Categories
AGENDA SUKANKINI

Azreen Nabila perbaharui rekod peribadi, mara ke pusingan pertama

TOKYO, 30 JULAI: Pelari pecut wanita negara Azreen Nabila Alias, menampilkan larian bertenaga untuk mara ke pusingan pertama acara 100 meter (m), selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam pusingan kelayakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, pagi ini.

Lebih membanggakan, pelari kelahiran Kuala Terengganu itu yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 11.77 saat (s) dalam saringan kedua acara berkenaan berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu, yang meraih tiket “wild card” di temasya Sukan Olimpik Tokyo adalah 11.92 saat.

Pelari Iran Farzaneh Fasihi, menamatkan saringan tersebut di tempat pertama apabila mencatat masa 11.76s, manakala Alshammari Mudhawi dari Kuwait di kedudukan ketiga dengan masa 11.82s.

Tiga atlet terbaik dalam setiap saringan aksi kelayakan, layak ke pusingan pertama.

Saingan pusingan pertama acara 100m wanita, dijadual bermula pada 12.15 tengah hari waktu tempatan (11.15 pagi waktu Malaysia).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman tubuh pasukan petugas khas pantau integriti

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk memastikan maklumat rekod peribadi, profil perkhidmatan dan data perjawatan setiap pegawai polis, dikemas kini dan berintegriti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut pasukan petugas khas itu beliau berkata, pasukan petugas khas berkenaan adalah bagi melicinkan proses pengemaskinian Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), selain mengelakkan pegawai atau anggota polis terlibat salah laku dan salah guna kuasa.

“Saya berharap pasukan petugas khas itu akan mengangkat HRMIS sebagai satu platform pengurusan sumber manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbaik,” katanya kepada pemberita sempena perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, setiap warga PDRM perlu bertanggungjawab mengemas kini data peribadi masing-masing dalam sistem HRMIS.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pengemaskinian dan kesahihan maklumat HRMIS masih menjadi isu dalam pengurusan sumber manusia PDRM, sehingga boleh menjejaskan pengurusan kerjaya dan pembayaran emolumen pegawai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Bukit Aman akan memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan setiap pegawai atau anggota polis mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Arahan pentadbiran yang melarang salah guna aset sumber kerajaan dan jabatan untuk kepentingan peribadi telah dikeluarkan, jika kita ada terima aduan kita siasat dan ambil tindakan sewajarnya.

“Selain itu, saya juga telah beri peringatan kepada semua pesuruhjaya polis dan ketua polis negeri, untuk memastikan setiap anggota dan kakitangan awam di tempat kerja masing-masing tidak salah guna aset kerajaan,” katanya mengulas tindakan beberapa pegawai polis menggunakan anggota bawahan untuk urusan peribadi dan salah guna aset kerajaan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan beberapa pegawai dan anggota polis yang didapati menggunakan aset kerajaan seperti kenderaan milik PDRM bagi kepentingan peribadi, telah diambil tindakan termasuk tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya memaklumkan, tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 melibatkan prosiding tatatertib.

-BERNAMA