Categories
SELANGOR

Tapak pelupusan sanitari selesai masalah penduduk Semenyih

Oleh : AFEEQA AFEERA

HULU LANGAT, 30 APRIL: Kerajaan Negeri memberi jaminan pembinaan tapak pelupusan sanitari yang akan dibina tidak lama lagi di Kampung Pasir Baru, Semenyih menghala ke Sungai Tekala, dekat sini, tidak menggugat keselesaan penduduk di kawasan itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tapak seluas 50 ekar khusus untuk sampah pukal itu dapat menyelesaikan masalah bau busuk dan pencemaran alam sekitar yang ditanggung penduduk ekoran lori sampah didakwa menggunakan jalan di kampung berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri kini giat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat termasuk mengadakan perbincangan hampir setiap minggu berhubung isu terbabit.

Yunus-Hairi“Buat masa ini, kita putuskan untuk menggunakan Sungai Kembung dan Tanjung 12 sebagai tapak pembuangan sampah sebelum dibangunkan tapak pelupusan sanitari oleh pihak Worldwide Holding Berhad.

“Tapak itu juga khusus untuk kompaktor sahaja, manakala lori sampah (open tipper) tidak dibenarkan masuk ke situ,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, di sini.

Dilaporkan, lokasi tapak pelupusan sampah berkenaan terletak sejauh lapan kilometer dari Pusat Perolehan Semula Sumber Sisa Pepejal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kampung Pasir Baru yang juga dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF).

RDF itu wujud sejak 2004 dan tidak mampu beroperasi untuk menampung dan mengeluarkan sampah lebihan sejumlah 50,000 tan, sejak Mei tahun lalu.

Namun, sudah diberi amaran oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menamatkan operasi atas beberapa faktor termasuk mengakibatkan pencemaran.

Dr Yunus sampahBagaimanapun, ia menyebabkan kesulitan kepada MPKj kerana terpaksa menguruskan 500 tan sampah sehari berikutan penduduk di kawasan MPKj berjumlah 780,000.

Pada 7 April lalu, RDF tidak dapat menerima sampah daripada MPKj dan operasi berkenaan tidak dapat menampungnya lagi ekoran masalah teknikal.

Sebagai langkah kecemasan, lokasi pembuangan ditukarkan ke tapak pelupusan di Sungai Kembong lebih kurang tiga kilometer daripada RDF.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Rebat Cukai Jika Amal Gaya Hidup Kurang Pencemaran

SHAH ALAM, 26 NOV: Pelbagai insentif ditawarkan kepada rakyat Selangor jika mengamalkan gaya hidup yang meminimakan pencemaran alam sekitar.

Insentif ini termasuk rebat cukai pintu untuk kediaman hijau, parkir percuma bagi kereta hybrid dan lain-lain.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut berusaha mengurangkan emisi karbon melalui beberapa projek mikro hidro dan menyediakan kemudahan yang berupaya menjana tenaga dari sisa-sisa buangan (RDF, Refuse Derived Fuel).

Demikian menurut kenyataan media Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hari ini.

“Di Selangor, Kerajaan Negeri berusaha menyediakan tapak bersesuaian serrta  menjemput pihak swasta mendirikan tapak penjanakuasa solar,” menurut kenyataan tersebut.

Projek mikro hidro yang dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Shell dan UNDP itu  dilaksanakan di Kampung Orang Asli di Hulu Selangor dan kemudahan  menjana tenaga dari sisa-sisa buangan pula diwujudkan di Kajang.

Kerajaan Negeri juga aktif berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Exco Pelaburan Negeri untuk menggalakkan usaha-usaha memulihara alam sekitar ini.

Kenyataan tersebut turut menyatakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) juga  menyediakan Garis Panduan Perancangan Kejiranan Hijau untuk bangunan hijau manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula mengusahakan projek pembangunan yang mencapai taraf Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Kejayaan MBPJ memperolehi taraf GBI itu sekaligus melayakkannya menerima potongan dari Tabung Penambahbaikan Perkhidmatan (ISF) dan peningkatan nisbah plot (nisbah plot).

Kerajaan Negeri turut menandatangani persetujuan Cancun Statemenet of 2010 yang diusahakan The Climate Group sebagai tanda komitmen terhadap usaha pengurangan emisi karbon.