Categories
NASIONAL

RUU MKN: Cubaan terbaru Najib lindungi diri

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 DIS: Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 jelas merupakan percubaan ‘tak tahu malu’ pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melindungi kepentingan peribadinya.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata MKN langsung tidak berkaitan dengan soal keselamatan negara, sebaliknya hanya bertujuan memanjangkan hayat politik Najib yang semakin lemas di lautan skandal.

Katanya, tindakan itu juga nyata tidak berpandukan perlembagaan dan mencabul kebebasan asas rakyat.

MB Azmin“Cukuplah kita dibebani dengan pelbagai jenis undang-undang menindas, janganlah ditambah lagi dengan undang-undang zalim yang jelas bertentangan dengan proses demokrasi dan institusi kerajaan berperlembagaan.

“Undang-undang ini hanya akan membawa kita kepada satu jalan iaitu jalan menuju pemerintahan diktator,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 sekitar jam 10.52 malam, selepas dibahas lebih enam jam.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, Najib tidak patut bertopengkan alasan keselamatan negara bagi melindungi salah lakunya dan menekan pihak lawan sama ada dari dalam dan luar parti.

Katanya, semua pihak termasuk Ahli Parlimen, parti politik, dan orang awam mesti menolak rang undang-undang ini kerana ia jelas menyekat suara hati rakyat dalam membezakan antara salah dan betul.

NAJIB_MKN“Adakah kita dipilih oleh rakyat untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada badan Eksekutif untuk menginjak-injak hak asasi dan kebebasan rakyat?

“Bukankah kita sudah bersumpah untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan Rukun Negara demi memastikan negara ini maju di bawah kedaulatan undang-undang dan demokrasi,” katanya.

-nR-