Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa di empat negeri menurun, Melaka kekal

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan dengan beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, manakala di Melaka kekal dengan jumlah sama.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan banjir di Bera pulih apabila PPS terakhir di daerah itu ditutup petang ini, selepas semua 32 mangsa terakhir dibenarkan pulang, menjadikan hanya lima daerah masih terjejas iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 6,351 mangsa masih berada di 48 PPS petang ini, berkurangan daripada 7,319 orang tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan pada malam ini, manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat 5 petang tadi, dengan 42 mangsa daripada lapan keluarga berbanding 54 orang daripada 15 keluarga tengah hari tadi, di satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM mencatatkan 2,285 mangsa masih ditempatkan 13 PPS setakat 5.03 petang.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diarah mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah berikutan tanah runtuh dan tidak selamat didiami.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini di aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan dua PPS di Jelebu turun kepada 29 individu daripada sembilan keluarga setakat petang ini berbanding 36 individu daripada 12 keluarga tengah hari tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa  kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang ini yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng, Jasin, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

— BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: ‘Medan perang’ baharu menanti, kekal patuhi SOP

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut rangkuman mingguan Bernama mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta dunia dari 9 Oktober hingga jam 12 tengah hari, 15 Oktober.

Kes kumulatif di Malaysia melepasi 2.3 juta kes. Di peringkat global, lebih 240 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 4.8 juta. Lebih 217 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh.

Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 223 buah negara dan wilayah.

___________________________________________________________________________________________________

SHAH ALAM, 15 OKT: Meskipun penularan Covid-19 dalam negara semakin terkawal, rakyat di negara ini masih belum bebas sepenuhnya daripada ancaman koronavirus itu, justeru perlu bersedia menghadapi ‘medan peperangan’ baharu.

Peringatan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ini dikongsi di dalam laman Facebook peribadi beliau pada 13 Oktober lepas, antaranya, merujuk kepada fasa endemik yang disasarkan negara pada penghujung bulan ini.

“Kita hanya boleh menang peperangan ini seandainya kita, semua rakyat Malaysia secara kolektif, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial, terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) serta garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya, sambil menekankan semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan ‘Keluarga Malaysia’ dilindungi daripada ancaman Covid-19.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA

Saranan beliau seiring dengan keputusan kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi untuk melakukan pergerakan rentas negeri, berkuatkuasa 11 Oktober lepas.

Peringatan Dr Noor Hisham ini juga dilihat dalam jangkaan pergerakan “Balik Kampung” secara besar-besaran berlaku pada penghujung minggu ini, memandangkan terdapat satu hari cuti umum yang jatuh pada hari Selasa, 18 Oktober iaitu Maulidur Rasul (Hari Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.)

Kerajaan membenarkan rentas negeri selepas 90 peratus populasi dewasa negara ini menerima vaksinasi lengkap di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sejak hampir sebulan lepas, jumlah kes sembuh yang terus mengatasi angka kes harian baharu membantu menurunkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes sembuh sebanyak 12,456 kes berbanding kes harian baharu sebanyak 8,084 kes.

Ini menjadikan kes aktif Covid-19dengan kebolehjangkitan semalam menurun lagi kepada 101,587 kes berbanding jumlah yang direkod pada 14 September, iaitu sebanyak 225,277 kes.

Kes kumulatif sembuh kini sebanyak 2,240,345 kes iaitu 94.5 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 di seluruh negara, sementara kes kumulatif pula sebanyak 2,369,613 kes.

Meskipun keadaan penularan wabak Covid-19 dalam negara terkawal dan angka kes berada bawah 9,000 kes, namun trend angka kes harian baharu menunjukkan sedikit peningkatan.

Bermula pada 10 Oktober, angka kes yang menurun kepada sekitar 7,000 kes kepada sekitar 6,000 kes pada 11 Oktober, kembali meningkat sehingga kepada sekitar 8,000 pada 14 Oktober.

Mengikut data COVIDNOW KKM semalam, dua buah negeri mencatat kes harian baharu empat angka iaitu Selangor 1,623 kes dan Sarawak 1,056 kes.

Berikut rekod kes harian baharu mulai 9 hingga 14 Oktober:

9 Oktober – 8,743 kes, 10 Oktober – 7,373 kes, 11 Oktober – 6,709 kes, 12 Oktober – 7,276 kes, 13 Oktober – 7,950 kes dan 14 Oktober – 8,084 kes.

Rekod kes sembuh untuk tempoh sama:

9 Oktober – 14,422 kes, 10 Oktober – 10,959 kes, 11 Oktober – 10,833 kes, 12 Oktober – 10,555 kes, 13 Oktober – 10,832 kes) dan 14 Oktober – 12,456 kes.

Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA

Dengan kes kumulatif 2,369,613, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik. Di hadapan Malaysia ialah Ukraine (2,597,275 kes) dan Filipina (2,698,232 kes).

Untuk kes pesakit yang memerlukan rawatan rapi, setakat semalam, sebanyak 683 kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan 286 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 88 kes kematian dilaporkan pada Khamis 14 Oktober, menjadikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam negara berjumlah 27,681 kes.

Sementara itu, daripada 8,084 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 133 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 sementara 7,951 kes (98.4 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang Rangkuman Mingguan ini, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

9 Oktober (0.86), 10 Oktober (0.87), 11 Oktober (0.88), 12 Oktober (0.88), 13 Oktober (0.88) dan 14 Oktober (0.88).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 14 Okt adalah WP Putrajaya (1.04), Negeri Sembilan (1.04) dan Perlis (0.98).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perkembangan lain dalam negara

Sehingga 14 Oktober, jumlah kluster yang masih aktif di Malaysia terus menurun kepada tiga angka iaitu 744 kluster.

Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 5,641 kluster di kesan di negara ini dan sebanyak 4,897 kluster daripadanya, ditamatkan.

Jumlah kluster baharu juga semakin berkurangan iaitu hanya 71 kuster. Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 28 kluster (39.4 peratus) dan kluster komuniti sebanyak 25 kluster (35.2 peratus).

Sementara itu, menurut perincian COVIDNOW KKM, daripada 8,084 kes harian baharu, hanya dua negeri mencatat kes empat angka, 11 buah negeri kes tiga angka, dua buah negeri kes dua angka dan sebuah negeri, sifar kes.

Senarai negeri seperti berikut:

  • Kes harian baharu empat angka – Selangor 1,623 kes dan Sarawak 1,056 kes
  • K​​​​es harian baharu tiga angka – Kelantan 896 kes, Johor 802 kes, Sabah 689 kes, Pulau Pinang 587 kes, Terengganu 451 kes, Kedah 416 kes, Perak 408 kes, WP KL 303 kes, Pahang 289 kes, Melaka 253 kes dan Negeri Sembilan 184 kes
  • Kes harian baharu dua angka -Perlis 82 kes dan WP Putrajaya 24 kes
  • Kes harian baharu sifar – WP Labuan
Pesakit Covid-19 yang koma terlantar di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA

Senario wabak Covid-19 di Malaysia (9 hingga 14 Oktober)

Pecahan pesakit mengikut kategori:

*Kategori 5 dianggap kritikal dan memerlukan ventilator; kategori 4 memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

  • Daripada 8,743 kes harian yang dilaporkan pada 9 Oktober, 122 kes (1.4 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 8,621 kes (98.6 peratus) lagi kategori 1 dan 2
  • Daripada 7,373 kes harian yang dilaporkan pada 10 Oktober, 133 kes (1.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 7,240 kes (98.2 peratus) lagi kategori 1 dan 2
  • Daripada 6,079 kes harian yang dilaporkan pada 11 Oktober, 144 kes (2.1 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 6,565 kes (97.9 peratus) lagi kategori 1 dan 2
  • Daripada 7,276 kes harian yang dilaporkan pada 12 Oktober, 150 kes (2.1 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 7,126 kes (97.9 peratus) lagi kategori 1 dan 2
  • Daripada 7,950 kes harian yang dilaporkan pada 13 Oktober, 133 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 7,817 kes (98.3 peratus) lagi kategori 1 dan 2
  • Daripada 8,084 kes harian yang dilaporkan pada 14 Oktober, 133 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 7,951 kes (98.4 peratus) lagi kategori 1 dan 2

Berikut rekod kes sembuh untuk tempoh rangkuman yang sama:

9 Oktober (14,422 kes), 10 Oktober (10,959 kes), 11 Oktober (10,833 kes), 12 Oktober ( 10,555 kes), 13 Oktober (10,832 kes) dan 14 Oktober (12,456 kes).

*kes kumulatif sembuh sehingga 14 Oktober sebanyak 2,240,345 kes (94.5 peratus).

Rekod kes baharu, penularan tempatan dan yang berkaitan:

  • 9 Oktober – Kes baharu : 8,743 kes (2,332,221 kes kumulatif); Kes import : 14 kes (7 warganegara; 7 bukan warganegara); Kes tempatan : 8,729 kes [8,258 warganegara (94.6%); 471 bukan warganegara (5.4%)];
  • 10 Oktober – Kes baharu : 7,373 kes (2,339,594 kes kumulatif); Kes import : 2 kes (1 warganegara; 1 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,371 kes [6,991 warganegara (94.8%); 380 bukan warganegara (5.2%)];
  • 11 Oktober – Kes baharu : 6,709 kes (2,346,303 kes kumulatif); Kes import : 6 kes (5 warganegara; 1 bukan warganegara); Kes tempatan : 6,703 kes [6,454 warganegara (96.3%); 249 bukan warganegara (3.7%)];
  • 12 Oktober – Kes baharu : 7,276 kes (2,353,579 kes kumulatif); Kes import : 10 kes (2 warganegara; 8 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,266 kes [6,869 warganegara (94.5%); 397 bukan warganegara (5.5%)];
  • 13 Oktober – Kes baharu : 7,950 kes (2,361,529 kes kumulatif); Kes import : 29 kes (21 warganegara; 8 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,921 kes [7,275 warganegara (91.8%); 646 bukan warganegara (8.2%)];
  • 14 Oktober – Kes baharu : 8,084 kes (2,369,613 kes kumulatif); Kes import : 21 kes (15 warganegara; 6 bukan warganegara); Kes tempatan : 8,063 kes [7,594 warganegara (94.2%); 469 bukan warganegara (5.8%)].

 

Pasukan Persatuan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Rekod kes kematian:

*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif Covid-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.

9 Oktober (74 kes/BID 27), 10 Oktober ( 64 kes/BID 14), 11 Oktober (93 kes/BID 16), 12 Oktober (103 kes/BID 26), 13 Oktober (68 kes/BID 12) dan 14 Oktober ( 88/BID 22 kes).

*Jumlah kes kematian sehingga 14 Oktober 2021 sebanyak 27,681 kes.

Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:

  • 9 Oktober – 10 kluster (kluster tempat kerja 4, kluster komuniti 4, kluster kumpulan berisiko tinggi 2);
  • 10 Oktober – 8 kluster (kluster tempat kerja 1, kluster komuniti 5, kluster kumpulan berisiko tinggi 1 dan kluster keagamaan 1);
  • 11 Oktober – 9 kluster (kluster tempat kerja 2, kluster komuniti 4, kluster kumpulan berisiko tinggi 2 dan kluster pendidikan 1);
  • 12 Oktober -14 kluster (kluster tempat kerja 6, kluster komuniti 5, kluster kumpulan berisiko tinggi 1 dan kluster pendidikan 2);
  • 13 Oktober – 13 kluster (kluster tempat kerja 6, kluster komuniti 3, kluster pendidikan 2, kluster kumpulan berisiko tinggi 1 dan kluster pusat tahanan 1); dan
  • 14 Oktober – 17 kluster baharu (kluster tempat kerja 9, kluster komuniti 4, kluster kumpulan berisiko tinggi 3 dan kluster pendidikan 1).

Statistik global Covid-19

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) adalah 240,383,902 kes dengan 4,897,302 kes kematian. Kes pesakit sembuh pula 217,682,620.

Sebanyak 223 negara dilanda pandemik dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, United Kingdom, Rusia, Turki, Perancis, Iran, Argentina dan Sepanyol.

Pecahan kes Covid-19 untuk 10 negara teratas dan jumlah kematian seperti berikut:

  • Amerika Syarikat 45,639,012 kes (741,893 kes kematian);
  • India 34,036,684 kes (451,847 kematian);
  • Brazil 21,612,237 kes (602,201 kematian);
  • United Kingdom 8,317,439 kes (138,237 kematian);
  • Rusia 7,892,980 kes (220,315 kematian);
  • Turki 7,570,932 kes (67,044 kematian);
  • Perancis 7,074,276 kes (117,211 kematian);
  • Iran 5,754,047 kes (123,498 kematian);
  • Argentina 5,270,138 kes (115,633 kematian);
  • Sepanyol 4,982,138 kes (86,917 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 masih di tangga 113 dengan 96,488 kes dan 4,636 kematian.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kampuchea turut menyertai senarai 110 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes.

  • Indonesia di tangga 14 – 4,232,099 kes (142,848 kematian);
  • Filipina di tangga 18 – 2,698,232 kes (40,221 kematian);
  • Thailand di tangga 24 – 1,762,190 kes (18,123 kematian);
  • Vietnam di tangga 40 -853,842 kes (20,950 kematian);
  • Myanmar di tangga 60 – 484,317 kes (18,255 kematian);
  • Singapura di tangga 102 – 138,327 kes (207 kematian);
  • Kampuchea di tangga 109 – 115,875 kes (2,584 kematian);
  • Laos di tangga 139 – 30,615 kes (36 kematian);
  • Brunei di tangga 174 – 9,828 kes (67 kematian).
Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Malaysia masih dibebani kluster tempat kerja

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah Rangkuman Mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 19 Jun hingga pukul 12.30 tengah hari 25 Jun 2021.

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melepasi 716 ribu. Di peringkat global, lebih 180 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 3.9 juta. Lebih 165 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Hampir sebulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan, kes harian baharu masih belum dapat diturunkan bawah 4 ribu untuk membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beralih ke fasa dua.

Semalam (Khamis 24 Jun 2021) , sebanyak 5,841 kes harian baharu lagi dilaporkan sementara kes kumulatif Covid-19 negara yang melepas paras 700 ribu pada 21 Jun 2021, meningkat kepada 716,847 kes. Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 naik sedikit kepada 61,162 kes berbanding 60,816 kes pada 23 Jun 2021.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini dipetik berkata “purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4 ribu kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PPN yang terbahagi kepada empat fasa pada 16 Jun lepas berharap ia dapat mengembalikan kehidupan harian biasa.

SPP pula yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021, disambung dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

Sementara itu, kluster baharu terutamanya kluster tempat kerja melibatkan kilang dan tapak binaan yang masih dikesan dan mencetuskan kes baharu dibimbangi boleh menggugat usaha mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Setakat 24 Jun 2021, negara dibebani sebanyak 867 kluster yang masih aktif. Secara keseluruhannya sebanyak 2,720 kluster direkod dan 1,853 daripadanya, dilaporkan tamat.

Rangkuman Mingguan Bernama 19 Jun hingga 24 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan) berdasarkan data KKM merekod sebanyak 140 kluster baharu dan daripada jumlah itu, sebanyak 85 kluster atau 60.7 peratus adalah kluster tempat kerja.

Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA

Semalam sahaja (24 Jun), sebanyak 30 kluster baharu dilaporkan dan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja!

Antara kluster tempat kerja yang dikesan semalam dengan kes Covid-19 yang tinggi adalah kluster Industri Jalan Seruling 57 (daerah Klang, Selangor). Kluster ini hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan 101 kes positif daripada 319 individu yang disaring.

Pada 20 Jun, KKM melaporkan kluster tempat kerja, Tapak Bina Persiaran Hamidiah (daerah Hulu Langat, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak binaan di Persiaran Hamidiah. Kajang, Hulu Langat. Sebanyak 244 kes dikesan positif daripada 332 individu yang disaring.

Pada 19 Jun, antara kluster tempat kerja yang mencatat kes positif tinggi ketika diumumkan KKM adalah Kluster Tapak Bina Perdagangan Dana (daerah Petaling, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak pembinaan di Pusat Perdagangan Dana 1, Petaling Jaya. Seramai 324 kes dikesan positif Covid-19 setakat 19 Jun 2021, daripada 482 individu yang disaring.

Sepanjang Rangkuman Mingguan ini juga, hanya dua hari Malaysia merekod kes bawah 5 ribu iaitu pada Isnin 21 Jun (4,611 kes) dan Selasa 22 Jun (4,743 kes). Kali terakhir Malaysa mencatat angka kes harian dalam lingkungan empat ribu adalah pada 18 Mei 2021 sebanyak 4,865 kes.

Paling tinggi kes harian baharu dilaporkan di Malaysia adalah pada 29 Mei 2021 iaitu sebanyak 9,020 kes, iaitu sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Jumlah kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 869 kes dan 438 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 716,847 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 36 (rangkuman mingguan lepas tangga 38) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Jordan (748,685 kes) dan Jepun (789,440 kes).

Perkembangan lain dalam negara

Berdasarkan perincian KKM untuk 5,841 kes harian baharu Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 24 Jun 2021, Selangor terus menyumbang kes terbanyak iaitu 2,072 kes.

Berikutan peningkatan kes di Selangor terutamanya pesakit kategori tiga dan ke atas, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memutuskan untuk menukar status Hospital Ampang daripada Hybrid Covid-19 kepada hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya (Hospital Full Covid-19) berkuat kuasa semalam (23 Jun).

Di samping Hospital Ampang, sebuah lagi hospital yang beroperasi sebagai Hospital Full Covid-19 di Selangor ialah Hospital Sungai Buloh.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu Covid-19 di Selangor adalah seperti berikut:-

19 Jun (2,111 kes), 20 Jun (1,680 kes), 21 Jun (1,346 kes), 22 Jun (1,566 kes), 23 Jun ( 2,001 kes) dan 24 Jun (2,072 kes).

Negeri yang mencatat k​​​​es harian baharu tiga angka – Negeri Sembilan 781, Sarawak 581 kes, WP Kuala Lumpur 552, Johor 346, Kedah 271, Melaka 247, WP Labuan 212, Sabah 203, Pahang 162, Kelantan 135, Perak 120 dan Pulau Pinang 108.

Kes harian baharu dua angka – Terengganu 29 dan Putrajaya 17.

Kes harian baharu satu angka – Perlis.

Untuk kes kematian pada Khamis 24 Jun 2021, sebanyak 84 lagi kes kematian dilaporkan, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 4,721 kes (0.66 peratus).

Selangor masih mencatat kes kematian tertinggi sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, seperti berikut:-

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

19 Jun (23 kes), 20 Jun (20 kes), 21 Jun (24 kes), 22 Jun (32 kes), 23 Jun (35 kes) dan 24 Jun (32 kes).

Mengenai perkembangan terkini penularan varian baharu virus SARS-CoV-2, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan, antara 20 Jun 2021 dan 22 Jun 2021, sebanyak enam (6) kes dikesan dan kesemuanya adalah VOC (varian membimbangkan), iaitu Lima (5) kes varian Beta (B.1.351) dan satu (1) kes varian Delta (B.1.617.2).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI (varian perlu diwaspadai) adalah sebanyak 189 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 24 Jun 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 24 Jun 2021 untuk seluruh negara kekal 0.98. Untuk rekod, Ro di bawah 1.0 ini secara konsistennya dicatat sejak 6 Jun 2021.

Negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi adalah Negeri Sembilan 1.08, Selangor 0.99 dan Sarawak 0.99.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Senario wabak Covid-19 di Malaysia (19 Jun-24 Jun)

Rekod kes sembuh:-

19 Jun (6,918 kes), 20 Jun ( 5,941 kes), 21 Jun (5,439 kes), 22 Jun (5,557 kes), 23 Jun (6,372 kes) dan 24 Jun (5,411 kes).

Rekod kes baharu, penularan tempatan dan yang berkaitan:-

19 Jun – Kes baharu : 5,911 kes (691,115 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,910 kes [4,444 warganegara (75.2%); 1,466 bukan warganegara (24.8%)]; Kes import : 1 kes (1 warganegara);

20 Jun – Kes baharu : 5,293 kes (696,408 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,286 kes [3,894 warganegara (73.7%); 1,392 bukan warganegara (26.3%)]; Kes import : 7 kes (3 warganegara, 4 bukan warganegara);

21 Jun – Kes baharu : 4,611 kes (701,019 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,603 kes [3,683 warganegara (80.0%); 920 bukan warganegara (20.0%)]; Kes import : 8 kes (4 warganegara, 4 bukan warganegara);

22 Jun – Kes baharu : 4,743 kes (705,762 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,741 kes [3,843 warganegara (81.1%); 898 bukan warganegara (18.9%)]; Kes import : 2 kes (1 warganegara, 1 bukan warganegara);

23 Jun – Kes baharu : 5,244 kes (711,006 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,237 kes [4,291 warganegara (81.9%); 946 bukan warganegara (18.1%)]; Kes import : 7 kes (4 warganegara, 3 bukan warganegara);

24 Jun – Kes baharu : 5,841 kes (716,847 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,833 kes [4,683 warganegara (80.3%); 1,150 bukan warganegara (19.7%)]; Kes import : 8 kes (1 warganegara, 7 bukan warganegara);

Rekod kes kematian:-

19 Jun – 72 kes (64WN, 8 BWN), BID 11; 20 Jun – 60 kes (56 WN, 4 BWN), BID 7; 21 Jun – 69 kes (66 WN, 3 BWN), BID 5; 22 Jun – 77 kes (70 WN, 7 BWN), BID 11; 23 Jun – 83 kes (77 WN, 6 BWN), BID 7; 24 Jun – 84 kes (73WN, 11BWN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif Covid-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.

Untuk rekod kes kematian semalam (24 Jun 2021), Dr Noor Hisham melaporkan pesakit paling muda yang menjadi korban Covid-19 ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, dengan latar belakang penyakit asma dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-

19 Jun – 24 kluster baharu (12 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 4 kluster pusat tahanan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

20 Jun – 19 kluster baharu ( 11 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 2 kumpulan berisiko tinggi dan 1 kluster pusat tahanan);

21 Jun – 22 kluster baharu (14 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

22 Jun – 21 kluster baharu (13 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 1 kluster pendidikan, 1 kluster pusat tahanan, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

23 Jun – 24 kluster baharu (15 kluster tempat kerja , 7 kluster komuniti, 1 kumpulan berisiko tinggi, 1 kluster pusat tahanan);

24 Jun – 30 kluster baharu (20 kluster tempat kerja, 9 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi).

Seorang wanita memakai pelitup muka di sebalik kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di Thailand pada 4 Mac 2020. Foto AFP

Statistik global Covid-19

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) adalah 180,765,742 kes (rangkuman minggu lalu 178,276,440 kes) dengan 3,915,962 kematian (minggu lalu 3,859,589 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 165,412,926 orang (minggu lalu 162,779,900 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Argentina, Itali dan Colombia.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 34,464,956 kes (618,685 kematian);
India 30,133,417 kes (393,338 kematian);
Brazil 18,243,483 kes (509,282 kematian);
Perancis 5,764,329 kes (110,906 kematian);
Turki 5,393,248 kes (49,417 kematian)
Rusia 5,388,695 kes (131,463 kematian);
United Kingdom 4,684,572 kes (128,048 kematian);
Argentina 4,350,564 kes (91,438 kematian);
Itali 4,255,700 kes (127,362 kematian);
Colombia 4,060,013 kes (102,636 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 100 dengan 91,693 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 97 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19.

Indonesia di tangga 17 – 2,053,995 kes (55,949 kematian);
Filipina di tangga 24 – 1,378,260 kes (24,036 kematian);
Thailand di tangga 76 – 236,291 kes (1,819 kematian);
Myanmar di tangga 86 – 150,714 kes (3,275 kematian);
Singapura di tangga 110 – 62,493 kes (35 kematian);
Kampuchea di tangga 113 – 45,366 kes (493 kematian);
Vietnam di tangga 144 – 14,323 kes (72 kes kematian);
Laos di tangga 190 – 2,080 kes (3 kes kematian);
Brunei di tangga 204 – 256 kes (3 kes kematian).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiada sambutan tahun baharu 2021 kebanyakan negeri

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Ketibaan tahun baharu 2021 tidak seperti kelaziman yang menampilkan sambutan ambang tahun baharu dengan acara besar-besaran penuh meriah, berikutan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Kecuali Sarawak, negeri-negeri lain tidak mengadakan majlis rasmi sambutan tahun baharu, namun orang ramai tetap mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi menarik dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan tidak berkumpul dalam kumpulan yang ramai.

Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang menganjur acara tradisi kiraan detik-detik terakhir penghabisan tahun dan ketibaan tahun baharu malam tadi.

Walaupun setakat ini ia dilihat berjaya melandaikan lengkungan kes Covid-19, tatacara operasi piawai (SOP) tetap dipatuhi di sepanjang acara sambutan.

Pematuhan SOP itu tidak menghalang kemeriahan acara penuh berwarna-warni yang menampilkan pelbagai pertunjukkan tradisional, dan persembahan pentas penuh bertenaga artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Bob dan Hafiz, di Stadium Perpaduan.

Di TERENGGANU, kerajaan negeri memilih menganjurkan acara Pentas Online: Ambang Tahun Baharu 2021 yang penuh dengan pengisian program keagamaan secara maya.

Acara yang bermula 9 malam itu diisi dengan pelbagai acara termasuk persembahan ‘buskers’, program ‘talkshow’ yang bersifat keagamaan dan laungan takbir, alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan Asmaul Husna apabila menjelang tengah malam.

Di KUALA LUMPUR, keadaan di sekitar Bukit Bintang sesak dengan kenderaan tetapi berbeza di Dataran Merdeka yang lengang dan ditutup daripada dihadiri orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan sedang menjaga kawasan berkenaan.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di taman tema i-City, Seksyen 7 Shah Alam mendapati pengunjung memenuhi ‘taman lampu digital’ itu bagi mengisi masa terluang sempena menjelang tahun baharu dengan pengunjung dilihat mengenakan pelitup muka serta mengimbas suhu badan ketika memasuki taman tema itu.

Di MELAKA, pusat tumpuan pelancong, Bandar Hilir sesak dengan kenderaan walaupun tiada sambungan ambang tahun baharu seperti tahun sebelum ini dengan kebanyakan kenderaan yang memasuki pusat bandar adalah kenderaan dari luar dan aliran trafik bergerak sangat perlahan.

Di KELANTAN, lain pula caranya apabila seramai 250 peserta berkayuh basikal sejauh sembilan kilometer pada Kejohanan Kayuhan Malam Tahun Baru TM Fly Over di Tanah Merah anjuran Kelab Berbasikal Mahsari.

Di PERLIS pula, walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu, orang ramai tetap berkunjung ke persisiran pantai Kuala Perlis bagi menikmati pemandangan tepi laut pada waktu malam bersama ahli keluarga dan tidak kurang juga hadir menikmati sajian ikan bakar.

Di SABAH, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif bersama orang ramai menyertai program keagamaan Munajat Mahabbah dan doa selamat di Masjid Negeri yang dipimpin Imam Besar Suhaidi Kuanting dan Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan tepi pantai yang menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun antaranya Taman Awam Teluk Likas dan Taman Awam Tanjung Aru mendapati hanya segelintir pengunjung berada di kawasan itu akibat hujan selain larangan berkumpul di tempat awam.

Di NEGERI SEMBILAN, terdapat sambutan malam tahun baharu yang disambut berbeza dan unik apabila Pusat Pemuliharaan dan Penetasan Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson melepaskan tujuh ekor anak penyu Agar di Pantai Tanjung Gemok sebagai simbolik sempena memasuki tahun baharu.

Di PULAU PINANG, orang ramai masih keluar berkumpul untuk menyambut tahun baharu 2021 walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu dianjurkan kerajaan negeri mahupun pihak swasta dengan tumpuan antaranya di Persiaran Gurney, pusat membeli belah Gurney Paragon, Persiaran Karpal Singh dan Straits Quay.

Di PERAK, tinjauan di taman tema Lost World Of Tambun, Ipoh yang sentiasa menjadi lokasi tumpuan pengunjung juga mendapati tiada sambutan ambang tahun baharu pada kali ini berbanding tahun sebelum ini terdapat pertunjukan bunga api dan beroperasi hanya sehingga 11 malam ini.

Di PAHANG pula, hujan renyai tidak menghalang orang ramai berkumpul di Teluk Cempedak, Kuantan bagi menyambut sambutan tahun baharu bersama ahli keluarga dan kenalan mereka di tempat tumpuan pelancong itu.

Di KEDAH, orang ramai tetap mengunjungi beberapa lokasi sekitar bandaraya Alor Setar bagi meluangkan masa sempena ambang tahun baharu walaupun tiada sebarang sambutan diadakan.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti Menara Alor Setar dan Dataran Medan Bandar menjadi pilihan bagi penduduk setempat melakukan aktiviti sendiri bersama keluarga masing-masing tanpa mengabaikan pemakaian pelitup muka.

Di JOHOR, pertunjukan bunga api diadakan di daerah Mersing yang dihadiahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bagi penutup tirai tahun 2020 yang penuh cabaran.

Meskipun hujan lebat, orang ramai sanggup menunggu selama sejam setengah sebelum pertunjukan itu bermula kira-kira 11.20 malam.

Di PUTRAJAYA, orang ramai dilihat menjalankan aktiviti bersukan seperti berbasikal dan berjogging serta berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan tidak melebihi 10 orang di Dataran Putrajaya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Sabah terus ‘diamuk’ badai Covid-19, kes aktif lebih 8,000

Oleh Melati Mohd Ariff

*Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta dunia dari 17 Oktober hingga jam 12.30 tengah hari, 23 Oktober.

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sabah terus menjadi mangsa amukan badai Covid-19 dengan 578 kes atau 68.2 peratus daripada keseluruhan 847 kes baharu positif yang dilaporkan, sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Oktober.

Daripada 578 kes itu, 155 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan yang pertama kali diumumkan pada 18 Okt dengan 49 kes awal. Setakat semalam, jumlah kes positif Covid-19 Kluster Penjara Kepayan adalah 582.

Kluster ini dikhuatiri akan terus melonjakkan jumlah kes harian di negeri di bawah bayu itu dan kebimbangan ini disuarakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam.

Jumlah kes positif di Sabah dijangka meningkat mendadak susulan saringan daripada Kluster Penjara Kepayan yang giat dijalankan. Jumlah banduan di penjara tersebut sekitar 2,700 orang.

Selepas Sabah, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes) semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Mengumumkan perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 847 kes baharu itu (lima daripadanya kes import), jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini menjangkau 23,804 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 juga meningkat melepasi angka lapan (8) ribu kepada 8,183 kes.

Di sebalik peningkatan kes baharu, sesuatu yang membanggakan adalah jumlah pesakit yang pulih terus menunjukkan prestasi tinggi. Semalam, 22 Oktober, seramai 486 orang lagi pesakit Covid-19 pulih. Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 15, 417 iaitu 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada 18 Oktober, negara mencatat 701 kes pulih, yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Pecahan kes yang pulih semalam, mengikut negeri adalah Sabah (250 kes), Selangor (109 kes), Kedah (67 kes), Pulau Pinang (30 kes), Perak (13 kes), Johor (9 kes), Sarawak (6 kes) dan Terengganu (2 kes).

Kes kematian dan kes-kes lain

Sebanyak lima lagi kes kematian dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Oktober. Kelima-lima kes iaitu tiga perempuan dan dua lelaki berlaku di Sabah. Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 204 iaitu 0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang rangkuman mingguan adalah 5 kes (22 Oktober), 6 kes (21 Oktober), 3 kes (20 Oktober), 3 kes (19 Oktober), 7 kes (18 Oktober) dan 4 kes (17 Oktober). Daripada 28 kes kematian dari 17 hingga 22 Oktober, sebanyak 27 dilaporkan di Sabah dan satu (1) di Selangor.

Sementara itu, 90 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, kes baharu Covid-19 sepanjang rangkuman ini adalah 847 kes (22 Oktober), 732 kes (21 Oktober), 862 kes (20 Oktober), 865 kes (19 Oktober), 871 kes (18 Oktober) dan 869 kes (17 Oktober).

Untuk kes pulih pula yang dilapor, iaitu 486 kes (22 Oktober), 580 kes (21 Oktober), 634 kes (20 Oktober), 485 kes (19 Oktober), 701 (18 Oktober) dan 302 (17 Oktober).

Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 465 kes termasuk 11 kes yang diumumkan semalam.

Landaikan R-Naught

“Usaha landaikan nilai R-Naught perlu kerjasama semua pihak”. Demikian kata Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu mengadakan sidang media khas pada 18 Oktober lepas untuk menjelaskan nilai R atau R-Naught (Ro).

Ini bukan kali pertama beliau menyatakan betapa pentingnya mengawal nilai Ro. Pada 30 September, beliau membangkitkan kebimbangan yang sama.

Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Pada sidang media 18 Oktober itu, Dr Noor Hisham memberitahu wakil media gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda Malaysia sekarang adalah lebih mencabar.

Menurut beliau, nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ianya berjaya diturunkan kepada 1.5.

Tegas beliau, usaha untuk melandaikan nilai Ro ini kepada kurang daripada 1.0, memerlukan kerjasama semua pihak.

Kluster dan status terkini kes Covid-19

Sehingga Khamis 22 Oktober, Dr Noor Hisham mengumumkan keseluruhannya terdapat 207 kluster yang direkod sepanjang berlakunya wabak Covid-19 di negara ini dan 108 sudah ditamatkan.

Setakat 22 Oktober 2020, masih terdapat 99 kluster termasuk enam (6) kluster baharu yang diumumkan semalam.

Perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari 22 Oktober, iaitu Sabah: 578 kes. Daripada jumlah itu, 223 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tinusa dan Kluster Sauh.

Di Selangor, daripada 132 kes, sebanyak 59 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jambu dan lapan (8) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Negeri Sembilan mencatat 38 kes dan 33 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sofi. Di Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyaj 29 kes dilaporkan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat 23 kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Mutiara.

Di Perak, dilaporkan 14 kes; Pulau Pinang, 10 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya terdapat empat (4) kes; Kedah, tiga (3); Melaka, tiga (3) kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Umboo; Kelantan melaporkan tiga (3) kes; Pahang, dua.

Sementara itu, Terengganu, Johor dan Sarawak, masing-masing melaporkan satu (1) kes.

Pelbagai langkah kekang Covid-19

Peningkatan kes baharu positif Covid-19 membuatkan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengekang penularan ganas koronavirus ini.

Sabah yang kini pusat penularan Covid-19 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu berkuat kuasa 13 hingga 26 Oktober.

PKPB kemudiannya diisytiharkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 14 sehingga 27 Oktober untuk memutuskan penularan Covid-19.

PKPB dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa 17 sehingga 30 Oktober.

Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah, membuatkan kerajaan memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan berkenaan.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan mengarahkan pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah.

Maksimum 30 peratus pekerja sektor awam dibenar berada di pejabat, mulau 22 Okt sehingga tamat tempoh PKPB.

Arahan ini melibatkan hampir 800,000 pekerja sektor industri dan hampir 200,000 ribu penjawat awam dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Pengecualian diberikan bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah amat disaran melakukan ujian saringan Covid-19, jika perlu bekerja di pejabat. Ini untuk memastikan pengesanan awal jangkitan Covid-19 bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di tempat bekerja.

Saringan Covid-19 untuk pekerja asing

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan juga memutuskan pekerja asing membabitkan pengawal keselamatan dan pekerja binaan di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu menjalani semula saringan Covid-19.

Ini berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga asing khususnya kes membabitkan pengawal keselamatan di pusat beli-belah One Utama baru-baru ini.

Turut diwajibkan untuk menjalani ujian saringan itu adalah bagi mereka yang bergejala. Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani swab test.

Memandangkan kes baharu Covid-19 yang melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah semakin meningkat dengan kemunculan juga kluster baharu, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband).

Mereka juga perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Oktober sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Statistik global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat ini menghampiri 42 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes Covid-19 global sebanyak 41,992,013 (rangkuman minggu lalu 39,230,164 ) dengan 1,141,731 kematian (minggu lalu 1,103,724 kematian ). Jumlah pesakit sembuh ialah 31,184,436 (minggu lalu 29,410,149).

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik Covid-19 dengan 8,661,651 kes (minggu lalu 8,219,088 kes). Angka kematian 228,381 (minggu lalu 222,754). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

Seorang wanita mengenakan pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berjalan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada 6 Ogos 2020. Foto REUTERS

India, di tempat kedua dengan 7,759,640 kes (minggu lalu 7,372,394 kes) dengan 117,336 kematian (minggu lalu 112,214 kes kematian).

Ini diikuti Brazil, dengan 5,332,634 kes (minggu lalu 5,170,996 kes) dan 155,962 kematian (minggu lalu 152,513 kematian).

Rusia merekod 1,463,306 kes (minggu lalu 1,369,313 kes) dan 25,242 kematian (minggu lalu 23,723 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 43 (minggu lalu 40) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes Covid-19 antaranya Sepanyol, Argentina, Perancis dan Colombia.

Sementara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-56 dengan 85,747 kes (minggu lalu 85,646 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 46 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

Minggu ini Indonesia mencatat 377,541 kes (minggu lalu 353,461 kes) dan 12,959 kematian (minggu lalu 12,347 kematian). Filipina merekod 363,888 kes (minggu lalu 351,750 kes) dan 6,783 kematian (minggu lalu 6,531 kematian).

Singapura pula merekodkan 57,941 kes (minggu lalu 57,901 kes) dengan angka kematian kekal 28. Myanmar melaporkan 41,008 kes (minggu lalu 32,351 kes) dan 1,005 kematian (minggu lalu 765 kematian).

Jumlah kes positif Covid-19 di Thailand pula sebanyak 3,719 kes (minggu lalu 3,669 kes) dan angka kematian kekal 59.

Vietnam mencatat 1,148 kes (minggu lalu 1,124 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes Covid-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 286 kes (minggu lalu 283 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

 

Rangkuman PRK N25 Kajang

http://tv.selangorku.com