Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah kanak-kanak meninggal, lima hari terperangkap dalam perigi di Maghribi

SHAH ALAM, 6 FEB: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak berusia lima tahun di Maghribi yang meninggal dunia selepas diselamatkan akibat terperangkap di dalam perigi.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengikuti laporan Rayan Oram terjatuh dan terperangkap dalam perigi selama lima hari itu menyifatkan ia berita yang menyayat hati.

“Inalillahwainailaihirajiun. Berdukacita di atas kisah menyayat hati pemergian adik Rayan Oram. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan beliau di kalangan orang yang beriman.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dan seluruh rakyat Maghribi,” katanya di Twitter.

Amirudin juga turut berkongsi pautan berita dari Astro Awani mengenai pemergian kanak-kanak lelaki berkenaan.

Menurut laporan media antarabangsa, Raja Maghribi Raja Mohammed VI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rayan atas pemergiannya.

Rayan terjatuh ke dalam perigi kering sedalam 32 meter (105 kaki) pada Selasa di Igran, wilayah Chefchaouen.

Pasukan penyelamat berjaya menemui budak lelaki itu dan bergelut untuk mengeluarkan Rayan daripada perigi sejak kanak-kanak itu terperangkap pada Selasa.