Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program kebudayaan Selangor diperluas mulai tahun depan

KUALA LANGAT, 12 DIS: Program Rentak Selangor diperluaskan lagi tahun hadapan dengan mengetengahkan seni kebudayaan lain.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata pihaknya tidak mahu memfokuskan seni kebudayaan dengan mengutamakan sesuatu aktiviti sahaja contohnya seperti tarian.

Borhan Aman Shah menjelaskan baru-baru ini pihaknya memperkenalkan tarian kuda kepang di Sabak Bernam dan tarian dabus di Kuala Selangor.

EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, Borhan Aman Shah berucap ketika program Junjungan Kasih Melestarikan Budaya Warisan (Sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor) di Istana Bandar, Kuala Langat pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, tahun hadapan kita kembangkan lagi program Rentak Selangor dengan perkenal busana, makanan dan tempat bersejarah.

“Kita semua harus mengambil berat dan bertanggungjawab memastikan budaya Selangor kekal dan ada pewaris selain ditegakkan menjadi identiti negeri,” katanya.

Pada 4 Mac, Borhan memaklumakn Kerajaan Negeri mengadakan siri jelajah program Rentak Selangor yang menampilkan kepelbagaian persembahan seni dan budaya masyarakat.

Program berkenaan bakal merancakkan semula sektor pelancongan pascaperintah kawalan.

Siri jelajah itu turut menampilkan kampung atau daerah yang memiliki tapak seni dan budaya untuk tatapan generasi muda.

Categories
EXCO SELANGOR

Rentak Selangor angkat identiti daerah untuk tatapan anak muda

SHAH ALAM, 2 DIS: Kelainan seni dan kebudayaan setiap daerah di negeri ini diangkat menerusi program Rentak Selangor, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata perbezaan itu perlu dipelihara untuk ditonjolkan kepada generasi muda selain dapat menghimpunkan penggiat seni seluruh negeri.

“Identiti setiap daerah berlainan, sebagai contoh Kuala Langat terkenal dengan cempuling, kalau di Sepang tarian piring manakala di Gombak budaya Orang Asli dan gendang sembilan.

“Sabak Bernam pula ada kuda kepang tetapi berlainan dengan di Johor. Kalau di sini agak ekstrem sedikit, ada harimau.

“Saya ucapkan tahniah kepada penduduk Sabak Bernam kerana mempunyai peminat. Kalau kita tengok tadi kanak-kanak dan anak muda begitu tertarik (persembahan seni),” katanya pada Program Rentak Selangor di daerah itu semalam.

Tambah beliau program itu juga untuk mendekati penggiat seni bagi mempromosi seni budaya kepada pelancong menerusi kerjasama dengan Tourism Selangor.

“Terbaharu, kita tambah dari segi sastera. Saya naikkan semula syair, pantun, sajak termasuk berbalas pantun.

“Kita juga akan angkat makanan tradisi orang Jawa iaitu nasi ambeng sebagai identiti negeri Selangor dan akan jadi daya tarikan kepada pelancong,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor negeri pertama bantu penggiat seni terjejas pandemik

SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor menjadi negeri pertama membantu kelangsungan hidup golongan seni terutama seniman jalanan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM250,000 bagi membantu pemuzik jalanan yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri.

“Kita bantu hampir 1,000 seniman jalanan untuk mereka adakan persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menghiburkan penerima suntikan,” katanya pada Program Rentak Selangor di Sabak Bernam semalam.

Beliau menambah, pihaknya juga mendapat kelulusan bagi membantu kumpulan nasyid yang turut terkesan akibat pandemik.

“Selepas ini kita mungkin bantu kumpulan kompang, marhaban dan sebagainya,” katanya.

Ogos lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM250,000 bagi membantu 720 pemuzik jalanan melalui inisiatif Kita Buskers Selangor.

Pada 4 November, satu lagi inisiatif, Kita Seniman Selangor dilancar membabitkan peruntukan RM50,000 bagi membantu kelangsungan hidup golongan seni terbabit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Usaha MB memartabat seni gamit penggemar dari luar negara

SHAH ALAM, 26 JUN: Kesungguhan Dato’ Menteri Besar memartabatkan seni dan budaya meliputi pelbagai kaum termasuk orang Asli hingga mengharumkan nama Selangor di persada antarabangsa.

EXCO kebudayaan dan warisan menjelaskan keunikan tarian suku Mah Meri terpilih mewakili negara dalam Internationale Tourismus-Börse Berlin (ITB Berlin) pada 2018 serta 2019 hasil promosi yang giat dijalankan.

Borhan Aman Shah berkata penganjuran Jelajah Rentak Budaya pula mengangkat elemen nyanyian dan tarian etnik serta kaum juga menggamit perhatian penggemar dari luar negara.

“Program itu mendapat perhatian penggemar seni dan budaya dari luar negara terutama Indonesia serta Singapura,” katanya  mengulas ulang tahun ketiga pentadbiran Dato’ Seri Amirudin Shari pada 19 Jun lalu.

Beliau berkata Amirudin juga memartabatkan sastera dengan meneruskan pertandingan penulisan cerpen, esei dan sajak melalui penganjuran anugerah Hadiah Sastera Selangor yang masuk tahun kelima.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga mengiktiraf golongan seni halus dan seni reka dengan menyediakan Rumah Seni Selangor (RUSSEL) selain membina arca awam melalui inisiatif Kota Seni Shah Alam dan Petaling Jaya.

Berikut antara pencapaian Kerajaan Negeri dalam memartabat kebudayaan antara 2018 hingga 2020

– Memartabatkan penggiat dan aktivis teater Selangor dengan mewujudkan Blackbox @ SACC Mall (2018)

– Penganjuran Projek Peduli Teater (2018)

– Bekerjasama dalam pementasan Teater Bangsawan “OPU Chendera Burong Raja Siti” (2018)

– Pesta Teater Selangorku (2019)

– Program Malam Teater Muzikal Sejarah & Kebudayaan Jugra (2019)

– Pesta Rentak Selangor (2018, 2019, 2020)

– Selangor Rhythm And Poetry (2018)

– Program Chitirai Puttandu (2018)

– Karnival Kebudayaan & Warisan Selangor (2018)

– Program Kebudayaan Generasi Muda Masyarakat India Daerah Klang (2018)

– Himpunan Penggiat Seni Budaya Selangor (2018)

– Sayembara Nyanyian Patrotik (2018 dan 2019)

– Sambutan Hari Malaysiaku “Budaya Kita Warisan Kita” (2018)

Categories
AGENDA NASIONAL

Jelajah Rentak Selangor promosi seni budaya, rancak pelancongan

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan mengadakan siri jelajah program Rentak Selangor yang menampilkan kepelbagaian persembahan seni dan budaya masyarakat.

Selain memperkenal tradisi turun temurun, EXCO kebudayaan dan warisan berkata program berkenaan bakal merancakkan semula sektor pelancongan pascaperintah kawalan.

Borhan Aman Shah menjelaskan siri jelajah itu turut menampilkan kampung atau daerah yang memiliki tapak seni dan budaya untuk tatapan generasi muda.

“Sebagai contoh, terdapat kumpulan kuda kepang di Sabak Bernam, jadi kita mahu pelancong ke sana menikmati makanan atau pemandangan sambil melihat persembahan seni,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor kaya dengan pelbagai etnik dan budaya berikutan ramai penggiat seni menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatan sejak dahulu.

Rentak Selangor diperkenal sejak 2016 bagi menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu.

Program itu julung kali dianjurkan secara maya pada 1 Mac yang menampilkan 10 jenis persembahan antaranya tarian pooja, muzik gambus dan cempuleng serta tarian kuda.

Categories
SELANGOR

Rentak Selangor persembah 10 jenis kebudayaan

SHAH ALAM, 1 MAC: Program Rentak Selangor anjuran Kerajaan yang julung kali dianjurkan secara maya malam tadi, menampilkan 10 jenis kebudayaan.

Program yang bersairan selama satu jam di Warisan Hall Studio Sijangkang, Kuala Langat mempersembahkan tarian pooja, muzik gambus, tarian kuda dan muzik cempuleng.

Penonton juga dihiburkan dengan tarian bahbola, tarian merak, muzik angklong, tarian singa, tarian zapin Selangor dan tarian joget Selangor.

EXCO Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah berkata, program Rentak Selangor secara maya bertujuan memperkenal warisan, tradisi dan kebudayaan negeri.

Program itu juga menjadi paltform anak untuk seni untuk membuat persembahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rentak Selangor raih lebih 60,000 tontonan di Facebook

SHAH ALAM, 1 MAC: Program Rentak Selangor yang menampilkan pelbagai persembahan seni dan budaya komuniti negeri ini berjaya meraih 62,000 tontonan ketika ditayangkan secara langsung di Facebook malam tadi.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata jumlah itu disifatkan sebagai luar biasa berikutan julung kali dianjurkan secara langsung dalam format baharu melalui media sosial.

“Program ini berjalan sempurna seiring usaha Kerajaan Negeri untuk meneroka inisiatif pendigitalan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat khususnya generasi akan datang.

“Usaha ini dijalankan bagi membantu mempromosi kepelbagaian seni dan budaya Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada SelangorKini.

Program bersiaran lebih sejam itu menyajikan persembahan komuniti Melayu, Cina, India dan orang asal seperti seni muzik cempuling, angklong, Gordang 9 serta tarian singa.

Wakil rakyat Tanjung Sepat yakin program seperti itu mampu membantu artis budaya di Selangor untuk meneruskan kelangsungan dalam norma baharu.

Menurutnya, ia juga memberi santapan minda kepada rakyat terutama generai muda yang bakal mewarisi peradaban dan warisan ditinggalkan kepada mereka.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat negeri ini supaya bersama-sama menghayati, menikmati, dan meraikan seni warisan budaya kita,” katanya lagi.

Rentak Selangor diperkenalkan sejak 2016 sebagai usaha menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tonton persembahan kebudayaan secara langsung di FB Rentak Selangor malam ini

SHAH ALAM, 28 FEB: Orang ramai dijemput untuk menonton pelbagai persembahan kebudayaan secara langsung menerusi Facebook Rentak Selangor 2021, malam ini.

Program yang bermula dari jam 8.30 malam turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rentak Selangor .

“Kenali dan nikmati persembahan kebudayaan dari pelbagai budaya di Selangor yang memukau,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, EXCO Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah berkata, program Rentak Selangor buat julung kalinya dianjurkan secara digital pada hari ini.

Jelasnya, usaha itu dijalankan bagi membantu mempromosi kepelbagaian seni dan budaya Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Categories
SELANGOR

Rentak Selangor: Promosi warisan negeri ke persada antarabangsa

OLEH SYASYA SUFIAN

SEPANG, 1 DIS: Komited mengangkat tradisi dan kebudayaan Selangor ke persada antrabangsa, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM90 ribu bagi menganjurkan Program Rentak Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, program itu dirangka khusus bagi memperkenalkan warisan, tradisi dan kebudayaan Selangor sebagai negeri kaya tradisi.

“Selain maju dan pesat membangun, Selangor juga mempunyai pelbagai etnik dan kebudayaan yang ramai masih tidak tahu dan ia perlu digali lagi.

“Antaranya seni kebudayaan Tarian Poja, Zapin Cemara, alat muzik Cempuling, Keroncong dan Mah Meri serta sejarah kesultanan Selangor yang datang dari keturunan bugis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Rentak Selangor dengan bertemakan ‘Nafas Nadi Bumi Kami’ di Homestay Banghuris, Sepang, di sini, hari ini.

Program berlangsung empat hari bermula hari ini hingga 4 Disember itu disertai 30 peserta membabitkan media antarabangsa dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Kita bawakan media antarabangsa untuk melihat sendiri keaslian tradisi Selangor seperti ke Pulau Carey untuk melihat kehidupan Mah Meri dan Bukit Cherakah bagi menyaksikan persembahan beberapa jenis tarian kebudayaan,” katanya.

-nR-