Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan restoran tidak wajibkan ahli buka premis, benar pelanggan makan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak mewajibkan ahlinya membuka premis masing-masing bagi tujuan pelanggan makan di premis (dine-in), sebaliknya bergantung kepada kesediaan pengusaha sendiri untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata apa yang penting bagi ahli persatuan, ialah mereka perlu memastikan hanya petugas lengkap divaksin dibenarkan untuk bekerja.

“Pengumuman ini sesuatu yang melegakan buat pengusaha restoran khususnya di kawasan Fasa Satu PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kita sarankan kepada ahli agar menyediakan petugas khusus untuk menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera pelanggan,” katanya.

Beliau berkata bagi mencegah sebarang risiko penularan Covid-19, pemilik premis disarankan kerap mensanitasi meja makan dan kerusi sebelum serta selepas digunakan pelanggan.

Katanya pengusaha restoran dan permis makanan serta pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti dine-in bagi individu lengkap divaksin.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti dine-in mulai hari ini (Jumaat) bagi premis makanan di kawasan berstatus Fasa Satu PPN, namun terhad bagi pelanggan yang lengkap divaksin.

Antara kelonggaran lain bagi individu lengkap divaksin di kawasan Fasa Satu PPN ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Sementara itu Jawahar Ali berkata ahli persatuan turut disaran mempamerkan poster atau gegantung makluman mengenai semua petugas premis telah divaksin bagi meningkatkan keyakinan pelanggan masing-masing.

“Kita juga berharap pelanggan berdisplin dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika makan di premis terutama jika membawa keluarga dengan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP di restoran, Najib dikompaun RM3,000

SHAH ALAM, 7 MEI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikompaun RM3,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang pada Mac.

Ketua polis Dang Wangi berkata Najib dikompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021, lapor Berita Harian.

“Kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan ketika memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng dan kesalahan kedua, gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.

“Pengurus restoran, Yeok Wei Hao dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Datuk Seri Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal.

Tambah beliau, semua yang terbabit akan dikenakan kompaun dalam masa terdekat dengan nilai kompaun keseluruhan RM13,000.

Pada 19 Mac, polis mengambil keterangan Najib susulan tular video yang memaparkan beliau tidak mematuhi SOP ketika berada di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang.

Video tular selama satu minit 39 saat memaparkan ahli parlimen Pekan bersama beberapa individu hadir di sebuah restoran untuk makan tanpa membuat imbasan suhu dan mendaftar MySejahtera yang diperlukan.

Categories
PBT SELANGOR

Restoran miliki tandas terbersih di Selayang berpeluang menang RM1,000

SELAYANG, 23 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menawarkan ganjaran RM1,000 kepada pemilik kedai makan yang mempunyai tandas paling bersih.

Pengarah Jabatan Korporat Mohamad Zin Masoad berkata tawaran itu dibuat sempena Pertandingan Tandas Bersih Kategori Premis Makanan Restoran pihak berkuasa tempatan itu bagi tahun ini.

“Pemenang tempat kedua pula bakal memenangi wang tunai RM700, tempat ketiga RM500 dan 10 hadiah cenderahati juga turut diberikan.

“Pertandingan ini bertujuan untuk membudayakan penjagaan tandas yang bersih, selamat dan selesa di premis perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin menjelaskan borang pertandingan boleh dimuat turun di laman sesawang MPS dan pemilik premis boleh membuat persediaan bermula hari ini hingga 10 April.

Tambahnya, proses pemeriksaan dan penjurian akan bermula 15 April hingga 30 Jun depan.

“Untuk maklumat lanjut, layari http://www.mps.gov.my atau hubungi Bahagian Kesihatan Awam di talian 03-6126 6080 atau 03-6126 6024,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Airasia Food lebar niaga ke Johor, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Hampir setahun sejak diperkenalkan di kawasan Lembah Klang, Airasia Food kini bakal melebarkan sayapnya ke bandar raya utama lain di negara ini bermula dengan Johor dan Pulau Pinang bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Riad Asmat berkata perniagaan itu mencatatkan pertumbuhan sangat positif terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan semula antara tempoh Oktober hingga Disember 2020, dan menjanjikan prospek yang baik melangkah ke tahun 2021.

Beliau berkata di bawah pelan pengembangannya, syarikat itu memulakan program keusahawanan untuk melatih lebih ramai tenaga kerja bagi menampung potensi pasaran pada masa akan datang serta mendapatkan lebih banyak peniaga menyertai platformnya.

“Orang ramai sedang mencari lebih banyak pilihan (perkhidmatan penghantaran makanan) ketika ini dan tawaran kami di Airasia Food, sama ada daripada perspektif pelanggan dan peniaga, boleh memenuhi keperluan mereka dalam pasaran,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Riad menamakan Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Miri dan Kota Bharu sebagai pasaran berpotensi seterusnya.

Bagi pasaran antarabangsa, beliau berkata, syarikat itu menyasar memulakannya di Singapura bulan depan, dan pasaran lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak lama lagi.

Airasia Food yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020, merupakan satu platform penghantaran makanan yang lancar tanpa sebarang masalah serta berpatutan bagi peniaga kerana ia berdasarkan model kadar rata yang bersamaan dengan hanya 10 peratus kadar komisen

Menurutnya, ketika ini, kadar komisennya adalah yang terendah dalam pasaran kerana bayaran komisen platform lain adalah dalam jajaran antara 15 peratus dan 30 peratus, dan Airasia Food adalah satu-satunya platform yang menawarkan kadar rata.

Peniaga juga mudah untuk mengawal menu dan harga mereka dan menerima liputan penghantaran sehingga 60 kilometer berbanding liputan 15 kilometer oleh platform pesanan makanan lain.

Riad berkata walaupun terdapat penyedia perkhidmatan yang telah lama berada dalam pasaran, Airasia Food percaya pasaran cukup besar untuk mengisi satu lagi alternatif yang memiliki kelebihan tersendiri.

Menurutnya, Airasia Food menyediakan penawaran kompetitif kepada peniaga yang boleh membantu mereka secara langsung dan tidak langsung bagi meraih pulangan lebih tinggi dengan kos rendah, yang seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan mereka.

Sebagai satu daripada perniagaan di bawah aplikasi airasia.com Asean, Airasia Food disokong oleh ekosistem airasia.com yang memiliki 60 juta pengguna yang boleh memperoleh mata dan membayar dengan BIG Points mereka, katanya.

“Kelebihan bagi peniaga yang menyertai kami adalah dari segi asas struktur kukuh, termasuk daripada perspektif teknologi dan pelanggan. Peniaga kini akan mendapat potensi pendedahan kepada sehingga 60 juta pelanggan dalam ekosistem kami,” katanya.

Mengenai prospeknya, Riad berkata jualan meningkat semasa perintah kawalan pergerakan tetapi perniagaan itu akan kekal relevan pada masa depan walaupun selepas adanya vaksin kerana teknologi membantu orang ramai memenuhi keperluan mereka dengan cara yang sangat mudah.

“Sekiranya anda memberikan produk yang betul yang dimahukan oleh orang ramai dan sentiasa meningkatkan perniagaan dengan inovasi, sudah tentunya anda akan dapat mengekalkan perniagaan bagi tempoh yang lama.

“Pertumbuhan Airasia Food bukan sahaja membantu perniagaan makanan tempatan, tetapi juga membawa kesan limpahan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Setakat ini, Airasia Food memiliki lebih 1,500 teleporter (penghantar makanan) yang menawarkan perkhidmatan kepada 1,200 restoran di seluruh Lembah Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh makan di restoran mulai esok, terhad dua orang satu meja

SHAH ALAM, 9 FEB: Orang ramai dibenarkan makan di restoran, terhad kepada dua orang satu meja dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP berkenaan dalam sidang media mengenai perkembangan PKP hari ini.

Beliau berkata pemilik restoran juga perlu memberi tugasan kepada sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi premis yang membenarkan makan di restoran untuk memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis.

Katanya, tugasan itu juga bagi memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan, penjarakan fizikal satu meter semasa berada di premis serta menghadkan bilangan pelanggan berada di premis pada satu-satu masa.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Buka cawangan di PJ, restoran Gordon Ramsay bakal jadi tarikan baharu

SHAH ALAM, 19 JAN: Pembukaan restoran cef selebriti terkenal Gordon Ramsay pada Jun di Petaling Jaya bakal menjadi tarikan terbaharu negeri ini.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata produk pelancongan gastronomi atau berasaskan makanan berpotensi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Azrul Shah Mohamad turut berbesar hati pemegang bintang Michelin itu memilih Selangor untuk membuka cawangan restorannya yang pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara.

“Bagi yang ingin menikmati masakan gaya hidangan halus (fine dining), mereka boleh memilih untuk berkunjung ke restoran ini sebaik ia dibuka,” katanya ketika dihubungi.

Ramsay, 54, bakal membuka rangkaian restoran Gordon Ramsay Bar & Grill di Sunway Resort yang menawarkan pelbagai jenis hidangan antaranya Beef Wellington dan Sticky Toffee Pudding.

Sunway Resort dalam kenyataan di laman web memaklumkan pelanggan boleh membuat pratempahan bermula sekarang untuk menikmati hidangan cef dari British itu pada Jun.

Selain Malaysia, Ramsay mempunyai cawangan sama di Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Popularitinya melonjak apabila menjadi bintang utama dalam rancangan realiti Hell’s Kitchen sejak 2005, Kitchen Nightmares (2004 hingga 2014) dan MasterChef US mulai 2010.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB Klang: Pasar, restoran dan stesen minyak boleh operasi

SHAH ALAM, 8 OKT: Restoran, stesen minyak dan pasar dibenar beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata waktu operasi pasar borong bermula jam 4 pagi hingga 2 petang, pasar biasa (6 pagi hingga 2 petang) dan pasar tani (6 pagi hingga 12 tengah hari).

“Restoran, kedai makan, gerai, warung, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenar beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam namun untuk pembelian secara pandu lalu atau beli dan makan di rumah serta penghantaran.

“Waktu operasi stesen minyak pula bermula jam 6 pagi hingga 11 malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial

SHAH ALAM, 12 MEI: Semua restoran di Selangor kini dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ketetapan dibuat selepas persidangan bersama datuk bandar, yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai daerah seluruh negeri ini pagi tadi susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata peniaga restoran digalakkan memberi pilihan pratempahan kepada pelanggan bagi mengelak kesesakan di dalam kedai.

“Penjaja makanan dalam kategori tidak berpremis (kendera saji dan penjaja tepi jalan) boleh mula beroperasi 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja. Membuka meja di kawasan kaki lima serta parkir tidak dibenarkan.

“Penguat kuasa PBT akan turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasa berada di tahap optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, aktiviti pasar selain daripada bentuk penyembelihan dibenarkan beroperasi seperti biasa dan larangan operasi pasar pagi dan pasar malam adalah kekal buat masa ini.

“Sebarang bentuk aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan seperti ayam di pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Operasi premis makanan khusus dibawa pulang

PUTRAJAYA, 17 MAC: Premis makanan boleh beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah jangkitan penyakit COVID-19 namun ia perlu menjual makanan yang khusus untuk dibawa pulang sahaja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi menarik perhatian bahawa premis makanan perlu beroperasi sepanjang tempoh itu untuk memenuhi keperluan orang ramai.

“Premis makanan termasuk restoran, kedai mamak dan kopitiam hanya dibenarkan menjual makanan secara bawa pulang, jangan buka dan benarkan orang berkumpul (untuk makan).

“Kalau ada khidmat penghantaran makanan di rumah, itu lebih baik kerana memudahkan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata pasar malam dan bazar juga perlu ditutup sepanjang tempoh itu kerana lokasi sedemikian menggalakkan orang ramai berkunjung dan tidak menggalakkan ‘penjarakan sosial.’

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

-BERNAMA