Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SUKANKINI

Badminton Asia: Rexy tuntut Mei Xing-Anna bukti kemampuan sebenar

SHAH ALAM, 14 FEB: Gandingan Teoh Mei Xing-Anna Cheong yang dijangka menggalas tanggungjawab selaku beregu kedua skuad wanita negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, perlu membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Timbalan pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky menuntut agar beregu di ranking ke-81 dunia itu menghadiahkan mata bagi pasukan negara, terutama apabila India dan Jepun tidak hadir dengan barisan terkuat mereka pada BATC yang bermula esok hingga 20 Februari ini Pusat Konvensyen Setia City.

“Jika mereka diturunkan menentang India, mereka harus buktikan bahawa kejayaan menjuarai Saingan Antarabangsa Syed Modi bulan lepas, bukan satu kebetulan, tetapi memang mempunyai prestasi yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi pertama pasukan di sini semalam.

Pasangan Pearly Tan-M.Thinaah akan mengetuai Mei Xing-Anna, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee bagi beregu wanita, manakala slot perseorangan dibarisi Eoon Qi Xuan, S. Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.

Pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan Y, akan membuka tirai menentang India pada Selasa, sebelum melengkapkan jadual peringkat kumpulan bertemu Jepun pada Rabu.

Bekas juara Olimpik dari Indonesia itu tidak mahu pemain merasai tekanan berlakunya ketidakseimbangan dalam pasukan sama ada pasukan lelaki mahupun skuad wanita.

Susulan itu, Rexy berkata menjadi tanggungjawab beliau, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Wong Choong Hann dan barisan jurulatih untuk memastikan bahawa mental pemain berada pada tahap terbaik dan saling membantu meningkatkan motivasi menjelang kelayakan Piala Thomas dan Uber itu.

Mengulas mengenai venue kejohanan, Rexy berkata terdapat sedikit masalah dengan angin, jaring yang tidak seimbang dan pencahayaan menyebabkan pemain sakit mata, tetapi yakin masalah itu, yang sudah dimaklumkan kepada pihak penganjur, dapat diselesaikan sebelum kejohanan bermula.

Sementara itu, beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjanji untuk mempamerkan aksi terbaik supaya dapat membalas kepercayaan jurulatih memilih mereka ke dalam pasukan.

Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya terpaksa menukar perancangan asal untuk membenarkan kehadiran 1,000 kepada hanya 200 penonton di venue berikutan lonjakan kes Covid-19 melebihi 20,000 kes sehari sejak kebelakangan ini.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, berkata peminat badminton bagaimanapun, perlu membuat tempahan tiket percuma itu menerusi https://selangorbatc2022.com sehari sebelum perlawanan untuk menyaksikan BATC.

– BERNAMA