UNISEL Sentiasa Mendapat Perhatian Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 4 JULAI : Universiti Selangor (UNISEL) sentiasa mendapat perhatian daripada pentadbiran Pakatan Rakyat sejak ia mengambil alih kerajaan pada tahun 2008.

Menurut Naib Canselor UNISEL, Profesor Dr Anuar Ahmad, ahli Exco serta Adun-Adun sentiasa mengunjungi UNISEL untuk bertanyakan masalah serta memberikan pendapat mengenai penambahbaikan kemudahan serta sistem pembelajaran di sini.

Ini berbeza semasa pentadbiran Umno-BN dahulu, di mana UNISEL tidak pernah dikunjungi oleh ahli Exco atau Adun-Adun mereka bagi menyumbang idea kepada universiti.

“Tahun pertama Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali sentiasa datang untuk bertanyakan masalah serta membantu memberikan idea mengenai penambahbaikan universiti ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menghadiri rancangan ‘Apa Khabar Selangor’ di studio TVSelangor di sini hari ini.

Katanya, selain Dr. Halimah, Exco Pertanian Moden, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr. Yaakob Sapari juga hadir memberikan seminar tentang keusahawanan kepada mahasiswa di universiti ini.

“Rata-rata Exco dan Adun-Adun Selangor mempunyai kepakaran serta kemahiran tertentu dan UNISEL tidak pernah menyekat mana-mana ahli politik untuk hadir memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada semua pihak disini,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan UMNO-BN mengecam UNISEL berikutan perlantikan tiga orang wakil yang mempunyai kaitan dengan politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UNISEL.

Perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dikecam hebat UMNo-BN yang mendakwa institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang unsur politik.

Ketika mengulas perkara ini, Prof Dr Anuar berkata, individu-individu tersebut mempunyai kewibawaan, kelayakan serta kepakaran akademik bagi menjadikan UNISEL sebuah universiti yang kompetetif di masa akan datang.

“Individu seperti Dr Che Rosli merupakan seorang pakar nuklear dan UNISEL mempunyai Fakulti Sains dan Bioteknologi yang memerlukan kepakaran bagi membantu penyelidikan berkaitan bidang tersebut,” katanya sambil menambah Faekah merupakan seorang individu yang pakar dalam bidang perundangan.

Selain itu, katanya, politik tidak dapat dipisahkan dengan akademik kerana kebanyakan universiti di Malaysia menyediakan subjek politik untuk dipelajari.

“Kenapa politik perlu dilihat dari aspek negatif sedangkan di universiti-universiti terdapat bidang sains politik di peringkat diploma dan ijazah?” soalnya.