancam sistem saliran perparitan sekali gus mengakibatkan pencemaran bau, lapor Berita Harian.

“Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganggarkan kira-kira 10,000 tan makanan yang masih elok dan plastik terbuang sehari di seluruh semenanjung pada awal Ramadan.

“Jumlah ini dijangka meningkat kerana semakin ramai pengguna berbelanja sehingga berakhir bulan Ramadan. Malahan, pada hari biasa juga amalan yang sama berlaku dalam kalangan penduduk,” katanya.

Justeru, Tuan Ibrahim meminta penduduk dan peniaga kedai makan atau kilang membuang sisa makanan, plastik, barang keperluan dapur yang sudah tidak digunakan ke tempat yang disediakan.