Categories
AGENDA NASIONAL

Ramalan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Disember manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Januari.

PRABN di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu berikutan amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Menurut pemakluman yang disiarkan di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my , daerah di Pahang yang diramal banjir adalah Maran, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitar, Kuantan (Sungai Lembing) serta Rompin manakala di Johor, Mersing serta kawasan sekitarnya.

Di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan kawasan sekitar; Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar.

Selain itu, banjir juga diramal di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta kawasan sekitar daerah-daerah berkenaan.

“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.

Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my , media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir tahun ini diramal lebih teruk banding tahun lalu

CYBERJAYA, 31 OKT: Musim Monsun Timur Laut pada tahun ini dijangka menyebabkan banjir yang lebih teruk berbanding tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata, Monsun Timur Laut pada kali ini dijangka menyebabkan peningkatan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus daripada biasa.

“Tahun lepas tidak ada banjir langsung di Kelantan, tahun ini mungkin ada banjir,” katanya kepada pemberita selepas taklimat pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi Monsun Timur Laut di Pusat Kawalan Bencana Negara di Pulau Meranti dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, MetMalaysia tidak menjangka keadaan banjir yang luar biasa pada tahun ini seperti banjir besar pada 2014 di Kelantan.

Pada 2014, bencana banjir besar di Kelantan mengakibatkan mangsa mencecah 100,000.

Menurutnya, Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada Mac dengan musim hujan di Semenanjung diramalkan berakhir pada Januari, dan selepas itu Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.

“Selepas Mac, fasa kedua Monsun Timur Laut akan berlaku dengan cuaca kering dan panas,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban berkata, sebanyak 14 agensi yang terlibat dalam penyelarasan banjir menghadiri taklimat hari ini.

Antara agensi yang hadir ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).

“Mulai hari ini, NADMA mengaktifkan pusat kawalan operasi banjir peringkat pusat sebagai langkah persediaan dan bersiap-siaga untuk hadapi Monsun Timur Laut dan banjir,” katanya.

Menurutnya, sehingga 4 petang hari ini, sembilan pusat pemindahan sementara banjir masih dibuka di tiga negeri dengan 1,542 mangsa.

Zakaria berkata, pusat kawalan operasi banjir akan menyelaras sebarang tindakan dan bantuan di lapangan berkaitan bencana banjir di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara, Zuraini Mohd Yusof berkata, pada masa ini, banjir monsun belum lagi berlaku dan apa yang berlaku sekarang adalah banjir kilat.

“Sebab itu banjir yang berlaku tidak lama dan ada pusat pemindahan sementara yang sudah ditutup. Banjir Monsun Timur Laut dijangka bermula pertengahan November,” katanya.

– BERNAMA