Categories
AGENDA NASIONAL

PdPR dua minggu selepas raya bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Seminggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, sesi pembelajaran murid sekolah diteruskan hari ini dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah kumpulan B.

Sesi pembelajaran itu bermula hari ini sehingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Bagi sekolah kumpulan A, (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) sesi pembelajaran itu telah bermula semalam sehingga 27 Mei.

Beberapa orang ibu bapa memberikan respons positif susulan pengumuman pelaksanaan PdPR selama dua minggu ini, dibuat Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin dalam sidang media pada 26 April (hampir dua minggu sebelum cuti raya Aidilfitri).

Pengguna media sosial Azizan Abu Bakar berkata beliau menyokong keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi pelaksanaan PdPR bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan.

“Win-win situation bagi mengelak kluster Hari Raya menular ke sekolah dan tindakan makluman awal pun sangat tepat supaya pihak sekolah boleh merancang awal bahan PdPR untuk murid sebelum mula bercuti hari raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Noriah Saleh, 34, ibu kepada tiga anak yang masih bersekolah berkata anaknya kini sudah membiasakan diri untuk belajar secara PdPR menggunakan modul latihan yang disediakan guru sebelum cuti Aidilfitri bermula.

“Cikgu akan hantar pesanan melalui apilkasi WhatsApp pada ibu bapa untuk ingatkan anak-anak dan memantau mereka buat latihan ikut subjek. Kelas dalam talian pun sudah ada jadual dan lebih teratur,” katanya.

Bapa kepada dua pelajar, Yusri Mohd, 40, berkata sebagai persiapan awal untuk menghadapi peperiksaan, beliau mengingatkan anaknya supaya mengikuti kelas di DidikTV sekiranya tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.

“Untuk pastikan tidak tertinggal pelajaran saya suruh anak tengok televisyen (DidikTV) untuk belajar sebagai tambahan selain baca nota dan siapkan latihan yang cikgu bagi untuk ulang kaji setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, Radzi memaklumkan selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Petugas pusat kuarantin Serdang ketepi sambutan raya demi khidmat

SERDANG, 14 MEI: Seramai 1,250 petugas hadapan pelbagai agensi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 mengorbankan sambutan perayaan Syawal demi tanggungjawab.

Mereka yang ditemui Selangorkini mengakui sedikit sedih kerana tidak dapat merai hari lebaran bersama keluarga, namun demi memastikan lebih 4,000 pesakit terjaga mereka sedia berkhidmat.

Dr Marzilawati Abd Rahman

Timbalan Pengarah 2 (Klinikal) berkata melalui pengalamannya lebih 20 tahun menjadi doktor, suasana hari raya di PKRC Serdang adalah paling sibuk berbanding di hospital.

“Di hospital kita tertakluk dengan tugas di wad bersama pesakit dan ia rutin biasa. Pada hari raya tidak begitu sibuk tetapi kali ini di PKRC MAEPS waktu ini paling sibuk dengan kemasukan pesakit tinggi dan kadar kes yang kian meningkat,” kata Dr Marzilawati Abd Rahman.

Yunus Mohamed

Katanya, sambutan perayaan kali ini beliau memilih cara panggilan video dengan menghubungi ahli keluarga bagi mengubat kerinduan.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Yunus Mohamed pula berkata sepanjang bertugas di hari raya, situasi di sana paling meriah yang mana beliau tidak berseorangan berbanding di lokasi lain.

“Walaupun meriah dengan ramai orang, ini bukanlah suasana yang diimpikan semua terutama pesakit Covid-19, saya merayu kepada semua agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana kita tidak mahu suasana seperti ini lagi pada Aidilfitri akan datang,” katanya.

Ruslan Luk

Sementara itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ruslan Luk berkata selain tugas hakiki, aktiviti yang dijalankan di sana seperti pertandingan dekorasi Aidilfitri dapat menghilangkan perasaan sedih tidak dapat pulang beraya dan pada masa yang sama dapat merasai suasana menyambut Aidilfitri.

“Ini tahun kedua saya tidak pulang ke kampung halaman di Kelantan kerana Covid-19. Hanya ‘video call’ sahaja dapat kami 10 adik-beradik lakukan untuk Aidilfitri kali ini. Saya mohon kepada orang ramai untuk patuh SOP kerana kita semua masih belum menang,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS anggar agih RM34 juta bantuan raya asnaf

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganggar sejumlah RM34 juta dibelanjakan bagi membantu kira-kira 63,000 asnaf sempena hari raya nanti.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu memandangkan ramai terjejas akibat penularan Covid-19.

“Bantuan ini meliputi semua golongan asnaf iaitu fakir, miskin dan mualaf negeri ini. LZS akan pastikan mereka dibantu dan dapat menyediakan keperluan raya selain menyambutnya dengan meriah,” kata Saipolyazan Mat Yusop kepada SelangorKini.

Menurutnya bantuan berupa sumbangan wang ringgit itu akan diagihkan sehari sebelum Ramadan menerusi transaksi dalam talian.

“Memandangkan negara masih berdepan pandemik Covid-19 ketika ini, kita tidak anjurkan program bantuan seperti selalu sebagai langkah mengekang penularan,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ziarah Aidilfitri cuma raya pertama, had maksimum 20

SHAH ALAM, 13 MEI: Aktiviti ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada Hari Raya pertama membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memutuskan ziarah Aidilfitri pada hari berikutnya sepanjang Syawal tidak dibenarkan.

“Ziarah hanya pada raya pertama, tidak ada raya kedua, ketiga dan seterusnya. Rumah terbuka juga dilarang mengikut peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya di Putrajaya hari ini.

Mengenai keputusan kerajaan membenarkan aktiviti ziarah keluarga dalam negeri sama dengan had maksimum 20 orang, Ismail Sabri berkata jumlah itu perlu mengambil kira saiz sesebuah rumah.

“Katakan flat berukuran 600 kaki persegi, 20 satu masa mungkin terlalu ramai dan tak boleh berlaku penjarakan sosial, jadi lima orang saja (satu masa) tetapi maksimum tetap 20 orang sehari.

“Sebenarnya walaupun (pergerakan) sudah dilonggarkan, tujuan kita memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah PKPB supaya orang ramai berada di rumah dan mengelak bertemu ramai orang.

“Boleh berhari raya, tetapi kalau boleh ambil inisiatif sendiri untuk elak (bertemu ramai orang),” katanya.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) hari perayaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu turut merangkumi Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

Categories
SELANGOR

Hampir 15,000 meriahkan Hi-Tea Aidilfitri DUN Batu 3

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUL: Hampir 15,000 memeriahkan sambutan Hi-Tea Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang diadakan di Stadium JKR, Seksyen 17, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail berkata, sambutan yang diterima kali ini cukup luar biasa berbanding tahun sebelum.

“Suasana begitu meriah apabila saya berpeluang bertemu dengan pengunjung yang mungkin terdiri daripada pengundi saya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Terima kasih kepada semua pengunjung kerana sudi hadir malah ada yang sudi membantu secara sukarelawan serta menjaga keselamatan sekeliling,” katanya kepada pemberita.

Katanya, kemudahan bas Smart Selangor yang disediakan Kerajaan Negeri juga memudahkan penduduk di kawasan kos rendah untuk bersama hadir di majlis itu.

“Saya bersyukur kerana kemudahan bas Smart Selangor dapat dimanfaatkan rakyat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, majlis itu tambah bermakna apabila ia adalah bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke 54 tahun.

Majlis selama tiga jam yang bermula seawal jam 3 petang itu bertambah meriah apabila terdapatnya kunjungan daripada Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Antara menteri yang hadir adalah mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

Categories
NASIONAL

Semoga Muslim Malaysia terus sejahtera – Duta China

KUALA LUMPUR 15 JUN: Menyantuni kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, Duta China ke Malaysia, Bai Tian menampilkan erti keikhlasan dengan menyampaikan ucapan raya dalam bahasa Melayu.

Meskipun tidak sempurna bibit sebutannya, mesej yang cuba diterapkan menerusi video hampir dua minit itu dilihat sarat dengan tema Aidilfitri iaitu erti kemenangan, selain dihiasi bait pepatah bagi menggambarkan usaha mengharungi cabaran tatkala sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Mengenakan baju batik dan berlatarbelakangkan kaligrafi Cina, Tian menyifatkan ucapan itu mewakili masyarakat Muslim di republik berkenaan, yang turut menyambut lebaran dengan cara tersendiri.

“Saya ingin atas nama rakyat China khususnya 20 juta Muslim China mengucapkan selamat Hari Raya kepada semua rakan Muslim Malaysia sekalian.

“China dan Malaysia bagai isi dengan kuku. Bak pepatah bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Semoga semua rakan Muslim Malaysia terus dikurniakan kesejahteraan.

“Sekali lagi, selamat Hari Raya,” katanya menerusi pautan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kedutaan Republik China di Malaysia.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
NASIONAL

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri esok

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat, 15 Jun 2018,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ops Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2018 dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan Ops Raya JBPM 2018 secara bersepadu dengan koordinasi bersama agensi lain selama 15 hari, bermula 8 hingga 22 Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Mohd Hamdan Wahid berkata, JBPM sudah mengenalpasti 18 lokasi strategi sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan LPT II.

“Setiap lokasi ini ditempatkan satu unit FRT/LFRT dengan kekuatan tujuh pegawai dan satu unit EMRS bersama tiga pegawai, sepanjang ops ini berkuatkuasa,” katanya pada program Pelancaran Ops Raya JBPM 2018, di sini, hari ini.

Mohd Hamdan berkata, berdasarkan analisa Ops Raya 2017, sebanyak 3,354 kes panggilan kebakaran dicatatkan berbanding hanya 2,400 kes, sepanjang Ops Raya 2016.

Hamdan berkata, kes panggilan kemalangan jalan raya pula mencatatkan peningkatan 156 kes sepanjang ops raya 2017 berbanding 129 kes, pada ops raya tahun sebelumnya.

Manakala, panggilan penyelamat pula mencatatkan 2,095 kes pada Ops Raya 2017 berbanding 1,449 kes, tahun sebelumnya.

“Pada ops raya ini, pegawai JBPM akan bertugas selama 24 jam secara bergilir bagi bersedia menangani insiden membabitkan kebakaran dan kerja penyelamatan seperti kemalangan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamdan menggesa supaya orang ramai memastikan bekalan elektrik yang tidak digunakan dimatikan, ketika bercuti.

“Berdasarkan statistik JPBM tahun lalu, sebanyak 29,356 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,737 adalah berpunca daripada elektrik,” katanya.

Categories
EKONOMI

JAKEL tawar diskaun sehingga 85% dan kain samping benang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MEI : Syarikat pemborong kain terkemuka Jakel Trading Sdn Bhd (JAKEL) menawarkan diskaun sehingga 85 peratus kepada semua pelanggan yang datang membeli-belah di premis mereka, menjelang Aidilfitri.

Pengarah Urusan JAKEL Shah Alam, Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata, tawaran itu sudah bermula seawal Ramadan dan akan berakhir, sehingga malam raya.

“Semua koleksi produk yang dikeluarkan JAKEL mementingkan elemen utama antaranya pemilihan fabrik berkualiti tinggi, permainan warna bersesuaian dan perincian rekaan secara kemas serta rapi.

“Namun, harga yang ditawarkan kami jauh lebih rendah dan mempunyai pelbagai gabungan kombinasi bagi menyerlahkan lagi personaliti si pemakai supaya kelihatan bergaya serta up to date,” katanya ketika majlis pelancaran JAKEL Barulah Raya, di JAKEL Shah Alam, di sini, semalam.

Mohamed Izani berkata, menariknya, JAKEL mengambil inisiatif dengan berperanan sebagai ‘one stop centre’ untuk memudahkan pelanggan mendapatkan pakaian raya berjenama pelbagai selebriti, di bawah satu bumbung.

“Ini salah satu konsep berbelanja di JAKEL yang pelanggan ingin rasa ketika berbelanja, di sini. Antara jenama barisan selebriti yang boleh didapatkan di sini adalah koleksi Baju Melayu Nabil Ahmad, Kurta Hairul Azreen, kolekasi Schawalara dan pelbagai lagi koleksi selebriti terkemuka tanah air,” katanya.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan sesi lelongan jualan ‘Happy Hour’ untuk koleksi pakaian raya daripada barisan selebriti terkemuka kelainan dengan menampilkan kain samping benang.

Malah, JAKEL Shah Alam turut menghangatkan lagi kempen jualan hari raya dengan memberikan 100 baju Melayu percuma kepada pelanggan terawal semalam selain menampilkan koleksi terkini iaitu kain samping benang.

Mohamed Izani berkata, JAKEL sentiasa menampilkan sesuatu yang unik dan memberikan kelainan setiap tahun supaya pelanggan dapat merasai kemeriahan menyambut musim lebaran.

“Sememangnya kain samping amat sinonim bersama baju Melayu kerana melengkapkan penggayaan sang arjuna. Kain samping benang lebih berkonsepkan santai dan mudah untuk digayakan, di samping mengekalkan ciri eksklusif yang hanya boleh didapati, di JAKEL sahaja.

“Memandangkan baju Melayu berkain samping songket adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, maka JAKEL mengambil inisiatif dengan menampilkan kain samping benang bagi mewarnai musim perayaan yang sentiasa berkait dengan moden klasik dan tradisional,” katanya.

Menariknya, kain samping benang turut didatangkan dengan pelbagai variasi warna yang boleh disuai padankan bersama koleksi baju Melayu.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Koleksi raya JAKEL berkualiti dan mampu milik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Sempena ulang tahun ke-10 JAKEL bertapak di Kuala Lumpur, syarikat itu mengeluarkan pelbagai pilihan fabrik dan menampilkan variasi koleksi pakaian raya tahun ini dengan harga berpatutan.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya sentiasa memainkan peranan dalam usaha memastikan kepuasan pelanggan terjaga.

“Semua koleksi yang dikeluarkan amat mementingkan elemen pemilihan fabrik berkualiti tinggi, permainan warna bersesuaian dan perincian rekaan secara kemas juga rapi.

JAKEL5“Selain itu, koleksi tahun ini lebih memfokuskan corak dan warna segar yang dicipta oleh pereka dalaman JAKEL sendiri,” katanya ketika majlis pelancaran Koleksi Raya Jakel di Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Faroz berkata, ramai penggemar fesyen lebih selesa memilih koleksi pakaian mampu milik tetapi masih mengekalkan elemen eksklusif melihat kepada keadaan ekonomi yang mencabar.

“Menyedari hal ini, kita tampil dengan rekaan lebih elegan dan mampu dibeli semua golongan masyarakat.

“Harga baju kurung koleksi Ayda Jebat, Hanis Zalikha dan Scha Alyahya bermula serendah RM79. Manakala, harga baju melayu lengkap dengan sampin dan butang melayu percuma dapat dimiliki dengan harga tidak lebih dari RM150,” katanya.

Selain itu, JAKEL turut menghargai pelanggan dengan mengadakan promosi dengan harga runtuh ketika ‘Happy Hour’.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor, Tengku Permaisuri cemar duli solat Aidiladha bersama 2,500 rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 2,500 umat Islam di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

fai_0062-1Baginda tiba di perkarangan masjid sekitar jam 8.20 pagi diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Solat sunat itu diimamkan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Sheikh Abdul Karim Omar.

Sebanyak 22 ekor lembu dikorbankan pada perayaan Aidiladha di masjid berkenaan tahun ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bas Smart Selangorku operasi seperti biasa pada Aidilfitri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JULAI: Rakyat Selangor terus berpeluang menggunakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor seperti biasa pada hari raya ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata semua bas akan berkhidmat mengikut jadual tanpa pengecualian.

teng-chang-kim-1“Kita sediakan perkhidmatan di bandar dan luar bandar untuk kemudahan semua warga Selangor.

“Diharap pergerakan rakyat di hari raya ini lancar dengan Bas Smart Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2015, Bas Smart Selangor mula diperkenalkan di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Awal tahun ini, ia mula dilaksanakan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Kemudian, Kerajaan Negeri memperkenalkan perkhidmatan sama di tiga laluan merentasi perbandaran.

basMPAJ 1Laluan pertama melibatkan perjalanan dari Selayang ke Rawang dan Kuala Kubu Bharu dengan merentasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Kedua dari Kuala Selangor ke Sekinchan hingga Sungai Besar dengan merentasi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Sementara laluan ketiga melibatkan Banting ke Morib, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.

Sejak dua tahun lalu, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.5 juta untuk penyediaan Bas Smart Selangor yang dahulunya dikenali sebagai Bas Selangorku.

-NFN-