Categories
SUKANKINI

Julen Lopetegui pengurus baharu Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 13 JUN: Real Madrid mengumumkan jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol, Julen Lopetegui sebagai pengurus baharu bagi menggantikan Zinedine Zidane.

Pengumuman itu dibuat 48 jam sebelum sepak mula Piala Dunia Rusia 2018 berlangsung.

Pengurus berusia 51 tahun itu akan memulakan tugas bersama Los Blancos selepas tamat kempen Piala Dunia dengan kontrak selama tiga tahun.

Beliau sebelum ini pernah mengemudi pasukan FC Porto, Rayo Vallecano dan Real Madrid B sebelum dilantik sebagai jurulatih La Roja selepas kempen Euro 2016.

Sepanjang memimpin Sepanyol dalam 20 perlawanan, Juara Piala Dunia 2010 itu tidak pernah tewas dan melakar 14 kemenangan.

 

Foto Kredit: Real Madrid CF

Categories
SUKANKINI

Gareth Bale pastikan kejuaraan UCL ke-13 buat Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

KYIV, 27 MEI: Gareth Bale muncul wira Real Madrid apabila berjaya meledak dua gol bagi membantu pasukannya menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Nasional Olimpiyskiy, Kyiv, Ukraine awal pagi tadi.

Tampil sebagai pemain gantian menggantikan Isco pada minit ke-61, perubahan tektikal permainan dilakukan Zinedine Zidane berjaya memerangkap skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Aksi babak pertama menyaksikan Liverpool mengasak ke gawang Real Madrid sejurus sepak mula tetapi benteng pertahanan diketuai Serigo Ramos berjaya menyerap asakan.

Peluang terbaik Real Madrid untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14 tetapi percubaan Cristiano Ronaldo melewati gawang gol.

Selang lapan minit kemudian, giliran Liverpool mencipta peluang menerusi rembatan Trent Alexander-Arnold tetapi Kaylor Navas lebih bersedia menafikan percubaan itu.

Malang buat The Reds selepas setengah jam permainan apabila kehilangan penyerang, Mohamed Salah apabila beliau mengalami kecederaan bahu kiri selepas dikasari Ramos lima minit sebelum itu.

Salah terpaksa dikeluarkan bagi mengelakkan keadaan lebih buruk memandangkan beliau bakal beraksi bersama Mesir dalam Piala Dunia Rusia bulan hadapan dan digantikan dengan Adam Lallana.

Nasib sama turut menimpa Real Madrid apabila kehilangan pertahanan sebelah kanan Dani Carvahal yang mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-35 lalu digantikan dengan Nacho.

Kecederaan itu dilihat meranapkan impian beliau untuk terbang ke Rusia bersama pasukan Spain bulan hadapan.

Real Madrid sepatutnya mendahului perlawanan hasil haringan Karim Benzema pada minit ke-42 tetapi dibatalkan kerana offside.

Ronaldo berjaya melepaskan tandukan kencang hantaran Isco dan berjaya ditepis penjaga gol, Loris Karius tetapi cubaan susulan daripada Benzema tidak membawa makna apabila jaringan itu dibatalkan penjaga garisan.

Masuk masa tambahan babak pertama, Nacho dan Benzema melakukan percubaan ke gawang Liverpool tetapi gagal mencipta jaringan bagi kedudukan 0-0 pada babak pertama.

Akhirnya pada minit ke-50 Real Madrid berjaya dihadapan hasil jaringan Karim Benzema.

Berpunca kesilapan Karius yang tergopoh-gapah mahu membaling bola, Benzema yang menghulurkan kaki berjaya menampannya dan terus ke gawang Liverpool bagi kedudukan 1-0z

Kegembiraan Real Madrid tidak bertahan lama apabila empat minit kemudian Sadio Mane menjadikan kedudukan 1-1 buat Liverpool selepas menampan tandukan Dejan Lovren hasil sepakan penjuru James Milner.

Gareth Bale kembali meletakkan Real Madrid 2-1 dihadapan menerusi sepakan gunting kaki kiri yang berjaya menyambut hantaran Marcelo dan terus menerjah gawang Liverpool pada minit ke-64.

Mane hampir mengubah kedudukan pada minit ke-69 namun rembatan kaki kiri beliau singgah ke pintu gol Real Madrid.

Benzema hampir menambah derita Liverpool pada minit ke-81 menerusi satu tampanan deras yang berjaya ditepis Karius.

Karius terus menjadi duri dalam daging Liverpool apabila melepaskan gol ketiga buat Real Madrid hasil percubaan jarak jauh Bale pada minit ke-83 selepas gagal mengawal kemas dan terus menerjah gawang sendiri.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan Real berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu dan keempat dalam tempoh lima tahun.

Sementara bagi Liverpool, ini merupakan kekalahan final kali ketiga di bawah kendalian Klopp selepas kali terakhir menjulang trofi UCL pada 2005.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Karim Benzema pastikan Real Madrid ke Kyiv

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 2 MEI: Real Madrid mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Bayern Munich menerusi agreget 4-3.

Pada aksi separuh akhir kedua di Santiago Bernabeu awal pagi tadi, Real dan Bayern masing-masing terikat 2-2.

Joshua Kimmich membuka jaringan seawal minit ketiga selepas menampan bola ke gawang Real bagi memastikan Bayern mendahului 0-1 dan menyamakan agreget 2-2.

Bagaimanapun, Karim Benzema meletakkan Real kembali di hadapan menerusi jaringan penyamaan lapan minit kemudian selepas menanduk masuk hantaran lintang Marcelo.

Bersambung babak kedua, Benzema sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Real pada minit ke-46 selepas mudah menolak bola masuk hasil kesilapan penjaga gol Bayern, Sven Ulreich.

Bekas pemain Real, James Rodriguez menjadikan kedudukan 2-2 buat Bayern selepas berjaya memperdaya pertahanan lawan pada minit ke-63.

Bayern yang hanya memerlukan satu lagi gol untuk mara ke final bagaimanapun gagal memecah kekebalan benteng pertahanan Real yang terus bertahan bagi kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Real Madrid teruskan rekod kekecewaan Bayern Munich

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 26 APR: Real Madrid melakar satu lagi kebangkitan selepas menewaskan Bayern Munich 1-2 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Bayern Munich terlebih dahulu dihadapan pada minit ke-28 menerusi jaringan Joshua Kimmich.

Bekas pemain Real Madrid, James Rodriguez memulakan gerakan dari tengah padang sebelum melorongkan bola kepada Kimmich yang melakukan rembatan terus menewaskan penjaga gol, Keylor Navas.

Usaha Real Madrid mendapatkan gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-44 menerusi rembatan kencang Marcelo dan gagal diselamatkan penjaga gol Bayern, Sven Ulreich.

Marco Asensio yang masuk pada awal babak kedua menggantikan Isco nyata memberikan impak bertenaga apabila meletakkan Real Madrid mendahului 1-2 pada minit ke-57.

Menerusi gerakan Lucas Vazquez, Asensio tenang mengawal bola sebelum melepaskan rembatan mudah ke gawang Bayern bagi menghampakan penyokong tuan rumah.

Bayern cuba bangkit menerusi beberapa percubaan tetapi ketangkasan Navas menafikan peluang pasukan tuan rumah.

Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Real membawa kelebihan dua gol di gelanggang lawan bagi pertemuan kedua di Santiago Bernabeu, 2 Mei depan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Kecemerlangan Ronaldo bawa jaringan selesa Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 4 APR: Cristiano Ronaldo memastikan Real Madrid membawa jumlah jaringan selesa pada aksi pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Juventus 0-3.

Pemain Portugal itu meledak jaringan seawal minit ketiga apabila berjaya menampan hantaran Isco bagi meletakkan Real Madrid di hadapan 0-1.

Bersambung babak kedua, Ronaldo menjadikan kedudukan 0-2 buat Real Madrid apabila melakukan sepakan gunting yang berjaya menewaskan penjaga gol, Gianlugi Buffon pada minit ke-62.

Ini merupakan jaringan ke-10 berturut-turut buat penyerang Real Madrid itu dalam kancah UCL musim ini.

Malang menimpa Juventus pada minit ke-66 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Paolo Dybala diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua perlawanan.

Peluang itu dimanfaatkan skuad bimbingan Zinedine Zidane apabila Marcelo meledak gol ketiga Real Madrid pada minit ke-72 selepas memperdaya Buffon sebelum mudah menolak bola ke gawang lawan.

Kedudukan 0-3 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan akan bertemu di Santiago Bernabeu bagi perhitungan kedua minggu hadapan.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 

Categories
SUKANKINI

Juventus mahu lunas dendam, Real enggan dibuai mimpi

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 APR: Dua finalis 2016/17, Juventus dan Real Madrid akan membuat perhitungan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Di atas kertas kelebihan pastinya berpihak kepada Real Madrid yang turun selaku juara bertahan selepas menafikan hasrat Juventus pertengahan Mei lalu di Cardiff dengan kemenangan selesa 4-1.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Juventus adalah pasukan terakhir yang menyekat kemaraan Real Madrid pada 2015 sebelum mereka dikecewakan Barcelona di perlawanan akhir.

Bahkan Real Madrid sendiri tidak pernah berjaya menewaskan Juventus dalam emat pertembungan timbal balik pada musim 1995/96, 2002/03, 2004/05 dan 2014/15.

Tetapi kedua-dua pasukan bakal turun dengan momentum kemenangan selepas menewaskan lawan masing-masing dengan jaringan tiga gol dalam aksi domestik hujung minggu lalu.

Memetik laporan UEFA.com. Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menyifatkan kejayaan menewaskan Real Madrid pastinya satu kebanggan memandangkan mereka adalah pasukan pilihan dalam saingan Liga Juara-Juara.

“Ini malam gala buat kami (Juventus) dan penyokong pastinya akan bangga dengan pasukan yang berjaya mara ke dua perlawanan akhir dalam tempoh tiga tahun. Kami memerlukan sokongan mereka.

“Saya menonton aksi (akhir) di Cardiff beberapa kali. Kami bertambah baik dalam menghadapi situasi sukar perlawanan berbanding musim lepas,” katanya.

Bagi pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, beliau menyifatkan perlawanan awal pagi esok berbeza dengan pertembungan akhir di Cardiff Mei lalu dan pasukannya sudah melupakan kenangan indah itu.

“Ini perlawanan besar untuk kedua-dua pasukan. Saya rasa Juventus dan Real Madrid mempunyai mentaliti sama (mahu menang). Sebenarnya, saya fikir banyak perkara yang dipelajari ketika bermain di sini. Juventus mempunyai pasukan mantap dan lengkap,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Real Madrid enggan jual Bale dengan harga murah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 29 MAC: Real Madrid tidak akan melepaskan penyerang, Gareth Bale pada harga kurang £88 juta atau 100 juta Euro pada musim panas ini.

Pemain Wales yang menyertai Real Madrid pada 2013 itu masih mempunyai baki kontrak sehingga 2022 dilaporkan akan dilepaskan bersama Isco dan Mateo Kovacic bagi membolehkan pasukan menggunakan dana penjualannya mencari pemain baru.

Bale kini bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama ekoran kecederaan berpanjangan tetapi berjaya menjaringkan 12 gol dalam 29 perlawanan musim ini.

Menurut laporan AS.com, masa untuk Bale di Sepanyol kian suntuk tetapi Madrid tidak akan melepaskannya pada harga rendah dan mahu mendapatkan pulangan semula harga yang dibayar lima tahun lalu.

Bale menyertai Real Madrid dari Tottenham Hotspurs denga nilai perpindahan £86 juta dan berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun sama menewaskan musuh setempat, Atletico Madrid di Lisbon, Portugal.

Berdasarkan keadaan semasa, Manchester United, Manchester City dan Chelsea sahaja dilihat mampu untuk membawa beliau kembali ke Liga Perdana Inggeris memandangkan kontak beliau berjumlah £500,000 seminggu.

 

Foto Kredi: Daily Mail

Categories
SUKANKINI

Real Madrid dikejutkan gol dramatik Pazzini, Seri 2-2

MADRID 4 FEB: Bekas penyerang kebangsaan Itali, Giampaolo Pazzini menjaringkan gol penyamaan lewat dramatik ketika Levante mengikat penyandang juara, Real Madrid 2-2 pada aksi La Liga, awal pagi tadi.

Keputusan seri di laman lawan itu menyaksikan skuad kendalian Zinedine Zidane kini ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Sergio Ramos menanduk masuk gol pada minit ke-11 untuk membenarkan pelawat mendahului perlawanan yang juga gol ke-50 buatnya dalam kempen La Liga tetapi Levante menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir menerusi Emmanuel Boateng.

Isco yang dikeluarkan daripada bangku simpanan kembali meletakkan Real di depan pada minit ke-81 tetapi Pazzini mengejutkan barisan pertahanan pelawat yang tampak bergelut apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-89 pada aksi pertamanya.

“Kami mengawal permainan, terutama pada babak pertama, dan di separuh masa kedua, kami berjaya melakukan perkara yang paling sukar, iaitu kembali ke permainan dan menjaringkan gol kedua,” kata Zidane.

“Kemudian selepas itu kami sepatutnya sudah bersedia, kami boleh mengelak gol kedua lawan tetapi kami tidak melakukannya dan ia adalah sukar kerana dua mata sudah dibazirkan.”

Satu-satunya peluang realistik Real untuk menjulang trofi pada musim ini adalah dalam kempen Liga Juara-Juara tetapi mereka berdepan laluan sukar termasuk dijadual bertemu gergasi Perancis, Paris Saint-Germain di peringkat 16 terakhir.

“Kami perlu bekerja lebih keras, ini adalah bola sepak dan lawan sentiasa berada di sana dan memberikan kesukaran kepada kamu,” kata Zidane.

Barcelona boleh menjarakkan kedudukan kepada 21 mata di depan seteru utamanya itu jika mencatat kemenangan menentang kelab tetangga Catalan, Espanyol, malam ini ketika kelab tangga kedua, Atletico Madrid menanti kunjungan pasukan tangga ketiga, Valencia di Wanda Metropolitano.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

Real Madrid tutup jendela perpindahan 48 jam awal

OLEH AFIX REDZUAN

MADRID, 30 JAN: Real Madrid menutup jendela perpindahan musim sejuk 48 jam lebih awal dengan pendirian tidak membawa pemain baru bagi menghadapi baki musim ini.

Walaupun dikaitkan dengan perpindahan masuk beberapa pemain seperti Dani Ceballos, Marcos Llorente dan Borja Mayoral, Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane hanya mahu semua pemain kekal lapor akhbar terkenal Sepanyol, Marca.

“Sehingga 31 Januari, kita akan lihat apa yang pasaran pemain kini dapat tawarkan kepada kita,” katanya yang dipetik awal Januari lalu.

Sebelum ini, juara La Liga 2017 itu turut dikhabarkan akan membawa masuk penjaga gol baharu, Kepa Arrizabalaga dari Athletic Bilbao tetapi ia tidak berlaku.

Real yang baru sahaja kembali mencipta kemenangan selepas tersingkir dalam kejohanan Copa del Rey dilihat perlu membawa masuk pemain baru bagi mengharungi pusingan kedua musim ini.

Tetapi Zidane melaungkan keyakinan terhadap skuad sedia ada yang mampu mengubah persembahan longlai awal musim ini.