Categories
AGENDA SUKANKINI

Rashid Sidek harap Malaysia buat kejutan di Badminton Berpasukan Asia

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berharap barisan pemain badminton negara mampu menjelmakan prestasi baik bagi memberikan tentangan sengit kepada pasukan lain dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, dari 15 hingga 20 Februari ini.

Katanya beliau juga mahu melihat para pemain membuktikan bahawa mereka mampu mengatasi tekanan bermain di laman sendiri, selain mempamerkan semangat berpasukan tinggi dalam pertandingan tersebut yang menawarkan tempat automatik ke final Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok, Thailand Mei depan.

“Saya memang harap mereka (Malaysia) buat satu kejutan dan dapatkan keputusan yang bagus dalam saingan BATC 2022 nanti. Namun, kita juga tidak boleh pandang rendah cabaran pasukan lain seperti Jepun dan Taiwan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ditanya sama ada isu juara All England 2021 Lee Zii Jia akan menjejaskan persiapan pasukan negara, Rashid percaya pihak pengurusan BAM serta jurulatih mampu mengawal isu berkenaan dengan baik.

“Sama ada anda pemain profesional atau bawah BAM sekali pun, itu semuanya sama, apa yang penting mereka tetap wakili negara dan mampu memberikan kemenangan kepada pasukan,” katanya yang kini membimbing juara Sukan Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou.

 

 Zii Jia, yang berhadapan krisis dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini, dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara di BATC 2022.

Selain pemain ranking ketujuh dunia itu, lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong melengkapkan barisan perseorangan lelaki negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Sementara itu pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia ada kualiti pemain handalan tapi belum konsisten – Rashid

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Perseorangan utama negara Lee Zii Jia menunjukkan kualiti seorang pemain handalan dunia pada kempen Piala Thomas 2020 namun corak permainannya masih belum konsisten, kata legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek.

Bagaimanapun, beliau berpendapat juara All England 2021 itu masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahannya.

“Nak kata stabil, Zii Jia masih belum stabil lagi tetapi dia dah ada tahap sebagai pemain utama sebab dia dah pernah kalahkan semua 10 pemain terbaik dunia. Jadi bila dia sudah kalahkan pemain dalam kelompok itu memang dia ada kualiti untuk jadi pemain utama.

“Cuma dari segi konsisten itu masih belum lagi…tetapi dia pun baru berumur 23 tahun kan, jadi sekurang-kurangnya perlukan antara satu hingga dua tahun untuk berusaha jadi lebih konsisten,” katanya baru-baru ini.

Rashid, sebahagian daripada skuad yang menjulang Piala Thomas buat kali terakhir untuk negara pada 1992 di Kuala Lumpur, berkata Zii Jia dan jurulatihnya perlu lebih memilih dalam menentukan pertandingan yang bakal disertai selepas ini.

Menurut Rashid, menyertai terlalu banyak pertandingan boleh memberikan kesan kepada mental pemain, malah kekerapan beraksi pada kejohanan besar juga boleh menyumbang kepada kejatuhan prestasi.

“Bila pergi kejohanan besar, jangkaan orang ramai mesti nak dia menang, sekurang-kurangnya ke final atau pun juara. Jadi di situ memang satu bebanan yang berat untuk dia,” katanya.

Zii Jia, pemain di ranking kelapan dunia, sudah merekodkan kemenangan ke atas semua lawannya dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia ketika ini antaranya Kento Momota dari Jepun, Viktor Axelsen (Denmark), Chou Tien Chen (Taiwan), Cheng Long (China) dan Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia).

Sementara itu, Rashid percaya Malaysia mampu menamatkan penantian hampir 30 tahun untuk merangkul Piala Thomas jika skuad negara mempunyai barisan pemain berprestasi tinggi dalam setiap acara.

“Buat masa sekarang ada nampak peningkatan pemain muda terutama dalam acara perseorangan tetapi beregu belum lagi. Mungkin kita boleh terus perkuatkan lagi pemain perseorangan dan pada masa kita kena cari satu lagi beregu pelapis kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Kita nak supaya pasukan negara pada 2024 akan lebih seimbang dan siapa-siapa pun boleh dapatkan mata untuk pasukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Piala Thomas, Uber tangguh bukan alasan berehat – Rashid Sidek

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Barisan pemain badminton kebangsaan dinasihatkan supaya kekal dalam keadaan bersedia biarpun perancangan musim ini terjejas ekoran penangguhan saingan Piala Thomas dan Uber 2020, menurut legenda badminton perseorangan negara Rashid Sidek.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta itu berkata pemain perlu melihat dari sudut positif mengenai penangguhan kejohanan berprestij yang sepatutnya berlangsung pada 3-11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Malah, beliau menegaskan penangguhan itu tidak wajar dijadikan alasan untuk pemain berehat seketika, sebaliknya perlu mengambil kesempatan yang ada memperbaiki ruang kelemahan sekali gus meningkatkan prestasi.

“Mereka (pemain) kena sentiasa kekal positif untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan mendatang walaupun ia lagi dua, tiga atau empat bulan.

“Persediaan itu penting dalam apa juga situasi sekali pun. Bukan negara kita sahaja terjejas, tetapi semua pasukan mengalami situasi yang sama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataannya mengesahkan penangguhan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 susulan penularan pandemik Covid-19.

Penangguhan itu dibuat BWF selepas beberapa negara seperti Taiwan, Australia, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia menarik diri daripada menyertai kejohanan yang memasuki edisi ke-31.

Rashid menyifatkan keputusan BWF menangguhkan kejohanan itu tepat.

“Banyak negara sudah menarik diri dan kalau lihat dari faktor kesihatan pemain dan pegawai, ada yang masih bimbang serta takut dijangkiti Covid-19. Semua pihak perlu terima keputusan BWF ini,” jelas beliau.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi dan juara 13 kali, Indonesia, selain Belanda dan England pada saingan Piala Thomas, sementara bagi saingan Piala Uber, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Rashid setuju wujud program pembangunan khas badminton

BANGI, 22 DIS: Sukan badminton di Malaysia perlu mengikut jejak langkah sukan bola sepak dan ragbi, yang memiliki program pembangunan akar umbi, susulan kemerosotan prestasi pemain negara di peringkat remaja.

Perkara itu disokong legenda perseorangan badminton negara Rashid Sidek yang merasakan kewujudan program pembangunan seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) satu langkah tepat memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan jauh berbanding Thailand, Indonesia dan China yang telah mula menyinar di peringkat remaja.

Namun katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menyediakan sejumlah peruntukan yang besar dan konsisten, sebelum program seumpama itu diwujudkan.

“Dari pandangan peribadi saya, ya, memang kalau ikutkan, kita patut ada program seperti itu, kalau mempunyai bajet yang cukup. Kalau tanpa bajet memang sukar untuk kita lakukan,” katanya pada sidang media perlawanan akhir Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di sini, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu berkata demikian ketika ditanya keperluan sukan badminton di Malaysia memiliki program pembangunan akar umbi susulan kemerosotan prestasi Malaydia di peringkat remaja.

Skuad remaja negara mencetuskan kebimbangan apabila pulang dengan tangan kosong dalam dua kejohanan utama tahun ini – Kejohanan Badminton Remaja Asia di China, Julai lepas dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Rusia, pada Oktober.

Beliau yang kini ketua jurulatih kelab badminton Sports Affairs itu berkata, tugasnya adalah melatih dan membentuk pemain ke arah menjadi seorang juara, namun satu platform lebih tinggi diperlukan, bagi membolehkan para permain memperoleh pengalaman.

“Untuk program seperti NFDP itu, semua kalau dalam badminton kita memang bergantung kepada program sedia ada BAM. Sebagai kelab, kita tambahan untuk dapatkan bakat-bakat baru dan melatih mereka jadi juara.

“BAM boleh ambil pemain-pemain ini untuk diserap masuk ke dalam BAM. Kita tidak keberatan, kerana sebelum ini kita pernah buat macam itu,” tambahnya.

Sementara itu, Rashid yang merupakan pengarah program kejohanan yang julung kali diadakan itu, menyifatkan beberapa bakat muda dikenal pasti, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini.

Pasukan Unggul bimbingan bekas pemain badminton negara Mohd Zakry Abdul Latif, dinobatkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan piala pusingan.

“Saya sangat berbangga menyaksikan semangat juang dan kesungguhan pemain, yang mempamerkan komitmen tinggi sebagai satu pasukan, di usia sangat muda. Ini hanyalah satu permulaan dan percaya dengan usaha berterusan, mereka akan muncul juara pada masa depan,” kata Rashid.

-BERNAMA