Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wakil rakyat sokong Rancangan Selangor Satu, cadang libat sektor swasta

SHAH ALAM, 27 NOV: Rancangan Selangor Satu (RS-1) perlu penglibatan sektor swasta bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San berkata usaha Kerajaan Negeri itu dalam memulihkan ekonomi pasca pandemik perlu disokong semua pihak.

“RS-1 adalah sesuatu yang cukup berwawasan daripada infrastruktur tetapi mencabar dalam aspek pelaksanaan dan penyampaian dilakukan dalam masa terdekat.

“Usaha ini agak tersusun untuk kita bangkit selepas pandemik dan rakyat perlu bekerjasama merealisasikannya selain kerjasama sektor swasta,” katanya.

Weng San ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan memaklumkan Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu pelan pembangunan lima tahun (2022 hingga 2026).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi menumpukan usaha mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dan memacu agenda pembangunan untuk memastikan Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi yang mampan di Malaysia dan Asia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rancangan Selangor Satu jadi pelan percepat pemulihan pasca pandemik

SHAH ALAM, 26 NOV: Buat julung kali, Selangor akan memiliki pelan lima tahun ke hadapan melalui Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang dilancarkan suku pertama 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rancangan 2022 hingga 2026 menumpukan usaha mempercepat proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dan memacu agenda pembangunan negeri.

Katanya, pelan itu berperanan sebagai dokumen strategik yang menyelaras agenda pembangunan semua peringkat meliputi pejabat tanah dan daerah, pihak berkuasa tempatan serta persekutuan.

“Pelan pembangunan lima tahun Selangor bermula sejak awal tahun ini melibatkan proses konsultasi dan libat urus pihak berkepentingan di peringkat negeri, persekutuan dan swasta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata peringkat awal fasa pemulihan Covid-19 mendorong pihaknya mengenal pasti strategi memperkukuh sektor ekonomi dan taraf hidup rakyat demi masa depan yang lebih cerah.

“Langkah dan strategi yang kita laksanakan bukan sahaja kritikal untuk Selangor dan rakyatnya, tapi turut memberi impak kepada masa depan negara,” katanya.