Categories
AGENDA JENAYAH

Kanak-kanak perempuan 11 tahun ditemui rentung dalam kilang

SUNGAI PETANI, 4 MAC: Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia 11 tahun maut dalam kebakaran sebuah kilang memproses getah tiruan (sintetik) di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dekat sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata mayat Misha Kasih ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat dua bangunan pejabat kilang berkenaan.

“Pengurus kilang memberitahu bahawa Misha adalah cucu angkat kepada keluarga mereka, yang dipelihara sejak kecil, iaitu selepas ibu kanak-kanak itu pulang ke negara asalnya dan meninggalkan Misha, untuk dijadikan anak angkat secara sah.

“Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga beragama Islam untuk dijaga namun sering dibawa oleh pengurus kilang ke tempat kerja untuk bermain dan tidur di situ bersama anaknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian anak pengurus kilang itu yang tidur di dalam sebuah bilik di bangunan kilang terbabit sempat menyelamatkan diri, namun Misha gagal ditemui ketika itu.

Anuar berkata kebakaran itu memusnahkan hampir 95 peratus kilang, yang telah beroperasi hampir 20 tahun.

Katanya mayat kanak-kanak itu sudah dihantar ke unit forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk proses bedah siasat.

Sementara itu pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah penolong kanan pesuruhjaya bomba Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4.11 pagi.

“Sebaik jentera bomba tiba di lokasi didapati api sedang marak dan ia berjaya dikawal pada pukul 5.10 pagi. Mayat kanak-kanak itu dijumpai pada jam 7.30 pagi,” katanya.

Katanya jumlah kerugian dianggarkan RM16.35 juta dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran di Gombak

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Changkat Damai, Gombak, di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ketika kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi, mangsa Mohamad Fairuz Mohamad Anbor, 44, berada bersama ibu serta dua adiknya di dalam rumah didiami mereka.

“Insiden kebakaran itu dimaklumkan adik mangsa kepada pihak bomba sebelum anggota bomba bergegas bagi melakukan pemadaman. Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Abang maut, adik sempat selamatkan diri rumah terbakar

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seorang lelaki rentung manakala adiknya berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Saga, Seksyen 26 di sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang rentung, Ahmad Zulhilman Zakaria, 27, ditemukan di bilik tidurnya di tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata adik mangsa, Ahmad Hamizan, 25, yang berada di bilik tidurnya di tingkat bawah rumah pula menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap sebelum meminta bantuan jiran.

“Rumah ini didiami tiga beradik lelaki dewasa dan ibu bapa mereka bekerja di luar negara. Siasatan mendapati, adik bongsu mereka, Ahmad Nazmi, 21, tiada di rumah ketika kebakaran dan dimaklumkan dia bermalam di rumah kawannya.

“Rumah dua tingkat ini dianggarkan terbakar 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, beliau ada mendengar bunyi kaca pecah serta jeritan Ahmad Zulhilman meminta tolong kira-kira pukul 3 pagi dan menganggap rumah mereka dipecah masuk pencuri.

Namun, ketika keluar untuk menjengah rumah jirannya itu, beliau terkejut melihat api sangat marak dan asap yang tebal.

“Adiknya (Ahmad Hamizan) datang kepada saya dan beritahu abangnya tak boleh keluar. Beberapa jiran lain pun datang untuk bantu tapi api sangat marak dan haba terlalu panas menyebabkan kami langsung tak boleh dekat (dengan rumah tersebut).

“Saya yang menelefon bomba. Namun kami jiran-jiran berasa kesal kerana tak dapat bantu mangsa sebab mereka sekeluarga dah duduk sini sejak puluhan tahun lepas. Ibu bapa mereka pula tiada di sini (bekerja di luar negara),” katanya.

-BERNAMA