Categories
AGENDA NASIONAL

82.3 peratus remaja lengkap divaksin

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Seramai 2,589,925 individu atau 82.3 peratus daripada populasi remaja di negara ini telah lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sejumlah 2,755,745 individu atau 87.6 peratus daripada populasi remaja pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, 95.6 peratus atau 22,390,580 individu dewasa telah lengkap vaksinasi manakala 97.8 peratus atau 22,914,289 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, setakat semalam.

Sebanyak 36,028 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 2,244 dos pertama, 4,325 dos kedua, dan 29,459 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 51,938,646.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

95.4 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Seramai 22,332,571 individu atau 95.4 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sejumlah 22,882,504 individu atau 97.7 peratus bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi.

Bagi populasi remaja pula, 81 peratus atau 2,549,437 individu telah lengkap divaksinasi manakala 87.2 peratus atau 2,743,176 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 121,232 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 25,439 suntikan dos lengkap, 6,707 menerima dos pertama dan 89,086 pula mendapat suntikan dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 51,455,404.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

79.3 peratus populasi remaja lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Sebanyak 79.3 peratus atau 2,495,444 individu bagi populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun di negara ini lengkap diberi suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sejumlah 97.7 peratus atau 22,854,725 individu bagi populasi dewasa pula menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 95.2 peratus atau 22,278,477 individu lengkap divaksinasi.

Dalam pada itu, 114,704 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 33,258 suntikan dos lengkap, 7,388 menerima dos pertama dan 74,058 pula mendapat suntikan dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 51,077,813.

Selain itu, jumlah kumulatif dos penggalak pula kini sebanyak 900,201.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kanak-kanak, remaja lengkap divaksin boleh berjemaah di masjid

SHAH ALAM, 5 NOV: Kanak-kanak atau remaja yang lengkap divaksin dan ibu bapa mereka juga lengkap menerima pelalian dibenarkan berjemaah di masjid serta surau di negeri ini.

Selangor juga membenarkan kurang 100 individu yang terdiri dari waris, ahli keluarga dan kariah hadir untuk menguruskan jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau.

Operasi kiosk, koperasi lot gerai dan semua aktiviti penjanaan ekonomi dibenarkan dengan tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dibenarkan.

Ketetapan baharu bagi aktiviti di masjid, surau dan mussola dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook, hari ini.

Antara ketetapan baharu untuk mereka yang lengkap menerima vaksin dan melepasi tempoh inkubasi yang ditetapkan itu adalah seperti berikut:

Syarat-syarat solat fardhu Jumaat
– Dibenarkan untuk ahli kariah yang bermastautin
– Pentadbir boleh memperuntukkan sebahagian ketetapan bilangan jemaah bagi ahli kariah bermukim sekiranya ada kekosongan
– Jemaah bukan warganegara yang dikenali boleh dipertimbang
– Laksana kaedah penggiliran
– Daftar dengan pihak masjid, surau kebenaran penggiliran
– Jemaah musafir dibenar masuk selepas ahli kariah selesai menunaikan solat Jumaat

Syarat-syarat solat fardhu lima waktu
– Ahli kariah termasuk muslimat yang tinggal dalam kawasan kariah
– Musafir, pemandu e-hailing dan penghantar makanan boleh menyertai jemaah dengan berada di ruang musafir

Panduan pelaksanaan solat secara jemaah
– Kanak-kanak atau remaja yang lengkap divaksin dan ibu bapa mereka juga lengkap menerima pelalian dibenarkan hadir
– Melaksana program disenfeksi berkala dengan dana sedia ada
– Segera maklum kepada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) jika berlaku penularan
– Pegawai,jawatankuasa masjid, surau dan musolla yang belum divaksin dilarang terbabit dalam apa jua aktiviti
– Pentadbir memastikan bilangan jemaah tidak melebihi ketetapan dibenarkan

Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa lega lepaskan anak kembali ke asrama selepas terima vaksin

PETALING JAYA, 30 OKT: Seorang bapa bersyukur dan lega apabila dua anak gadisnya menerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di Flora Damansara di sini, hari ini.

Peniaga, Azrul Basarudin, 42, berkata sebagai bapa perasaan bimbang itu ada memandangkan Nurul Fatiha Husna, 16, dan Nurul Falah, 14, akan kembali tinggal di asrama selepas ini.

Azrul Basarudin

“Saya mendapat maklumat program ini menerusi mahaad tahfiz di mana anak saya belajar. Mungkin anak-anak boleh jaga SOP (tatacara operasi piawai) tetapi kadang-kala di luar kawalan, jadi ini adalah satu inisiatif untuk keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Yazid Aqeel Yusnin, 14, datang bersama dua rakannya untuk memberi semangat antara satu sama lain bagi menghilangkan rasa gementar untuk menerima suntikan.

“Mereka datang bersama saya hari ini dengan diwakili ayah saya selepas ibu bapa mereka tidak dapat datang. Rasa gementar pun tiada bila bersama kawan-kawan sebaliknya rasa gembira dan semangat untuk terima vaksin,” katanya.

Chong Wilson

Bagi pelajar, Chong Wilson, 16, pula dia bersemangat untuk kembali ke sekolah dan menjalani sesi pembelajaran bersemuka selepas menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, dia lebih selesa belajar bersama rakan-rakan di sekolah kerana mudah untuk berbincang berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa, anak terima suntikan vaksin serentak di program Selvax

PETALING JAYA, 30 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dan Remaja yang diadakan di Flora Damansara hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang belum menerima pelalian.

Ketua pusat pemberian vaksin (PPV) Muhammad Aideed Idris berkata golongan dewasa mengambil kesempatan itu selepas membawa anak masing-masing untuk menerima suntikan bagi remaja.

Ketua PPV Muhammad Aideed Idris

“Terdapat kurang 10 keluarga yang berbuat demikian iaitu ibu bapa menerima suntikan vaksin bersama anak-anak.

“Jadi saya berharap ibu bapa yang belum menerima vaksin boleh bersama anak-anak untuk program Selvax yang akan diadakan di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang esok,” katanya.

Muhammad Aideed menambah sebanyak 600 dos vaksin jenis Sinovac disediakan hari ini di mana setakat tengah hari tadi hampir 300 dos telah diberikan.

“Sambutan amat menggalakkan di mana ada yang mulai beratur seawal jam 7.30 pagi,” katanya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja bantu remaja capai impian cebur bidang automotif

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Percubaan pertama seorang remaja menyertai Jelajah Selangor Bekerja menemui kejayaan apabila ditawar sebagai operator pengeluaran di Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

Lebih menggembirakan buat Syed Nazrey Syed Hussin, 23, dari Sabak Bernam, pekerjaan ditawar syarikat multinasional itu memenuhi impiannya menceburi bidang automotif.

Lulusan kejuruteraan pertanian yang kini mencari rezeki sebagai pramusaji, beliau gembira kerana hasratnya bekerja dalam bidang selaras kelulusannya tercapai selepas beberapa kali mencuba.

“Ini kali pertama saya sertai Jelajah Selangor Bekerja dan tidak sangka cepat sahaja ditawarkan lebih-lebih dengan syarikat besar seperti Proton.

“Banyak manfaat diberikan seperti gaji menarik, hostel dan latihan untuk kami meningkatkan diri,” katanya ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Sebanyak 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Vaksin Selangor Remaja di Flora Damansara esok

SHAH ALAM, 29 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja berumur 12 tahun ke atas diadakan di Dewan Serbaguna Komuniti Blok G, Apartment Flora Damansara esok.

Orang ramai perlu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dengan menekan butang VAX dan masukkan kod baucar AFD30OCT.

Berdasarkan poster dikongsi EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program terbuka kepada rakyat tempatan dan bukan warganegara khusus buat peserta yang belum menerima dos pertama atau tercicir dos kedua Selvax.

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja bermula 24 Oktober di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

93.8 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Jumlah populasi dewasa di Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini mencecah 21,960,911 orang atau 93.8 peratus setakat 11.59 malam tadi, demikian menurut data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW.

Dalam tempoh sama, sebanyak 97.2 peratus populasi dewasa atau 22,745,310 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sejumlah 134,180 dos vaksin diberikan melibatkan golongan dewasa dan remaja yang menjadikan kumulatif dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 47,838,886.

Sementara itu, 2,662 dos penggalak kepada kumpulan sasar turut diberikan semalam menjadikan jumlah keseluruhan dos penggalak diberikan kini 21,477.

Bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 806,330 individu atau 25.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin, manakala 2,463,207 individu atau 78.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula sejak 8 Sept lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

62.5 peratus pelajar 12 hingga 17 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seramai 1,967,549 (62.5 peratus) remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 5 Okt, sekali gus melebihi sasaran awal ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menerusi ciapan yang dimuat naik di laman Twitternya berkata jumlah penerima dos pertama itu termasuklah 343,231 (90.9 peratus) remaja berusia 16 tahun dan 344,933 (92.8 peratus) remaja berusia 17 tahun yang bersekolah.

“Berdasarkan perkembangan semasa, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu 60 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 menjelang bulan November 2021,” katanya.

Beliau juga berkata sasaran itu telah berjaya dicapai lebih awal daripada jangka masa yang disasarkan hasil kerjasama dan bantuan daripada semua pihak khususnya para remaja, ibu bapa dan penjaga.

“Lebih manis lagi, sasaran ini tercapai hanya dalam tempoh 14 hari semenjak PICK Remaja dilancarkan pada 20 Sept 2021. Pencapaian ini sememangnya merupakan suatu perkembangan yang amat baik dalam usaha bersama kita mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Azmi juga mengucapkan tahniah kepada kementeriannya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bahagian Pendidikan Majlis Amanah Rakyat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Ibu bapa perlu yakin vaksin berkesan, ambil iktibar kes di AS

SHAH ALAM, 5 OKT: Ibu bapa yang menolak vaksin untuk anak mereka harus mengambil iktibar peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan remaja di Amerika Syarikat (AS) pada masa kini.

Pakar Kesihatan Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara Datuk Dr Musa Nordin berkata 27 peratus pesakit virus di negara itu membabitkan individu berusia bawah 18 tahun yang belum diberi suntikan pelalian kerana tidak dibenarkan ibu bapa.

Menurutnya, peningkatan jangkitan dalam kalangan kumpulan itu menyebabkan wad dan unit rawatan rapi penuh.

“Kepada ibu bapa di sini, tunggu apa lagi dan ambil langkah betul benarkan anak-anak terima vaksin untuk elak penularan.

“Risiko untuk masuk hospital untuk mereka yang belum menerima vaksin adalah 10 kali ganda,” katanya pada program bual bicara Vaksinasi Remaja, Lindungi Semua di Facebook Media Selangor malam ini.

Dr Musa berkata ibu bapa harus yakin keberkesanan vaksin yang diperkenalkan sejak puluhan tahun lalu dalam mencegah penyakit berbahaya.

“Sejak lahir sudah diberi vaksin mencegah batuk kering serta Hepatitis B yang menyebabkan barah hati dan suntikan untuk 10 jenis penyakit.

“Sejarah vaksin ini cukup panjang dan berkesan, ibu bapa harus yakin sebagai ikhtiar menentang Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja tidak sedarkan diri selepas divaksin kurang tidur, tidak bersarapan

MELAKA, 1 OKT: Kejadian seorang remaja lelaki berusia 12 tahun yang didakwa tidak sedarkan diri selepas menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang disahkan berlaku disebabkan remaja itu gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata ketika proses vaksinasi, remaja berkenaan kelihatan agak gementar namun tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

Beliau berkata bagaimanapun ketika menuju ke tempat meletak kenderaan, remaja itu secara tiba-tiba kelihatan lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja itu menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. Panggilan telefon susulan yang dibuat kepada keluarga remaja berkenaan selepas itu mendapati dia sihat dan aktif seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya hasil siasatan lanjut mendapati remaja berkenaan telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi sebelum menerima suntikan selain hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan terus memantau status kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kejadian seorang remaja lelaki yang dikatakan tidak sedarkan diri selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam.

-BERNAMA