Categories
SELANGOR

KUIS jadi universiti penuh 2016

DSC_0461a

BANGI 24 OKT – Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri meletakkan sasaran menjadikan KUIS sebagai universiti penuh pada tahun 2016.

Katanya, cabaran besar itu bakal digalas semua pimpinan dan tenaga pengajar KUIS dengan sasaran 30 peratus daripada kakitangan mempunyai kelayakan ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Sehubungan itu, katanya, KUIS menyediakan program Skim Latihan Akademik Staff (SLAS), selain memberikan tumpuan kepada Program Pasca Siswazah (PPS) untuk merealisasikan hasrat itu.

“Kita sedang kaji kekuatan akademik dan mendapati ramai kakitangan mula belajar di peringkat PhD. Jadi salah satu daripada kriteria untuk menjadi sebuah unversiti adalah jumlah tenaga pengajar PhD. Bagi perancangan ini, kita jangkakan lebih 60 orang akan balik dan antara 40 hingga 50 orang akan mendapat PHd dalam temph dua tahun.

“Kita baru menawarkan program SLAS untuk kakitangan, pelajar atau pegawai KUIS. Kami jangka dalam tempoh tiga tahun jumlah yang disasarkan itu akan tercapai.

“Kita juga melihat kepada jumlah pasca siswazah dan sudah menawarkan program PhD. Program ini dijangka akan mendapat sambutan pada semester hadapan dan PPS akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Ab Halim berkata, KUIS mensasarkan jumlah kemasukan pelajar sebanyak 7,000 orang untuk menjana pendapatan dan sehingga kini institusi itu mempunyai hampir 5,000 orang pelajar daripada pelbagai bidang.

Beliau berkata, KUIS kini menawarkan 46 kursus di peringkat asasi, diploma, sarjana muda dan pasca jjazah yang diperakui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kita juga sedang merangka pelan pembangunan strategik KUIS untuk 10 tahun dalam usaha merealisasikan menjadikan kolej ini sebagai sebuah universiti.

“Pelan ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian dan semua peringkat kena bekerjasama. Saya tidak kata perkara ini mudah, tetapi yakin ia dapat dilakukan,” katanya.

-NFN-