Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 100 rebat RM20 ke PPV remaja ditebus setakat semalam

SHAH ALAM, 3 NOV: Lebih 100 rebat RM20 bagi perjalanan ulang-alik ke pusat pemberian vaksin (PPV) remaja menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ditebus setakat semalam.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya menyeru supaya ibu bapa atau remaja mengambil inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Pemberian dos kedua sudah bermula dan mereka digalakkan menebus rebat ini kerana selain menguntungkan ia mengelak daripada kesesakan.

“Ibu bapa yang menghantar anak-anak tidak perlu bersusah payah mencari parkir yang agak terhad di PPV,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Terdahulu, beliau hadir memberi sumbangan lima tablet beserta kad sim percuma kepada lima beradik kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di Kg Melayu Subang Tambahan semalam.

Sementara itu, Ahmad Azri menjelaskan MBI memperuntuk RM71,175 untuk sumbangan makanan di enam PPV remaja.

“Seramai 390 petugas PPV remaja menerima manfaat menerusi sumbangan dilakukan sejak 11 Oktober lalu,” katanya.

PPV remaja terlibat ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang; SMK Meru; SMK Batu Unjur; Dewan Besar Tanjung, MBSA Seksyen 19; Dewan MBSA Bunga Kertas, TTDI Jaya dan SMKA Kuala Selangor.

Rebat pengangkutan sebanyak RM20 ke PPV seluruh negeri diperluas kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan permohonan dibuka sehingga 30 November.