Categories
AGENDA NASIONAL

Perluas fungsi masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Program menjadikan masjid sebagai pusat transit bagi mangsa keganasan rumah tangga kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan diperluaskan ke beberapa negeri setelah ia diperkenalkan di Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata negeri terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Sarawak.

“Projek rintis program ini telah diperkenalkan di Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail dan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Dalam usaha kita untuk memperluaskannya lagi, kita telah pun bercakap dengan beberapa Menteri Besar kerana masjid di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan setakat ini, ia mendapat sambutan (reaksi) baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Majlis Aspirasi Skuad Waja 2021 di Dewan Serbaguna Ampang Hilir hari ini.

Menurut Rina, melalui program pusat transit itu, ahli jawatankuasa masjid akan diberi bimbingan psikologi sosial supaya mereka berupaya mengendalikan kes keganasan rumah tangga apabila didatangi mangsa.

“Ini adalah tindakan proaktif kerajaan bagi menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa,” katanya menambah dalam usaha memperkasakan komuniti KPWKM berhasrat mewujudkan pusat transit di masjid-masjid luar bandar.

Rina berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 6,443 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan dan dibuka kertas siasatan, berbanding 4,217 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

Beliau juga optimis, Skuad Waja yang ditubuhkan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) berupaya menjadi ejen perubahan dalam komuniti dengan mengesan kes-kes keganasan wanita di seluruh negara.

“Setakat semalam, keanggotaan Skuad Waja telah mencapai seramai 100,202 ahli, melebihi sasaran 100,000 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 93,295 orang adalah wanita dan 6,907 orang lagi lelaki. Penglibatan golongan lelaki ini membuktikan bahawa perjuangan menangani keganasan terhadap wanita bukanlah terletak di bahu wanita sahaja, malah turut dipikul oleh golongan lelaki,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang ketiga Covid-19, tahap bahagia keluarga makin baik

PUTRAJAYA, 24 DIS: Tahap kebahagiaan rumah tangga di negara ini menjadi semakin baik pada gelombang ketiga Covid-19 berbanding dua gelombang yang lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan oleh 49 peratus responden daripada golongan ibu bapa yang terlibat dalam tinjauan pendapat yang dilaksanakan secara dalam talian sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 pada November lepas.

“Ini selaras dengan penemuan tinjauan tersebut yang turut mendapati bahawa sebanyak 64 peratus responden ibu bapa yang mengakui bahawa komunikasi mereka dengan pasangan telah menjadi semakin baik pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rina berkata tinjauan terbaru Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu secara tidak langsung memberi gambaran institusi keluarga menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Usaha lebih giat akan terus dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan penyampaian pendidikan kekeluargaan bagi memastikan institusi keluarga mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk berfungsi bagi mencapai kesejahteraan,” katanya.

Selain itu, Rina berkata skor keseluruhan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2019 meningkat 0.39 mata kepada 7.72 berbanding 7.33 pada 2016 dan kekal pada tahap sederhana.

Katanya, domain hubungan kekeluargaan menjadi penyumbang skor tertinggi IKK 2019 iaitu 8.35 daripada skala maksimum 10.

Domain hubungan kekeluargaan dipantau melalui tujuh indikator yang mengukur aspek berkaitan kekeluargaan iaitu penglibatan ibu bapa, kualiti masa bersama keluarga, imbangan kerja dan keluarga, perhubungan rapat, kefungsian keluarga, daya tindak keluarga dan daya tahan keluarga, katanya.

Domain lain yang diukur ialah keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian yang mencatatkan skor 8.25; domain keluarga dan keterlibatan komuniti (8.00) serta domain keselamatan keluarga (7.86).

Domain ekonomi keluarga pula merekodkan skor 7.67; domain kesihatan keluarga (7.44); domain perumahan dan persekitaran (7.35) serta domain keluarga dan teknologi komunikasi (6.82), katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Rina mahu fokus rapat jurang pembangunan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MEI: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun tekad memberi fokus merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, masyarakat yang menganggap kawasan luar bandar mundur dan tidak membangun sama sekali tidak benar serta tekad membetulkan persepsi berkenaan.

“Kita harus ingat di negara kita hanya 30 peratus sahaja kawasan bandar, manakala 70 peratus lagi separuh bandar dan luar bandar.

“Pembangunan infrastruktur juga bukanlah satu-satunya solusi untuk golongan luar bandar,” katanya memetik laporan Bernama.

Rina selaku Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pihaknya akan mengkaji semula semua projek di bawah kementerian itu yang masih dalam fasa perancangan atau mana-mana projek tidak menguntungkan rakyat.

“Kita akan kaji semula (projek dalam perancangan) tetapi projek yang sudah diluluskan akan diteruskan,” katanya.

Bagaimanapun, Rina berkata, setiap sesuatu keputusan itu akan dibuat selepas bertemu dengan semua agensi untuk mendapatkan persetujuan pelbagai pihak.

Terdahulu, Rina antara ‘giant killer’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu apabila memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang kerusi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga bekas menteri kewangan kedua serta Mohamad Noor Mohamad dari PAS.

Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) itu dinamakan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam Kabinet baharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mula aktif di arena politik negara sejak 2002 sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang selain pernah memegang beberapa jawatan dalam Puteri UMNO, ​​termasuk Exco Puteri UMNO Malaysia, pada 2009 sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tahun lalu.