Categories
AGENDA JENAYAH

Penguasa SPRM dipenjara, sebat salah guna wang rampasan beli kereta mewah, hartanah

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah US$6.94 juta.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 Sept 2021.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai US$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum Nizam didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah US$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Shahrum Nizam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dalam pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sebelum ini.

“Kesalahan pertama ini merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan keputusan. Anak guam saya juga mengakui akibat kes ini, hidupnya dalam kegelapan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan bapa kepada dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

Menceritakan mengenai latar belakang pekerjaan anak guamnya, Ahmad Hafiz berkata tertuduh telah berkhidmat dengan SPRM sejak 14 Nov 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

Katanya tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut diberikan kepada mahkamah.

Menurut Ahmad Hafiz, aset yang dibeli menggunakan wang hasil daripada rampasan SPRM itu, telah dirampas dan disita oleh SPRM dan anak guamnya memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

“Mahkamah perlu mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

“Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira nilai wang yang terlibat dan kesalahan ini telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaut hasil laut, RM700 juta aset nelayan asing dirampas

PASIR PUTEH, 4 OKT: Hampir RM700 juta aset nelayan asing yang digunakan bagi mengaut hasil laut negara ini dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2019 hingga September lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata jumlah rampasan itu melibatkan nilai bot, lelongan hasil tangkapan, denda serta kompaun yang dilaksanakan melalui Op Naga dan Op Kuda Laut di seluruh negara.

“Menerusi Op Naga, Maritim merampas 303 bot dengan nilai rampasan berjumlah RM445 juta termasuk bot dan hasil lelongan, selain 2,000 kru bot nelayan terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia ditahan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.

Mohd Zubil berkata menerusi Ops Kuda Laut pula sebanyak 149 bot dirampas dengan nilai keseluruhan RM224 juta sementara 1,516 kru nelayan asing ditahan.

“Sejak penubuhan Maritim Malaysia, saya anggarkan sudah berbilion nilai rampasan melibatkan aset nelayan asing ini dilakukan. Apa yang boleh saya rumuskan 90 peratus bot yang menceroboh masuk ke perairan negara ini adalah milik nelayan Vietnam,” tambahnya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis rampas dadah nilai RM201 juta, saki baki dalang diburu

JOHOR BAHRU, 17 JAN: Polis Johor berjaya melakukan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta menerusi serbuan di tiga stor penyimpanan di sekitar bandar raya ini, pada 14 dan 15 Januari lepas.

Ketua Polisnya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan itu yang terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia, adalah hasil siasatan terhadap 15 suspek yang ditahan dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah pada 12 Januari lepas.

Katanya penahanan yang dilakukan menerusi serbuan ke atas dua makmal yang memproses dadah dan dua stor penyimpanan itu, berhasil menemukan dadah bernilai RM125.8 juta.

“Hasil siasatan terhadap suspek kemudian membolehkan polis menyerbu tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah iaitu di sebuah kilang di Taman Mount Austin dan dua buah rumah sewa d Taman Setia Indah di sini.

“Dalam serbuan ini, polis menemukan 3.2 tan serbuk ecstasy, 26.1 kilogram (kg) cecair ecstasy dan 117 kg serbuk Erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan kira-kira 11 juta penagih dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Khaw Kok Chin, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, polis turut menyita empat buah kenderaan mewah, wang tunai berjumlah RM5 juta; wata wang asing berjumlah RM231,961; 30 jenis barang kemas bernilai RM124,435; tiga utas jam tangan Rolex bernilai RM250,000 serta 62 akaun bank bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sama.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan adalah bernilai RM210.52 juta,” katanya sambil menambah dua lelaki tempatan berusia 34 dan 38 tahun turut telah ditahan masing-masing pada 5.20 petang, 14 Jan di Taman Mount Austin dan 2.30 petang di Taman Gaya, Ulu Tiram semalam kerana dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

Ayob Khan memberitahu, salah seorang suspek itu adalah mekanik yang bertanggungjawab untuk mengubah suai kompartmen kenderaan, bagi menyimpan dadah.

“Sindiket ini beroperasi sejak 2018, dengan menyewa premis kilang dan rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan pemprosesan dadah.

“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula daripada hari tangkapan untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ayob Khan menjelaskan kes terbaharu ini menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas sejak 12 Januari lepas berjumlah RM341.79 juta dan oleh itu, pihaknya menjamin akan terus melakukan siasatan susulan bagi mengesan saki baki suspek yang terlibat.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belantan, pistol renjat untuk penguatkuasa PBT

teng pc stripe tie 01SUBANG JAYA 24 SEPT : Pegawai Penguatkuasa di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan dilengkapi dengan peralatan keselamatan belantan renjat dan pistol renjat tidak lama lagi.

Exco Kajian, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim berkata kelengkapan ini perlu supaya penguatkuasa dapat melaksanakan tugas mereka dalam keadaan selamat ketika menjalankan tugas seperti operasi serbuan atau rampasan.

Katanya, pihaknya sudah membuat sebut harga dan setakat ini hanya tunggu kelulusan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Kita sudah menghantar permohonan kepada SIRIM awal bulan ini dan kita masih menunggu kelulusan, jika sudah mendapat maklum balas kita akan terus laksanakannya,” katanya kepada pemberita seusai pembentangan Dialog Belanjawan 2014 yang bertajuk Pengukuhan Perkhidmatan PBT, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Senjata renjat menggunakan aliran elektrik untuk menganggu kawalan otot dan menyebabkan saraf otot kehilangan upaya buat seketika. Belantan dan pistol renjat itu tidak bertujuan untuk menyebabkan kesakitan melampau, kecuali penggunanya memilih mod tertentu.

Sebagai permulaan hanya anggota-anggota terlatih akan diberi kelengkapan itu.

“Peruntukkan saya masih lagi mempunyai baki RM1 juta. Jika sebut harga dan keputusan dari SIRIM itu dalam tempoh terdekat maka kita akan gunakan peruntukkan itu dan jika lambat, kita gunakan peruntukkan tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Teng memaklumkan Kerajaan Negeri dan PBT sedang mengkaji untuk memberi kenaikan elaun lebih masa kepada penguatkuasa. Turut diberi perhatian adalah kenaikan pangkat penguatkuasa.

“Penguatkuasa yang sedia ada akan ditawarkan bonus yang menarik serta elaun yang tinggi bagi mereka mempertingkatkan mutu kerja seterusnya menaikkan imej PBT,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri mengkaji untuk melantik penguatkuasa secara kontrak bagi memantapkan lagi penyampaian khidmat PBT di wilayah masing-masing.