Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: SPRM buka bilik gerakan, minta orang ramai salur aduan rasuah

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan empat bilik gerakan di seluruh Johor, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua bilik gerakan tersebut beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam, sepanjang tempoh PRN berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bilik gerakan itu terletak di Pejabat SPRM Johor, Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat, Pejabat SPRM Cawangan Kluang dan Pejabat SPRM Cawangan Segamat.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui aplikasi Whatsapp di talian 010-8414384, atau menerusi emel [email protected].

SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding, agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Hari ini adalah penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac depan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan harap penjawat awam jauhi rasuah, amanah ketika bertugas

SHAH ALAM, 20 JAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap penjawat awam khususnya di Selangor mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Beta berharap agar penjawat awam menjalankan tugas dengan amanah, menjauhi rasuah dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat,” titah baginda di Majlis Pelancaran Buku From AS to AG – Reminiscence of a PTD Officer karya Tan Sri Ambrin Buang di sini, hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan hadir di majlis itu.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Baginda bertitah Ambrin merupakan Ketua Audit Negara paling lama iaitu selama 11 tahun dan telah mengemudi tugasnya dengan cemerlang.

“Beta berterima kasih atas khidmat bakti ketika beliau berkhidmat di Selangor,” titah baginda.

Ambrin yang telah berkhidmat di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selama 46 tahun, pernah menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dari 1999 hingga 2001.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sijil palsu: Rasuah sukarelawan pusat vaksin, seorang lelaki direman tujuh hari

KOTA KINABALU, 12 JAN: Seorang pembantu pejabat direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jessica Ombou Kakayun di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini ketika hadir untuk memberi keterangan.

Suspek juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: Kenyataan terburu-buru pegawai kanan SPRM sokong Azam boleh ganggu proses siasatan

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN)  memandang serius tindakan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat kenyataan menyokong ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Majlis presiden beranggapan tindakan terburu-buru menyokong ‘bos’ mereka secara terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap ketua pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Oleh itu pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan biarkan pihak polis siasat secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Pada 9 Januari lalu tiga timbalan ketua pesuruhjaya SPRM menyatakan pendirian menyokong Azam yang dipertikaikan ekoran kes pemilikan saham.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme) berpendirian serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Majlis presiden juga mempersoalkan adakah siasatan dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga boleh disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’?

“Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Gejala rasuah semua peringkat harus ditangani segera

SHAH ALAM, 12 JAN: Gejala rasuah yang merebak ke semua peringkat perlu ditangani segera bagi menyelamatkan rakyat secara keseluruhan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang juga mendesak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengambil ketetapan tegas berhubung perkara berkenaan.

“Tokoh politik lama atau baharu tetapi bersekongkol dengan kelompok rasuah. Sudah ada kewangan yang besar dan pamer kehebatan. Ia bukan penyelesaian kepada rakyat.

“Ada kecenderungan lempar tuduhan kepada orang politik. Siapa yang ambil balak, curi saham, dapat kontrak dan kekayaan melimpah? Mengapa harus samakan semua,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook pada malam ini.

Anwar juga menggesa orang ramai supaya menganggap rasuah sebagai perbuatan jenayah yang mengakibatkan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan hidup menderita.

“Rasuah bukan hanya projek besar-besar tetapi ketirisan berlaku termasuk dalam projek rakyat biasa, subsidi minyak dan bantuan rakyat. Ini disebut ketua audit negara tahun demi tahun tetapi tiada tindakan.

“Saya tidak fikir perkara ini boleh selesai tanpa ada gerakan rakyat yang lebih menyeluruh dan sedar tanggungjawab untuk selamatkan negara,” katanya.

Categories
AGAMA NASIONAL

HARAPAN kecewa Peguam Negara batal rayuan kes rasuah Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) kecewa dengan keputusan Peguam Negara membatalkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor daripada dakwaan kes rasuah.

Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya Peguam Negara tidak dapat menjustifkasikan keputusannya maka beliau harus letak jawatan.

“Tindakan membatalkan rayuan ini mewujudkan persepsi sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara malah mencemarkan kredibiliti dan kebebasannya.

“Majlis Presiden akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman di antara HARAPAN dan kerajaan, khususnya Perkara 4 berhubung kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Anwar sebagai Presiden KEADILAN, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, pihaknya menyedari Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada menarik balik rayuan tersebut atau tidak.

“Namun dalam kes melibatkan pertuduhan kewujudan unsur-unsur rasuah terhadap seorang Ahli Parlimen dan bekas Menteri Persekutuan, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar sehinggalah segala proses perundangan telah dilalui sepenuhnya,’’ katanya.

Pada 17 November portal The Edge dalam laporannya menyebut ia telah ‘difahamkan dengan pasti’ yang pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya berhubung kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Putrajaya.

Pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyabitkan Tengku Adnan ketika menjadi menteri wilayah persekutuan bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu pada Julai lalu.

Pengerusi panel hakim Suraya Othman memutuskan RM2 juta yang diterima Tengku Adnan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil.

 

Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak kerajaan

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas.

Rozman, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelaki tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan, Rozman yang memakai sut biru gelap berkata: “Saya sama sekali tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

TerdahuluTimbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah bersetuju jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada Rozman.

Ahmad Akram turut memohon supaya pasport Rozman diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Muhammad Rafique yang mewakili Rozman mengesahkan jumlah jaminan yang telah dipersetujui.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Ketika membenarkan tertuduh diikat jamin, Rozina berkata jika boleh penjamin berkenaan adalah individu yang tinggal di Semenanjung.

“Kita tidak mahu sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sana (Labuan) atau apa sahaja, ia menjadi kesukaran, jadi mahkamah mahu penjamin yang tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor,” kata Rozina.

Mahkamah turut menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah pengurusan jenazah, lima kakitangan hospital ditahan

SHAH ALAM, 6 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan lima kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.

Menurut sumber SPRM, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2021 dan melibatkan jumlah suapan lebih RM20,000.

Katanya difahamkan, kesemua suspek lelaki yang berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun itu ditahan kira-kira 3 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kesemua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM: Hanya 267 penjawat awam terlibat, Selangor bukan lubuk rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Selangor tidak boleh digambarkan sebagai negeri lubuk rasuah, kata pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dato’ Alias Salim menjelaskan statistik sejak 2016 hingga Ogos lalu mendapati hanya 267 daripada 2,616 penjawat awam yang ditahan adalah di Selangor.

“Daripada 267 ditahan seorang merupakan pengurusan tertinggi, 77 individu pula pengurusan dan profesional manakala 189 adalah anggota bawahan.

“Bagi saya tidak boleh kata Selangor lubuk rasuah kerana kita berjiran dengan negeri-negeri lain, Lembah Klang dan menjadi tumpuan pelabur,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah malam tadi.

Sementara itu, beliau menjelaskan secara keseluruhan aduan tertinggi diterima ialah di Sabah iaitu 306 kes diikuti Selangor (267), Perak (265), Sarawak (262), Pahang (203) dan Johor (201).

“Setiap aduan diterima bukan semuanya berunsur rasuah tetapi ada juga pentadbiran melibat agensi penguatkuasaan yang lambat menyiasat dan diserah kepada SPRM.

“Jumlah yang diterima ini menunjukkan kesedaran masyarakat dalam melaporkan kegiatan rasuah selain program-program pencegahan dibuat mendapat kerjasama amat baik dengan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memastikan penjawat awam sentiasa berintegriti tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Jawatan, pengaruh punca penjawat awam terlibat rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Berjawatan tinggi dan berpengaruh merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah, kata pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dato’ Alias Salim berkata berdasarkan statistik keseluruhan dalam tempoh lima tahun sejak 2016, seramai 2,285 daripada 4,811 tangkapan merupakan penjawat awam.

“Hampir separuh atau 47.5 peratus tangkapan terdiri daripada penjawat awam. Penjawat awam perlu ambil perhatian kerana mereka mempunyai kuasa dalam menguruskan dana kerajaan, perolehan, sebut harga dan kontrak.

“Mereka seharusnya menjadi mata dan telinga SPRM dengan memberikan maklumat. Kita pelawa mereka beri maklumat kerana SPRM hanya mempunyai lebih 2,000 anggota dan tidak mampu tangani 32 juta penduduk,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah malam tadi.

Alias memaklumkan, penjawat awam yang memberi maklumat tidak perlu khuatir kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Penjawat awam ini mengetahui dengan tepat apa yang berlaku dalam jabatan masing-masing sekaligus mahu mengurangkan peratusan tangkapan melibatkan mereka. Dengan maklumat orang awam ditangkap kerana mereka yang sogok terutama pegawai penguat kuasa.

“Kita hendak kurangkan penjawat awam ditangkap dan mahu menuduh orang yang menyogok. Ini yang kita kena didik penjawat awam dengan melaporkan kegiatan rasuah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa tubuh badan bebas siasat kes curi wang tunai USD6 juta

SHAH ALAM, 20 SEPT: Badan bebas perlu menyiasat dakwaan kecurian wang tunai bernilai USD6 juta (RM24 juta) semasa siasatan kes rasuah yang dikaitkan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli parlimen Puchong berkata adalah tidak telus sekiranya siasatan dilakukan SPRM sendiri yang mengeluarkan kenyataan telah menahan tiga pegawainya manakala polis pula menjelaskan tiada laporan diterima mengenai kes berkenaan.

“Ini perkara serius dan kita perlu tunjuk kepada rakyat bahawa ada ketelusan, kalau kerajaan hendak tunjuk kerajaan reformis maka keputusan dibuat segera.

“Kes ini harus disiasat badan bebas untuk tunjukkan siasat tepat dan telus bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Gobind Singh Deo dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, tular dakwaan penangkapan pegawai SPRM kerana dituduh mencuri barang kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab Hamid yang didakwa di mahkamah atas pecah amanah USD12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan dalam perbicaraan kes pada April lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM belum kenal pasti pemilik nombor telefon tawar ‘durian RM30’

SHAH ALAM, 9 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan setakat ini belum dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej tawaran rasuah kepada ahli parlimen DAP.

Menerusi kenyataan, SPRM berkata pihaknya memandang serius dakwaan tiga ahli parlimen DAP yang ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga kini SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.

“Setakat ini SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ahli-ahli parlimen berkenaan,” katanya.

SPRM juga memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.

Pada 7 Ogos, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii mendakwa menerima mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali dan menawarkan dua kekosongan jawatan menteri.

Poay Tiong berkata nombor berkenaan menawarkan jawatan menteri tenaga dan sumber asli dan menteri pengajian tinggi selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatan pada 3 dan 6 Ogos lalu.

Katanya, individu tersebut menawarkan “durian RM30” secara tunai dan jawatan menteri. Bagaimanapun beliau tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan “durian RM30”.