Categories
NASIONAL

Lebih 1,000 Umat Islam Malaysia Bantah Kekejaman Rejim Bashar Assad

demo syria 14 jun 03

demo syria 14 jun 04KUALA LUMPUR 14 JUN: Lebih 1,000 umat Islam berarak dan berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur bagi membantah kekejaman rejim Presiden Bashar Assad terhadap rakyat negara itu.

Bantahan ini diadakan bagi menyahut seruan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi yang menyeru seluruh umat Islam di dunia menjadikan hari ini sebagai ‘Hari Untuk Syria’.

Mengetuai bantahan itu adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, Timbalannya, Nik Abduh Nik Aziz dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor.

Turut hadir ahli NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) serta Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis).

Rombongan memorandum itu dimulai sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan berarak lebih dua kilometer ke bangunan kedutaan Syria.

Konflik di Syria yang telah berlangsung selama dua tahun telah mengakibatkan kehilangan 94,000 nyawa.

Himpunan tersebut turut mendapat kerjasama polis yang mengawal keadaan.

demo syria 14 jun 02Tiga orang wakil iaitu Salahudin, Nasrudin, Nik Abduh cuba masuk untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan Syria.

Bagaimanapun, wakil kedutaan berkenaan enggan menerima memorandum itu.

Antara isi kandungan memorandum itu mendesak agar Bashar kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan kemelut di negara bergolak itu.

Dalam pada itu, Nasrudin yang juga MP Temerloh itu mengutuk keganasan dan tragedi pembunuhan masyarakat Islam di negara itu.

“Bashar Assad telah menunjukkan kesombongannya kerana tidak menerima memorandum yang kita hantar ini.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam terhadap masyarakat Islam di Syria,” katanya.

Selain itu, satu memorandum juga turut dihantar ke Kedutaan Turki hari ini bagi menuntut penjelasan terhadap demonstrasi jalanan yang berlaku di negara itu.

Memorandum berkenaan diterima wakil kedutaan Turki dan menjelaskan bahawa Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kini sedang melakukan perbincangan bersama kumpulan demonstrasi bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hasutan Melampau: Polis Dan SPR Digesa Ambil Tindakan Terhadap Muhyiddin

bas jelajah merdeka baling batu 01

SHAH ALAM 14 MAC : Polis serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melemparkan fitnah yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) berusaha menggagalkan PRU-13 dengan mewujudkan keadaan porak-peranda.

Ketua Penerangan PAS, Riduan Mohd Nor berkata, tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu terlalu berat serta berunsur hasutan bagi menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat.

Sebelum ini, Muhyiddin di Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Baru Perodua di Hulu Selangor berkata, pakatan pembangkang akan menimbulkan huru-hara pada hari mengundi dan akan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih.

Katanya, pembangkang bertindak demikian kerana mereka semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan dengan mendakwa pembangkang merancang sesuatu untuk membuatkan suasana porak-peranda.

“Sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan beliau boleh mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai daripada kalangan masyarakat.

bas jelajah merdeka baling batu 02“Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat, khususnya pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Kata Riduan, dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan serta sindrom ketakutan kepada rakyat.

“Beliau juga menghina jutaan rakyat negara ini untuk memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka dengan kenyataan sedemikian.

“Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen yang boleh dipercayai seperti dakwaannya, pemuda PAS mencabar TPM untuk mendedahkan butiran dokumen tersebut,” katanya.

Ujarnya, sekiranya Muhyiddin gagal mengemukakan bukti tersebut, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin PR mengemukakan saman fitnah terhadap beliau.

Sementara itu, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, kenyataan tersebut adalah ‘songsang’ dan menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin.

“Rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihanraya, malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan pilihanraya.

“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat.

“Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal, bakal ke penjara jika Umno tewas di Putrajaya, yang mana ia seharusnya menimbulkan panik,” katanya.

Baru-baru ini di Bukit Katil, Melaka, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa penceramah Pakatan Rakyat dibaling dengan batu sehingga pecah cermin. Ia merupakan insiden kedua di Melaka bas itu diserang and ke-enam semenjak jelajah itu dimulakan pada September tahun lepas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pilihan Raya Berasingan, Noh Perlu Hormati Pendirian Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 14 SEPT :  Noh Omar perlu menghormati Kerajaan Negeri Selangor yang mahu mengadakan pilihan raya berasingan dengan Kerajaan Pusat bagi memberi peluang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih di negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata tindakanTimbalan Pengerusi Perhubungan Umno itu sepatutnya menuding jari kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak yang merahsiakan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) daripada pengetahuan rakyat

“Dalam keadaan PRU ke-13 semakin hampir, Noh semakin lantang bersuara. Hampir semua isu beliau ulas seolah-olah beliau adalah pemimpin yang cerdik dan serba boleh.

“Namun bagi rakyat yang memahami isu sebenar, akan mentertawakan kenyataan Noh Omar.

“Nampak sangat beliau bercakap mengikut hawa nafsu dan secara semberono tanpa fakta yang kukuh,” kata Riduan dalam kenyataan medianya.

Ujar Riduan lagi, jika Najib selaku Perdana Menteri berani serahkan mandat kepada rakyat, maka tidak perlu disembunyikan tarikh PRU daripada rakyat.

“Mengadakan PRU seperti serkap jarang adalah tindakan penakut pemimpin yang tidak mahu hadapi kenyataan,” katanya.

Tambah beliau lagi, Noh seperti naif atau pura-pura tidak mengerti realiti sebenar sistem pilihan raya di Malaysia yang menjadi pertikaian banyak pihak.

“Dalam keadaan daftar pemilih yang mencurigakan apabila ditemukan sejumlah ratusan ribu pengundi ragu dalam senarai daftar pemilih khususnya di Selangor .

“Penambahan pengundi mendadak di DUN atau Parlimen tertentu secara tidak munasabah, serta dakwaan wujudnya pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

“Apakah dalam keadaan begini wajar diadakan PRU ke 13 di Selangor serentak dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Ujar Riduan, apa yang penting, Pakatan Rakyat mahu pastikan rakyat Selangor menikmati pilihan raya yang benar-benar adil, demokratik dan telus.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPRM Digesa Siasat Dakwaan Tawaran RM5 juta Lompat Parti

SHAH ALAM 30 JUN : Pemuda PAS mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke BN pada tahun 2010.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata, rasuah membeli Ahli Parlimen adalah permainan politik paling jijik yang dilakukan oleh golongan yang terdesak untuk mendapat kuasa dengan cara yang tidak bermaruah.

“Meskipun beliau (Azan) mendedahkan isu ini setelah dua tahun peristiwa ini berlaku, namun implikasinya amat besar terhadap insititusi parlimen sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar negara,” kata Riduan dalam kenyataan medianya.

Menurut Riduan, tugas sebagai Ahli Parlimen adalah bersuara dengan membela rakyat, khususnya untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk diperdagangkan menurut kemahuan nafsu segelintir elit semata-mata.

“Adakah ia arahan pemimpin-pemimpin tertentu yang berkepentingan serta mempunyai kuasa dalam negara ini.

“Ia perlu didedahkan supaya petualang-petualang ini mendapat pengajaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.

Justeru, siasatan menyeluruh perlu dilakukan termasuk senarai di antara yang menerima tawaran tersebut dan menerimanya atau sebaliknya.

“Tidak ada kemaafan bagi mereka yang cuba menghancurkan integriti negara dan merosakkan masyarakat dengan jenayah rasuah seperti ini,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Pemuda PAS : Segerakan Pilihan Raya Kampus

SHAH ALAM, 21 JUN : Pemuda PAS mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyegerakan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lama tertangguh.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata PRK itu sepatutnya diadakan pada bulan Mac 2012 lepas tetapi ditangguhkan di semua kampus sehingga ke bulan September 2012 kerana alasan remeh yang tidak boleh diterima.

“Tempoh masa tertangguh seperti yang diumumkan oleh KPT terlalu lama bagi mahasiswa kerana ia akan menyebabkan banyak agenda yang tidak dapat diselesaikan.

“Mahasiswa kini ketiadaan pemimpin di kampus-kampus yang akan berjuang bagi menentukan nasib mereka sendiri selama penangguhan ini,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Tambah Riduan, beliau kesal kerana kerajaan cuba menafikan hak mahasiswa berpersatuan dan berpolitik kampus.

“PRK adalah perlu bagi mahasiswa bagi memilih pemimpin baru yang akan berjuang bagi kepentingan mereka.

“Menangguhkan pilihan raya kampus bererti mematikan idealisme mahasiswa, suara mereka tersekat, kepimpinan mereka terbantut dan kematangan berfikir mereka juga akan terhalang,” ujarnya.

Ramai melihat alasan utama disebalik penangguhan PRK adalah kerana ia berlangsung dekat dengan Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Menyekat hak mereka memilih kepimpinan yang akan bersuara bagi pihak mereka merupakan suatu tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Muzakarah: Isu Lapuk Yang Di Kitar Umno

SHAH ALAM,18 MEI : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkenaan pelawaan bermuzakarah antara UMNO dengan PAS sebagai idea lapuk yang dikitar semula.

Ketua Penerangannya,Riduan Mohd Nor berkata, Umno tidak pernah ikhlas mahu mengadakan muzakarah dan sudah bertahun idea ini dilontarkan namun tidak pernah Umno serius menyahutnya setiap kali cadangan ini dibuat.

“Pelawaan muzakarah dengan Umno adalah tindakan terdesak bagi menyelamatkan jangka hayat mereka yang sudah tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

“Mereka menganggap muzakarah akan memberikan kekuatan politik dan boleh memenangkan mereka sehingga menyebabkan keresahan di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat,” kata Riduan dalam kenyataan medianya.

Tambah Riduan, Pemuda PAS merasa kesal kerana dalam keadaan terdesak begini barulah Umno mahu mengadakan muzakarah dengan PAS sedangkan selama ini PAS yang paling kuat difitnah dan dikutuk.

“PAS dan pemimpin tertingginya dituduh sesat, jumud, tidak bertamadun, konservatif, memecahbelahkan masyarakat, menyalahgunakan Islam demi kepentingan politik, serta tuduhan yang maha berat terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ? Mursyidul Am PAS sebagai ?bapa kafir?,” katanya.

Beliau menegaskan , bahawa pucuk pimpinan PAS bersedia mengadakan muzakarah dengan pemimpin Umno untuk kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara.

PAS sedia atas platform apa pun sama ada muzakarah, dialog, debat, forum dan lain-lain dan bersedia di mana-mana pentas sekalipun.

“Yang hanya PAS inginkan adalah muzakarah tersebut diadakan secara terbuka supaya rakyat dapat menilai dan melihat isi muzakarah tersebut.

“Pemuda PAS mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Pakatan Rakyat berdebat dengan Perdana Menteri dalam pelbagai isu,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

DPMM Selar Astro Tapis Berita BERSIH 3.0

SHAH ALAM,3 MEI : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati terhadap media antarabangsa seperti British Broadcasting Company (BBC) dan Al Jazeera kerana liputan berita milik mereka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 telah ditapis oleh Astro tanpa persetujuan mereka.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS,Riduan Mohd Nor berkata alasan Astro bahawa mereka mematuhi garis panduan penyiaran kebangsaanî adalah alasan remeh dan sukar untuk diterima.

“Ini kerana dengan penapisan yang dibuat oleh Astro akan menyebabkan hilangnya babak penting yang menceritakan peristiwa sebenar dalam perhimpunan tersebut. Ia pula akan menjadikan liputan ini sangat tidak adil, berat sebelah,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Riduan berkata, DPPM merasa kecewa kerana Astro tidak merujuk dahulu media antarabangsa liputan yang mereka tapis dan paparkan kepada masyarakat.

Ini menggambarkan betapa teruknya nilai demokrasi di negara ini sehingga media disekat sedemikian rupa hatta terhadap media antarabangsa.

Beliau juga kesal kerana media di Malaysia masih terkongkong oleh pengaruh politik pemerintahan BN sedangkan media antarabangsa telah jauh mendahului dalam memberikan liputan yang adil dan bebas.

“Rakyat merasa malu jika media di Malaysia akan dibandingkan dengan media di bawah pemerintahan negara-negara rejim kuku besi.

“Bagi rakyat Malaysia pula, perkara ini tidak mengejutkan kerana ia sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi di mana media tidak pernah bebas dan adil dalam memberikan laporannya,” katanya.

Ujar Riduan lagi, media utama memainkan peranan penting menghentam parti politik atau pemimpin serta sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan Umno-BN.

“Tidak perlu pemimpin Pakatan Rakyat keluar negara bagi menceritakan bagaimana teruknya mereka dilayan oleh media tempatan,

“Cukup hanya melihat bagaimana tapisan terhadap pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa dalam peristiwa penting yang berlaku di negara ini,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

Wan Ahmad Dicabar Letak Jawatan

SHAH ALAM,20 APRIL : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengulas bahawa sebanyak RM30 juta wang pembayar cukai perlu dibelanjakan sekiranya Selangor tidak mengadakan pilihan raya umum serentak dengan kerajaan pusat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS,Riduan Mohd Nor berkata  Wan Ahmad tidak sepatutnya mengulas soal pilihanraya berasingan di negeri Selangor atau pun tidak kerana itu bukan bidang tugas beliau dan SPR. Kenyataan seperti itu perlu dilontarkan oleh pemimpin parti politik seperti Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.

“Tugas SPR dan individu seperti Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah menjayakan pilihanraya mengikut tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

Kenyataan ini menyerlahkan lagi belang beliau yang sebenarnya dan membayangkan seolah-olah beliau adalah Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang boleh memberikan pandangan politik terhadap mana-mana parti politik,” ujar Riduan dalam kenyataan medianya.

Tambah Riduan , kenyataan Wan Ahmad itu menambah curiga rakyat bahawa SPR adalah badan yang tidak bebas, serta masih terkongkong dengan pengaruh parti pemerintah.

Sepatutnya Wan Ahmad mengambil perhatian mengapa Pakatan Rakyat mahu menangguhkan pilihanraya di negeri Selangor.

“Beliau sepatutnya berterima kasih kepada Pakatan Rakyat yang berterusan menyemak daftar pemilih sehingga mampu menimbulkan beberapa keraguan. Sejumlah 42,051 pengundi ragu daripada senarai daftar pemilih dapat dikesan yang perlu kepada pembersihan,” ujarnya lagi.

Riduan menjelaskan,ini belum termasuk jumlah peningkatan undi mendadak di beberapa buah Parlimen di Selangor dan negeri-negeri lain, serta dakwaan wujudnya task force pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

“DPPM mensarankan Datuk Wan Ahmad Wan Omar supaya berterus-terang kepada rakyat bahawa beliau sememangnya berpihak kepada parti pemerintah.

DPPM juga mencabar Datuk Wan Ahmad supaya meletak jawatan dan bertanding dalam PRU ke 13 atas tiket BN. Buktikan beliau berpengaruh dan mampu memenangi PRU ke 13. Ini lebih baik daripada terus berselindung di sebalik baju SPR,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

Pemuda PAS Dakwa Ada Usaha Sabotaj MB Selangor

SHAH ALAM,15 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang telah menukar tempat mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tanpa pengetahuan beliau merupakan usaha untuk menafikan peluang beliau untuk dilantik Menteri Besar Selangor selepas pilihanraya umum ke 13.

Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa pertukaran ini disedari setelah nama Abdul Khalid disemak dalam senarai daftar pemilih baru yang dikeluarkan oleh SPR.

Ketua Penerangan PAS Pusat Riduan Mohd Nor berkata pada pilihanraya tahun lepas, Abdul Khalid berdaftar sebagai pengundi di Parlimen Petaling Jaya Selatan dan tidak pernah memohon untuk menukar tempat mengundi.

Tetapi, semakan oleh Pas mendapati beliau ditukar ke Parlimen Lembah Pantai yang berada di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengikut peraturan SPR, individu yang ingin bertanding kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri perlu menjadi pengundi berdaftar di negeri tersebut.

“Tindakan SPR memindahkan tempat mengundi Tan Sri Khalid Ibrahim adalah satu kesalahan besar. SPR telah dianggap menyalahgunakan kuasa mereka kerana bertindak atas kuasanya memindahkan mana-mana pengundi mengikut kehendak mereka.

“Apakah rasionalnya Abdul Khalid dipindahkan tempat mengundi? Jika Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dipindahkan tempat mengundi, apa jaminan rakyat biasa yang lain tidak diperlakukan begitu?,” tegas Riduan dalam kenyataan medianya.

“Dewan Pemuda PAS menuntut penjelasan berkenaan kes ini yang boleh menimbulkan prejudis masyarakat bahawa daftar pemilih yang dikendalikan oleh SPR tidak bersih dan mempunyai data-data yang meragukan.?