Categories
AGENDA NASIONAL

Perdana Menteri ziarah Dr Mahathir di IJN

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (lJN) di sini.

Ismail Sabri yang tiba pada 5.35 petang tadi dilihat melambai tangan dari kenderaan rasmi beliau ke arah pengamal media yang berkumpul di perkarangan IJN.

Perdana menteri meluangkan masa kira-kira sejam di IJN.

Beberapa pengamal media mula berkumpul di luar IJN sejak 12 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir dan difahamkan IJN akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam hantaran di akaun Twitternya berkata semasa menziarahi Dr Mahathir, beliau turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad terus tabah,” katanya.

Sementara itu dalam catatan di Facebook beliau, Ismail Sabri meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Dr Mahathir kembali sihat.

“Saya mohon seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa kepada Allah semoga Tun Mahathir segera sembuh dan kembali sihat walafiat,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan.

Pada 8 Jan, beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

6,637 kes sembuh Covid-19, atasi kes baharu

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak 6,637 kes sembuh daripada COVID-19 dilapor di Malaysia hari ini, mengatasi angka harian kes baharu yang merekodkan 6,377 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 kini 2,354,622 manakala kumulatif kes baharu adalah 2,454,749 kes.

Beliau berkata lapan kluster baharu pula direkodkan hari ini dengan lima kes melibatkan kluster tempat kerja dan masing-masing satu kes melibatkan kluster kumpulan berisiko tinggi, komuniti dan institusi pendidikan.

“Daripada 6,377 kes harian dilapor hari ini, 101 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 6,276 kes atau 98.4 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Selain itu, 32 kes melibatkan kes import terdiri daripada 20 warganegara dan 12 bukan warganegara manakala kes tempatan ialah 6,345 dengan 6,011 daripadanya warganegara dan 334 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan sejumlah 564 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 294 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.94 dengan Negeri Sembilan mencatat kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02 manakala Labuan satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM belanja RM2.8 juta rawat 9,222 individu henti merokok

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan sejumlah RM2.8 juta bagi memberikan rawatan berhenti merokok atau rawatan farmakologi kepada 9,222 perokok pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM2 juta dibelanjakan pada tahun sebelumnya untuk merawat seramai 12,640 perokok.

“Jumlah perbelanjaan ini meningkat kepada RM2.8 juta pada 2019 namun jumlah mereka menerima rawatan farmakologi telah berkurangan kepada 9,222 orang atas faktor kenaikan harga ubatan semasa.

“Rawatan berhenti merokok iaitu rawatan farmakologi melibatkan dua jenis ubatan iaitu terapi pengganti nikotin termasuk pelekat nikotin dan gula-gula getah nikotin serta terapi pengganti bukan nikotin,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Adham berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PAKATAN-Parit Buntar) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan jumlah yang ditanggung KKM untuk program berhenti merokok seperti program mQuit dan sejauh manakah keberkesanan program itu.

Dr Adham berkata KKM juga melaksanakan satu inisiatif di bawah kerjasama awam-swasta bersama badan profesional, badan bukan kerajaan dan agensi swasta dalam program Perkhidmatan Berhenti Merokok iaitu mQuit.

“mQuit bermula sejak fasa satu iaitu 2015 hingga 2017, fasa kedua pada 2017 hingga 2020 dan bakal memasuki fasa ketiga bermula 2021 sehingga 2025 dengan termeterainya memorandum persefahaman bersama pihak KKM. Peruntukan kewangan bagi melaksanakan semua aktiviti dalam setiap fasa ditanggung badan profesional ini.

“Jumlah perokok mendaftar bagi mendapatkan rawatan berhenti merokok meningkat daripada 10,240 orang pada 2017 kepada 22,601 orang pada 2019,” katanya.

Dr Adham berkata melalui promosi penggalakkan berhenti merokok semasa pandemik Covid-19, lebih 3,442 orang mendaftar melalui laman sesawang Jomquit bermula 1 Januari hingga 21 Oktober berbanding keseluruhan 2019 iaitu seramai 1,678 perokok.

Beliau berkata daripada jumlah pendaftaran pada 2020, sebanyak 3,254 orang atau 95 peratus mendaftar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kesihatan Anwar merosot, permintaan jalani rawatan tak diendah

SHAH ALAM, 30 MEI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu menjamin kesihatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membenarkan beliau berada di hospital dalam tempoh diperlukan.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Anwar kini kehilangan kira-kira enam kilogram berat badan sejak ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, pada Februari lalu.

“Terdapat juga simptom kesan darah pada sampel najis beliau yang memerlukan pemeriksaan perubatan secara lebih dekat,” katanya yang memetik Malaysia Kini

anwarBeliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri tiga anak Anwar iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Nurul Hana di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, pemeriksaan menunjukkan kadar tekanan Anwar tidak menentu dan adakala setinggi 163/108 yang berlaku walaupun sedang menjalani rawatan perubatan.

Beliau berkata, punca masalah itu perkara itu di luar pengetahuannya tetapi mungkin disebabkan usus Anwar berdarah atau pemakanan.

Katanya, kecederaan bahu kanan Anwar kini semakin serius sehingga memerlukan pemeriksaan ujian saringan resonan magnetik (MRI)bekas ketua pembangkang itu

johari-abdul“Beliau akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan, pemerhatian dan rawatan perubatan, pada 2 Jun ini selepas beberapa minggu permintaannya untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dilengahkan serta tidak diendah.

Johari berkata, pihaknya kesal atas kelewatan itu kerana permintaan mudah untuk menjalani pemeriksaan MRI ke atas bahu Anwar tidak diendahkan untuk beberapa minggu.

“Kegagalan kerajaan untuk memenuhi tuntutan ini adalah sebuah pencabulan hak asasi ke atas Anwar bagi mendapatkan rawatan perubatan adil dan saksama,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Air Bakal Selesai Dua Bulan Lagi

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 01

SHAH ALAM 2 JUL : Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa rundingan pengurusan air dengan Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya juga telah menyediakan surat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berhubung perundingan tersebut.

“Ianya disediakan berdasarkan tawaran-tawaran yang perlu diterima selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Kita juga optimis dengan perkara ini berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk proses penyusunan semula pengurusan air di Selangor,” kata Abdul Khalid di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Meru, Dr. Abdul Rani Osman berhubung perkembangan pengurusan air Selangor.

Abdul Khalid juga menjelaskan, sebagai persediaan rapi, Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu pasukan pengurusan professional yang berkemampuan mengendalikan pengurusan air di Selangor sekiranya proses ambil alih berjaya.

“Pasukan pengurusan ini terdiri daripada eksekutif dari luar negara yang berkelayakan.?

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Tujuan penstrukuturan semula adalah supaya rakyat mendapat bekalan air terawat yang efisen dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.