Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki lemas mandi air terjun di Ulu Yam bersama rakan

SHAH ALAM, 30 OKT: Kegembiraan lima remaja lelaki mandi di Air Terjun Ulu Yam dekat Hulu Selangor, hari ini bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas.

Mayat mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Khalil, 17, ditemui pasukan penyelamat pada jam 4.42 petang, lapor Berita Harian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa pada jam 3.45 petang.

Menurutnya sepasukan tujuh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor.

“Berdasarkan maklumat, lima remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun mandi di tempat kejadian sebelum seorang daripadanya dikatakan tenggelam sebelum dipercayai lemas.

“Mangsa ditemui tidak lama selepas itu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hafisham berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja 17 tahun menang cabutan RM1 juta BSN

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melakar sejarah apabila menjadi jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) setelah dipilih sebagai pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP Bulan April 2021 dan membawa pulang sijil itu yang bernilai RM1 juta.

Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil berkata remaja berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu mula menyimpan dalam BSN SSP dengan bantuan ibu bapanya yang memulakan simpanan tersebut sebagai saluran untuk beliau menyimpan wang.

“BSN sentiasa komited untuk menggalakkan tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan muda. Usaha berterusan telah kami laksanakan dan ditambah baik dari semasa ke semasa seperti produk terunggul kami iaitu BSN SSP,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tahun ini, BSN menawarkan hadiah bernilai lebih RM30 juta untuk lebih 19,000 pemenang dengan majlis cabutan yang diadakan mematuhi SOP ketat serta disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi Facebook BSN Malaysia.

Katanya khas untuk Jun dan Disember sahaja, dua pemenang bakal diumumkan sebagai jutawan berbanding hanya seorang pemenang pada bulan lain.

Menurut kenyataan itu, pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian di kaunter Cawangan BSN, Mesin Teler Automatik (ATM), Mesin Deposit Tunai (CDM), perbankan Internet myBSN atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN) manakala pelanggan baharu boleh membeli SSP di kaunter Cawangan BSN di seluruh negara.

Senarai pemenang boleh disemak melalui laman sesawang BSN www.bsn.com.my atau laman Facebook BSN Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tragedi kebakaran tahfiz: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 individu

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian.

“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, ” kata Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih di bawah umur semasa kejadian, beliau telah mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Jan 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

-BERNAMA