Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RFID: Kabinet putus pengguna perlu diberi pilihan

PUTRAJAYA, 20 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna jalan raya mesti diberi pilihan untuk pembayaran tol sama ada mahu menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch ‘n Go (TnG) atau SmartTAG.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini yang berpendapat pengguna mesti diberi pilihan seperti sewaktu TnG diperkenalkan di peringkat awal dengan pembayaran secara tunai masih diteruskan.

“Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada nak guna RFID, Touch ‘n Go atau SmartTAG,” beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan RFID selepas melancarkan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini malam tadi.

Ismail Sabri berkata RFID diperkenalkan untuk mempercepatkan perjalanan merupakan cadangan yang bagus tetapi pengguna juga mesti diberi pilihan memandangkan RFID adalah projek rintis dan ia akan mengambil masa untuk disesuaikan.

Terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan dan kalau RFID memudahkan perjalanan mereka, pengguna lebuh raya boleh berhijrah kepada sistem RFID, katanya.

Ismail Sabri berkata pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG.

“Jangan semua RFID lah. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong untuk RFID and the rest (dan selebihnya) masih lagi untuk TnG dan SmartTAG. Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Ditanya sama ada pemegang konsesi lebuh raya telah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet itu, Ismail Sabri berkata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof akan memanggil pemegang konsesi untuk berbincang dan membuat keputusan lanjut.

Ismail Sabri juga berkata mesyuarat Kabinet itu juga memutuskan apa sahaja perkara melibatkan bayaran oleh rakyat perlu dirujuk kepada Kabinet.

Media dan netizen melaporkan keadaan di beberapa plaza tol di Lembah Klang terutamanya pada Isnin lepas yang mengalami kesesakan didakwa akibat kegagalan RFID berfungsi.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan lepas.

Sistem RFID membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna boleh ganti pelekat RFID rosak secara percuma

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengalami kerosakan pelekat sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan menerima gantian pelekat itu secara percuma.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata ketika ini, petugas tambahan diletakkan di plaza tol bagi membantu mereka yang mengalami masalah dengan pelekat RFID mereka.

“Kita ada orang ‘standby’ (tunggu sedia) dengan peranti ‘hand held’ (pegang tangan), kalau RFID tidak dapat ‘detect’ (kesan), kita akan bantu beli satu kupon untuk pergi ke fitment (pusat pemasangan) Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat untuk ‘check’ (periksa) RFID. Kalau waktu itu TnG masih tidak dapat ‘detect’, kita akan beri RFID ‘tag’ yang baharu secara percuma,” katanya kepada Bernama TV di sini hari ini.

Isnin lepas, media melaporkan beberapa plaza tol di Lembah Klang termasuk Plaza Tol Putra Mahkota dan Sungai Besi sesak teruk ekoran kegagalan RFID berfungsi pada waktu puncak ketika hujan.

Ini mengakibatkan ramai pengguna meluahkan rungutan dan PLUS telah mengambil tindakan penambahbaikan segera dengan menggandakan kehadiran petugas mereka di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Dalam pada itu, Syed Mohammed Idid berkata pengguna lebuh raya tidak perlu bimbang kerana kaedah pembayaran menggunakan kad TnG dan Smartag masih terdapat di kebanyakan plaza tol di seluruh negara.

Beliau berkata projek perintis sistem RFID ini dilihat lebih menjimatkan kerana ia sifar penyenggaraan dan lebih selamat serta bayaran dihubungkan dengan akaun e-dompet yang boleh dibayar secara debit automatik.

Menjawab mengenai rungutan netizen mengenai harga pelekat RFID yang dikatakan tinggi, beliau berkata harga RM35 itu telah ditetapkan oleh pihak TnG.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan lepas.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus gandakan pasukan bantu pelanggan guna RFID di plaza tol

KUALA LUMPUR, 18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (Plus) menggandakan pasukan petugasnya di plaza tol untuk membantu melicinkan pergerakan pengguna lebuh raya Utara-Selatan yang berhijrah menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PLUS dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pihaknya juga meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

“Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan. Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan pengguna jalan raya meluahkan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di beberapa plaza tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID untuk mengesan tag yang dipasang pengguna.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Plus memaklumkan perlaksanaan RFID sejak 15 Jan lalu mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan iaitu sebanyak 10 peratus transaksi di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu.

Plus turut berharap peningkatan peralihan kepada pembayaran tol menerusi RFID yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan lebih lancar kepada pengguna.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RFID: Plus perlu selesai isu kesesakan di plaza tol

DENGKIL, 17 JAN: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan Plus Malaysia Bhd (Plus), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menurutnya RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG).

“Saya telah hubungi mereka (Plus dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

“Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di sini hari ini.

Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

Pada 16 Disember 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

Fadillah berkata pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

“Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenderaan ringan lalui Plus guna transaksi RFID mulai 15 Januari

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula 15 Jan depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan memaklumkan pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKR, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan tersebut selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

KKR sehubungan itu mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Boleh bayar tol guna RFID di Lebuhraya LEKAS bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Mulai hari ini, pengguna Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) boleh menggunakan teknologi ‘Radio Frequency Identification’ (RFID) di semua plaza tol lebuh raya itu.

Menurut satu kenyataan LEKAS, pembayaran tol secara RFID dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu lagi berhenti menyentuh kad di panel kad Touch ‘n Go dan boleh menggunakannya di semua plaza tol LEKAS sama ada sistem tol terbuka atau tertutup.

Menurut LEKAS, sistem RFID adalah mod pembayaran elektronik terkini yang diperkenalkan di semua lebuh raya sistem tol terbuka pada Januari tahun ini, tambahan kepada cara pembayaran sedia ada kad Touch n’ Go dan SmartTAG.

Kenyataan itu mengingatkan pengguna lebuh raya yang telah mempunyai pelekat RFID agar sentiasa memastikan e-dompet mereka mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

“Dengan RFID, pengguna dapat membuat transaksi bayaran tol dengan lebih mudah dan selesa, malah tiada kos penyelenggaraan memandangkan pelekat RFID tidak memerlukan bateri.

“Tambah nilai boleh dibuat dalam talian kerana sistem RFID menggunakan pelekat yang dihubungkan dengan e-dompet Touch n’ Go…ini memudahkan orang ramai membuat transaksi tambah nilai tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau lokasi tambah nilai,” menurut kenyataan itu.

Memandangkan pelekat RFID ditampal pada kenderaan, ia tidak mudah hilang atau mempunyai masalah diletak terbalik atau bateri lemah seperti ‘On Board Unit’ SmartTAG.

Mereka yang hendak mendapatkan pelekat RFID atau ingin maklumat lanjut, boleh melayari rfid.touchngo.com.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS laksana RFID di 10 plaza tol sistem terbuka

KUALA LUMPUR, 30 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya bagi kenderaan kelas satu, sebagai antara pilihan mod pembayaran mulai 1 Januari.

Plaza tol sistem terbuka (tanpa mengira jarak perjalanan) terlibat ialah di Lebuhraya Utara-Selatan (Jitra dan Kempas), Lebuhraya Butterworth-Kulim (Lunas dan Kubang Semang), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (Mambau dan Lukut), Lebuhraya Laluan Kedua (Linkedua) (Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang) serta Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasinya Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan sistem itu dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol kerana pengguna lebuh raya tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad dan tambah nilai eWallet menjadi lebih mudah kerana dilakukan secara dalam talian.

“Selain itu ia dapat mengurangkan isu kad elektronik tidak cukup baki, mengurangkan kejadian peranti SmarTAG hilang atau tidak mempunyai bateri atau diletakkan secara terbalik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mod pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih lagi relevan dan diterima seperti biasa di lebuhraya PLUS, sementara di di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor), sistem itu hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengguna yang sudah mempunyai pelekat RFID Touch ‘n Go untuk memastikan baki eWallet mencukupi bagi menikmati perjalanan lancar dan selesa.

RFID Touch ‘n Go merupakan pilihan mod pembayaran terkini yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan yang dihubungkan dengan Touch ‘n Go eWallet bagi memudahkan pengguna untuk menambah nilai tol secara dalam talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

Katanya lebih banyak pilihan pembayaran juga sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet.

Syarikat itu dijangka akan memperluaskan sistem berkenaan di 83 plaza tol sistem tertutup (sistem berdasarkan kelas kenderaan dan jarak perjalanan) di lebuh raya kendaliannya pada 1 April 2020.

Orang ramai boleh mendapatkan pelekat RFID Touch ‘n Go di 130 pusat pemasangan sedia ada atau menerusi pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres dan https://www.tngdigital.com.my/rfid

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sistem RFID bakal dilancar di lebuh raya utama negara bermula September ini

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Mulai September ini, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) bakal melancarkan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) kepada pengguna lebuh raya utama di Malaysia.

Menurut satu kenyataan hari ini, keputusan berkenaan dibuat selepas TNGSB melakukan sesi ujian menyeluruh terhadap RFID dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di bawah pihak berkuasa lebuh raya sepanjang tahun 2017.

“Ujian perintis tambahan akan turut diadakan 3 September ini bagi membantu TNGSB memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul sebelum RFID digunapakai di seluruh lebuh raya negara sekitar Januari 2019,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut orang ramai yang ingin menggunakan RFID boleh mendaftar melalui laman web www.touchngo.com.my bagi mengambil bahagian dalam ujian perintis tambahan itu.

Berikutan pelancaran RFID, peranti SmartTAG tidak akan dijual lagi oleh ejen-ejen sah TNGSB bermula 8 Ogos ini tetapi peranti sedia ada, kad Touch ‘n Go dan MyKad masih boleh digunapakai pengguna lebuh raya untuk pembayaran tol seperti biasa, katanya.

Antara lebuh raya di sekitar Lembah Klang yang dilengkapi RFID ialah Lebuhraya KL-Karak (KLK), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Besraya (Besraya).

Untuk maklumat lanjut berkenaan RFID, pendaftaran sebagai pengguna awal fasa percubaan atau mengenai perkhidmatan, pengguna boleh melayari laman web www.touchngo.com.my , emel [email protected] atau boleh menghubungi Touch ‘n Go Careline di talian 03-27148888.

SUMBER: BERNAMA