Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Pastikan anak kecil dilindungi daripada Covid-19

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Okt lepas bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, adalah antara khabar yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat yang rata-rata tidak sabar untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti.

Jumlah kenderaan di atas jalan yang meningkat secara mendadak, khususnya pada hujung minggu lepas, adalah bukti ahli masyarakat memanfaatkan sepenuhnya “kebebasan” yang diberikan oleh kerajaan itu selepas hampir dua tahun pergerakan dibataskan demi mengekang penularan virus maut tersebut.

Namun, dalam keghairahan menikmati kelonggaran itu, perlu diingat bahawa ancaman Covid-19 belum berakhir, sementelah masih ada kelompok yang belum menerima vaksin, khususnya kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Risiko yang dihadapi oleh kelompok usia ini sudah acap kali dibangkitkan oleh pakar, namun hingga kini kerajaan belum membuat ketetapan berhubung isu pemvaksinan untuk golongan itu. Justeru, sementara menantikan keputusan kerajaan, terserah kepada ibu bapa dan penjaga untuk memastikan anak kecil mereka dilindungi daripada dijangkiti Covid-19.

Sentiasa basuh, sanitasi tangan

Mengulas perkara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun menasihati orang ramai agar mengehadkan pergerakan dan tidak sewenang-wenangnya berkunjung ke pelbagai lokasi.

“Tujuan utama dibenarkan merentas negeri adalah bagi mereka yang sudah lama tidak menziarahi orang tua agar dapat pulang ke kampung, tetapi janganlah sebelum pulang ke kampung kita pergi bercuti di sana sini.

“Jika terlalu banyak tempat persinggahan, kita bukan sahaja boleh merisikokan anak-anak, terutamanya yang belum divaksinasi, tetapi berkemungkinan membawa pulang virus Covid-19 yang akhirnya boleh menjangkiti orang tua kita,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan berhasrat pulang ke kampung, agar melakukan perancangan sebaik mungkin bagi memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada persekitaran yang sesak dengan orang ramai.

Antara yang beliau cadangkan ialah membawa bekal makanan dari rumah agar tidak perlu singgah di kedai makan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Begitu juga jika singgah di mana-mana seperti surau dan masjid, sentiasa jaga penjarakan fizikal dan semua ahli keluarga termasuk anak-anak kecil, wajib sanitasi tangan. SOP ini adalah paling asas untuk mencegah jangkitan Covid-19,” tegasnya.

Dr Hanafiah turut menggalakkan individu dewasa melakukan ujian kendiri secara berkala sebagai saringan awal sepanjang berada di kampung, sekali gus melindungi diri dan juga ahli keluarga yang lain daripada dijangkiti virus maut tersebut.

“Sejurus tiba di kampung, wajib lakukan ujian kendiri yang merupakan langkah terbaik untuk kita membuat pengesanan awal kerana saya yakin, pada waktu ini kita bukan sahaja bertemu dengan orang tua, tetapi juga berhimpun dengan adik-beradik yang tiba dari lokasi berbeza.

“Sekalipun kita mandi atau sanitasi tangan sebelum bersentuhan dengan ahli keluarga yang lain, belum tentu dapat melindungi orang lain, terutama kanak-kanak daripada virus itu,” katanya.

Dr Hanafiah juga mencadangkan orang ramai menyediakan kit ujian kendiri yang disifatkannya lebih murah dan mudah berbanding ujian calitan di klinik.

“Sekiranya ada seorang didapati positif, ahli keluarga lain pula boleh membuat swab test di klinik kesihatan untuk mengesahkan status kesihatan mereka,’’ katanya.

Kawalan kendiri

Bagi Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Universiti Teknologi MARA Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail pula, langkah terbaik untuk mengelakkan anak daripada dijangkiti Covid-19 ialah tidak membawa mereka ke kawasan tumpuan ramai kerana golongan itu amat cenderung mendapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan dan paru-paru.

Apatah lagi katanya, agak sukar untuk memastikan kanak-kanak, khususnya yang berusia lima tahun ke bawah, mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan jangkitan Covid-19 seperti membasuh tangan dan menjaga jarak fizikal, selain mereka juga tidak digalakkan memakai pelitup muka kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

“Walaupun Covid-19 telah biasa dalam kehidupan kita, ibu bapa perlu ingat masih ada kuman atau virus lain yang berada dalam persekitaran dan mudah menjangkiti kanak-kanak, selain kesannya pun ada masa lebih teruk daripada Covid-19, seperti virus influenza dan pneumokokal,’’ katanya kepada Bernama.

Bersandarkan pada senario itu, Dr Ahmad Izuanuddin yang merupakan pakar perubatan dalaman (umum) dan perubatan respiratori, menyarankan ibu bapa memastikan bayi dan anak-anak kecil, khususnya yang berusia bawah lima tahun, sudah dilengkapi pelalian yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

NIP katanya boleh melindungi golongan itu daripada penyakit berkaitan pernafasan, terutamanya influenza, radang paru-paru (pneumonia), batuk kokol dan haemophilus influenzae.

“Biasanya vaksin ini (berkaitan penyakit pernafasan) diberikan kepada bayi semasa berusia dua, tiga dan lima bulan serta dos booster ketika berumur 18 bulan. Vaksin influenza dan pneumokokal bukan vaksin wajib tetapi digalakkan pengambilannya,” jelas beliau.

Dr Ahmad Izuanuddin turut menasihati ibu bapa yang membawa anak-anak mereka merentas negeri agar segera melakukan ujian Covid-19 ke atas si anak sekiranya menunjukkan gejala seperti demam dan selesema.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Aliran trafik lancar, terkawal – polis

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama di negara ini hari ini berjalan lancar dan tiada sebarang kesesakan dilaporkan susulan aktiviti merentas negeri telah dibenarkan sejak, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata setakat 1 tengah hari tadi tiada pertambahan jumlah kenderaan yang luar biasa dilaporkan berlaku sama ada di Plaza Tol Sungai Besi atau Plaza Tol Jalan Duta.

“Polis tidak melihat tanda pengguna jalan raya berpusu-pusu untuk keluar masuk merentas negeri melalui lebuh raya utama memandangkan perjalanan rentas negeri telah dibenarkan buat kali pertama membabitkan hunjung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada Selasa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lebih 2,000 tiket balik kampung terjual di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 2,000 individu pulang ke kampung halaman menerusi Terminal 17 di sini sejak kebenaran rentas negeri Isnin lalu.

Jurucakap Terminal 17, Mohd Hafidz Othman berkata jumlah itu merangkumi jualan tiket secara dalam talian dan sebahagian lagi menerusi jualan di kaunter.

Mohd Hafidz Othman

“Sebahagian besar destinasi yang dituju adalah Pantai Timur di mana permintaannya agak tinggi hingga beberapa syarikat bas perlu menyediakan bas tambahan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata sebanyak 300 individu menaiki bas bagi setiap sejam untuk lapan platform yang disediakan bagi memastikan kelancaran di terminal berkenaan.

“Dari segi pemantauan SOP (tatacara operasi piawai) kita memastikan hanya penumpang lengkap dua dos sahaja dibenarkan menaiki bas dengan mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi ketika membeli.

“Sebelum bas bertolak pihak berkuasa akan memeriksa sijil vaksinasi setiap individu di dalam bas bagi mengelak berlaku penipuan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 600 pulang ke kampung di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 600 individu mengambil peluang cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki bas di Terminal 17 di sini, malam tadi.

Tinjauan SelangorKini di terminal itu mendapati walaupun suasana sesak dengan kehadiran orang ramai, namun tiada pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) membabitkan penumpang.

Malah terdapat bunyi dentuman mercun di kawasan berdekatan seolah-olah mengiringi mereka yang pulang ke kampung halaman.

Noor Hafizati Mohd Hariri dan keluarga teruja untuk pulang ke kampung di Kemaman, Terengganu susulan kebenaran rentas negeri ketika tinjauan di Terminal 17, Seksyen 17, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang penumpang, Noor Hafizati Mohd Hariri mengakui teruja untuk pulang ke kampung halaman suaminya, Mohd Nadzi Nasir di Kemaman, Terengganu untuk memperkenalkan anak bongsunya yang berusia setahun.

“Ini anak PKP (perintah kawalan pergerakan) atok dan nenek di kampung tidak pernah berjumpa lagi jadi ini kali pertama dia akan berjumpa mereka,” katanya yang turut membawa bersama dua lagi anak bersama.

Sementara itu, jurutera, Anieza Arimi berkata ibu bapanya di Pasir Mas, Kelantan tidak mengetahui dia akan pulang pada malam tadi kerana ingin membuat kejutan kepada mereka.

Anieza Arimi

“Dah lebih setahun saya tidak pulang jadi teringin nak tengok reaksi mereka ketika saya bila sampai di rumah nanti,” katanya.

Bagi Muhammad Zulapis Sanusi pula, dia pulang ke Ketereh, Kelantan untuk membincangkan urusan perkahwinan selepas tertangguh akibat pandemik.

“Saya tidak pulang ke kampung hampir dua tahun, selain untuk berjumpa ibu bapa, saya juga ingin bertemu tunang untuk membincangkan urusan perkahwinan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik lancar walaupun cuti hujung minggu, cuti umum

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Keadaan trafik di beberapa lebuh raya utama menuju keluar dari Lembah Klang terkawal setakat malam ini walaupun cuti hujung minggu yang panjang.

Warga Lembah Klang dijangka pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti hujung minggu bersambung dengan cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa ini.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Duta dan Plaza Tol Sungai Besi, di sini yang merupakan laluan utama warga Lembah Klang untuk ke pantai Timur, utara dan selatan tanah air mendapati aliran trafik sedikit meningkat, bagaimanapun berada dalam keadaan lancar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat yang ditemui di Plaza Tol Gombak berkata beliau menjangkakan tidak akan berlaku kesesakan di plaza tol berkenaan.

“Selalunya jika cuti panjang, kesesakan akan mula berlaku pada waktu petang tetapi hari ini keadaannya berlainan mungkin kerana ramai pengguna jalan raya telah merancang perjalanan mereka lebih awal untuk mengelak kesesakan,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Haidatul Nazri, 25, berkata beliau gembira kerana dapat pulang ke kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang selepas dua tahun tidak pulang berikutan pandemik Covid-19.

“Saya sangat seronok dapat pulang ke kampung selepas dua kali raya tidak dapat pulang menziarah mak, kali ini saya bercuti selama lima hari,” katanya yang merupakan seorang pengurus operasi sebuah syarikat swasta di sini.

Bagi mahasiswi yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Shafiqa, 21, pula berkata perjalanannya untuk pulang ke kampusnya di Muadzam Shah, Pahang berjalan lancar setakat ini.

“Saya bersama ibu bapa memulakan perjalanan dari rumah di Kedah kira-kira 7 pagi tadi dan saya tidak sabar untuk memulakan kehidupan di kampus buat pertama kali selepas diterima masuk pada tahun lepas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Rentas negeri peluang cari ibu kandung lepas 30 tahun terpisah

SHAH ALAM, 13 OKT: Kebenaran rentas negeri bermula Isnin dimanfaatkan seorang lelaki untuk mencari ibu dan bapa kandung selepas terpisah sejak 30 tahun lalu.

Chong Chuan Yuen, 39, mahu berbuat demikian awal tahun ini namun hasratnya terbantu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berbekalkan foto pasport ibunya dan maklumat dari keluarga angkat, Chuan Yen nekad meneruskan hasratnya meskipun tidak tahu situasi kedua orang tuanya.

“Saya amat merindui mereka walaupun tidak tahu keadaan semasa,” katanya ditemui di stesen bas Terminal 17 di sini semalam.

Mengimbau kenangan silam, dia yang dibesarkan keluarga angkat sejak usia sembilan tahun hanya berjumpa keluarga kandungnya ketika urusan jual beli kereta di Shah Alam puluhan tahun lalu.

“Selepas itu langsung tidak bertemu mereka sebelum saya diambil sebuah keluarga. Inilah masanya saya cari mereka semula setelah mendapat keizinan,” katanya yang akan bertolak ke Johor Bahru pagi Sabtu.

Chong Chuan Yuen, 39

Chuan Yen juga tidak sesekali melupakan keluarga angkat yang menjaganya dengan baik sejak kecil meskipun dia memilih untuk memulakan hidup baharu bersama keluarga kandung.

Sementara itu, Noraini Muhammad, 39, memanfaatkan kebenaran rentas negeri untuk pulang ke Pasir Mas, Kelantan melawat kakak iparnya yang terlantar sakit.

Ibu lima anak itu pernah memohon kebenaran polis untuk pulang ke kampung minggu lalu, namun gagal berikutan tiada surat pengesahan hospital.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat bila kerajaan benarkan rentas negeri. Walaupun pulang ke sana tanpa suami dan anak-anak tetapi sekurang-kurangnya dapat jenguk kakak di kampung,” katanya.

Sakira Salmizi, 25, yang akan pulang ke Kampung Binjai, Kota Bharu, Kelantan Ahad ini pula tidak sabar memberi kejutan buat ibu dan bapanya selepas hampir 10 bulan terpisah.

“Saya gembira kerana akhirnya kerinduan pada keluarga terubat. Saya gunakan cuti tiga hari sebaiknya untuk merasa masakan emak selain melawat saudara terdekat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ribuan tiket bas terjual, pantai timur paling laris

SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 2,000 tiket bas ekspres di Terminal 17 di sini terjual kepada penumpang selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan sejak Isnin.

Majoriti membabitkan tiket perjalanan ke pantai timur manakala selebihnya utara dan selatan, kata
ketua bahagian korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kita dapat lihat jualan tiket mencatat jumlah luar biasa berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya 700 tiket terjual,” kata Shahrin Ahmad.

Tinjauan Selangorkini petang semalam mendapati suasana hentian bas berkenaan masih lengang berikutan ramai memilih perjalanan waktu pagi dan malam.

Pihak pengurusan terminal menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan mewajibkan pengguna mengemukakan bukti vaksinasi lengkap, menyukat suhu badan dan mengimbas kod bar MySejahtera.

Terminal 17 yang dibuka pada Mei 2019 dilengkapi sistem tiket berpusat dan paparan skrin maklumat destinasi bagi kemudahan pengguna.

Kelmarin, menteri pengangkutan meminta semua pengusaha pengangkutan awam memastikan penumpang mematuhi SOP bagi perjalanan rentas negeri terutama lengkap vaksinasi.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan setiap penumpang wajib menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing bagi membuktikan mereka sudah menerima dua dos suntikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Dr Noor Hisham gesa orang ramai terus patuh SOP

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Perjuangan melawan penularan Covid-19 belum berakhir, sebaliknya Malaysia kini menuju ke arah fasa endemik atau di medan perang baharu dengan strategi baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setelah lebih banyak kelonggaran diberikan dan rentas negeri dibenarkan, beliau menggesa agar orang ramai terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan ditetapkan kerajaan serta mengamalkan norma baharu.

Beliau berkata Malaysia berjaya menjauhi musibah seperti yang dilihat di banyak negara di serata dunia, bagaimanapun kita belum lagi keluar daripada bahaya dan hanya boleh memenangi ‘peperangan’ ini jika seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersatu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mematuhi SOP.

“Setiap daripada kita perlu memainkan peranan untuk memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada Covid-19. Prinsip panduan kementerian adalah jelas dan tanggungjawabnya kini adalah kepada rakyat untuk melaksanakannya.

“Dunia tidak akan sama lagi. Kita semua perlu belajar bahawa setiap tindakan individu mempunyai kesan terhadap bagaimana kita menguruskan Covid-19 dalam masyarakat. Kita perlu membiasakan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam kehidupan kita.

“Marilah kita membantu antara satu sama lain untuk memastikan insan tersayang terutama mereka yang mudah terjejas berada dalam keadaan selamat, pastikan Malaysia selamat dan mendapat kemenangan di akhir peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksinasi.

Hujung minggu ini dijangkakan lebih banyak pergerakan rentas negeri apabila ramai yang ingin pulang ke kampung halaman, justeru Dr Noor Hisham mahu rakyat merancang dan melakukan apa yang perlu untuk mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu seperti memastikan semua orang mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan sanitasi di kawasan yang biasa disentuh secara berkala.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penghormatan dan penghargaan kepada semua kakitangan barisan hadapan dan mereka di belakang tabir yang telah memainkan peranan penting dalam melandaikan keluk.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua di Kementerian Kesihatan, bekerja sebagai pasukan menuju matlamat yang sama untuk mengawal penularan Covid-19 di negara yang kita cintai ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Setahun hilang kerja, pemuda nekad naik motor 420km balik kampung

PETALING JAYA, 12 OKT: Seorang pemuda nekad menunggang motosikal sejauh 420 kilometer (km) dari ibu negara ke Pasir Puteh, Kelantan selepas dibenarkan merentas negeri semalam.

Perantau dikenali sebagai Anas, 25, berkata, dia memilih menunggang motosikal ke­rana satu-satunya ‘harta’ yang ada selepas syarikat tempat dia bekerja menutup operasi akibat pandemik Covid-19 pada Ogos 2020, lapor portal Kosmo!.

Menurut bekas operator elektrik di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu, kebenaran rentas negeri yang diumumkan kelmarin sememangnya amat dinanti-nantikan.

“Saya bertolak balik ke Kelantan pada pukul 1 pagi (semalam). Sebenarnya saya sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke kampung,” katanya di sini semalam.

Menurut Anas, selepas kehilangan kerja pada Ogos tahun lalu, dia pernah bekerja di tempat lain, namun tidak bertahan lama.

Dalam tempoh setahun itu juga, Anas mengakui terpaksa menumpang rumah kenalannya di sekitar ibu negara disebabkan sudah tidak mampu membayar sewa.

“Saya ada kakak yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, namun tidak boleh ke sana kerana tidak dibenarkan rentas negeri, jadi saya menumpang di rumah kawan-kawan selama setahun.

“Saya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk tampung perbelanjaan bulanan,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada tiga cahaya mata dari Taman Desa, Johor Bahru menerima nasib berbeza apabila terpaksa melupakan hasrat pulang ke Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak selepas suaminya diserang pe­nyakit strok.

Nurain Rozman, 28, membe­ri­tahu, suaminya, Sabri Moha­med Khairi, 36, disahkan menghidap penyakit itu pada Julai lalu.

“Keinginan nak balik kampung di Perak untuk berjumpa dengan keluarga memang ada, tetapi memandangkan suami tak mampu berjalan, saya terpaksa pendamkan sahaja.

“Segala perbelanjaan terpaksa dicatu dan didahulukan untuk tujuan rawatan susulan serta keperluan suami. Sekiranya suami kembali pulih seperti sedia kala, insya-­Allah kami sekeluarga akan pulang ke kampung,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Individu lengkap vaksin boleh rentas negeri untuk melancong

PUTRAJAYA, 11 OKT: Kebenaran rentas negeri bagi aktiviti pelancongan juga tertakluk kepada individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“Anak-anak di bawah umur 18 tahun boleh turut serta (melancong) bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah lengkap divaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung kebenaran rentas negeri.

Nancy berkata pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, merupakan khabar gembira yang telah lama dinantikan penggiat industri pelancongan bagi merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyambut baik pengumuman itu melihat ia dapat menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor berkenaan, yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Saya berharap dengan pelaksanaan pembukaan rentas negeri ini, ia boleh membantu dalam memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara,” katanya.

Ismail Sabri pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan yang rakyat Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19, dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa ‘MyTravelPass’ (MTP) Jabatan Imigresen juga berkuat kuasa hari ini.

Bagi memulihkan kembali sektor pelancongan, Nancy berkata salah satu fokus yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan oleh MOTAC adalah dengan mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan.

“MOTAC akan berusaha untuk memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan dan akan terus merangka kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara,” katanya.

Nancy berkata pengunjung yang ingin melakukan aktiviti pelancongan digalakkan menjalani ujian pengesanan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan.

“Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian serta mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Patuhilah segala tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan serta kementerian dan agensi yang berkaitan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Aliran trafik lancar walau kenderaan bertambah

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Keadaan jalan utama menuju keluar dari ibu kota dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi Bernama berkata setakat malam tadi tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

“Orang ramai juga diingatkan jangan terlalu ghairah untuk melakukan pergerakan rentas negeri kerana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam tadi mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti 300 meter daripada plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar daripada Plaza Tol Gombak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya memaklumkan polis akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tutup sekatan jalan di sempadan negeri mulai tengah malam ini

SHAH ALAM, 10 OKT: Polis akan menutup semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri seluruh negara, bermula tengah malam ini, kata Ketua polis negara.

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penutupan itu susulan pengumuman kerajaan membenarkan rentas negeri bermula esok.

Bagaimanapun, sekatan jalan raya di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Op Benteng serta cegah jenayah dan keselamatan dikekalkan.

“Meskipun tiada sekatan jalan raya di sempadan negeri, PDRM akan tetap menggerakkan pasukan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhi SOP.

“Pemeriksaan ini akan dijalankan pihak berkuasa secara rawak di lokasi tumpuan umum, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini perdana menteri mengumumkan kebenaran pergerakan rentas negeri kepada individu lengkap vaksin bermula esok.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran polis.