Categories
NASIONAL

KEADILAN bakal gantung keahlian individu bergaduh di Rantau

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 APR: Lembaga Disiplin KEADILAN sedang memperincikan butiran ahli parti yang didakwa bergaduh di bilik gerakan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan menghalang tugas pihak polis untuk diambil tindakan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kasim berkata, anggota yang bersalah semasa kempen di Rantau berkemungkinan digantung keahlian.

Beliau menegaskan, pihaknya memandang berat kes-kes seumpama ini terutamanya yang berkaitan dengan pencabulan undang-undang negara.

“Siasatan bermula secepat mungkin setelah maklumat anggota yang didakwa melakukan kesalahan tersebut diperolehi.

“Pimpinan cabang dan anggota lain perlu membuat laporan terperinci kepada Lembaga Disiplin Parti bagi mempercepatkan proses ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas dan menahan pesalah tersebut.

“Kami amat prihatin dan mengesa seluruh anggota parti sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengambil jalan mudah.”

Sabtu lalu, tular klip video berdurasi satu minit memaparkan pergaduhan sekumpulan penyokong di bilik gerakan utama mereka di Bandar Ekar, Rembau selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pergaduhan itu didakwa tercetus selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi PRK Rantau yang memihak kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Categories
NASIONAL

Saifuddin kepada Tok Mat: Perjelas bukan elak jawab isu banglo RM10 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 9 APR: Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan diminta untuk memberi penjelasan berkenaan apartment bernilai RM10 juta di London.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohamad yang juga dikenali Tok Mat sepatutnya memberi penjelasan bukannya mengelak sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.

“Pada saya, Tok Mat (Mohamad) tidak perlu bersembunyi dan beritahu sahaja kebenarannya.

“Sekiranya saya sendiri dipersoalkan oleh beliau berkenaan perkara sama, sudah tentu saya akan menjelaskan yang benar. Jika beliau bertanyakan sama ada saya mempunyai rumah di London, saya akan terus memberitahu tiada sebaliknya cuma mempunyai rumah di Machang, Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin turut mempertahankan calon Pakatan Harapan (Pakatan) PRK DUN Rantau, Dr S Streram yang meminta Mohamad menjelaskan sumber pendapatan sehingga membolehkan pembelian apartment bernilai RM10 juta di London dan banglo mewah di Seremban.

Saifuddin berkata, beliau yakin Dr Streram tidak menuduh sebaliknya hanya minta Mohamad menjelaskan dan tidak perlu melabelkan calon Pakatan itu sebagai seorang yang bodoh.

“Mohamad hanya perlu memberitahu kebenaran dan tidak perlu melenting atau melabelkan seseorang itu bodoh,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin juga yakin bahawa Pakatan mempunyai banyak peluang untuk menang pada PRK kali ini.

 

Categories
NASIONAL

96 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mencatatkan jumlah 96 peratus keluar mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, peratusan tersebut diperoleh selepas kedua-dua pusat pengundian awal iaitu di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau ditutup pada pukul 12 tengahari tadi.

Pengundian awal hari ini membabitkan seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.

Proses pengundian di PU Sendayan adalah pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan, membabitkan seramai 74 anggota tentera serta pasangan.

Di Balai Polis Rantau pula, ia membabitkan 36 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.